Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Khamis, 30 September 2010

Tidur Pun Jadi Ibadah

Bedroom


Teringat pesanan Syaikhuna Ahmad Fahmi Zamzam al-Maliki hafizhohullah berkenaan tidur.

Orang yang bijak akan sentiasa menjadikan gerak-geri dan diam mereka kesemuanya sebagai ibadah, supaya tidak sia-sia masa yang dipinjamkan Allah ketika di dunia ini.

Seandainya kita diberi umur sebanyak 60 tahun dan dengan purata kita tidur 6 jam sehari, maka 25% daripada umur tersebut adalah sebanyak 15 tahun dan sudah terguna untuk tidur. Sia-sialah mereka yang tidur kosong.

Bagaimana nak jadikan tidur kita sebagai ibadah, supaya tidak terbuang 15 tahun itu?

  • Secara umumnya, ikuti adab dan sunnah tidur yang diajarkan Islam.
  • Boleh membaca Surah Al-Mulk sebelum tidur.
  • Niat tidur untuk beroleh kerehatan, kesegaran badan untuk beribadah pada hari seterusnya.
  • Berniat untuk bangun menunaikan solat tahajjud/solat malam.

Mudah-mudahan Allah berikan kepada kita kemudahan dan keikhlasan untuk mengamalkan perkongsian ini.




Kredit gambar: Luigi Diamanti at freedigitalphotos.net

Isnin, 27 September 2010

Ibadah Rasulullah s.a.w. yang Wajar Diteladani

Masjid Nabawi, Madinah



Daripada Ziyad bahawasanya dia berkata: aku mendengar Al-Mughirah r.a. berkata:

“Ketika Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk mendirikan solat (malam) hingga nampak bengkak pada kaki atau betis, lalu Baginda s.a.w. diminta keterangan mengenainya.

Maka Baginda shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:

“Adakah tidak sepatutnya aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam sudah pun dijamin kedudukannya di dalam syurga. Namun begitu, Baginda tetap kuat beribadat. Baginda ialah Kekasih Allah yang masih lagi merendah diri.

Ibadah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam ialah sebuah ungkapan kesyukuran, sedangkan kebanyakan manusia beribadah dengan tujuan untuk mendapatkan balasan kebaikan.

Ibadah yang dibuat kerana apa yang telah diberikan adalah tidak sama dengan ibadah yang dilaksanakan kerana apa yang akan diberikan.

Oleh sebab Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam hanya menginginkan Allah Ta’ala, maka dirinya tidak disibukkan oleh selain Allah Ta’ala.

Inilah yang dikatakan kekayaan dan kerehatan jiwa.

Ungkapan kerehatan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam kehambaan dizahirkan apabila Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

بِهَا أَرِحْنَا الصَّلَاةَ أَقِمْ ,بِلَالُ يَا

Terjemahannya:

“Wahai Bilal, dirikanlah solat, rehatkan kami dengannya.”

Isnin, 20 September 2010

Mengorbankan Diri Demi Mencari Keredhaan Allah







Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.

Surah Al-Baqarah, 2: 207

Jasa dan pengorbanan para sahabat Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam ridhwanullah ‘alaihim dalam usaha memperluas dan memperkuat risalah Islam sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Ketinggian keperibadian, kekentalan iman dan kesungguhan dalam jihad mereka yang dibentuk oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri sentiasa wajar untuk dijadikan pengajaran dan pedoman berguna kepada generasi Islam pada segenap zaman.

Dalam kitab suci Al-Quran, pengorbanan mereka diabadikan oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Sebagai contoh, ayat yang dikemukakan di atas merupakan ayat yang diturunkan selepas berlakunya peristiwa pengorbanan salah seorang sahabat Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam yang bernama Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu.

Perkara ini tercatat dalam satu hadits sahih yang mulia dan diriwayatkan oleh Hakim. Dalam hadits tersebut, Ikrimah rodhiyallahu ‘anhu berkata:

“Suatu hari, Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu berhijrah ke Madinah mengikuti Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Dalam perjalanan, Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu dikejar orang-orang kafir Quraisy. Beliau turun dari tunggangannya, bersiap dengan anak panah di tangan dan berkata,

‘Wahai musyrik Quraisy, demi Allah, kalian tentu mengetahui jika aku seorang pemanah ulung. Kalian tidak akan mampu menyerangku. Sekarang kalian pilih salah satu: kalian semua mati terbunuh atau kalian mendapat seluruh hartaku di Makkah dengan syarat kalian tidak mengganggu hijrahku ke Madinah.’

Orang-orang kafir Quraisy memilih harta Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu dan membiarkannya berhijrah ke Madinah. Setibanya di Madinah, Shuhaib rodhiyallahu ‘anhu menceritakan peristiwa yang menimpanya kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam. Mendengar peristiwa tersebut, Rasul shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Engkau telah beruntung, wahai Abu Yahya.' Lalu, turunlah ayat ini.”

Begitulah salah satu contoh pengorbanan para sahabat Baginda Nabi kita shollallahu ‘alaihi wa sallam.

Selain itu, kita juga sedia maklum dengan pengorbanan sahabat paling rapat dengan Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam, ya’ni Saidina Abu Bakar rodhiyallahu ‘anhu yang menyumbangkan keseluruhan hartanya pada jalan Allah demi kepentingan agama Islam yang tercinta dan mulia ini.

Atas dasar kekuatan iman yang tiada tandingannya dengan iman umat Islam pada akhir zaman ini, ketika ditanya kepada beliau tentang apakah yang akan ditinggalkan kepada isteri dan anak-anaknya setelah diserahkan keseluruhan hartanya untuk perjuangan Islam, beliau menyatakan bahawa Allah dan Rasul-Nya menjadi apa yang ditinggalkannya kepada mereka.

Aspek pengorbanan dalam bentuk sekalipun menjadi satu kewajipan yang tidak dapat dielakkan bagi sesiapa sahaja yang mencintai perjuangan Islam dan menginginkan kehidupan akhirat yang kekal.

Dari kaca mata orang-orang yang beriman, segala pengorbanan mereka itulah yang menjadi aset tidak ternilai mereka untuk dibawa dan ditunaikan segala pembalasan pahala dan kebaikan di akhirat sana nanti.

Mudah-mudahan kita semua akan sentiasa diberi petunjuk, keikhlasan, kekuatan hati dan kelapangan jiwa untuk sentiasa berkorban dengan apa jua tahap kemampuan demi kebaikan agama Islam ini dan melayakkan diri untuk mendapat keredhaan Sang Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Penyantun. Pada masa yang sama, marilah kita bersama-sama sentiasa mengambil pengajaran dan hikmah daripada peristiwa sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat Baginda ridhwanullah ‘alaihim ajma’in kerana mereka adalah sebaik-baik generasi yang dididik oleh Baginda shollallahu ‘alaihi wa sallam sendiri.

Kajian dan bacaan lanjut:

Dr Ahmad Hatta, MA, Tafsir Qur’an Per Kata, Dilengkapi Dengan Asbabun Nuzul dan Terjemah, Maghfirah Pustaka, Indonesia, 2009, muka surat 32.

Susunan al-faqir ila Robbih,
‘Abdullah Munib ilaiHi


(Asbabun Nuzul ayat 207 Surah Al-Baqarah)

Jumaat, 17 September 2010

Mencari Kebenaran Beragama

Gambar sekadar hiasan


Assalamu'alaikum, pada entri kali ini dimuatkan satu penulisan yang berguna bagi kita selaku orang awam dalam urusan agama untuk memahami kerangka asas dalam mencari kebenaran dalam beragama. Fitnah (ujian) pada akhir zaman ini yang antaranya berpunca daripada golongan Syaaz (janggal, pelik, bukan majoriti) yang sangat gemar menimbulkan permasalahan ranting (khilafiyyah) yang telah lama diselesaikan para 'ulama beratus-ratus tahun yang lalu menjadi perhatian kita, dalam usaha mengelakkan pelbagai masalah yang lebih besar, yang menyebabkan terungkainya rangka asas Islam yang telah disusun para 'ulama dan juga masalah berlakunya perpecahan umat Islam lantaran isu-isu yang tidak wajar dibangkitkan.

Artikel asal ini merupakan tulisan Al-Ustaz Dr Haji Yusri Mohamad yang disiarkan dalam laman Utusan Malaysia Online. Saya ada membuat beberapa suntingan (yang sangat kecil) bagi mendapatkan susun atur perkataan (tidak mengubah makna penulisan, perkataan asalnya) yang lebih mudah dibaca dalam konteks blog ini.

Mudah-mudahan Allah Ta'ala memberikan hidayah dan nusroh-Nya kepada kita, dipimpin dalam jalan yang benar sebagaimana yang telah diperjuangkan jumhur (majoriti) 'ulama Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.


Abdullah Munib ilaiHi


******

ARKIB : 28/11/2009 (Laman Utusan Malaysia Online)

Mencari kebenaran beragama

Oleh YUSRI MOHAMAD

DARI neraca agama, hidup ini ialah satu ujian besar daripada Tuhan atas hamba-hamba-Nya. Ujiannya datang dari berbagai-bagai sudut. Salah satu sudutnya ialah tuntutan untuk kita menyesuaikan hidup kita mengikut kehendak agama.

Lebih daripada itu, kita juga dituntut untuk memperjuangkan agama dalam hidup kita. Tetapi turut perlu diinsafi, terutama bagi kita yang hidup pada akhir zaman ini, antara ujian terbesar kita dalam kehidupan beragama adalah untuk mencari dan memilih fahaman dan ikutan yang benar dan murni dalam beragama.

Antara Yang Zahir dan Yang Benar

Ada beberapa faktor yang tambah menyukarkan kita dalam membezakan yang benar dan yang tidak dalam beragama. Masyarakat awam misalnya mudah terpengaruh pada sesuatu yang menonjol, aggresif, lantang dan dilihat yakin. Oleh itu, sering berlaku pihak yang zahirnya lebih berani, lantang, fasih dan mendapat liputan meluas itulah yang lebih didengari dan dianggap betul. Selain daripada faktor itu, aliran yang batil atau keliru dalam agama pula sering turut bercampur dengan kebenaran. Jadi perlulah diingat bahawa kebatilan yang bercampur kebenaran itu lebih berbahaya berbanding dengan kebatilan tulen yang tidak bercampur kebenaran. Samalah seperti bahayanya hidangan menarik yang mengandungi racun berbisa.

Di samping itu, dalam konteks masyarakat Malaysia khususnya, saya dapati, ramai juga yang mudah terkeliru dan tidak dapat membebaskan diri daripada kerangka persaingan politik kepartian dalam menilai isu-isu agama. Sedangkan sering juga isu agama yang timbul ialah pertembungan fahaman dan prinsip yang lebih mendasar dan melangkaui batas politik kepartian.

Petua-petua Utama

Mencari yang benar dan salah dalam hal agama bukannya mudah dan merupakan ibu segala pencarian dalam hidup manusia. Tiada yang akan berjaya tanpa usaha yang disertai rahmat dan hidayah Allah SWT. Dalam mencari kebenaran dalam agama, sangat bertepatan kita merujuk petua masyhur yang diungkapkan dengan fasih oleh Imam Ibnu Sirin dari kalangan Tabiin dalam pesannya,

"Ilmu ini (ilmu-ilmu agama) adalah agama kamu, maka hendaklah seseorang itu benar-benar kenal (memilih) daripada siapa dia mengambil agamanya".

Inilah petua dan prinsip inspirasi al-Quran dan al-Sunnah yang sangat asasi dan menyelamatkan. Menariknya, petua ini kurang ditekankan dalam kalangan mereka yang cenderung membawa fahaman yang Syaaz dikalangan umat ini. Mungkin kerana petua ini tidak menguntungkan mereka. Sebenarnya, jika petua yang satu ini benar-benar dihayati oleh anggota masyarakat, insya-Allah, mereka akan lebih mudah mengenal yang mana intan dan yang mana kaca.

Cabaran mengenal pasti sumber ikutan dan ambilan ilmu agama yang benar disukarkan lagi dengan munculnya, dari awal sejarah Islam, individu dan aliran sesat yang berwajah agama, siap dengan kelayakan zahiriyah dan retorik yang memukau. Contoh yang sangat jelas adalah episod Saidina Ali RA yang ditakdirkan terpaksa menghadapi fitnah kemunculan kelompok Khawarij. Mereka ini yang gagal betul-betul 'mengenali' Saidina Ali RA telah keluar daripada mentaatinya atas niat dan asas keagamaan.

Mungkin mereka pun merasa perlu membawa perubahan dan tajdid terhadap arus perdana Umat ketika itu. Seperti yang masyhur dalam sejarah Islam, kelompok Khawarij ini zahirnya sangat kuat berpegang dengan agama. Sangat kuat ibadahnya dan tinggi semangat agamanya tetapi terpesong daripada fahaman agama yang benar.

Pembunuh Saidina Ali RA, Ibnu Maljam yang muncul daripada kalangan mereka diriwayatkan sedia menghadapi apa sahaja hukuman kecuali dipotong lidahnya kerana mahu lidahnya sentiasa basah dengan zikr. Saidina Ali yang berpengalaman dengan sepak-terajang kelompok sebegini ada berpesan,

"Akan ada zamannya, di mana yang batil itulah yang paling zahir dan yang Haq itulah yang paling tersembunyi."

Menginsafi pengajaran sejarah dan pesan Saidina Ali ini, janganlah kita mudah terpukau dengan semboyan-semboyan perubahan dan tajdid (pembaharuan). Tidak semua yang melaungkan tajdid itu mujaddid sebenar. Tidak semua orang berimej agama yang ditangkap, dipenjarakan atau diperangi itu pejuang agama yang hakiki! Janganlah kita mudah terkeliru dengan gelar, sijil dan pangkat. Sangat bahaya jika kita terlalu taksub kepada seseorang kerana satu-dua pandangannya yang kita minati atau kebetulan menghentam pihak yang kita tidak sukai. Kenalilah dan kajilah betul-betul seseorang tokoh agama sebelum mengikutnya atau mendokongnya habis-habisan. Janganlah terlalu mudah mempertaruhkan agama kita yang menjadi penentu untung-nasib kita di dunia ini dan di akhirat yang kekal abadi.

Tolak Yang Syaaz, Ikutilah Arus Perdana

Selain daripada mengenali latar belakang dan kecenderungan seseorang yang ingin diikuti, satu lagi panduan yang sangat utama dalam memilih kebenaran dalam agama adalah dengan kesetiaan dengan aliran arus perdana dan mengelakkan aliran-aliran yang Syaaz (ganjil, asing dan kontroversi).

Dalam menilai aliran atau tokoh agama sering kali berlaku kekeliruan antara perjuangan yang Syaaz dan memperjuangkan pembaharuan (Tajdid) dalam agama. Islam bukannya anti-perubahan dan Tajdid adalah unsur dinamika yang penting dalam tradisi Islam. Tapi sebagai risalah terakhir yang terpelihara dan dijamin Tuhan Rabbul Jalil, ruang untuk perubahan dan Tajdid dalam Islam adalah jelas dan lebih terbatas berbanding dengan agama dan ideologi lain.

Dalam agama Islam, kita boleh isytiharkan dengan yakin bahawa kita tidak perlukan seorang Martin Luther dengan gerakan reformasi Protestantnya seperti yang berlaku dalam sejarah Kristian. Dalam neraca Islam tuntutan perubahan diluar batas-batasnya bukanlah Tajdid yang hakiki tetapi adalah pandangan dan gerakan yang Syaaz. Yang meruntuh dan bukannya membina. Yang melemahkan bukannya menguatkan. Yang memecah-belahkan dan bukannya menyatukan.

Mengenali dan menolak yang Syaaz adalah prinsip pokok dalam Islam seperti yang dinyatakan nas-nas termasuk ayat 115, Surah al-Nisa' dan hadis yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menghimpunkan Umat ini diatas suatu kesesatan, dan sesungguhnya Tangan Allah itu bersama al-Jamaah, maka ikutlah as-Sawaad al-A'zam (majority ulama) dan sesiapa yang mengasingkan diri maka dia mengasingkan dirinya ke Neraka"

(Riwayat Abu Nu'aim, Hakim dan al-Tirmizi seperti disebut oleh al-'Ajluni dalam Kasyful al-Khafa').

Persoalan ini boleh didapati huraiannya dalam perbahasan berkaitan prinsip-prinsip Ijma', Jumhur, Mu'tamad dan as-Sawaad al-A'zam dalam bab-bab ilmu yang berkaitan.

Untuk mengenali dan menilai seseorang adalah tidaklah memadai sekadar membaca kolumnya dan mendengar ucapan-ucapannya tanpa kemampuan menilainya secara kritikal daripada kerangka fahaman agama yang mendalam. Seperti yang kita sebutkan, dalam sejarah Islam, memang sering muncul orang agama bijak berdalih dengan hujah dan dalil agama untuk mendokong fahamannya sehingga menyukarkan orang awam yang tidak kuat latar belakang agamanya serta tidak cukup maklumat untuk menilainya dengan saksama.

Tetapi berpandukan petua-petua utama yang baru kita himbau, kita sepatutnya sudah boleh membuat penilaian yang lebih tepat dalam isu beberapa aliran dan tokoh agama semasa yang timbul dalam masyarakat kita. Antara sikap dan pendirian yang Syaaz yang timbul dalam masyarakat kita ialah tidak boleh menerima perbezaan pandangan dalam isu-isu khilafiyyah. Ini merujuk kepada isu-isu yang mana terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan mazhab dan ulama muktabar dalam dunia Islam. Sikap arus perdana dalam soal-soal sebegini adalah tidak menolak, memperlekehkan atau membid'ahkan amalan-amalan tersebut.

Malangnya, kita dapati ada tokoh-tokoh tertentu yang banyak mempertikaikan (baca menyesatkan) amalan-amalan yang sudah diterima umum dalam masyarakat kita yang ada asasnya dalam Islam seperti tahlil arwah, bacaan Yaasin pada waktu tertentu dan berubat dengan air yang dijampi. Malah ada yang dengan sinis meminta mereka yang percaya dengan air jampi ini untuk terus menjampi sahaja air di empangan agar semua orang boleh jadi baik!

Ada juga percubaan memakaikan imej yang buruk terhadap pendekatan tarekat dalam dunia tasawuf dan keruhanian Islam sedangkan pendekatan tarekat diterima oleh majoriti umat ulama termasuk Ibnu Taymiyyah. Menolak dan mempermasalahkan tasawuf dan tarekat adalah sikap yang bertentangan dengan arus perdana ulama dan umat Islam. Ia juga bererti menolak dan mempertikaikan tokoh-tokoh ulama tanah air yang disepakati jasa dan sumbangan mereka dalam menegakkan agama Islam seperti Tok Kenali, Tuan Tabal, Tokku Paloh, Tok Selehor, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Ahmad Mohd. Said dan lain-lain yang kesemuanya mesra dengan dunia tasawuf dan tarekat. Sebenarnya kelompok sesat dan batil dalam tarekat adalah kelompok minoriti tetapi ada yang cuba memberi gambaran yang sebaliknya kepada masyarakat.

Akhir-akhir ini ada juga yang cenderung mempermasalahkan kedudukan mazhab Syafie sebagai mazhab utama dan rasmi di negara kita. Sebenarnya pilihan ini adalah pilihan semulajadi berdasarkan sejarah sampainya dan tersebarnya Islam di Nusantara.

Kita umumnya memahami sistem bermazhab yang menyebabkan kita tidak terlalu taasub mazhab Syafie. Cuma kita mungkin akan curiga jika ada amalan-amalan kita yang berdasarkan mazhab Syafie hendak dipertikaikan dan ditukar tanpa ada asas dan alasan yang kukuh serta dibuat di luar kerangka fatwa rasmi.

Anehnya ada yang membayangkan kita terlalu taasub dengan Mazhab Syafie sehingga ke tahap menganggap Imam-imam lain seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad terkeluar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jama'ah. Adakah ada dalam kalangan kita yang ada menganggap begitu?

Apa pun nama dan gelarannya, tidaklah terlalu sukar mengenali yang tokoh atau aliran yang Syaaz dalam Islam. Jika pandangan dan kecenderungan seumpama ini diberi kebebasan untuk disebarkan dalam masyarakat kita, pelbagai kesan negatif akan timbul. Selain kekeliruan fahaman agama sehingga ke tahap melanggar hak dan adab terhadap para ulama muktabar silam dan semasa, ia juga boleh menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat awam.

Penulis ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia.

Selasa, 14 September 2010

Belajarlah Agama daripada Ahlinya



(Klik pada gambar untuk paparan jelas. Anda dijemput untuk mengambilnya dan disebar-sebarkan demi tujuan kebaikan.)


Berkata Al-Imam Ibnu Sirin rohimahullah ta'ala:


"Sesungguhnya ilmu ini ialah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian."


Dalam usaha belajar untuk memahami agama Islam, sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa seseorang Muslim itu perlu mempunyai guru yang berkelayakan, berkeahlian, diakui keilmuannya, diyakini iman dan akhlaknya serta ikhlas dalam mengajar dan mengamalkan ilmu tersebut.
Mari kita lihat kepentingan mempunyai guru dalam usaha pembelajaran dan pemahaman ilmu-ilmu agama Islam berdasarkan sejarah Islam. Kita lihat sendiri bagaimana Nabi kita tercinta Nabi Muhammad shollalahu 'alaihi wa sallam mempunyai guru Baginda sendiri iaitu Allah Ta'ala; Baginda mendapat didikan terus daripada Allah Ta'ala.


Para 'ulama yang besar, masyhur, dan jasa ilmu mereka masih berkekalan sehingga hari ini seperti para imam besar dalam bidang 'aqidah, fiqih dan tasawwuf: mereka mempunyai guru mereka dalam mempelajari ilmu tersebut. Bukan sekadar seorang guru, bahkan berpuluh-puluh dan tidak mustahil lebih daripada itu.

Dengan berguru juga, insya-Allah kita akan berkesempatan untuk mendapat keberkatan ilmu tersebut, diri kita termasuk dalam doa yang dilafazkan oleh para guru. Mengambil ilmu daripada lidah para masyaikh beserta huraian dan penjelasan daripada mereka insya Allah akan menghindarkan diri kita daripada kecelaruan dan kepincangan ilmu agama lantaran kecacatan sanad (pertalian) dan juga unsur-unsur syaz (keraguan, bukan majoriti).

Tidak salah jika kita berikhtiar untuk meluaskan pembacaan sendiri di luar kesempatan untuk bersama kuliah pengajian bersama mereka. Namun begitu, sentiasalah merujuk kepada mereka supaya kita tidak terbabas dengan bacaan kita secara sendiri.

Mudah-mudahan Allah Ta'ala mengekalkan kita dalam keselamatan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, berpegang dengan pegangan jumhur 'ulama yang terpelihara daripada sebarang bentuk syaz.

Rabu, 8 September 2010

Salam 'Aidil Fitri 1431 Hijriah


(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.)


Salaam 'Aidil Fitri 1431 Hijriah

kepada ibu dan ayah, semua ahli keluarga, sahabat-rakan, para pengunjung blog ini dan semua yang mengenali diri ini.

Semoga Allah menerima kesemua 'amalan kita, dan mengembalikan kita kepada fitrah sebagai hamba-Nya.

Selasa, 7 September 2010

Ilmu Bukan Sekadar Dihafaz


(Klik pada gambar untuk paparan yang lebih jelas)


"Bukanlah ilmu itu suatu yang dihafaz sahaja, tetapi ilmu itu sebenarnya apa-apa yang memberi manfaat."

Kata-kata Imam Asy-Syafi'e rohimahullah ta'ala, dicatatkan oleh Imam An-Nawawi rohimahullah ta'ala dalam kitab Bustanul 'Arifin

Isnin, 6 September 2010

Segerakan Kewajipan dan Kebaikan




Pemandangan di Pusat Islam Canberra, ACT, Australia pada tahun 2009


Assalamualaikum kepada semua sahabat-rakan pembaca,

Didoakan kita semua sentiasa dilapangkan hati untuk sentiasa berada dalam kebaikan.

Rasanya agak lama juga blog saya ini tidak dimuatkan dengan entri baru yang lebih bersifat perkongsian pengalaman peribadi. Mungkin juga lama tidak diperbaharui kandungan blog ini. Bagi mereka yang sentiasa membuka laman ini dan menjangkakan ada sesuatu yang baru, maaf saya pohonkan. Kadang-kadang, saya sendiri pun membukanya dengan harapan membaca catatan-catatan pada masa lalu dengan dimudahkan oleh aplikasi "LinkWithin". Tak mengapa, kita baca benda yang dah kita baca pada masa sebelum ini pun tak rugi kan? Dijadikan sebagai muroja'ah (ulang kaji). Lagi kerap kita mengulang bacaan ilmiah, insya-Allah lagi kuat ingatan dan kefahaman terhadap perkara tersebut. Prinsip ulangan yang banyak inilah juga yang digunakan oleh para penghafaz Al-Quran.

Ramadhan yang Semakin Menghampiri Penghujungnya

Masa memang pantas berlalu. Terasa hati kecil kita ingin menangis teresak-esak dan meraung-raung sekuat-kuatnya kerana bulan teragung ini semakin meninggalkan kita. Perasaan sebegini datang bertandang kerana adanya kekesalan bagi setiap ruang peluang kebaikan yang tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Namun yang demikian, insya-Allah dengan adanya beberapa hari yang masih berbaki ini, sama-sama kita teruskan ibadah dengan sebanyak-banyak yang boleh. Jadikan segala kesilapan, kecuaian dan ketidaksempurnaan kita pada bulan Ramadhan tahun ini sebagai pengajaran yang amat berguna untuk dibaiki pada tahun-tahun yang akan datang.

Syawal di benua Australia

Insya-Allah, bagi kami di sini 1 Syawal berkemungkinan besar akan jatuh pada hari Jumaat ini. Imam Masjid Bandar Adelaide ada menyebut bahawa jika tidak ada mana-mana pengumuman dari Perth, Indonesia atau Malaysia yang menyatakan terlihatnya anak bulan (yang menyebabkan puasa selama 29 hari), maka 1 Syawal kali ini jatuh setelah genapnya 30 hari berpuasa. Jika jatuh pada hari Jumaat pula menurut beliau, menjadi sunnah Baginda Nabi kita tercinta Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam bahawa jika mana-mana umat Islam yang sudah menghadiri solat sunat 'Aid (Hari Raya) dan mendengar khutbahnya, maka umat Islam tersebut sudah tidak berkewajipan lagi untuk menghadiri solat fardhu Jumaat pada waktu tengahari /petang tersebut. Mereka boleh memilih untuk solat fardhu zuhur sahaja. Namun begitu, imam bagi masjid tersebut beliau masih berkewajipan untuk memimpin solat Jumaat dan menyampaikan khutbah.

Tahun lepas, alhamdulillah 1 Syawal kami memang berhampiran dengan cuti pertengahan semester ( selama 2 minggu). ^_^ Lama juga beraya, sampai ada rakan-rakan yang balik ke Malaysia (banyak juga tu!). Namun pada tahun ini, 1 Syawal berada seminggu lebih awal daripada cuti tersebut. Apa kesannya? ^_^ Ada rakan-rakan yang 'terpilih', mereka terpaksa meraikan 1 Syawal di dewan kuliah, kelas, amali di makmal dan lain-lain. Alhamdulillah, satu pengalaman menarik. Rasanya, sahabat-rakan yang belajar di Malaysia hampir kesemuanya menikmati cuti pada 1 Syawal.

Segerakan Kewajipan dan Kebaikan

Benarlah segala apa yang dituturkan oleh Baginda Nabi kita shollallahu 'alaihi wa sallam. Pernah ada disebut Baginda berkenaan dua ni'mat: ni'mat kesihatan dan ni'mat masa lapang. Kedua-dua ni'mat ini sangat kerap diabaikan oleh manusia. Didikan Nabi kita juga sentiasa mengajar bahawa umatnya perlu sentiasa menghargai masa yang ada. Sungguh tidak beruntung mereka yang membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Didikan Baginda juga sentiasa menyeru umatnya untuk menyegerakan segala kewajipan dan kebajikan. Mengapa? Sebab kita tidak tahu lagi akan tibanya masa akan datang (sama ada kita masih hidup, ataupun sama ada kita masih lagi ada kelapangan, tidak ditimpa kesibukan dan kesulitan yang lain).

Apa yang dah terjadi? Saja berkongsi pengalaman dan hikmah. Mudah-mudahan ada kebaikan dan pengajaran. Macam kami di sini, apabila hampir pada bahagian penghujung Ramadhanlah ada banyak kerja universiti seperti 'assignment', kuiz, 'presentation' dan yang lain-lain. Betullah apa yang pernah disebut oleh seorang ustaz dalam memberikan nasihat kepada golongan pelajar: mereka perlulah berusaha menyiapkan segala tugasan tersebut secepat mungkin untuk memberikan ruang masa yang cukup untuk beribadah. Bagi yang bekerja pula, cuba simpankan cuti untuk digunakan pada bahagian akhir Ramadhan (untuk beriktikaf di masjid dan juga ibadah yang lain).

Masa memang berharga, bahkan tidak ternilai lagi. Sibukkan diri kita dengan kebaikan, insya-Allah akan hadir kepuasan jiwa.

Sabtu, 4 September 2010

Ilmu Berkat Walau Sedikit


(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.)



"Sesiapa keluar mencari ilmu dan ia berniat akan mengamalkan dengan ilmunya nescaya ilmunya memberi manfaat akan dia, walau hanya sedikit ilmu yang dicapainya."


Kata-kata Abul Hasan al-Waa'izh yang dicatatkan oleh Imam An-Nawawi rohimahullah ta'ala dalam kitab Bustanul 'Arifin

Jumaat, 3 September 2010

Ya Allah, Pertemukan Kami dengan Lailatul Qadr


Gambar hiasan

Malam yang terlalu agung, lebih baik daripada seribu bulan (kira-kira 83 tahun).


Ya, kita sekarang berada dalam detik-detik akhir bulan yang agung dan mulia ini. Terasa begitu pantas masa berlalu. Amat kesal terasa di hati bagi masa yang tersia sepanjangnya.

Ya Allah, dengan kemuliaan dan keagungan-Mu, dengan kemurahan-Mu, dengan segala sifat Maha Penyayang-Mu, kami memohon dengan penuh rasa kehinaan dan kehambaan, agar kami dimudahkan segala urusan, dikurniakan kesihatan, kesegaran dan kekuatan tubuh badan, keikhlasan dan kesungguhan bagi berusaha beribadah mencari malam Al-Qadr tersebut.

Ya Allah, kami akui kelemahan dan ketiadaupayaan kami. Wahai Tuhan Yang Maha Kaya dan Maha Memberi, pertemukanlah kami dengan malam yang begitu mulia tersebut.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...