Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Ahad, 11 Oktober 2009

Dosa dan Ta'at


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Penulisan ini disalin semula daripada terjemahan kitab Al-Hikam Imam Ahmad Ibnu 'Athoillah.

Dosa Yang Menyebabkan Bertaubat Lebih Baik Daripada Ta'at Yang Menimbulkan Ujub (Sombong)

106) Ma'siat (dosa) yang menimbulkan rasa rendah diri dan memerlukan rahmat ALLAH, lebih baik daripada perbuatan ta'at yang membangkitkan rasa sombong, 'ujub dan besar diri.

Abu Mad-yan r.a. berkata: Perasaan rendah diri seseorang yang telah berbuat ma'siat dosa itu adalah lebih baik daripada kesombongan seorang yang ta'at. Ada kalanya seorang hamba berbuat kebaikan (hasanat) yang menimbulkan rasa ujub sombong, sehingga dapat menggugurkan segala amal-amal yang sebelumnya, dan ada kalanya seorang berbuat dosa yang menyedihkan hatinya, sehingga timbul rasa takut kepada ALLAH, dan menyebabkan keselamatan dirinya.

Asysya'by meriwayatkan daripada Alkhalil bin Ayyub bahawasanya seorang 'abid (ahli ibadah) Bani Israil ketika ia berjalan ia dinaungi oleh awan, tiba-tiba ada seorang pelacur Bani Israil, maka tergerak dalam hati pelacur itu: Ini seorang 'abid Bani Israil, aku ingin mendekat kepadanya semoga aku mendapat rahmat ALLAH kerana mendekat kepadanya. Maka ketika pelacur itu mendekat kepada 'abid itu, tiba-tiba si 'abid itu mengusir dengan berkata: Nyah engkau dari sini. Maka ALLAH menurunkan wahyu kepada Nabi s.a.w. bahawa Aku (ALLAH) mengampunkan dosa pelacur itu dan membatalkan amal 'abid itu. Maka berpindah awan daripada atas kepada 'abid ke atas kepala pelacur itu.

Al-Harits Al-Muhasiby berkata: ALLAH menghendaki supaya anggota lahir ini sesuai dengan batinnya (hatinya), maka apabila sombong congkak orang 'alim/'abid, sedang pelacur itu bertawaduk merendah diri, maka ketika itu si pelacur itu lebih taat kepada ALLAH daripada 'abid dan 'alim. Ada pula kejadian ketika seorang 'abid Bani Israil sedang sujud, tiba-tiba dipijak kepalanya oleh seseorang, maka berkata 'abid itu: Angkat kakimu, demi ALLAH tidak akan mengampunkan engkau. Maka ALLAH menjawab: Hai orang yang bersumpah dengan nama-Ku, bahkan engkau yang tidak diampunkan kerana kesombonganmu. Al-Harits dalam komentarnya berkata: Dia bersumpah kerana merasa diri besar di sisi ALLAH, maka kesombongan, ujub itulah yang tidak diampunkan ALLAH.


Semoga ALLAH memberikan kepada kita 'ilmu yang bermanfaat daripada 'ilmu Imam Ibnu 'Athoillah, dan memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Rabu, 7 Oktober 2009

Ingin Juga Aku.....

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Ingin juga aku...

Mereka sudah berlari-lari ke syurga ALLAH.
Terbang di dalamnya, mencapai kedudukan yang tertinggi di dalamnya.
Mereka menerima tertunainya janji ALLAH.
Hidup mereka di dunia sungguh padat dengan persiapan ke sana.
Mereka tidak tergugat sedikit pun dengan perhiasan dunia yang sungguh menipu dan memperdaya.
Mereka cekal berusaha, gigih mencari keredhaan ALLAH.
Mereka tidak kenal apa itu penat.
Mereka tahu, peluang di dunia ini terlalu berharga, terlalu singkat.
Jika mereka penat di dunia, penat itu adalah sementara.
Rehat di syurga ALLAH pula kekal.
Apa yang ada pada mereka, mereka yakin ialah pinjaman ALLAH dan tidak kekal sifatnya.
Mereka menggunakan sepenuh-penuhnya segala perkara majazi ini sebagai mahar untuk merebut redha ALLAH.
Hati mereka sungguh suci. Hati sejahtera (Qolbun Salim). Tidak bersarang di dalamnya hati yang busuk.

Aku pula, ingin merangkak untuk menyertai mereka pun terasa terlalu berat beban di pundak ini.

Ya ALLAH, sungguh aku kesali keadaan ini. Aku kini yakin, bahawa jika tiada kekuatan dan bantuan daripada-Mu, tak upaya untuk aku melaksanakan ketaatan dan penghambaan ini.

Ya ALLAH, kami mohon kepada-Mu agar kami dipermudah dan diperkenankan segala urusan ketaatan, ditetapkan iman dan amal, disucikan hati dan kami sentiasa mengakui lemah dan hinanya kami di sisi-Mu.

Engkaulah Khalil kami, setiap detik dan ketika.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...