Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Rabu, 29 Jun 2011

Ramadhan Bakal Tiba, Insya Allah


Assalamu'alaikum kepada semua sahabat-rakan pembaca,

Insya-Allah, Ramadhan akan bertandang dalam lingkungan 30 hari lagi. Dijangka bermula pada 1 Ogos 2011. Bulan yang teristimewa ini menjanjikan balasan kebaikan berlipat kali ganda dan keampunan Allah.

Setakat ini apa persiapan dan perancangan kita? Bagi saya sendiri, insya-Allah diusahakan beberapa perkara, ibarat kata macam memanaskan enjin kereta sebelum perjalanan jauh.

Jika anda ada sebarang idea dan komentar, harap dapat diturunkan di sini...


....

Rabu, 22 Jun 2011

Biar Ringkas, Bermakna, Padat, dari Hati ke Hati

Sekadar kenangan dan hiasan - mendapat lencana selepas tamat program OBS di Lumut Disember 2010. Latihan fizikal di sini banyak mendidik kami untuk cekal hati, lasak dalam menyempurnakan tugasan biarpun dalam kesusahan dan tekanan.
Ya Allah, kekalkan kami terus menerus ikhlas menjadi hamba-Mu yang cemerlang! :)



Buat sahabat-rakan pengunjung dan pembaca blog saya ini, diucapkan assalamu'alaikum.

Alhamdulillah dan insya Allah, setiap hari kita yang bertambah bakal bertambah dengan kualiti sebagai hamba Allah yang berjalan menuju akhirat.

Saya kini masih lagi dalam musim peperiksaan. Ada dua lagi kertas: Jumaat 24 Jun dan Isnin 27 Jun. Pada 3 hingga 18 Julai pula, insya Allah saya bersama-sama rakan-rakan dalam kursus geologi akan mengembara ke Australia Tengah (Central Australia) untuk tujuan kajian dan pemetaan. Pohon doa anda semua, agar urusan saya dimudahkan Allah dan dikurniakan kejayaan. Dalam masa yang sama, saya dalam penantian 6 bulan untuk balik ke Malaysia dan menamatkan pengajian siswazah.

Saya memohon maaf andainya blog ini tidak begitu kerap dikemas kini dengan entri yang panjang. Saya mendapati ada sahabat-rakan yang kerap kali bertandang ke sini. Seandainya tidak termuat catatan baru dalam tempoh yang agak lama, saya mengajak kita semua untuk mengulang kaji catatan yang lama juga mudah-mudahan lebih kuat kefahaman dan dorongan untuk beramal dengannya.

Pada masa yang sama juga, saya juga ingin menyatakan kembali bahawa bentuk perkongsian di sini agak berbagai-bagai, seperti yang telah saya muatkan di sini: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/p/mengenai-blog-ini.html . Insya-Allah, saya juga bercadang, adakalanya catatan di sini adalah seringkas dan seumpama perkongsian status di Facebook. Jadi, sahabat-rakan semua boleh menambah komen dan perbincangan.

Insya-Allah, hingga ketemu lagi. Usah biarkan sesaat yang berlalu tanpa ada penghambaan yang soleh dan ikhlas kita kepada-Nya.

Biar Ringkas, Bermakna, Padat, dari Hati ke Hati


......

Khamis, 16 Jun 2011

Bagaimana Nak Tahu Siapa Jodoh Kita?



Entri ini adalah sekadar perbincangan, bukan artikel yang menerangkan. Saya mengajak anda para sahabat pembaca untuk turut beri pandangan.

Boleh juga baca artikel ini berkaitan ikhtiar cari jodoh melalui orang tengah: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/2012/03/ikhtiar-mencari-jodoh-melalui-orang.html

Ya, saya sebelum ini dan sehingga sekarang pun masih tertanya-tanya: siapakah jodoh kita, siapakah insan itu? Bagaimana nak tahu siapakah dia?

Bagi saya, biarpun saya sendiri masih tidak terlibat dalam urusan nak mendirikan rumah tangga, biarpun saya sendiri masih tidak tahu siapakah jodoh saya, saya berpendapat bahawa usaha mencari pasangan hidup yang beramal dengan agama ialah satu keperluan. Nak berumah tangga bukan sekadar sebulan dua, tetapi sepanjang hayat. Oleh sebab itu, hal ini wajar diambil berat dan diberikan fokus sepatutnya bagi mereka yang mahu mendirikannya.

Anda ada pendapat? Kalau ada, mohon dikongsikan di sini.

Sehingga kini, apa yang saya sudah terbaca dan terdengar:

1) Untuk dapat pasangan yang baik, diri sendiri perlu jadi baik.
2) Mengambil cadangan pasangan hidup daripada orang yang baik. Antaranya daripada orang-orang yang soleh kerana mereka yang punyai hati yang bersih dan dekat pada ingatan akan Allah, dikurniakan ilham dan firasat yang lebih hampir.
3) Menggunakan khidmat Unit Baitul Muslim.
4) Antara tanda orang tersebut ialah jodoh kita ialah adanya keserasian, tidak terlalu berbeza.

Apa-apa pun, perbincangan ini pun adalah sebahagian daripada ibadah. Membentuk keluarga dan generasi umat Islam yang soleh-solehah ialah sebahagian daripada sunnah Nabi kita s.a.w. yang mulia. Sama-sama kita berusaha untuk membaiki diri dan berdoa kepada Allah agar dimudahkan urusan kehambaan kita, dan dikurniakan pimpinan-Nya.

(Sila klik dan lihat ulasan/komentar di bawah untuk membaca lanjutan perbincangan dan perkongsian)
....

Isnin, 13 Jun 2011

Kita Tetap Hamba-Nya

Salam mahabbah kepada semua sahabat para pembaca blog saya ini,

Mudah-mudahan sentiasa sahaja Allah mengampuni kita, merahmati kita, dan membimbing segala urusan kita.

Catatan saya ini ringkas sahaja. Sebagai pencetus fikiran.

Saya mengamati, bahawa kehidupan ini tak lepas daripada bermacam-macam ujian. Pada sesuatu tahap, kita tersedar yang hampir kebanyakan manusia, termasuk kita semua, telah terperangkap untuk memenuhi tuntutan keperluan dan kemahuan di dunia ini semata-mata sahaja. Kita terlupa bahawa dunia ini hanyalah sebagai satu medan ujian, satu medan persiapan, satu jambatan untuk menuju akhirat, satu ladang tanaman yang dituai hasilnya di akhirat sana nanti. Maka, amat rugilah sangat-sangat jika segala kesusahan yang ditanggung di dunia ini adalah untuk dunia ini semata-mata sahaja.

Allahu Allah... benarlah apa yang disabdakan Nabi kita tercinta shollallahu 'alaihi wa sallam bahawa tidak ada kehidupan yang sebenar, melainkan di akhirat sana nanti.

Ya Allah, kami para hamba-Mu ini benar-benar memohon agar kami tidak dipalingkan daripada memerhatikan, menumpukan usaha kami kepada penyempurnaan kejayaan di akhirat sana nanti sebagai kehidupan yang sebenar. Jadikan kami insan-insan yang benar-benar mencintai akhirat.

Sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah,

Dalam banyak kesempitan hidup yang datang bertamu pada sekelian kali, jangan kita mudah hilang semangat, cepat berputus asa. Kita ingatkan diri kita bahawa sesungguhnya ingatan, pengetahuan, bantuan Allah sebagai Tuhan kita sentiasa sahaja terlalu dekat kepada kita. Tiada apa yang menghalangi kita daripada merasai kehadiran bantuan dan rahmat Allah kepada kita melainkan kekotoran yang masih berselaput pada hati.

Allah, Allah, Allah. Permudahkan segala urusan penghambaan para hamba yang fuqoro ini.

Sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi kerana Allah,

Teruskan perjalanan kita meniti jalan akhirat ini. Sungguh, kian hari yang berlalu, kian kita menghampiri pertemuan yang dijanjikan itu.



....

Jom Bersedia dari Awal, dari Sekarang

Gambar kenangan semasa aktiviti 'whaling' di OBS Lumut, Disember 2010

Jom bersedia dari awal, dari sekarang!

Pesanan ini datang bergema-gema, menyahut-nyahut dalam hati, pada telinga, pada pemikiran saya. Kebetulan sekarang musim peperiksaan. Sibuk dibuatnya persiapan yang kena dilaksanakan. Bilik menjadi lebih meriah dengan susunan kertas nota dan sebagainya.

Mengapa perlu tunggu hingga saat akhir?

Bukankah dalam keadaan akhir-akhir, kita mudah menjadi cemas, tergesa-gesa, kesuntukan masa yang akhirnya menyebabkan kualiti yang tidak memuaskan?

Saya dapat merasai perkara ini ketika melaksanakan persiapan sebegini. Untuk mendapatkan kefahaman yang mantap untuk menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang, pastinya masa yang agak panjang diperlukan untuk membaca dan menghadam nota tersebut.

Begitulah juga pada hakikat yang lebih utama, kita bersedia untuk dijemput oleh malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Kita bersedia dari awal. Dari sekarang! Insya Allah, kita punyai masa yang panjang dan secukupnya untuk membawa sebaik-baik bekalan untuk bertemu Allah.

Ya Allah, hamba ini penuh kefaqiran dan kehinaan memohon bantuan-Mu agar segala usaha ini dipermudah dan diberkati. Hamba tiada upaya, melainkan apa yang Kau pinjamkan... Insya-Allah hamba laksanakan sebaik mungkin, semampu yang boleh...


......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...