Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Rabu, 30 Jun 2010

Ukuran Ilmu


Universiti Azhar Syarif, simbol bagi keilmuan.

"Ilmu bukan diukur dengan banyaknya pengetahuan, tapi sebanyak mana ia dapat diterjemahkan melalui kehidupan."
-dipetik daripada laman Akhuna Thaqif Ilman Al-Muqri

Mesej Al-Quran : Tundukkan Pandangan


Terjemahan ayat:

"Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memlihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka."

Surah An-Nuur, 24: 30

Selasa, 29 Jun 2010

Pencarian Lailatul Qadr Bermula Sebelum Ramadhan Lagi



Gambar hiasan.


Alhamdulillah, sekarang kita berada dalam bulan Rejab.

Insya ALLAH selepas itu akan tiba Sya'ban, disusuli bulan teragung dalam kesemua 12 bulan, ya'ni Ramadhan.

Terlintas dalam fikiran saya, bagaimana pernah dinasihatkan oleh orang soleh kepada kita:

"Orang yang benar-benar ingin mencari dan mendapatkan Lailatul Qadr, pencariannya sudah pun bermula dalam tempoh sebelum tibanya Ramadhan."

Pencarian yang dimaksudkan bermula sebelum tibanya Ramadhan dapat kita fahami sebagai persediaan ruhaniah. Hati dan ruhani mula dididik untuk lebih menghargai setiap detik peluang amal kebaikan.

Lebih baik lagi, dibuat perencanaan, perancangan apa yang mahu dicapai dalam Ramadhan akan datang.

Mungkin tahun lepas, kita ada menjamu orang yang berbuka puasa dengan air minuman sahaja, mungkin pada kali ini, insya Allah kita akan menjamu mereka dengan sesuatu yang lebih baik.

Ataupun, mungkin tahun lepas, kita sekadar menumpukan pembacaan al-Quran semata-mata tapi tanpa cuba mengambil sedikit inisiatif melihat terjemahannya, insya Allah pada kali ini kita akan lebih menghidupkan penghayatan makna ayat Al-Quran itu dengan asbab mengambil tahu terjemahan, asbabun nuzul (sebab penurunan) dan tafsir mengenainya.

Juga, mungkin pada Ramadhan lalu, kita mampu menamatkan 1 juzuk pembacaan Al-Quran, insya Allah pada tahun ini kita pertahankan jumlah tersebut dan lebih baik lagi dapat ditingkatkan lagi.

Ya lah, mengapa tidak bersedia jika benar-benar diinginkan, dirindui malam tersebut. Malam agung yang sangat istimewa kedudukannya di sisi Allah.

Insya ALLAH, moga ALLAH izinkan kita, ibu bapa dan keluarga kita, serta seluruh umat Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam untuk bertemu dengan Ramadhan tahun ini.

Isnin, 28 Jun 2010

Tasawwuf Galakkan Berjihad dan Bekerja

*Artikel ini diambil daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.

Tasauf galakkan berjihad dan bekerja

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DI antara tohmahan sesetengah pihak terhadap tasauf dan ahlinya adalah tasauf itu mendorong kepada sikap pasif, jumud dan berserah semata-mata tanpa berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.


Islam menyuruh umatnya bekerja bersungguh-sungguh agar menikmati kejayaan
di dunia. - Gambar hiasan




Oleh kerana kurangnya maklumat dan kefahaman sebenar terhadap persoalan ini, sebahagian masyarakat awam turut terpengaruh dengan persepsi ini.

Apabila anak-anak, saudara atau teman mereka terlibat dalam aliran berunsur tasauf, walaupun yang murni dan arus perdana, maka timbullah kegusaran dalam hati mereka bahawa aspek duniawi dan kebajikan mereka ini akan tertinggal dan terabai.

Persepsi salah ini perlu dijauhi. Jika tidak ia mungkin menjerumuskan kita dalam sikap menzalimi. Bahkan memusuhi mereka yang sebenarnya berada di atas kebenaran dan bahkan mungkin sebahagiannya adalah para wali atau kekasih-kekasih Allah SWT.

Memusuhi wali-wali Allah adalah termasuk beberapa kesalahan paling berat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap pelakunya seperti maksud satu hadis qudsi yang masyhur.

Sebenarnya, para pembaca sudah sepatutnya mampu menolak persepsi negatif ini jika mereka telah memahami dan bersetuju dengan penjelasan kami dalam siri ruangan ini yang lepas-lepas bahawa tasauf itu adalah tidak lain daripada dimensi ihsan agama kita dan bahawa tasauf hakiki adalah bersumberkan dan selari dengan al-Quran dan al-sunnah.

Mana mungkin sesuatu yang begitu asasi dan asli dalam Islam bersifat pasif, lemah dan jumud melulu?

Tanpa perlu berbahas panjang, seseorang yang bijaksana sudah mampu meletakkan isu ini pada kedudukan sebenarnya. Samalah seperti seseorang Muslim yang benar-benar faham dan yakin tentang sifat-sifat Maha Adil, Pengasih dan Penyayang yang ada pada Allah SWT.

Tanpa pembahasan terperinci tentang persoalan qada dan qadar, ketentuan, nasib dan seumpamanya, orang ini tetap tidak akan sampai mempertikaikan keadilan Tuhan di sebalik segala ketentuan buruk atau baik yang berlaku dalam kehidupan.

Namun, apakan daya. Kita ditakdirkan hidup dengan adanya suara-suara sumbang yang sering cuba menyerang tasauf. Maka perlulah soal ini dibahaskan.

Jika diteliti secara insaf, ajaran, aliran dan para pengamal tasauf hakiki sepanjang sejarah Islam adalah mereka yang sangat mementingkan berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.

Malah jika semboyan jihad dikumandangkan dalam situasi jihad peperangan yang benar-benar memenuhi syaratnya, kita akan dapati para ahli tasauf adalah antara mereka yang berada di saf hadapan tentera Islam.

Sikap ini jelas pada sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang merupakan para pengasas dan pemuka tasauf. Abdullah Ibnu Mubarak, Syaqiq al-Balkhi, Hatim al-'Asom pula adalah antara tokoh tasauf yang menyusuli mereka yang tercatat jelas keperwiraan dan kepahlawanan mereka di medan jihad perang.

Begitu juga para pemuka tasauf yang datang kemudian seperti Imam Abul Hasan al-Syazuli dan Badiuzzaman Said Nursi.

Sejarah juga menjadi saksi kesatriaan para pejuang berlatar-belakangkan tasauf seperti Imam al-Sanusi di Libya dan Imam Syamil Al-Daghestani di Chechya.

Di alam Melayu, kita biasa mendengar tentang kepahlawanan para ulama sufi menentang penjajah Belanda dan Inggeris seperti para Wali Songo, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Yusuf Tajul Khulwati al-Makasari.

Ahad, 27 Jun 2010

Menggunakan Kesempatan Ketika Masih Ada


Suasana dalam Masjid Bandar Adelaide, juga selalu dirujuk sebagai City Mosque.
Masjid ini antara masjid tertua di Australia. Di South Australia sendiri, City Mosque yang sejak awal pembinaannya dulu dikenali sebagai Afghan Chapel, menjadi National Heritage. Saiz masjid ini tidaklah begitu besar. Mungkin sebesar kebanyakan surau di kawasan perumahan di Malaysia.



Saya masih ingat lagi, pada suatu hari saya bersama seorang sahabat seperjuangan dari Malaysia berjalan kaki bersama-sama menuju ke Masjid Bandar Adelaide.

Jarak tempat penginapan saya tidaklah begitu jauh daripada masjid tersebut. Anggarannya dalam 750 meter. Jika berjalan kaki, ambil masa hampir 10 minit.

"Kau tahu tak, City Mosque ni kalau tidak akan jadi muzium. Sebab tak ramai orang guna untuk solat." kata beliau. Terkejut juga saya dibuatnya, apabila masjid dijadikan muzium. Rakan saya tersebut memang giat dalam pergerakan jama'ah tabligh. Pengetahuannya tentang perkembangan Islam di Australia luas dan tidak dinafikan.

Kata-kata beliau memang meninggalkan kesan kepada saya hingga hari ini. Menjadi asbab untuk saya lebih banyak berfikir, menghargai peluang untuk beribadah sebagai umat Islam.

"Kalaulah Masjid City sudah dijadikan muzium, maksudnya memang lagi jauhlah perjalanan aku ke masjid yang ada dan terdekat. Mungkin kena ambil bas." hati kecil bercakap.

City Mosque pun tak ada organisasi pegawai masjid yang cekap dan memang kemas.

Pernah disebut apa sebab fenomena tersebut berlaku:

"I am not paid to do that job."

Ringkas, dan banyak lagi rasanya yang dapat dihuraikan.

Peluang untuk melaungkan azan pun terbuka amat luas, kecuali semasa solat Jumaat.

"First come first serve."


"Oh, inikah maksudnya munajat orang-orang soleh yang berbunyi: Tuhanku, aku zalimi diriku." hati kecil berbisik. Seolah-olah baru memahami dengan lebih mengakar ungkaian kata tersebut.

Saya menasihati diri saya. Alangkah penyayangnya Allah, banyak sungguh peluang untuk melaksanakan kebaikan yang tersedia. Kadang-kadang kerana dosa yang menebal, hati terhijab daripada melihat peluang untuk melakukan ketaatan yang sentiasa ada dan terbuka.

Saya memang zalim jika terus membutakan hati daripada merebut segala peluang kebajikan ini. Imam Al-Ghazali rodhiyallahu 'anhu pernah menyebut dalam menggambarkan berharganya setiap hela nafas hayat kita yang dikurniakan Allah, hampir begini:

"Setiap nafas hayat yang diberikan Allah, digunakan untuk kebaikan adalah lebih berharga daripada dunia dan seisinya."

'Ulama menasihati kita, rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita bukan sekadar banyaknya wang dan harta yang kita ada. Rezeki tersebut juga merangkumi kesihatan yang baik, kelapangan masa untuk beribadah, rakan dan teman yang soleh, kerajinan dan motivasi untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan yang lain-lain.

Belitan iblis akan senantiasa menipu kita, untuk menangguhkan segala bentuk kebaikan. Kononnya usia masih lanjut. Kelak nanti, bila dah berusia, masih ada masa untuk beramal. Apa salahnya masa muda ini terguna untuk menikmati keindahan dunia.

Saya membuat congakan, hitungan kasar.

"Azan kalau dilaungkan, memang sangat istimewa. Nabi ada sebut, kalau manusia tahu kelebihannya, pasti manusia sanggup mencabut undi bagi mendapat giliran melakukannya. Di sini, peluang untuk melaungkan azan ketika masuk waktu di masjid amat terbuka luas. Cuma kena cop tempat awal-awal."

"Paling kurang pun, pergi ke masjid dari tempat penginapan, ada dalam 400 langkah kaki. Kalau dikecilkan lagi, mungkin ada dalam 600 lebih. Hadits Nabi menyebut, setiap satu langkah menuju ke masjid untuk menunaikan solat berjama'ah, setelah disempurnakan wudhu' di rumah, akan menghapuskan dosa, memberikan pahala kebaikan, dan menaikkan darjat di syurga."

Apa yang lebih menginsafkan saya ialah, realiti di Australia ini, bilangan masjidnya adalah amat terhad. Tidak sebanyak yang ada di Malaysia. Jarak dari satu masjid ke masjid yang lain pun adalah jauh. Rupa-rupanya memang rezeki yang besar daripada Allah, disediakan kemudahan untuk saya sentiasa menghadiri masjid, dengan asbab ketentuan-Nya meletakkan saya untuk tinggal di kawasan yang berhampiran.

Teringat ketika zaman remaja di MCKK dahulu, ketika solat subuh, ustaz yang mengimamkan solat jama'ah selalu membacakan ayat di bawah. Rupanya, bertahun-tahun juga masa diambil untuk makna dan penghayatannya lebih mengakar dalam hati ini. Terima kasih ya Allah. Sungguh, peluang mentaati-Mu itu lebih berharga daripada dunia dan seisinya.


"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".

Surah Al-Munafiqun, 63: 10


Pengajaran untuk kita fikirkan dan selami:

Sejauh manakah hati kita celik dalam melihat segala peluang kebajikan yang sentiasa dilapangkan Allah kepada kita?

Setinggi manakah kesungguhan kita untuk menghargai peluang tersebut?

Pastikah hayat kita di dunia ini akan berlangsungan pada hari esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, 10 tahun depan?

Bukankah kita sudah sentiasa dimaklumkan dengan kematian manusia yang berlaku pada usia muda mereka?

Moga bermanfaat, dan dikurniakan Allah kekuatan ruhaniyah dalam menganjakkan diri, menewaskan nafsu, melazimkan diri dengan memanfaatkan kesemua peluang kebaikan yang tersedia.

Al-Faqir ilaLlah,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki
The Village, Adelaide, Australia.

Jumaat, 25 Jun 2010

Kepentingan Tasawwuf

Gambar hiasan.
Syeikh Sa'id Hawwa dikenang jasanya dalam bidang sufi haraki.


*Artikel ini diambil daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.

KEPENTINGAN TASAWWUF

Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Kita telah membahaskan kedudukan tasauf dalam kerangka besar agama Islam dan hubungannya dengan syariat dan sunnah. Kali ini kita ingin menekankan kepentingan tasauf dalam kehidupan peribadi seseorang Muslim. Sesungguhnya pentaklifan syariat yang diperintahkan secara khusus kepada manusia itu kembali kepada dua bahagian. Pertamanya, hukum-hakam yang berkaitan dengan amalan zahiriah dan yang kedua, hukum-hakam yang bersangkutan dengaan amalan batiniah. Ataupun dalam erti kata lain, hukum-hakam yang bersangkutan dengan anggota badan manusia dan amalan yang bersangkutan dengan hati.

Amalan jasad itu terbahagi kepada dua jenis; yang berbentuk suruhan seperti solat, zakat, haji dan lain-lainnya, dan juga larangan seperti membunuh, berzina, mencuri, minum arak dan sebagainya. Amalan hati juga terbahagi kepada dua; yang berbentuk suruhan seperti beriman dengan Allah, Malaikat, hari Kiamat, Kitab-kitab dan Rasul-rasulNya. Begitu juga ikhlas, redha, benar, khusyu’, bertawakkal dan sebagainya. Manakala yang berbentuk larangan seperti kufur, munafiq, takabbur, ujub, riya’, menipu, hasad dan dengki.

Aspek kedua iaitu yang bersangkutan dengan hati lebih penting daripada bahagian pertama di sisi Allah, kerana batin adalah asas atau punca bagi yang zahir. Kerosakan yang berlaku pada batin akan mencacatkan atau menjejaskan nilai amalan zahir. Oleh yang demikian Allah SWT berfirman:

“Dan sesiapa yang yang bercita-cita untuk bertemu dengan Tuhannya hendak beramal dengan amalan saleh dan jangan dia mensyirikkan Allah dengan sesuatupun dalam ibadahnya."

(al-Kahfi:110)

Rasulullah SAW juga sangat memberi fokus terhadap pensucian hati dan menegaskan bahawa baik jahatnya seseorang itu tergantung pada hatinya. Beliau bersabda,

“Ingatlah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging. Apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Sesungguhnya ia adalah hati.”

Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa tempat jatuhnya pandangan Allah kepada hambaNya ialah hati.

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, atau pun lahiriah kamu tetapi Dia memandang kepada hati-hati kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana kebaikan seseorang itu bersangkut paut dengan kebaikan hatinya yang menjadi penentu amalan zahirnya, maka wajiblah ke atasnya memperbaiki hatinya dengan mengosongkannya daripada sifat-sifat terkeji yang dilarang oleh Allah dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji yang diperintahkan oleh Allah. Dengan itu, hatinya akan berada dalam keadaan sejahtera dan benar. Pemiliknya akan tergolong di kalangan orang yang berjaya dan terselamat pada hari yang tiada manfaat harta benda dan anak isteri melainkan orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.

Imam Jalal al-Din al-Suyuti RA berkata:

“Adapun tentang ilmu hati dan mengenal penyakit-penyakitnya seperti hasad, ujub, riya’ dan sebagainya, Imam al Ghazali RA menyatakan bahawa ia adalah fardhu ‘ain.”

(al-Asybah wa al-Nadzair, H.504)

Membersihkan hati dan mendidik jiwa merupakan di antara perkara fardhu ‘ain yang terpenting dan perintah Allah yang paling wajib, berdasarkan ayat al-Quran, hadith Nabi SAW dan perkataan ulama’.

1. Al Quran

Allah SWT berfirman:

“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.”

(Al-A`raf:33)

FirmanNya lagi:

“Dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan yang terang daripadanya dan yang tersembunyi.”

(al-An`am:151)

Kejahatan-kejahatan batin ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli Tafsir seperti hasad, riya’ dan munafiq.

2. Hadith

Semua hadith yang didatangkan menegah daripada bersifat hasad, takabbur, riya. Begitu juga hadith-hadith yang menyuruh menghiasi diri dengan akhlak dan pergaulan yang baik.

Rasulullah SAW bersabda:

“Iman itu mempunyai lebih daripada 70 cabang. Maka yang paling tinggi ialah ucapan “Tiada Tuhan melainkan Allah”, dan yang paling rendah ialah membuang perkara yang menyakitkan dari jalan, dan malu adalah satu cabang dari iman.”


Maka kesempurnaan iman bergantung kepada kesempurnaan cabang ini dan hiasannya. Penambahannya bergantung kepada penambahan sifat-sifat ini dan begitu juga pengurangannya. Sesungguhnya penyakit-penyakit batin sudah mencukupi untuk memadam amalan-amalan seseorang insan sekalipun banyak.

3. Pendapat ulama’

Ulama’ mengira penyakit-penyakit hati adalah dosa-dosa besar yang perlu dilakukan taubat tersendiri.

Berkata pengarang kitab Jauharah al-Tauhid:ْ

“Suruhlah melakukan kebaikan dan jauhilah perbuatan mengadu domba, mengumpat, dan perkara keji;

Seperti ujub, takabbur dan penyakit hasad, riya’ dan gemar berdebat, maka berpegang teguhlah.”

Kekalnya sifat tercela pada diri seseorang yang memperelokkan zahirnya, samalah seperti orang yang memakai pakaian yang cantik dan elok pada badan yang mempunyai kotoran. Begitu juga dengan sifat ujub iaitu memandang besar ibadah yang dikerjakannya sepertimana seorang abid yang ujub dengan ibadahnya dan orang alim dengan ilmunya. Maka ini adalah haram sepertimana riya’. (Syarah al Jauharah, Imam al-Baijuri H: 120-122)

Tasawwuf juga menjadikan seseorang mengetahui keaiban dan penyakit hatinya. Sesungguhnya tasawwuf ialah suatu perkara yang dkhususkan oleh Allah untuk merawat penyakit-penyakit hati, membersihkan hati dan menyucikan diri dari sifat-sifat kekurangan.

Berkata al-Allamah al-Manjuri di dalam mensyarahkan bait ini:

Tasawwuf ialah ilmu yang diketahui dan dikenali dengannya cara membersihkan batin daripada kekotoran nafsu. Iaitu daripada keaiban dan sifat-sifatnya yang tercela seperti hasad dengki, tipu, sukakan pujian, bersifat takabbur, riya’, pemarah, tamak, bakhil, memuliakan orang-orang kaya dan menghina orang-orang miskin kerana ilmu tasawwuf ialah ilmu bagi mengkoreksi keaiban, merawatnya dan menunjukkan jalan praktikalnya.


Dari sinilah terserlahnya kepentingan tasawwuf dan faedahnya. Sesungguhnya ia adalah ruh dan jantung agama Islam yang berdenyut kerana tidaklah agama ini hanya dengan amalan-amalan zahir. Tidak hairanlah para ulama sangat bertegas dalam kewajiban bertasauf ini.

Hujjah al-Islam al-Imam al Ghazali RA berkata,

“Masuk ke dalam jalan sufi adalah fardhu ‘ain kerana tiada seorang pun yang terselamat daripada keaiban dirinya melainkan para Nabi AS.”

(Syeikh Abdul Qadir Isa, Haqaiq ‘an al Tasawwuf H: 26-35).

Manakala Imam Abul Hassan al-Syazuli memberi amaran,

“Sesiapa yang tidak menekuni ilmu ini (tasawwuf), ditakuti akan mati dalam keadaan melakukan dosa besar (dosa hati) sedangkan dia tidak menyedarinya!”.

Khamis, 24 Jun 2010

Al-Ustaz Azmil Mustapha



Akhuna Al-Ustaz Azmil Mustapha


Hidayah memang menjadi milik Allah subhanahu wa ta'ala.

Dia yang berhak memberi, tidak kurang juga Dia berhak untuk menarik kembali hidayah tersebut.

Namun, Allah adalah Maha Penyantun, Maha Menghargai dan Maha Memelihara para hamba-Nya yang taat dan ikhlas.

Kita tidak pasti, bagaimanakah keadaan hidayah kita pada hari esok dan akan datang.

Jom kita pasakkan keinsafan dan keazaman untuk berusaha dengan sebaik mungkin menjaga hidayah kurniaan Allah.


Saya tertarik dengan kisah penghijrahan Akhuna Al-Ustaz Azmil Mustapha, dari dunia seni yang banyak terdedah kepada kelalaian kepada dunia da'wah. Subhanallah. Memang ini ialah pilihan dan kurniaan Allah.

Gambar di atas dan petikan artikel di bawah, mengenai Al-Ustaz Azmil Mustapha saya ambil daripada laman blog http://simurai.blogspot.com/.

Moga ada pengajaran berguna ('ibrah) daripada kisah beliau kepada kita.


monday, april 20, 2009

Azmil Mustafa a.k.a ALI SETAN

Petikan dari malays.cari.com.my.

APABILA disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , 'berkat' daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan 'penghijrahan' daripada kehidupan yang penuh 'lagha' kepada pengabdian diri kepada Allah. Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem 'Puteri Gunung Ledang'; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama. Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.

Kenapa saudara memilih untuk ke Syria ?

Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria . Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia , saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.

Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi' dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria .

Sejak bila sebenarnya saudara ke sana ?

Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana .

Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami' Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria . Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu.

Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab. Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.

Puas hati macam mana?

Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga.

Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia "jangan tengok lelaki" bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.

Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku . Duduk satu meja pun tak ada.

Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria , dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.

Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia , biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah.

Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC.

Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia .

Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England , Afrika Selatan , Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik

Bagaiman saudara menyara kehidupan di Syria ?

Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar.

Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.

Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak.

Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.

Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan.

Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?

Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.

(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Datoʼ Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred ʽAʼ

Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria .

Di sana , anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila "check" ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.

Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam ( Syria ), bumi para anbiya'.

Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat.

Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita.

Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.

Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia ?

Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya " Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam man nak cari kerja?" Saya jawab balik, "Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM". Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.

Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?

Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria . Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.

Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya.

Sekarang kita kongsi raya, kia kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat. Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini.

Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih ʽterjajahʼ. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak. Kalau kita di Malaysia , kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.

Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.

Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?

Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.

Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.

Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat. Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..

Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.

Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh. Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.

Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?

Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama'. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.

Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada.

Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.

Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?

Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosiol yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri.Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.

Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?

Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.

Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan.Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yangt berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.

Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.

Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?

Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.

Nasihat kepada rakan artis

Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat.

Isnin, 21 Jun 2010

Andai Dapat Kembali Kepada Masa Lalu

Gambar hiasan.


Andai dapat kita kembali kepada masa lalu, apa yang akan kita lakukan?

Andaikan, kita diberi peluang oleh Allah untuk berada pada minggu lalu, tahun lalu, sepuluh tahun lalu, dan masa-masa sebelumnya.

Mungkin ada yang akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut, untuk membaiki segala kesilapan dan kelemahannya.

Dia akan cuba semampu mungkin, untuk memadamkan segala titik hitam pada masa tersebut.

Memadamkan segala titik hitam yang mencatatkan hubungannya dengan Tuhan Pemilik Seluruh Alam ini.

Apa yang kita cuba renungkan di sini bukanlah membawa maksud cuba memikirkan "kalau" setelah berlakunya sesuatu perkara. "Kalau" sedemikian adalah tidak dianjurkan dalam Islam, kerana lebih membawa kepada perasaan tidak bersyukur akan ketentuan dan pelaksanaan (qada dan qadar) oleh Allah kepada kita. Dalam 'ilmu tazkiyatun-nufus ataupun juga dikenali sebagai 'ilmu tasauf, keadaan sedemikian sudah jatuh dalam keadaan tidak beradab dengan Tuhan.

Jauh dalam hati kita, apa yang kita dambakan ialah satu bentuk muhasabah akan masa yang telah berlalu.

Kita mahu menghadirkan perasaan insaf dan kesal akan keburukan yang telah berlalu dan berazam dengan setinggi-tinggi keazaman untuk tidak lagi melakukannya.

Kualiti orang beriman yang digambarkan para 'ulama adalah tidak melakukan kesilapan berulang kali.

"Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi, bahkan akan terus bertambah jauh, dan jauh, serta seterusnya."

-

Ya ALLAH,

Hamba mengadu kepada-Mu,

Hamba akui saratnya dosa pada diri hamba ini.

Hamba akui, banyak lagi senarai hutang dosa yang masih belum hamba selesaikan lagi.

Hamba amat kesali segala kelemahan, kesilapan, dan dosa kesalahan hamba pada masa silam.

Hamba berasa amat malu kepada-Mu ya Allah,

Betapa hamba tidak amanah menjaga segala pinjaman ni'mat-Mu ya Robb,

Hamba terus berhajat, berharap dan berdoa kepada-Mu ya Allah,

Agar terus ditambah peluang untuk hidup di atas muka bumi ini dengan hidayah-Mu,

Membersihkan diri hamba, menyelesaikan segala hutang dosa yang masih berada dalam senarai panjang,

Hamba juga terlalu mengharapkan pimpinan dan kekuatan daripada-Mu ya Allah,

Kerana hamba mengakui ketiadaupayaan dan ketidaktahuan hamba ini,

Hamba amat menginginkan saat hamba diziarahi malaikat maut nanti,

Dalam keadaan yang tenang setelah hamba telah bersungguh-sungguh menyempurnakan tugasan hamba, membersihkan diri hamba dengan sebersih-bersihnya untuk bertemu dengan-Mu ya Allah, Kekasih-Mu Muhammad Al-Mustofa, para sahabat Kekasih-Mu, dan seluruh hamba-Mu yang soleh belaka,

Terima kasih ya Allah, kerana Kau mendidik hamba menyedari akan hebat dan tiada tandingan-Nya nilai setiap detik hayat di atas muka bumi ini.

Dengan izin-Mu Tuhan, hamba akan berikhtiar sepenuh daya yang ada, menyempurnakan amanah hamba sebagai hamba kepada-Mu.

-

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki pernah mengingatkan bagaimana bersedianya Junjungan Tercinta kita, Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam yang menyatakan kepada malaikat Izrail yang datang untuk mengambil nyawa Baginda, hampir begini:

"Ambillah nyawaku kerana tiada satu ayat Allah pun yang aku sembunyikan."

Sabda tersebut menggambarkan betapa bersedianya Baginda untuk berpisah dari 'alam dunia yang sementara ini, dan Baginda telah melaksanakan tugasnya dengan amat cemerlang sekali.


Hargailah hari-hari yang akan tiba selepas ini, kerana apa yang pasti, tempoh keberadaan kita di dunia ini semakin menjadi singkat.

Semak, apakah dosa kita yang masih belum diselesaikan proses memohon keampunannya.

Selesaikannya.

Insya Allah, akan kita tenang menghadapi saat Pertemuan Agung.


Anda ada komen? Saya amat mengalukannya. Kita amat mencintai budaya muzakarah/perbincangan 'ilmu. Moga makin mantap taqwa kita akan Allah dengan menghidupkan 'ilmu.

Selasa, 15 Jun 2010

Orang Ikhlas Beramal Sudah Menyerahkan Sebahagian Urusannya Kepada Allah


Gambar sekadar hiasan.

Orang yang mengenal ALLAH dengan ma'rifah yang lebih tajam, akan merasai diri mereka seolah-olah lemas berada dalam lautan rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada bertepian (secara metaforanya).



Amat bertuah kepada mereka yang ikhlas niatnya dalam setiap tindakan.


Insya-Allah, mereka tergolong dalam kalangan manusia yang sentiasa berbuat kebaikan (al-mushinun). Allah menyatakan, Dia sentiasa bersama dan membantu para hamba-Nya yang ikhlas dan al-muhsinun.


Memulakan setiap tindakan dengan merujuk kepada Allah (memohon bantuan dan petunjuk-Nya), membawa maksud seseorang itu sudah pun menyerahkan sebahagian daripada urusannya untuk dilaksanakan, disempurnakan oleh Allah subhanahu wa ta'ala.


Lihat sahaja, bagaimana Allah sebutkan dalam Al-Quran mengenai orang yang mempunyai niat untuk berhijrah dengan ikhlas, namun dalam perjalanan hijrah tersebut, dia dijemput dengan ajal, maka sesungguhnya sudah tersedia pahala hijrah itu untuk-Nya.


Merujuk kepada Allah pada awal perbuatan juga membawa maksud mengakui hakikat keesaan Allah, kelemahan diri sebagai hamba-Nya, keberhajatan hamba kepada-Nya yang tiada terhingga, dan pastinya ini akan memberikan suntikan motivasi dan kekuatan ruh yang amat istimewa dan luar biasa.


Insafi kehebatan munajat Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam kepada Allah, bagi persediaan peperangan Badar, sehingga dimaklumkan oleh para 'ulama, berjatuhan selendang Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam.

Isnin, 14 Jun 2010

Hizbul Bahar - Al-Imam Asy-Syazili rohimahullahu ta'ala



Video di atas mengandungi bacaan Hizbul Bahar. (*Utamakan mendengar bacaan hizib daripada label tariqah dan gambar yang dipaparkan).

Hizbul Bahar merupakan hizib susunan Al-Imam Asy-Syazili rohimahullahu ta'ala yang diajarkan Baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam kepada beliau semasa dalam mimpinya.

Hizbul Bahar merupakan 'amalan zikir, wirid, doa yang insya Allah amat besar manfaat bagi orang-orang beriman, menjadi makanan ruhani.

Setiap susunan zikir dan doa dalam Hizbul Bahar ini amat mententeramkan hati, jika dipelajari ma'na dan huraiannya.

Ada tempat yang menjadikan bacaan Hizbul Bahar ini sebagai bacaan harian.

Al-Faqir pernah menghadiri kuliah talaqqi Hikam Ibnu 'Atoillah bersama Syaikhina Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah, dan sebelum kuliah dimulakan, semua hadirin hadirat bersama-sama membacakan Hizbul Bahar.

Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam juga ada menyampaikan kuliah khusus menerangkan Hizbul Bahar.

Alhamdulillah dan insya Allah, sahabat-sahabat dan muslimin muslimat semua boleh memohon ijazah untuk mengamalkannya secara 'am daripada para 'alim 'ulama kita, antaranya daripada Syaikhina Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dan Syaikini Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahumallah.

Moga al-Faqir dan kita semua beroleh kekuatan mengamalkan Hizbul Bahar ini dengan ikhlas dan istiqamah.

Ahad, 13 Jun 2010

Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin : Tausiyah Majlis Haul Imam Haddad


Video di atas adalah mengenai Tausiyah yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki.

Catatan al-Faqir mengenai video di atas:

- Kita bersyukur kepada ALLAH subhanahu wa ta'ala kerana dihidangkan dengan hidangan 'ilmu dan ma'rifah.

- Seseorang wali Allah, kekasih Allah itu, dia mendapat perhatian, kasih sayang Allah terlebih dahulu sebelum dia dapat mengasihi Allah.

- Sebaik-baik orang yang beradab ialah orang yang mengikuti perjalanan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Adab paling pertama adalah terhadap Allah, kedua terhadap Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam, ketiga terhadap para 'ulama yang ber'amal dengan 'ilmunya, dan keempat terhadap para wali Allah.

-Berkata Al-Imam Abdullah Al-Haddad, hampir begini:

"Pertama-tama sekali untuk orang yang suluk kepada Allah (berjalan kepada Allah) adalah beradab dengan Allah, beradab terhadap sifat Allah sebagaimana yang disifatkan-Nya, dan kemudian dengan sifat sebagaimana yang disifatkan Baginda Shollallahu a'laihi wa sallam.

Kesucian dan keagungan Allah tiada tandingan-Nya baik di langit mahupun di bumi. Hendaklah kalian mensucikan Allah, Pencipta alam ini, Pentadbir alam ini. Hendaklah kalian membersihkan Allah."

-Dalam 'ibadah solat kita, mengikut sunnah Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam, ketika bertasbih, kemudian bertahmid dan bertakbir kepada Allah. Ketika mendahului mensucikan Allah, kemudian baru memuji dan membesarkan-Nya.

-Sahabat bertanya kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mengenai makna subhanallah. Baginda menjawab subhanallah ialah "tanzihullah min kulli suu" (mensucikan, membersihkan, dan membebaskan Allah daripada segala perkara yang buruk).

-Antara perkara yang buruk bagi Allah ialah sifat manusia. Allah menyatakan bahawa manusia diciptakan dalam keadaan lemah.

-Antara perkara yang buruk bagi Allah adalah dengan kita menyatakan Allah duduk di atas kursi, bersandar padanya, menunjukkan Allah berhajat sebagaimana berhajatnya manusia.

-'Aqidah Al-Imam Abdullah Al-Haddad adalah membersihkan Allah daripada penyerupaan dengan sebarang makhluk sama ada di langit mahupun di bumi.



Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Sabtu, 12 Jun 2010

Syeikh Muhammad Fuad : Pengajian Syama-il Muhammadiyah (2)

Sambungan rakaman kuliah sebelum ini. Insya Allah, saya catatkan juga apa yang disampaikan Syeikh Muhammad Fuad pada bahagian bawah ini.




- Bahu Baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam adalah bidang, menunjukkan keperkasaan Baginda.

-Ketika berjalan, Baginda berjalan dengan tegap, seolah-olah berjalan daripada tanah yang tinggi ke tanah yang landai.

-Apabila Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam berpaling, Baginda berpaling seluruh badannya. Ini ialah tanda tawadhu' Baginda, keprihatinan Baginda kepada orang yang berurusan dengan Baginda, orang yang menghadap Baginda, orang yang berbual dengan Baginda. Baginda menghadap dengan keseluruhan badan Baginda terhadap orang tersebut, bukan dengan hanya memalingkan muka sahaja, bukan dengan hanya dengan lirikan mata sahaja.

Tindakan hanya memalingkan muka, hanya dengan lirikan mata ketika bercakap dengan orang lain adalah tanda kesombongan seseorang. Orang yang sombong, ketika bercakap, ada kalanya muka orang yang bercakap dengannya tidak dipandang (muka orang yang sombong itu mengadap tempat lain), dan mata orang yang bercakap dengannya pun tidak dipandang.

Insya Allah, tindakan menghadap orang yang sedang bercakap dengan kita dengan sepenuh badan, akan menyebabkan orang tersebut berasa dirinya dihargai, biarpun kata-kata kita tidaklah sehebat manapun.

Inilah apa yang diamalkan oleh para masyaikh, tuan guru yang berakhlak mulia kepada para anak murid mereka.

Insya Allah, tindakan tersebut (berhadapan dengan orang lain dengan seluruh badan) ialah tindakan yang sangat mulia dan terpuji. Inilah akhlak yang perlu ada kepada orang yang memimpin masyarakat. Paling dekat situasi ini dapat dipraktikkan antaranya adalah ketika bersama dengan isteri, ahli keluarga.

Bahasa badan (body language) adakalanya lebih berkesan daripada bahasa yang dituturkan lidah.

Tindak tanduk secara luaran seseorang menunjukkan apa yang terkandung dalam dirinya (secara rohaniah, batiniah). Perkara tersebut, ya'ni keadaan dalaman seseorang tidak dapat disembunyikan, dan pastinya akan terjelma dalam tindakan. Sifat takabbur seseorang akan terjelma pada cara pergaulannya.

Ulama menyebut, hampir begini: "Sesuatu yang dilafazkan oleh seseorang (kalamnya) pada hakikatnya berpunca daripada hati orang tersebut. Apa yang dilafazkan orang tersebut menjadi bukti apa yang berada dalam hatinya."

Kekuatan kalam (kepetahan berbicara) menjadi daya tarikan kepada manusia lain. Sejarah tamadun manusia mencatatkan, banyak yang orang yang mempunyai pengikut yang ramai, mereka mempunyai kelancaran kata-kata, kepetahan bicara yang memukau para pengikutnya.

Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam ialah orang yang mempunyai kepetahan berbicara yang terbaik.

Selain lisan al-qaul (apa yang disebut dengan lidah), ada lisan al-hal (apa yang ditunjukkan tindak-tanduk seseorang). Lisan al-hal inilah yang jauh lebih sukar untuk dibuat. Lisan al-hal yang sebenarnya boleh berkata-kata, yang boleh menarik orang kepada da'wah.

'Ulama menyebut, kejayaan da'wah Baginda adalah disokong dengan keindahan lisan al-hal Baginda. Pelbagai manusia, termasuk puak kafir tertarik dengan keindahan akhlak, kekuatan lisan al-hal Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam.

Khutbah Baginda tidaklah begitu panjang. Disebutkan oleh 'ulama dalam bidang sejarah, Baginda memendekkan khutbah Juma'at dan memanjangkan solat Juma'at.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Jumaat, 11 Jun 2010

Syeikh Muhammad Fuad : Pengajian Syama-il Muhammadiyah

Kitab Syama-il Muhammadiyah ialah kitab yang memperincikan keperibadian Baginda Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam. Amat berguna dan perlu dipelajari oleh mereka yang bercita-cita untuk lebih dekat mengenali Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam, mengamalkan sunnahnya dan kelak ditempatkan bersama Baginda di syurga Allah nanti.






Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Khamis, 10 Jun 2010

Buta Hati Lebih Berbahaya

Gambar hiasan.

Ya Allah, malunya kami dengan dosa yang telah dilakukan. Namun lautan kasih sayang-Mu yang tiada bertepian sepatutnya menjadikan kami sentiasa tidak berputus mencari ampunan-Mu.



Sebuah lagu nasyid dendangan Hijjaz, berjudul "Antara Mata dan Hati" saya dapati memang menusuk hati susunan katanya, menyedarkan hakikat diri dan membantu menajamkan ma'rifah. Insya Allah moga bermanfaat.



Hijjaz

Antara Mata Dan Hati

Bila melihat malam yang indah ini
Tidak terasa kebesaran Allah
Bila mendapat musibah lupa dirinya hamba
Nikmat yang datang tiada rasa darinya

Sepatutnya rasa malu kepadaNya
Kerana anugerah kepada kita
Membuat dosa rasa kekesalannya

Buta hati lebih merbahaya
Buta mata tidak nampak dunia
Buta hati tidak nampak kebenaran
Buta hati di tipu nafsu dan syaitan

Bahkan dilupakan saja
Semua orang rasa bangga dengan dosa

Bila menyebut neraka
Tidak terasa akan gerunnya
Bila menyebut syurga
Tidak terasa akan nikmatnya

Itu menunjukkan
Jiwa kita mati atau buta

Sumbangan Putera Izfiq & Maulana Nik


Sumber lirik.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Rabu, 9 Jun 2010

Hadits Berkaitan Larangan Bersifat Sombong


Gambar hiasan.

Ada insan yang telah kembali menemui Allah suhanahu wa ta'ala dalam keadaan sujud kepada-Nya di dalam masjid yang mulia. Bagaimanakah pula dengan kita? Moga Allah subhanahu wa ta'ala berikan pimpinan dan kekuatan kepada kita untuk senantiasa bersiap sedia dengan kepastian maut, diperhebatkan kehambaan kita, serta dijauhi bahaya sifat sombong.



Ada satu hadits Nabi kita yang tercinta, Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam, berkaitan larangan bersifat sombong, yang terjemahannya adalah seperti berikut:


Abdullah bin Mas'ud melaporkan, Nabi Muhammad pernah bersabda:

"Sesiapa yang dalam hatinya ada perasaan sombong, walaupun cuma seberat debu, dia tidak dapat masuk syurga."

Kemudian ada orang berkata:

"Ada orang yang suka apabila pakaiannya cantik dan kasutnya juga cantik."

Nabi Muhammad menjawab:

"Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan. Kesombongan itu adalah perbuatan menolak apa yang benar dan merendah-rendahkan orang lain."


Hadits Riwayat Imam Muslim rohimahullah ta'ala.



Hadits pilihan daripada kitab Riyadhus Solihin Imam An-Nawawi rohimahullah ta'ala, terjemahan ke dalam bahasa Melayu terbitan PTS.

Ya Allah selamatkan kami, ibu bapa kami dan seluruh umat Islam daripada bahaya sifat sombong.




Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Selasa, 8 Jun 2010

Hanya Allah Mengetahui Segalanya - Tafsir Surah Al-An'am: 59


Al-Quran merupakan Kalamullah yang suci dan mempunyai nilai bahasa yang sangat tinggi. Oleh sebab yang demikian, maka ayat-ayat al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya ditafsir dan difahami oleh orang-orang awam (yang tiada kekuatan bahasa Arab dan 'ilmu asas tafsir). Apa yang terbaik dan selamat bagi orang awam adalah untuk belajar dengan para ahlinya ('ulama yang berkelayakan dalam bidang tafsir Al-Quran).



*Artikel di bawah ini dipetik daripada Laman Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.




Firman Allah bermaksud,

"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja."

(Surah Al-An'am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud,

"Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

"Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud,

"Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Penegtahuannya." (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.


Pertama ialah tentang bilakah berlakunya hari kiamat. Bukan sahaja Nabi s.a.w. dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah. Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat." (Surah Luqman: 34)."


Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Dan Dia Mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-An'am: 59)

Yakni Maha Luas ilmu-Nya meliputi segala makhluk-Nya sama ada yang ada di darat dan di laut. Tidak ada apa pun yang boleh menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya walaupun sebesar zarah sekalipun sama ada ia berada di bumi atau di langit.

Seorang penyair menyebut: "Tidak tersembunyi dari-Nya meskipun sebesar zarah sama ada dapat dilihat oleh yang mempunyai penglihatan atau sebaliknya."


Firman Allah yang bermaksud, "Dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya." (Surah al-An'am: 59)

Ertinya, Dia mengetahui gugurnya daun dari pokok termasuk jumlah, masa dan seumpamanya. Bahkan Dia juga mengetahui pergerakan makhluk lain termasuk jin dan manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Allah Mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa tersembunyi di dalam hati." (Surah al-Mukmin: 19)

Dalam menjelaskan ayat 39, Surah al-An'am ini Ibnu Abbas katanya, "Tidak tumbuh sebatang pokok pun sama ada di daratan atau di lautan melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya. Malaikat itu mencatat apa yang gugur daripadanya."




Assalaa mu'alaikum w.b.t.,

Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Ahad, 6 Jun 2010

Yusuf Islam : The Beloved (Rasulullah s.a.w.)


Sumber gambar.




Assalaa mu'alaikum w.b.t.,

Sekali lagi, dalam pertemuan ini, kita akan cuba menghayati dan menyelami keindahan lagu yang tunjangnya untuk menambahkan kecintaan akan Baginda Nabi kita Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam.

Bayangkan, bagaimana besarnya peluang da'wah Akh Yusuf Islam, sebagaimana pada awal persembahan seperti dalam video di atas, dia sememangnya menyebut mesej daripada hadits Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam berkaitan iman, kaedah untuk menambahkan kasih sayang sesama mukmin ya'ni menyebarkan salam. Apa yang pasti, hadirin hadirat persembahan beliau pula merangkumi pelbagai manusia sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Jom kita hayati mesej daripada liriknya juga: Sumber




His wisdom flowed from heaven's book
Just like threaded pearls,
Just like threaded pearls

He left his self to flee to God
And God sent him back to us

He was born to be the beloved
A will of the Divine
He was born to be the beloved,
He was born to guide

He prayed all his nights alone
And stars and angels sighed
And in the day he lead the way
With blazing words so bright

He was born to be the beloved
A will of the Divine
He was born to be the beloved,
He was born to be kind

He taught the people to worship
Bowing to one God,
Bowing to one God

His mercy stretched from East to West
To every man, woman and child

He was born to be the beloved-
A will of the Divine
He was born to be the beloved,
Nature Sublime

He opened up the doors of love
For every heart parched with thirst
He was a mercy to the words
And unto the human births

He was born to be the beloved
A will of the Divine
He was born to be the beloved,
He was born to guide




Insya Allah, moga kita bertambah kecintaan akan Baginda shollalahu 'alaihi wa sallam, menambahkan kesungguhan untuk beriman dan beramal sebagai umat Baginda yang terbaik. Moga Allah memelihara dan memberikan sebaik-baik balasan kepada Akh Yusuf Islam dan seluruh krew penerbitannya. Amiin.



Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Sabtu, 5 Jun 2010

Kedudukan Tasawwuf dalam Islam

*Artikel ini dipetik daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.


Utusan Malaysia, 25 Mei 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PADA minggu ini marilah kita memahami di mana letak duduknya tasauf dalam kerangka agama kita. Setiap Muslim perlu benar-benar memahami bahawa agama Islam itu terdiri daripada tiga rukun iaitu Islam, iman dan ihsan.

Setiap rukun saling perlu memerlukan dalam mencapai kesempurnaan al-Din (agama) seseorang manusia. Tidak lengkap agama seseorang tanpa ketiga-tiga rukun tersebut.

Gambar Hiasan : Tidak lengkap agama seseorang tanpa rukun Islam, iman dan ihsan.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
------------


Pembahagian agama ini telah disebut di dalam hadis Jibril a.s yang masyhur dan panjang itu. Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa dialog antara baginda SAW dan Jibril a.s adalah untuk mengajar tentang al-Din agama itu sendiri.

Dalam hadis tersebut, rukun ihsan telah dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai: Ihsan itu adalah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu. (riwayat Muslim dan Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Hadis ini menjelaskan tentang rukun-rukun dalam agama. Sangat wajarlah jika hadis ini yang sering ditekankan di tengah masyarakat agar mereka memperoleh tasawur (world view) yang lebih lengkap tentang agama.

Sebaliknya, terlalu menekankan hadis tentang bidaah akan memberi kesan yang berbeza.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (691 H - 751 H) mensyarahkan perkataan al-Harawi di atas dengan katanya: "Asal tarekat adalah untuk menyempurnakan makrifat, melazimkan muraqabah kepada Allah dalam setiap gerak geri, hembusan nafas dan langkah sehingga hati dikuasai oleh kebenaran dan terputus darinya segala hubungan keduniaan".

Daripada sini, dapat difahami bahawa rukun ihsan itu terbahagi kepada dua tahap iaitu muraqabah dan musyahadah.

Di dalam hadis di atas, musyahadah (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya), disebut sebelum muraqabah (sekiranya kamu tidak melihat-Nya, maka Allah memandang kamu).

Ini menunjukkan ketinggian dan kemuliaan musyahadah melebihi muraqabah.

Dalam suluk atau perjalanan kerohanian tasauf dan peningkatan tahapnya atau dikenali juga sebagai makam, biasanya dimulai dengan muraqabah. Dengan berterusan atas muraqabah, seseorang itu akan diwariskan pula dengan musyahadah.

Keselarian sifat dua makam utama dalam ilmu tasauf ini dengan rukun ihsan jelas menunjukkan bahawa tasauf menempati kedudukan yang sangat asasi dalam agama kita.

Tasauf sebagai hakikat agama

Tasauf sebagai rukun ihsan juga turut diistilahkan oleh para ulama bahawa ialah adalah hakikat agama. Cuma harus diingat, penggunaan istilah hakikat di sini adalah dalam konteks yang khusus dan bukannya dengan erti sesuatu yang berlawanan dengan dakwaan atau gambaran.

Tasauf sebagai hakikat agama difahami sebagai salah satu dimensi dan rukun yang tidak terpisah dengan syariat. Hakikat dan syariat bukannya saling bercanggah sebaliknya berjalan seiringan dan saling memerlukan.

Dalam hal ini, telah masyhur kata-kata Imam Malik r.a:

"Sesiapa yang belajar tasauf tetapi tidak mempelajari ilmu fikah (dan tauhid), maka ia adalah zindiq. Sesiapa yang belajar ilmu fikah (dan tauhid) tetapi tidak belajar tasauf maka ia adalah fasik, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya maka ia adalah ahli hakikat".

Golongan yang pertama dikira zindiq kerana hanya memandang kepada hakikat tanpa disertai dengan syariat.

Golongan yang kedua dianggap fasik kerana tidak masuk ke dalam hatinya cahaya ketakwaan, rahsia keikhlasan, peringatan muraqabah dan jalan muhasabah sehingga dia tidak mengenal pasti maksiat yang dilakukan.

Golongan yang ketiga menjadi ahli hakikat kerana dia mengumpulkan kesemua rukun agama; iaitu iman, Islam dan ihsan sebagaimana yang dihimpunkan di dalam hadis Jibril di atas. (Al-Muhaddith Abdullah al-Ghumari, Al-I'lam Bianna al-Tasauf min Syariah al-Islam, H: 25)

Melihat tasauf sebagai hakikat agama juga disandarkan oleh para ulama kepada hadis Muaz ibn Jabal r.a yang telah dikeluarkan Abu Nu'aim r.a di dalam Hilyah al Auliya' daripada Anas ibn Malik r.a, bahawa Muaz ibn Jabal bertemu Rasulullah SAW, maka nabi SAW bersabda: "Bagaimanakah keadaan kamu pada pagi ini, wahai Muaz?"

Jawab Muaz r.a, "Aku pada pagi ini benar-benar beriman kepada Allah SWT".

Sabda Rasulullah SAW,

"Sesungguhnya setiap perkataan ada tanda kebenarannya, setiap kebenaran ada hakikatnya, maka apakah tanda kebenaran yang kamu katakan?"

Jawabnya,

"Wahai Nabi Allah! Tidaklah aku berpagi-pagi pada setiap pagi, melainkan aku menyangka bahawa usiaku tidak sampai ke petang, dan tidaklah aku berpetang-petang melainkan aku menyangka bahawa umurku tidak akan sampai ke Subuh. Tidaklah aku melangkah dengan satu langkah melainkan aku menyangka bahawa aku tidak akan berkesempatan melangkah seterusnya dan aku seolah-olah sedang melihat sekalian umat yang sedang duduk diseru melihat kitabnya (buku catatan amalan masing-masing untuk dihisab) bersamanya ada nabinya dan berhala-berhala yang telah mereka sembah selain Allah, dan seolah-olah aku sedang melihat kepada balasan azab ahli neraka dan balasan pahala ahli syurga".


Sabda Baginda SAW,

"Engkau telah mengetahuinya, maka teruskanlah (apa yang telah diamalkan oleh Muaz r.a tersebut sehingga dikurniakan nikmat yang disebutkan di atas)".

Kita mencadangkan di sini bahawa kunci kepada memahami tasauf adalah dengan mendekatinya sebagai ilmu yang menghuraikan rukun ihsan dan hakikat agama kita.

Dengan izin-Nya, kita akan mengembangkan perbincangan tentang perkara ini dengan turut mengaitkannya dengan satu lagi istilah yang sangat rapat dengan tasauf dan sering menjadi punca kekeliruan iaitu tarekat.





Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Jumaat, 4 Jun 2010

Sejarah Perkembangan Tasawwuf

*Artikel ini diambil daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.


Utusan Malaysia, 18 Mei 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

MINGGU lepas kita telah meninjau takrif dan makna istilah-istilah utama dalam cabang ilmu tasauf. Ia memberi gambaran betapa tasauf adalah satu disiplin ilmu yang tersendiri, tersusun dan ilmiah sifatnya.

Di kalangan ulama terdapat perselisihan mengenai bila ilmu ini bermula. Ada yang berpandangan ia telah wujud sebelum Nabi SAW dibangkitkan. (Abu Nasr al Siraj, al-Luma' h.42, Ibnu al-Jawzi, Talbis al-Iblis, h.173)


Pengajian tasauf bertujuan lebih mendekatkan kita kepada Allah. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------

Ibnu Khaldun dan beberapa ulama lain pula berpendapat bahawa tasauf mula tumbuh pada kurun ke-2 Hijrah ketika manusia mula menumpukan perhatian kepada dunia.

Maka golongan sufi berusaha mengajak mereka ke arah zuhud dan beribadat. (Muqaddimah, h. 517)

Dapat diperhatikan bahawa perbincangan tentang tasauf banyak dinaqalkan daripada tokoh-tokohnya yang awal seperti al-Hasan al-Basri r.a (w. 110 H) dan Sufyan al-Thauri r.a (w. 161 H).

Pada permulaannya, tasauf berkisar tentang sifat zuhud kepada dunia, mengosongkan diri untuk beribadat, bermujahadah melawan hawa nafsu dan mentaati perintah Allah sehingga menatijahkan akhlak yang mulia.

Tasauf di zaman nabi SAW

Jika inilah inti dan pokok ajaran tasauf maka pada hakikatnya, tasauf sudahpun wujud dan terjelma pada zaman nabi SAW lagi iaitu melalui acuan akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW.

Amat jelas perjalanan awal baginda SAW menuju kepada Allah adalah berasaskan acuan tasauf iaitu tafakur, 'uzlah (khalwat), riadah (latihan) dan mujahadah. Elemen ini dicernakan melalui perkataan dan perbuatan baginda SAW, sehingga roh baginda SAW berjaya melalui proses penjernihan dan penyucian sebagai persiapan untuk menerima wahyu.

Kita maklum bahawa nabi SAW pernah beruzlah mengasingkan diri di Gua Hira' sebelum diturunkan wahyu. Sesudah diangkat sebagai rasul, baginda SAW menjalani kehidupan yang sarat dengan keimanan, ilmu, ibadah, zuhud, warak dan mujahadah.

Para sahabat pula berjalan di atas risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan tekun dan penuh dedikasi. Mereka tidak menghafaz satu ayat daripada ayat-ayat al-Quran, melainkan selepas beramal dan melaksanakannya. Mereka hidup dalam keadaan zuhud dan warak semasa hayat dan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Selain kehidupan amali nabi SAW dan para sahabat kita juga boleh menemukan bukti hadirnya tasauf dalam ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang bercitra tasauf. Sekalipun istilah tasauf belum lagi dipopularkan pada zaman tersebut.

Era pengasasan dan perkembangan

Kemudiannya, tumpuan terhadap agama mula berkurangan bermula pada akhir kurun pertama Hijrah (zaman sahabat) dan ia berterusan tahun demi tahun hingga para salafussoleh bimbang akan berlaku musibah.

Untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, para ulamalah yang menjadi wakil untuk berusaha menjaga dan memelihara agama. Maka sekumpulan mereka bangun untuk menjaga kedudukan Islam dan menulis permasalahan hukum-hakam agama dan kaedah-kaedahnya (fiqh).

Bagi kumpulan ulama yang lain, bangun untuk menjaga kedudukan iman, menulis usul agama dan kaedah-kaedahnya (tauhid) sebagaimana yang terdapat di sisi salafussoleh mereka. Sementara kumpulan ulama yang lain, bangun menjaga kedudukan ihsan dan menulis amalan-amalannya dan keadaannya (tasauf).

Kumpulan yang pertama (fiqh) ialah imam-imam yang empat (Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad) dan pengikut-pengikut mereka. Kumpulan yang kedua (tauhid) ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya dan golongan yang ketiga (tasauf) ialah Imam al-Junaid r.a, sheikh-sheikh dan sahabat-sahabatnya.

Berdasarkan pemerhatian ini, para imam ini bukanlah pengasas ilmu-ilmu dalam erti kata sebenar. Imam al-Junaid r.a (w. 297H) bukanlah pengasas tasauf dan tarekat kerana tasauf merupakan sebahagian daripada warisan Rasulullah SAW yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT.

Tasauf sering dinisbahkan kepadanya, kerana beliaulah tokoh yang mengambil inisiatif awal memperkatakan kaedah tasauf dan usulnya serta menyeru manusia beramal dengannya.

Ada juga yang mempersoalkan kenapa ilmu tasauf tidak tersebar pada kurun yang pertama Islam dan ia tidak muncul melainkan selepas zaman sahabat dan tabien?

Pada kurun yang pertama, mereka tidak berhajat kepada ilmu tasauf kerana penduduk pada zaman tersebut terdiri daripada orang yang warak, bertakwa dan kuat bermujahadah.

Oleh yang demikian, ketika itu belum timbul keperluan diadakan pengajaran tentang sesuatu ilmu secara terperinci. Keadaan mereka samalah dengan orang Arab tulen; mereka mengetahui Bahasa Arab melalui warisan daripada satu generasi ke satu generasi sehingga mereka boleh menggubah bait syair yang indah dan tinggi mutu bahasanya berdasarkan fitrah mereka tanpa ada pengetahuan sedikitpun mengenai kaedah-kaedah Bahasa Arab, i'rab dan sebagainya. Mereka tidak perlu mempelajari ilmu nahu dan balaghah.

Namun, setelah meluasnya pelbagai lahjah dan berlakunya kelemahan untuk mengungkapkan bahasa, pembelajaran Bahasa Arab dan kaedah-kaedahnya menjadi penting untuk memberi kefahaman kepada orang asing.

Ketika itu, ilmu ini menjadi penting dalam masyarakat sebagaimana ilmu-ilmu lain yang tumbuh dan disusun mengikut urutan masa dan waktu yang munasabah.

Sahabat dan tabien, sekali pun tidak dinamakan dengan mutasawwifin, mereka adalah ahli sufi sebenar yang menerapkan nilai-nilai kesufian di dalam kehidupan mereka.

Apakah yang dikehendaki oleh tasauf selain menjuruskan kehidupan semata-mata kerana Allah dan bukannya kerana diri sendiri, sambil menghiasi diri dengan sifat zuhud dan bermulazamah (diiringi) dengan ibadah, serta menghadapkan jiwa dan roh sepenuhnya kepada Allah setiap masa.

Sifat-sifat kesempurnaan inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan tabien sehingga melayakkan rohani mereka meningkat kepada darjat yang lebih tinggi.

Mereka tidak sekadar mengikrarkan keimanan dan melaksanakan kefarduan Islam, tetapi menyertakan pengakuan dengan zauq dan wujdan (menyelami amal dengan merasai nikmat kelazatan beramal).

Malah, mereka juga menambah amalan-amalan sehingga basirah (mata hati) mereka disuluh cahaya, dan hati-hati mereka terpancar hikmah dan limpahan cahaya ketuhanan.

Keadaan mereka diikuti pula oleh golongan tabien dan tabi' tabien. Juga penting diperhatikan, tokoh-tokoh ulama yang menyusun ilmu tasauf ini seperti al-Hasan al-Basri (w.110H), Sariy al-Saqati (w.253H), Abu Yazid al-Bustami (w.261H), Sahl al-Tustari (w.283H) dan al-Junaid (w.297H), masih tergolong daripada generasi tiga kurun terawal Islam yang mendapat pengiktirafan nabi SAW sebagai kurun-kurun terbaik Islam.

Kesimpulannya, kandungan dan konsep ilmu tasauf telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Cuma istilah-istilah ini belum lagi digunakan dalam amalan mereka.

Pada zaman tersebut, tasauf merupakan sifat umum yang terdapat pada hampir seluruh sahabat r.a tanpa terkecuali.

Kekuatan cahaya nubuwwah dan hidayah kerasulan yang ada pada masa itu, menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada satu bentuk yang khusus, berkenaan cara-cara menjalani perjalanan menuju kepada Allah.

Namun konsep tasauf telah pun ada dan dihayati oleh nabi SAW dan para sahabat baginda kerana perjalanan dan konsep tasauf dan tarekat itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam.






Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...