Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Isnin, 28 November 2011

Muqaddimah dan Intisari Surah Yaasiin


*Catatan ini adalah berdasarkan risalah seperti tertera dalam gambar di atas, dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Kelebihan Membaca Al-Quran 

Orang yang membaca Al-Quran mendapat pahala daripada setiap huruf demi huruf yang dibacanya sama ada yang membaca itu tahu maknanya atau tidak.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلّم  daripada Abdullah bin Mas'ud maksudnya:

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf. 


Firman Allah, Surah An-Naml, ayat 91-96:

Maksudnya:

Aku disuruh menjadi seorang yang memeluk Islam dan membaca Al-Quran.

Rabu, 9 November 2011

Mencari Yang Kekal

Gambar sekadar hiasan (sumber)

Ya Allah, hamba benar-benar mengadu dan memohon kepada-Mu agar hamba ini dipimpin dan diberi kekuatan untuk sentiasa terus tetap hati dan kukuh berusaha sedaya mampu sebagai hamba-Mu mencari setiap perkara yang kekal pada sisi-Mu. Ya Allah, jangan biarkan hamba ini terleka, terhanyut walau seketika daripada pencarian yang kekal itu. Ya Allah, pimpinlah hamba agar menjadi hamba-Mu yang lebih mensyukuri segala nikmat-Mu, yang mampu lebih sentiasa bersangka baik atas ketentuan-Mu. Ya Allah, izinkan hamba suatu ketika nanti sudah tidak lagi melihat kesementaraan dunia ini, pada masa itu hamba hanya melihat Kekekalan-Mu Ya Allah. Ya Allah, hamba benar-benar memohon agar segala penghambaan hamba sehingga kini Kau terima ya Allah.

اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم

...

Ahad, 6 November 2011

Menjadi Hamba Allah

Gambar sekadar hiasan (sumber

Pada tahap makrifatullah (mengenal Allah) yang lebih tinggi, seseorang hamba itu sudah mula merasai bahawa tidak ada apa yang dilihatnya melainkan semua apa yang dilihatnya itu membawanya untuk ingat akan Allah, kerana semua yang dilihat itu 
adalah ciptaan Allah ( لا مشهود الا الله)


Dalam perjalanan hidup ini, semakin hari yang bertambah dengan segala macam bentuk ujian wajar semakin mendidik rasa dan adab kehambaan kita kepada Allah.

Semakin usaha yang dilakukan untuk mencari redha Allah, semakin patut diri lebih mengenali diri sendiri, semakin mengenali Allah sebagai Tuhannya.

Ya Allah, hamba mengaku bahawa hamba ini sememangnya hamba-Mu. Diri hamba ini diselaputi dengan dosa dan kelalaian, banyak lagi nikmat-Mu yang tidak mampu disyukuri, banyak lagi hak-Mu sebagai Tuhan yang belum mampu hamba penuhi. Hamba tak miliki apa-apa, hamba adalah sekadar peminjam segala macam nikmat-Mu yang tidak mampu dihitung.

Ya Allah, hamba ini punyai cita-cita yang mulia dan besar, tetapi hamba tidak tahu hamba ini layak atau tidak memilikinya. Hamba sedar akan kelemahan dan kekurangan diri, dan pada masa yang sama meyakini bantuan-Mu ya Allah yang sehingga kini tak pernah putus-putus datang. Pimpinlah hamba ini, kerana hamba sekadar melakukan apa yang termampu berdasarkan pengetahuan dan keupayaan hamba yang amat-amat cetek dan terbatas ini. Mudah-mudahan, keazaman untuk menjadikan keseluruhan hayat ini sebagai penghambaan kepada-Mu akan menjadi semakin segar dan dikukuhkan, sama sekali tidak dilunturkan.

Allahu Allah, Allahu Allah, Allahu Allah. Ya Allah, dengan keberkahan Nabi-Mu, perkenankan pengaduan dan permintaan hamba.

اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم



Sabtu, 5 November 2011

Petua Berguna Agar Doa Dimakbulkan oleh Allah

Gambar Masjid Madinah, di mana adanya Nabi kita sholla Allah 'alaihi wa sallam.
(Sumber gambar, Abu Nura)

Kepada para sahabat-rakan pengunjung laman ini,

Mudah-mudahan Allah sentiasa mengampuni dosa kita, merahmati kita serta menyelamatkan kita daripada segala azab di dunia dan di akhirat.

Pada catatan kali ini, insya Allah kita berkongsi mengenai satu petua agar doa kita diterima oleh Allah.

Caranya ialah dengan mengapit doa kita dengan selawat dan salam atas Penghulu kita Nabi Muhammad sholla Allah 'alaihi wa sallam dan keluarganya pada permulaan dan akhir doa.

Hal ini demikian kerana telah dipersetujui oleh para 'ulama Islam bahawa selawat dan salam yang diucapkan oleh orang yang berkekalan melakukan dosa (fasiq) sekalipun akan diterima oleh Allah (sebagaimana yang saya dengar daripada guru yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizhohu Allah). Insya Allah, selawat yang mengapit doa kita itu ibarat lift yang membantu mengangkat doa kita, untuk diterima oleh Allah.

Bahkan lebih daripada kebaikannya untuk diamalkan semasa berdoa, ibadah berselawat ini ada begitu banyak faedahnya. Boleh dikatakan, kalau lidah kita sentiasa sibuk dengan selawat pagi petang siang malam sekalipun tidak akan merugikan sama sekali.

Mudah-mudahan Allah beri kepada kita kekuatan untuk mengamalkan ilmu ini dengan ikhlas dan berterusan. Juga, sebarkanlah kebaikan ini kepada umat Islam yang lain juga.




اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم




***

Rabu, 2 November 2011

Hajat Besar

Gambar sekadar hiasan (sumber)

Kegersangan jiwa kita ini insya Allah dapat dibasahi dengan sentuhan didikan para syaikh yang jernih hati mereka, jelas perjalanan 'aqidah mereka, yang ada pertalian sehingga sampai pada Baginda Nabi kita Muhammad sholla Allah 'alaihi wa sallam.


Alhamdulillah, dan insya Allah saya dan sahabat-sahabat di sini semakin menghampiri detik-detik menamatkan pengajian akademik peringkat sarjana muda. Semakin lama, semakin dekat untuk pulang ke Malaysia.

Saya berhajat dan berazam, agar Allah mengizinkan saya untuk beroleh pekerjaan tetap dan bermastautin di Lembah Klang. Syukur atas kurniaan-Nya, makin lama makin kuat dan mengakar kerinduan dan keinginan untuk melazimi majlis pengajian secara talaqqi (bersemuka dengan guru yang tsiqah dan ada pertalian ilmu) dengan para syaikh di sana. Keberadaan hampir 3 tahun di perantauan ini seolah-olah menjadi satu tempoh didikan bahawa peluang untuk bertemu dan belajar dengan para syaikh ini ialah suatu nikmat yang amat-amat berharga. Allahu Allah. Begitu asyik melihatkan para syaikh kita, dengan kesantunan akhlak mereka, setiap lafaz yang dituturkan ibarat tepat menghala ke hati kita dan berbekas kuat. Kadang-kadang, bisikan hati menyatakan, nanti apabila berada di Malaysia, kalau terlepas satu majlis ilmu bersama mereka sahaja sudah menjadi kerugian besar yang patut benar-benar ditangisi.

Saya berpendapat, budaya mulia berdampingan dan belajar dengan para syaikh-'ulama ialah satu perkara yang wajar dipupuk. Insya Allah, dengan keberkahan yang ada pada mereka, insya Allah proses pembaikan diri dan umat ini akan berlangsung dengan berkesan. Ada kalanya, kenikmatan dan keseronokan yang dialami jiwa yang menghadiri majlis-majlis ilmu mereka adalah tidak mudah untuk digambarkan kepada insan lain. Lepas cuba, baru rasa! Ibarat nak ceritakan kesedapan sesuatu masakan, tak sah melainkan orang lain itu sendiri merasainya.

Insya Allah, dengan niat untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, mencari ilmu dan kefahaman dengan ikhlas demi diamalkan, insya Allah kita akan beroleh keberkahan daripada Allah. Terasa mudah nak faham, selalu ingat, mudah dan seronok untuk mengamalkannya secara berterusan. Allahu Allah.

Sahabat-rakan pembaca,

Anda ada pengalaman untuk dikongsikan?

Boleh catat di bawah ini.

Mudah-mudahan Allah membantu setiap urusan penghambaan kita.


...


Selasa, 1 November 2011

Ya, Adil Lah Untuk Mereka Berdua

Gambar sekadar hiasan (sumber)

Bakal/calon suami: matanya tidak liar memandang perkara yang sia-sia, yang makruh dan yang haram. Dirinya tetap dengan mujahadah untuk istiqomah mentaati Allah dan Rasul.

Bakal/calon isteri: tubuh badannya terpelihara rapi daripada tatapan umum (termasuk tidak tersiar secara umum di laman Facebook, blogspot dan seumpamanya), berjubah (atau pakaian labuh dan longgar), bertudung labuh ( atau bulat atau yang menutup aurat dengan sempurna), berniqob (tutup muka), tangan bersarung, kaki bersarung. Dirinya juga tetap dengan mujahadah untuk istiqomah mentaati Allah dan Rasul.

Perbandingan di atas sekadar salah satu daripada ciri-ciri sebagai contoh yang dapat dikemukakan untuk difahami.

Kita pernah dengar kan lagu Cari Pasangan alunan kumpulan Rabbani? Jika tidak silap penulis, lagu tersebut adalah berkenaan bapa dan ibu kepada Imam Abu Hanifah rohimahu Allah. Lihat, bagaimana hebatnya persiapan iman dan taqwa ibu bapanya, Imam Abu Hanifah lahir sebagai insan begitu hebat.

Kita berdoa kepada Allah agar dibantu usaha menjadi hamba Allah yang taat, bakal/calon suami atau isteri (atau pasangan, bagi mereka yang sudah bernikah) yang bersungguh-sungguh beramal dengan agama. Saya setuju dengan nasihat yang selalu disampaikan, agar kesempatan masa bujang ini dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai persiapan sebelum menempuh alam sebagai suami-isteri. Bagi mereka yang berwawasan sejauh akhirat, yang mencintai Allah dan Baginda sholla Allah 'alaihi wa sallam, pastinya mereka adalah sangat komited menjadikan peluang berumah tangga sebagai sunnah Nabi kita yang dihidupkan, perkongsian pintar antara suami dan isteri dan menuju syurga Allah, proses melahirkan dan membesarkan generasi Islam yang soleh-solehah.

Ya Allah, bantulah kami dalam usaha kehambaan. Sungguh-sungguh kami ini berhajat kepada pimpinan dan bantuan-Mu.

...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...