Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Isnin, 31 Oktober 2011

Fokus dalam Hidup Kita!

Gambar sekadar hiasan (sumber)


Sahabat-rakan yang dirahmati Allah sekalian,

Hidup kita ini sememangnya satu perjalanan. Pahit manis yang kita tempuhi, pasti ada hikmah dan makna di sebaliknya. Sesuatu pengajaran dan makna hidup yang kita alami sendiri pada sesuatu kejadian, insya Allah akan memberikan kefahaman dan kesedaran yang lebih kuat mengakar dalam diri berbanding bacaan teori kita semata-mata.

Apabila perkara sedemikian berlaku (kejadian yang disusuli kesungguhan kita berfikir mencari hikmah di sebaliknya), maka hargailah hikmah yang kita pelajari, agar menjadi pedoman berguna sepanjang hayat.

Fokus dalam hidup kita

Ya, perkara di atas baru sahaja terhasil daripada pemikiran saya setelah melalui sedikit sebanyak pengalaman belajar di Adelaide, Australia ini. 

Memang kita ini makhluk Allah, keupayaan dan modal kita adalah amat terbatas. Mustahil bagi kita untuk melakukan apa-apa sahaja di atas muka bumi ini.

Oleh sebab yang demikian, amat-amat perlu bagi kita untuk menyusun atur keutamaan yang paling utama yang wajar diutamakan. Dalam kata lain, berilah fokus kepada apa yang paling mustahak dalam hidup ini!

Jika dilihat dalam rangka yang lebih besar dan kekal, fokus kita sepatutnya adalah untuk melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya.

Insya Allah, mudah-mudahan kita diberi kemudahan dan kekuatan untuk memahami perkara ini. Saudara-saudari cubalah renungi perkara ini, dan cuba lihat aplikasinya yang paling hampir, dalam kehidupan sendiri.


Ya Allah, bantulah kami para hamba-Mu ini dalam benar-benar mensyukuri segala nikmat-Mu.


...

Sabtu, 29 Oktober 2011

Beberapa Minggu Yang Dinantikan



Salam mahabbah kepada semua sahabat pengunjung blog ini,


Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati dan memberkahi usaha kita.

Insya-Allah, saya bakal menduduki ujian pada Isnin dan Rabu depan, dan peperiksaan pada Sabtu 12 November 2011. Keputusan pula akan diumumkan pada 7 Disember 2011.

Mohon kebaikan anda mendoakan kejayaan kami semua, lulus dalam setiap mata pelajaran, lulus untuk menamatkan pengajian sarjana muda pada hujung tahun ini. Allahumma aamiiin.

(Sekarang ini kami berjuang semampu mungkin, sehabis baik dalam persediaan menempuh ujian dan peperiksaan tersebut.)


...

Ahad, 16 Oktober 2011

Mari Perkukuh Ilmu 'Aqidah Kita



Buat semua sahabat pengunjung blog ini yang saya kasihi kerana Allah,

Saya menyeru diri saya sendiri, ibu dan ayah saya, ahli keluarga saya, sahabat-rakan dan umat Islam secara umumnya, untuk sama-sama perkukuh, perkemas ilmu dan kefahaman 'aqidah kita kerana itulah tunjang utama keselamatan kita di dunia dan di akhirat. 'Aqidah kita ialah 'aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, sama ada mengikut susunan ilmu Imam Abu Hasan Al-Asy'ariy (yang dirujuk sebagai Al-Asha'irah) atau Imam Abu Mansur Al-Maturidiy (yang dirujuk sebagai Al-Maturidiyah). Insya Allah, majoriti 'ulama Islam berpegang dengan susunan 'aqidah ini.

Saya menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam seandainya ada mana-mana pihak sekalipun yang menganaktirikan pengajian ilmu 'aqidah secara bertalaqqi dengan syaikh yang diiktiraf keilmuwannya oleh para 'ulama lain, mungkin dengan sebab pertimbangan program pengajian sebegini mungkin hanya bermanfaat untuk tahu tradisi ilmu Islam, membaiki ruh, dan seumpamanya; atau mungkin pengajian sebegini (belajar ilmu 'aqidah) adalah kurang penting bagi organisasi dakwah dan tarbiyyah mereka.

Ingatlah bahawa ilmu 'aqidah ialah ilmu yang terpenting. Saya sama sekali tidak menentang sesiapa pun untuk gah dan hebat serta lantang berbicara berbagai-bagai disiplin ilmu Islam yang lain, mungkin yang amat popular sekarang ini adalah untuk berbincang dan menzahirkan kekuatan ilmu dalam bab-bab yang berhubung as-siyasah (politik) dan lain-lain. Tapi, tuan-tuan kena fikir, hatta kalau tuan-tuan sudah berjaya menguasai pemerintahan mana-mana negara atau negeri di dunia ini sekalipun, tetapi pada peringkat 'aqidah yang asas sekalipun sudah punah dengan ber'aqidah dengan 'aqidah yang salah dan sesat: seperti beri'tiqad Allah itu bertempat, Allah itu duduk sila lendik di atas 'arasy, Allah itu ada di langit, Allah itu turun zat-Nya ke langit dunia pada sepertiga akhir malam, Allah itu ada tangan dan pelbagai anggota tubuh badan yang lain, maka mungkinkah akan selamat?

Sahabat-sahabat dan para pembaca yang budiman,

Marilah sama-sama kita merenung hal ini. Saya amat menyeru sesiapa sahaja yang kesedaran Islam dan punyai jawatan dalam apa-apa organisasi sekalipun, utamakanlah untuk memperkasa pegangan 'aqidah umat Islam yang berteraskan kefahaman majoriti 'ulama Islam. Kita berasa amat risau jika umat yang masih goyah pegangan 'aqidah terus disibukkan dengan polemik dalam isu politik kepartian, terus bertelagah sesama umat Islam.



Lebih merisaukan dan mendukacitakan (berkemungkinan memang terjadi secara realiti, atau jika tidak terjadi sekalipun kita boleh berjaga-jaga dengan situasi ini) apabila wujud aktiviti usrah dan macam-macam program yang kelihatan berjenama Islamik mendakwa mereka mengajak masyarakat kepada Islam, tetapi kandungan perbincangan itu tidak diambil daripada sumber yang sahih, kandungan itu sekadar dibaca sendiri oleh para naqib dan naqibah melalui dokumen Microsoft Power Point, PDF, Microsoft Word, dan macam-macam bahan bacaan lagi yang diedarkan oleh ketua mereka dari tempat lain. Kemudian naqib-naqibah itu pula nak kena terangkan kepada anak-anak usrah, hanya dengan kefahaman daripada bacaan sendiri mereka sahaja! Apabila timbul persoalan, kalau naqib-naqibah itu sendiri tidak mampu, kalau dia masih ego nak jaga status, mungkin dia mula beri komentar yang sudah lari daripada kefahaman sebenar. Pergerakan sebegini juga merisaukan kita seandainya mereka berkiblatkan bahan-bahan yang kontroversi, khususnya datang dari Arab Saudi. Selain daripada itu, jika tidak diteliti, kerana kesungguhan mereka nak bersama al-Quran, mereka mungkin terdedah untuk membaca terjemahan al-Quran yang tidak selamat, seperti terjemahan pada ayat-ayat Al-Quran yang samar-samar maknanya yang menjurus kepada 'aqidah Tuhan itu ada anggota tubuh badan serta pelbagai khayalan dan bid'ah yang menyesatkan.


Perkara penting di atas ialah: saya tidak menyalahkan atau memburukkan aktiviti seperti usrah, tetapi sejauh manakah ketelitian para penggeraknya memastikan mereka menguasai perkara yang nak disampaikan dalam usrah itu berdasarkan kefahaman yang betul? Dan pastinya kefahaman tentang dalil Al-Quran dan Al-Hadis hendaklah berteraskan kefahaman daripada para 'ulama, bukannya kefahaman ahli farmasi, kefahaman juruterbang, kefahaman doktor perubatan dan lain-lain yang tidak menguasai ilmu-ilmu sedemikian secara berguru. (Hal ini sememangnya ada pengecualian, kerana memang ada protaz yang sebenar-benarnya protaz, 'alim dalam ilmu agama secara berguru dan pada masa berkhidmat sebagai doktor perubatan, pembedahan seperti Syaikhna Dr Yusri di Mesir.)


Insya Allah catatan saya pada kali ini adalah untuk kebaikan kita umat Islam secara umumnya. Saya mohon maaf seandainya ada apa-apa salah faham dan sebagainya.


...

Sabtu, 1 Oktober 2011

Mari Mula Mengatur Langkah ke Arah Keluarga Islam Sejati

Sekarang, masa terasa semakin pantas. Saya pun masih ada beberapa minggu sahaja lagi sebelum menamatkan pengajian sarjana muda secara rasmi. Mudah-mudahan kami lulus untuk graduasi.

Sekarang, sibuk juga persiapan diri dibuat untuk menghadiri temuduga kerja, serta perkara berkaitan untuk 'settle down' di Malaysia nanti.

Pada masa sama juga, saya terfikir, bagi kami yang seangkatan, sebaya umur mungkin sudah mula mengorak langkah, mula mengkaji, mula belajar, mula mencari pedoman dan hikmah dalam usaha mendirikan sebuah keluarga Islam yang solehah.

Mula mengatur langkah bukan bermakna seseorang itu akan terus beraqad nikah dalam masa sebulan dua nanti, tetapi sebenarnya merancang dan melaksanakan satu cita-cita besar yang mulia. Mungkin ambil masa bertahun-tahun.

Ya Allah, permudahkan urusan kami. Jangan dipalingkan hati kami daripada memilih apa sahaja yang mulia pada penilaian-Mu.

...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...