Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 24 Mei 2013

Memikirkan Bagaimanakah Keadaan Kita Mati Nanti

Mencari kesudahan hidup yang baik

Nak tentukan pemenang perlumbaan maka kita akan lihat di garisan penamatnya. Boleh jadi ada pelumba yang awalnya sungguh pantas namun akhir-akhirnya dia pancit. Dan boleh jadi ada juga pelumba yang pada awalnya biasa-biasanya tapi bila dah masuk pusing terakhir dia buat pecutan lalu dia menempati tempat terawal di garisan penamat.

Begitulah analogi mudah untuk kita fahami perjuangan hidup ini. Jangan terlalu mudah menghukum dan melabel pada peringkat-peringkat awal ini. Hadirkanlah rasa gerun akan 'garisan penamat' kita nanti macam mana. Tiada siapa pun yang boleh jamin keadaannya.

Boleh jadi ada yang awal usia banyak kebajikan dilakukan, tetapi pada pengakhiran usia ada fitnah besar berlaku. (Kita mohon Allah pelihara kita daripada keadaan buruk sedemikian pada akhir usia)

Boleh jadi juga ada orang yang awal usia banyak kelalaian dan kesalahannya, namun pada akhir-akhir usianya dia benar-benar bertaubat dengan taubat yang tulen, beramal soleh, bahkan dengan rahmat Allah, kesalahannya yang silam ditukarkan menjadi kebajikan, juga dia bertemu Allah dalam keadaan yang baik.

Ada sebahagian daripada ulama yang mendidik dan memujuk kita, yang mana dikatakan jika kita yakin dan bersangka baik kepada Allah memohon agar dikurniakan kesudahan hidup yang baik, in syaa Allah kita akan dapat. Tapi awas, jangan kita bermudah-mudah dan bermanja-manja, melonggarkan tali syariat sehingga tersungkur dan tergelincir.

Laksanakanlah usaha kita, banyakkan doa dan tawakkal, pandang semua perintah Allah dan kebajikan sebagai keutamaan yang kita tamak untuk laksanakan, dan pandanglah segala perkara yang diharamkan Allah dan perkara sia-sia sebagai sesuatu yang kita hadir rasa benci dan tidak mahu lakukan walau sedikit. 

Ayat-ayat Allah yang dilihat


Ayat-ayat Allah dalam bentuk yang dilihat (mandzuroh)

Saya memang tersentuh dan terkesan dengan apa sering disebutkan oleh Prof Dr Muhaya bagaimana dalam banyak pembedahan/rawatan beliau, banyak kes terjadi jika dari sudut rawatan sepatutnya sukar proses itu, tetapi menjadi mudah urusannya. Bila ditanya tentang pesakit tersebut, didapati pesakit itu adalah insan yang banyak melakukan kebaikan dan ketaatan.

Nah, lihatlah kebesaran dan keagungan Allah pada insan-insan yang masih lagi hidup. Kita sudah maklum banyak kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang telah meninggal dunia, seumpama kes terjadi semasa pengkembumian dan seumpamanya. Tetapi kes yang berlaku ini kepada orang-orang yang masih hidup wajar lebih membuka mata hati kita.

Saya setuju menyatakan, itulah antara ayat-ayat Allah (bukti-bukti kekuasaan keagungan Allah) dalam bentuk yang dilihat (mandzuroh).

Perlunya Disiplin Untuk Berjaya

Tadi dalam kereta ada dengar sekejap program dengan Prof Dr Muhaya. Beliau ada sentuh aspek disiplin. Itu bawa saya terfikir lebih lanjut.

Benarlah banyak diungkapkan berhubung motivasi dan strategi kejayaan. Buatlah sehebat mana perancangan dan keputusan, tapi jika tidak ada disiplin dalam melaksanakan perancangan, maka hasilnya janganlah diharap begitu tinggi.

Formula mudah saya nak faham:

Lebih kuat disiplin = Lebih tinggi keberhasilan kejayaan

Ayuh, nak 'rotan' diri sendiri sebab asyik manja beri alasan, tak mau berdisiplin.

Banyak contoh realiti. Suasana pasukan sukan, kuat disiplin mereka, maka hebat prestasi mereka. Contoh: pasukan bola keranjang MCKK pada tahun-tahun sekitar saya masih di MCKK. Sungguh hebat disiplin mereka. Petang-petang gigih buat latihan. Hasilnya alhamdulillah berjaya jadi juara antara SBP dalam banyak tahun.

Dalam bab hafazan Quran contohnya: jika malas mengulang, jika malas tambah modal, maka macam mana nak dapatkan hafazan yang berkualiti, masyi, dalam kuantiti yang tinggi.

Hakazal hayah.....

Melihat Perkahwinan Dengan Lebih Matang dan Berwawasan Akhirat

Suatu ketika dulu, saya agak pesimis dengan perkongsian yang begitu 'membanjir' dalam bab perkahwinan.

Tapi seiring pertambahan umur yang in syaa Allah juga dengan kematangan, maka hal demikian yang berhubung perkahwinan juga boleh dan wajar dilihat dalam kaca mata yang lebih matang dan berwawasan akhirat. 

Bahkan saya melihat perbincangan dan kesedaran yang cuba dipupuk seputar hal ini adalah amat membantu, terutama dalam memberikan perlindungan kepada para muslimaat kita, juga secara umumnya kepada semua untuk menjaga kehormatan diri.

Memang perbincangan dan persiapan ke arah, dan selepas perkahwinan adalah sesuatu yang penting. Ya lah, perkongsian hidup yang akan dibina bukanlah sehari dua, sebulan dua, setahun dua, tetapi in syaa Allah jauh lebih lama, dan jika diizinkan Allah sehingga ke syurga. Maka keputusan dalam bab ini wajar diberikan keutamaan dan perhatian.

Bakal pasangan adalah bakal sahabat paling hampir, bakal guru juga, bakal pemberi peringatan juga, serta banyak peranannya yang mulia yang lain.

Ciri-ciri bakal pasangan juga banyak mempengaruhi keadaan seseorang selepas perkahwinan, subhanallah syukur alhamdulillah jika menjadi lebih positif, produktif, taat akan Allah, dan nauzubillah jika sebaliknya berlaku. Sering kali juga diajukan pertanyaan kepada Prof Muhaya dalam IKIM fm dalam bab ini. Saya terpanggil-panggil dengan respon yang selalu diutarakan beliau: adakah pasangan itu menjaga solat? Jika solat terjaga maka in syaa Allah banyak urusan lain juga akan terjaga.

Pastinya secara realiti, kita tidak mengatakan dan menjangkakan segala-galanya yang indah dalam perkahwinan, tetapi apa yang cuba kita ketengahkan dalam minda kita betapa perlunya direbut 1001 peluang kebajikan ketaatan yang istimewa kepada orang-orang yang berkahwin (mutazawwijiin).

Jumaat, 10 Mei 2013

'Merotan' Nafsu


Apabila mahu 'merotan' nafsu, rotanlah dengan rotan bahawa diri itu boleh saja mati pada bila-bila masa, boleh jadi pada jam seterusnya, atau pada hari seterusnya. Maka nafsu akan menjadi cemas mengenangkan apa yang akan dihadapi pasca kematian.

Tetapi jika dikatakan kepada nafsu bahawa kematian itu masih jauh, maka akan wujud ruang selesa bagi nafsu meneruskan kejahatannya, kerana merasakan masih ada masa untuk jauh daripada Allah.

Bergaullah dengan orang-orang yang soleh, mudah-mudah curahan rahmat kepada mereka itu terpalit juga kepada kita.

Khamis, 9 Mei 2013

Usaha Ke Arah Perkahwinan - Perkongsian Pandangan

Usaha ke arah menghidupkan sunnah Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam - Baitul Muslim

Ada dalam kalangan saudara kita mengadu perihal agak sukar untuk mencari dan bertemu dengan calon yang ada ciri diidamkan.

Saya walaupun bukanlah dalam kalangan mutazawwijin cuba membantu dan memberikan buah pandangan kepada beliau:

- (Sememangnya kita menjadikan faktor agama sebagai aspek terutama dan pertama), maka selepas itu susunlah prioriti ciri-ciri pada calon yang dicari. Maka keutamaan kita dalam ikhtiar pencarian merujuk kepada urutan prioriti ciri yang sudah diletakkan, jika tidak dapat yang bawah-bawah itu pun tak pa lah.

- Tidak mudah (dan tidak realistik) untuk mendapat calon dengan 100% ciri yang diidamkan.

- Lumrah dan hakikat kehidupan --- inilah medan ujian, tidak semua yang kita inginkan akan kita dapat dengan segera dan mudah, lebih-lebih lagi jika cita-cita untuk besar, maka lebih iltizam, kesabaran, pengorbanan, kesungguhan yang diperlukan. Maka, perlu ada dalam persediaan minda bahawa usaha-ikhtiar ke arah perkahwinan ini boleh jadi mudah dan cepat, boleh jadi mencabar dan memakan masa. Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan, kedua-duanya jika disantuni dengan adab sebagai hamba-Nya, kita akan tenang dalam menitinya dan meraih pengumpulan pahala.

- Cuba mohon saluran ikhtiar lebih daripada satu saluran, kerana boleh jadi satu-satu saluran saja ada kekangan tertentu, maka lebih daripada satu saluran itu lebih membawa kebarangkalian berjaya yang lebih tinggi.

- Jangan terlalu cerewet, kerana hal sedemikian akan lebih membawa kesan negatif.

- Jangan cepat berputus asa, seperti 'takpa lah, tak kahwin pun takpa' tanpa kita melaksanakan tuntutan untuk berusaha yang terbaik, kerana kita boleh terlepas banyak kebaikan dan pahala daripada ibadah pernikahan.

- Perlu kita ingat, antara bentuk perlindungan kita kepada para muslimaat-akhowaat kita adalah dengan berusaha mempertemukan calon jodoh mereka dengan para musliiin-ikhwah yang in syaa Allah ada nilai iman dan taqwa.

Sungguh besar pahala bagi mereka yang berkahwin, maka bayangkanlah juga bagaimana pahala disediakan kepada mereka yang menjadi pembantu-pemudah cara yang membawa dan membantu saudara-saudari seagama kita kepada perkahwinan yang diredhai. Maka, motivasi bagi mereka yang sudah selesai mendirikan keluarga, bantulah sesuai dengan kemampuan kita, bantu mereka yang sedang menuju ke arah perkahwinan.

Sibukkan Diri Dengan Kebaikan


Sibukkan dan padatkan jadual harian kita dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang dinilai soleh di sisi Allah,

kerana dengan kesibukan itu kita menutup serapat-rapat yang mungkin apa-apa ruang untuk berlakunya kelalaian, dan yang lebih utama lagi untuk menjauhi perkara-perkara yang tidak diredhai Allah.

Banyak ketaatan adalah satu bentuk beban yang boleh digunakan untuk mendidik dan mengawal nafsu.

Kepenatan dalam melakukan ketaatan di dunia adalah sebentar kepenatan itu, kerana di akhirat sana nanti kebahagiaan dan keselesaan yang amat hebat dan kekal menanti.

Teruskanlah suasana dalam keadaan saling mengingati, agar kita tahu landasan perjalanan sebenar kita.

Rabu, 1 Mei 2013

Antara petua mengenai hifzul Quran (hafazan Al-Quran)

Antara petua mengenai hifzul Quran (hafazan Al-Quran) 


- Utamakan memahami ayat yang dihafaz

- Sematkan keikhlasan niat dalam hati semata-mata mencari redha Allah, sebagai jalan menghampirkan diri kepada-Nya

- Fokus dengan jumlah yang ditetapkan (jumlah yang munasabah dengan kemampuan diri dan kesediaan masa dan tenaga) untuk dihafaz dan ditasmi' (diperdengarkan-disemak)

- Ulanglah sebanyak-banyak yang mampu dan mungkin ayat-ayat Al-Quran sehingga pada satu tahap, in syaa Allah, hafazan tersebut sudah sebati, lancar, masyi, terasa ringan untuk dibaca. Isi segala ruang masa untuk membacanya: seperti ketika berjalan, menaiki kenderaan, sedang menunggu dan lain-lain

- Jika kita hafaz satu muka surat, dan kita konsisten mengulang dan segar dalam ingatan hafazan tersebut (1), itu adalah lebih hafiz/hafizah berbanding menghafaz sepuluh muka surat, tetapi hanya ingat dan mengulang satu muka surat (2), kerana (1) 100% menjaga dan mengamalkan hafazan dan ilmunya, manakala (2) hanya 10% menjaga dan mengamalkan hafazan dan ilmunya.

- Setelah kukuh hafazan yang awal-lama, sehingga sebati dalam ingatan, maka boleh diusahakan untuk tambah hafazan baru. Jangan terburu-buru untuk tambah hafazan baru seandainya hafazan lama belum masak.

- Pada marhalah/peringkat yang selanjutnya, adalah lebih bermanfaat jika kita mengusahakan untuk memahami tafsir-pengajaran daripada ayat-ayat Al-Quran yang dihafaz.

- Pujuklah diri bahawa kesibukan bersama Al-Quran adalah kesibukan yang teramat hebat dan tinggi di sisi Allah. Setiap 1 huruf Al-Quran sahaja dijanjikan 10 ganjaran pahala.


Ilmu dan Pendidikan - Rawatan yang lebih mengakar

Satu perkara yang Islam ajarkan untuk terus-menerus dilaksanakan walaupun umat Islam sedang terlibat peperangan, berjihad meninggikan kalimah Allah -- apakah perkara tersebut?

Sehingga diajarkan agar ada sebahagian daripada umat Islam melaksanakan perkara tersebut, dan apabila kembalinya mereka yang berperang dapat diajarkan dan diingatkan mereka.

Moga kita ambil perhatian. Mengapa kita terus menerus 'berjuang' (dan ada juga yang tergelincir tak terlepas untuk caci-maki, mendakwa, tuduh-menuduh, memfitnah, bertikam keyboard, bertikam lidah dan lain-lain) dalam urusan melibatkan politik kepartian tetapi kita tidak mahu melihat antara akar permasalahan dan usaha membaiki-merawat secara mengakar dan dalam jangka masa yang panjang?

--- yang dimaksudkan ialah ILMU dan PENDIDIKAN--

(*Ditujukan kepada saya sendiri dan mana-mana pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk berfikir dan cuba menghadapi masalah dari segi rawatan yang mungkin agak memakan masa, bukan rawatan semalaman. Saya tidak menafikan keperluan bertindak dalam segenap aspek secara betul, ruang pilihan raya, ruang kempen dan seumpamanya)

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...