Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Ahad, 30 Jun 2013

Tips Hafazan Al-Quran: Banyakkan Ulangan

Tips petua hafazan Al-Quran:

- Jika pada awalnya berniat menjadikan hafazan Al-Quran sebagai salah satu jalan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah,

maka jika sudah diperoleh hafazan Al-Quran, jagalah dan amalkanlah hafazan tersebut, realisasikan niat pada awalnya. 

Kerana diumpamakan hafazan Al-Quran itu akan 'merajuk' kuat jika lama tidak diulang dihidupkan, dan diibaratkan juga unta yang perlu diikat kemas (dengan ulangan-penjagaan) sebelum unta itu liar kehilangan.

Usaha Baiki Diri Melalui Didikan Solat Berjamaah

Ingin berusaha membaiki diri?

In syaa Allah kita boleh! Bantuan Allah sentiasa hampir kepada kita.

Mulakan dengan satu-satu amalan dulu. Biar berkualiti dan konsisten. Walau ringan dan mudah. 

Bagi para muslimiin (lelaki), bagus dan berguna jika kita mulakan antaranya untuk baiki diri kita dengan menjaga solat fardhu berjama'ah. Kerana ada banyak falsafah dan didikan kepada kita melalui solat fardhu jama'ah.

Lebih hebat lagi adalah solat fardhu subuh berjama'ah. Kerana mafhum hadis: "seandainya seseorang itu tahu keutamaan solat fardhu berjama'ah, maka dia sanggup mendatanginya walau dalam keadaan merangkak."

Semoga Allah memimpin dan memberikan kekuatan kepada penulis yang sentiasa lalai ini terutamanya dan kepada sahabat-rakan semua untuk kita tergolong dalam kalangan mereka yang menjaga solat fardhu berjama'ah, dan sentiasa berusaha membaiki diri.
 

Utamakan Cinta Akhirat



Tidak akan berkumpul antara dua cinta dalam satu hati. Hati kita hanya mampu menanggung satu cinta yang suci sahaja.

(In syaa Allah poster ini saya jadikan hadiah dedikasi kepada sahabat-rakan semua, juga kepada seluruh umat Baginda Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam secara umumnya)

Semoga bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita.
 

Lebih Untung Hadiahkan Pahala Ibadah Kebaikan

Mengambil faedah daripada kuliah kitab Sairus Salikin Jilid 2 pagi tadi bersama KH Ahmad Fahmi:

Boleh dan bahkan lebih baik jika kita melaksanakan sesuatu ibadah dan kebaikan, dengan diniatkan agar pahalanya dihadiahkan kepada arwah umat Islam yang lain, ibu bapa dan seumpamanya.

Kita yang melaksanakan ibadah itu tidak rugi. Orang yang kita hadiahkan pahala akan dapat kiriman pahala tersebut, dan kita pula mendapat pahala memberi hadiah.

Sabtu, 29 Jun 2013

Ciri Beragama Adalah Keutamaan dalam Pemilihan Bakal Isteri

Buat pemuda yang menginginkan ketenangan hakiki dunia dan akhirat, amatilah pesanan Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wasallam dalam hal pemilihan bakal isteri.

Benar, permata tak ternilai daripada Baginda Nabi tersebut adalah sesungguhnya bimbingan keselamatan dan kejayaan kepada kita.

Pilihan terhadap ciri beragama in syaa Allah akan memberikan begitu banyak kebaikan. Bukan sahaja dia bakal menjadi bidadari solehah pendamping dalam hidup di dunia ini, bahkan menjadi 'madrasah' tarbiyyah untuk bakal anak-anakmu yang menjadi aset tidak ternilai.

Pada masa yang sama, diri sendiri perlu dipersiapkan dengan persediaan iman, ilmu, akhlak.

Semoga Allah berkati segala usaha saudara-saudari kita yang menjadikan pernikahan sebagai jalan menjaga kehormatan diri, meraih redha Allah, mencari ketenangan, menghidupkan sunnah Baginda sollaAllahu alaihi wa sallam, menyalurkan fitrah insani mengikut aturan syariat Islam.

Pakai Tali Pinggang Keselamatan - Ikhtiar Jaga Nyawa Semasa Dalam Kenderaan

Dulu saya memandang ringan aspek pemakaian tali pinggang keselamatan walaupun dalam bas ekspres. Tapi insiden kemalangan di mana terbaliknya bas baru-baru ini lebih membuka mata saya.

Sama-sama lebih mematuhi sunnatuLlah. Hukum fizik juga adalah mematuhi hukum Allah. Ikhtiar kita lebih tinggi jika memakai tali pinggang keselamatan. Jika bas terbalik semasa kita tidur, setidak-tidaknya ada tali yang mengikat kita daripada lebih tercampak dan terhantuk lebih serius.

Pengajaran daripada ajaran Islam, bagaimana dalam Al-Quran dinyatakan jaminan Allah kepada Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa salam tidak akan dibunuh oleh manusia lain, tetapi Baginda sendiri dalam peperangan memakai pakaian perang. Jika diikut logik, buat apa pakai pakaian perang sedangkan sudah ada jaminan Allah?

Itulah didikan agama kepada kita. Persiapan zahir tidak membatalkan tawakkal.

Jumaat, 28 Jun 2013

Belajar Tentang Kehidupan Melalui Tindakan dan Pengalaman

Saya mula menulis di blogspot sejak tahun 2007. Semasa zaman pasca SPM, dan zaman persediaan pra-universiti. 

Sekarang sudah tahun 2013. Zaman bekerja. Hampir 6 tahun sudah. 

Bila dijejak kembali catatan lama, boleh nampak ada perbezaan tahap pemikiran, tahap kematangan, perspektif hidup. 

Begitulah proses belajar faham agama dan kehidupan ini. Proses yang memakan masa. Biarpun lama dan menuntut kesabaran dan kegigihan, hal demikian tidak wajar menjadi alasan untuk kita terus meninggalkan usaha membaiki diri. Laksanakanlah sedikit demi sedikit.

Dari sudut pandang secara praktikal dalam kehidupan: "Learning is not by reading alone anymore, learning is more understandable and effective by DOING and EXPERIENCING." -Therefore, by believing this, we won't have huge fear to keep on moving and striving, since each single mistake with reflection and lesson learned will make us RICH and growing bigger.

Hakaza al-hayah.

Sentiasa Kita Berpeluang Untuk Membaiki Diri

Ingin berusaha membaiki diri?

In syaa Allah kita boleh! Bantuan Allah sentiasa hampir kepada kita.

Mulakan dengan satu-satu amalan dulu. Biar berkualiti dan konsisten. Walau ringan dan mudah.  =)

Bagi para muslimiin (lelaki), bagus dan berguna jika kita mulakan antaranya untuk baiki diri kita dengan menjaga solat fardhu berjama'ah. Kerana ada banyak falsafah dan didikan kepada kita melalui solat fardhu jama'ah.

Lebih hebat lagi adalah solat fardhu subuh berjama'ah. Kerana mafhum hadis: "seandainya seseorang itu tahu keutamaan solat fardhu berjama'ah, maka dia sanggup mendatanginya walau dalam keadaan merangkak."


Semoga Allah memimpin dan memberikan kekuatan kepada penulis yang sentiasa lalai ini terutamanya dan kepada sahabat-rakan semua untuk kita tergolong dalam kalangan mereka yang menjaga solat fardhu berjama'ah, dan sentiasa berusaha membaiki diri.

Isnin, 24 Jun 2013

Antara Tips Murah Rezeki

Tips murah rezeki, ( just sharing, because me myself tak mampu nak buat semuanya)

Ada banyak, antaranya:

- Konsisten solat dhuha
- Istighfar
- Selawat
- Baca surah Al-Waqiah setiap hari
- Kerja yang halal
- Keluarkan haknya (zakat pendapatan)
- Sedeqah pada kadar yang mampu (sebab sedeqah ini akan buka lagi pintu rezeki)

Having said all above, bagi mereka yang sibuk baca Quran sampai tak sempat berdoa, in syaa Allah diorang akan dapat much better than those orang yang berdoa.

Antara Falsafah Ramadhan

Falsafah ibadah puasa dan Ramadhan (berdasarkan kuliah maghrib di Masjid Al-Hasanah B B Bangi tadi) serta perkara berkaitan dengannya

- mendidik kita untuk menjadi bertaqwa, untuk mengekang dan memberikan tekanan nafsu (nafsu syahwat, nafsu makan, nafsu untuk mengumpul kekayaan dunia), membentuk keperibadian yang mulia. Perkara yang halal sekalipun dilarang untuk dilakukan pada siang harinya. Sememangnya itu adalah satu bentuk didikan terhadap nafsu.

- lanjutan daripada didikan terhadap nafsu (3 jenis nafsu di atas), sesungguhnya banyak kebaikan yang menanti. Contohnya bagi nafsu makan, risiko penyakit dikurangkan, kesihatan badan ditingkatkan.

- bulan yang begitu banyak ganjaran kebaikan bagi setiap jenis amalan.

- salah satunya, orang yang memberikan makan minum bagi orang lain yang berpuasa, maka in syaa Allah si pemberi itu turut mendapat pahala puasa orang yang berbuka dengan makanan yang diberikan kepadanya tanpa berkurang sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut.

..........

Mudah-mudahan Allah menyampaikan kita kepada Ramadhan Al-Mubarak, semoga kita beroleh motivasi, kesungguhan, kekuatan, keikhlasan, kemudahan untuk melaksanakan ibadah dengan terbaik yang termampu (baik kualiti mahupun kuantiti), serta dipertemukan kita dengan malam Al-Qadr, boleh beramal dengan baik pada malam Al-Qadr.

Salah satu petua hafazan Al-Quran

Salah satu petua hafazan Al-Quran 

- Menjaga dan memantapkan hafazan yang lama, hafazan yang sudah diambil, disemak dengan guru (tasmi') sehingga masyi-lancar diulang-ulang, 

sebelum menambah hafazan yang baru.

- Perkara ini adalah selari dengan mafhum firman Allah menyuruh kita bersyukur dengan kurniaan-Nya yang in syaa Allah dengan sebab demikian akan ditambah lagi nikmat-Nya.

- Jangan terburu-buru membanyakkan kuantiti ayat yang dihafaz sedangkan kualitinya terabai. Adakah tergesa-gesa membanyakkan hafazan kerana mahukan syahadah-sijil? Adakah tergesa-gesa membanyakkan hafazan kerana mahu dipuji dan dipandang tinggi? Jika ada, maka amat perlu kita segera membetulkannya.

- Cukuplah segala ibadah dan ketaatan kita sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya, semua ibadah kita hanya dipersembahkan kepada-Nya, kerana hanya DIA yang layak menilai dan menerima serta memberikan balasan. Mudah-mudahan Allah bantu kita untuk menjauhi dan/atau melenyapkan pengaruh makhluk dalam niat kita.

Ahad, 23 Jun 2013

Tiga niat permintaan pada malam Nisfu Sya'ban

Tiga niat permintaan pada malam Nisfu Sya'ban

- walaupun tidak ada nas secara tepat menyatakan ketiga-tiga perkara tersebut, namun para ulama kita yang begitu alim dan bijak memahami segala nas yang lain serta tahu apa keutamaan hidup, (sebagaimana syaikh kita terangkan)

- maka mereka menyusun tiga perkara besar tersebut, dan in syaa Allah dengan diqabulkan Allah, sungguh besar apa yang akan diperoleh itu.  (sebagaimana syaikh kita terangkan)a

- sebenarnya, secara umumnya, banyak dalil lain secara umum yang boleh dirujuk yang merangkumi permintaan tersebut (seperti firman Allah agar kita berdoa kepada-Nya dan akan dijawab-Nya dan lain-lain).


1. Panjang umur dalam taat kepada Allah
2. Luas rezeki
3. Mati dalam keadaan tetap iman

Sabtu, 22 Jun 2013

KPI berbeza dalam pengabdian diri kepada Allah

KPI berbeza dalam pengabdian diri kepada Allah

- Sebahagian orang yang lebih kenal Allah, lebih halus jiwa, lebih teliti perjalanan ruhaniyah mereka:

   - perkara yang makruh sekalipun sudah dilihat dirasakan begitu berat seumpama perkara makruh itu adalah dosa. (Maka apatah lagi dosa yang jelas dosa, maka mereka sangat menjauhi dosa).

  - perkara yang mandub (perkara yang jika dikerjakan akan dapat pahala, jika tidak dibuat tidak ada apa-apa kesan) sekalipun sudah dilihat dirasakan seumpama perkara yang wajib, jika terlepas mereka merasai penyesalan. (Maka apatah lagi ibadah dan perintah yang jelas wajib, maka mereka benar-benar menjaga kualiti ibadah yang wajib).

  - itulah, semua ini banyak balik bergantung kepada persediaan dan tahap individu-individu.

  - kesiapsiagaan, berhati-hati dan sangat cermat untuk menjauhi permulaan dosa, menjauhi angan-angan dan keinginan melakukan perkara sia-sia, makruh dan dosa: in syaa Allah sikap ini akan lebih menyelamatkan diri, membina benteng yang lebih kukuh daripada terjerumus kepada kemaksiatan.

  - sungguh, selagi mana kita bernyawa, selagi itulah akan sentiasa ada ujian. Syaitan tidak akan berhenti dan berputus asa untuk memperdaya, merosakkan ibadah dan akidah, menyesatkan kita. Jika perkara besar tidak berjaya, maka cubaan berterusan akan diteruskan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia dengan perkara lebih kecil dan tipu daya rayuan adalah lebih licik.

Semoga Allah sentiasa memelihara dan mengurniakan bantuan dan kekuatan kepada kita, mudah-mudahan kita sentiasa hidup hati dengan majlis ilmu, bergaul dengan orang-orang soleh, padat jadual harian dengan perkara bermanfaat, cari suasana yang menghidupkan iman.

Ya Allah, berikan kami kesudahan hidup atas pegangan aqidah yang sohihah, husnul khotimah.

Khamis, 20 Jun 2013

Sikap Tepat Orang Beriman Hadapi Susah dan Senang

Mengambil faedah ringkas daripada syarahan kitab Al-Hikam Imam Ibnu 'Atoillah oleh Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki,
(mafhumnya kurang lebih mengikut susunan penulis ini):

Sikap paling tepat orang beriman dalam berhadapan kesenangan dan kesusahan adalah menerima dan meredhainya sebagai ketentuan daripada Allah. 

Secara zahirnya kita melihat, menyiasat, bertindak dan seumpanya mengikut aturan syariat, tetapi secara batinnya kita melihat perkara itu adalah adalah perbuatan Allah.

Tanda kedewasaan iman seseorang adalah, dia tidak lagi hanya bergembira dengan kesenangan dan bersedih dengan kesusahan (kerana itu masih lagi menampakkan kebudak-budakan), tetapi dia melihat dan menerima kedua-duanya sebagai ketentuan daripada Allah.

_______

Mudah-mudahan penulis/pencatat yang serba lalai ini sendiri beroleh manfaat dan kekuatan pimpinan daripada Allah untuk membaiki diri, juga kepada kalian wahai sahabat-rakan yang dikasihi kerana Allah semoga mendapat manfaat,

Ya Allah, ampunkan kesalahan dan kelalaian kami. Pimpinlah kami dalam jalan ketaatan kepada-Mu.

Selasa, 18 Jun 2013

Kuasa Hati

Kuasa hati

Hebat kan kuasa yang ada pada hati?

- Jika hati berpuasa, in syaa Allah seluruh anggota lain turut berpuasa.

- Jika hati menundukkan pandangan, in syaa Allah seluruh anggota lain turut menundukkan pandangan.

- Jika hati tenang, in syaa Allah seluruh anggota lain turut tenang.

- Jika hati bersih dan terang, in syaa Allah seluruh anggota lain turut bersih dan terang.

- ... dan seumpamanya yang boleh kita amati, fikirkan, alami.

Utamanya untuk kita sentiasa ingat:

- Hati nurani kita menjadi tempat pandangan dan penilaian Allah, bukan zahir jasad kita.

- Hari kiamat kelak adalah hari yang tidak lagi berguna harta dan anak-anak, kecuali mereka yang bertemu Allah dalam keadaan hati yang sejahtera.

Belajar dan Faham Agama Perlukan Masa Panjang

Antara syarat untuk mendapat kematangan dan kualiti ilmu itu adalah antaranya perlukan masa yang panjang dan mencukupi, setuju tak?  :)

Itulah yang kita kena hadirkan semangat kepada diri kita. Usaha belajar adalah sepanjang hayat. Ketika dah berkeluarga pun didoakan semoga Allah mudahkan laluan untuk belajar.

Sahabat-rakan yang dikasihi kerana Allah,

Saya yakin kemudahan yang banyak sekarang adalah menjadi alat pemudah cara yang banyak membantu kita mendapatkan medium untuk menambah informasi, ilmu dan kefahaman yang bermanfaat. Kita juga yakin bahawa, tidak begitu pantas untuk kita segera berinteraksi dan beraksi pada tahap yang bukan dalam kawalan kita.  Tak bagus kan kalau jadi orang berilmu yang jenis celup-celup dan segera ni kan? Mungkin ada mudarat dalam jangka masa yang panjang.

Banyak perbincangan dan komentar lanjut dalam bab ini. Tapi catatan saya adalah pencetus kesedaran untuk lanjutan kita berfikir.

In syaa Allah, kita boleh lakukannya, akan dapat manfaat jika kena caranya. Carilah guru yang dipercayai, penguasaan ilmunya adalah kukuh, guru yang berguru, guru yang membawa faham dan manhaj majoriti ulama Islam zaman berzaman yakni Ahlus Sunnah Wal Jama'ah ( jika dalam disiplin aqidah mereka meneruskan kefahaman Asya'irah dan Maturidiyah, dan dalam disiplin fiqh mereka meneruskan kefahaman bermazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i, Hanbali), guru yang diakui akhlaknya.

3 cabang utama ilmu yang tertinggi martabatnya dalam agama kita yang turut difahami daripada hadis Jibril adalah:

1) Tauhid-aqidah
2) Fiqh-syariah
3) Tasawwuf-akhlak

Semoga kita beroleh manfaat. Sesungguhnya perkara yang mustahak adalah tidak rugi jika selalu diulang diingatkan.

Sabtu, 15 Jun 2013

Kukuhkan keselamatan diri dalam zaman fitnah ICT

Kukuhkan keselamatan diri dalam zaman fitnah ICT

Sebelum meneruskan usaha menambah ilmu dan kefahaman yang bermanfaat, saya berpendapat bahawa sangat baik jika penuntut ilmu itu (masyarakat secara umumnya) diberikan pendedahan tentang:

rangka asas dan gambaran besar tentang institusi ilmu dan ulama itu,

bagaimanakah menentukan kebenaran dan pencariannya,

kelompok dan aliran manakah yang berada dalam arus perdana yang dijamin keselematannya (firqah an-najiah),

bagaimanakah mengetahui siapakah yang boleh dijadikan rujukan dan pautan, sumber ambilan (berdasarkan kriteria keilmuwan dan keahlian yang menurut proses yang benar dan ada pertalian ilmu - bukannya sesetengah jenis yang sekadar duduk begitu lama bersendirian di dalam perpustakaan, bacaan sendiri terhadap buku-buku, PDF, laman-laman internet: tanpa ada semakan pengesahan kefahaman, tanpa ada kelayakan ilmu alat yang asas),

dan seumpamanya yang penting dan sangat membantu pada peringkat awal.

Pada zaman yang sangat mudah kita mendapat capaian perkongsian informasi dan 'ilmu' serta bercampur-campur benar, separa benar, dan penyelewengan, risiko untuk kita tersesat dalam 'cahaya' adalah wujud.

Tidak kurangnya penularan dan penyebaran idea kelompok literalis dalam berhadapan dalil-dalil mutasyabihaat (samar-samar maknanya), lalu dipopularkan kefahaman yang syaaz (janggal) dan begitu mengelirukan dan mencederakan asas aqidah umat.

Maka, berhati-hatilah. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Kita orang awam mungkin cepat terpesona dengan hidangan berbagai-bagai hujah dan dalil, kita tak tahu sejauh manakah pembentangan itu amanah dari sudut ilmunya, hanya orang yang arif dan berkeahlian saja mampu menilai kesemua itu dengan neraca ilmu, tahu di mana duduknya, tahu di mana ceteknya kefahaman, tahu di mana cacat dan janggalnya sesuatu kenyataan atau kefahaman itu.

Ancaman secara tidak sedar: 'Najdiyyun'-literalis-pseudoS, Syiah, pluralisme, liberalisme dan seumpamnya.

Rabu, 12 Jun 2013

Mula Mengumpul Dana Akhirat yang Kekal dan Berterusan

Mula mengumpul dana dan aset kekal serta berterusan dijana biarpun sudah meninggalkan dunia.

Bagus juga sekiranya kita sudah ada niat jelas dan ikhlas untuk menggunakan sebahagian pendapatan halal kita untuk tujuan hadiah-sedeqah-waqaf pada jalan Allah.

Bagi yang bekerja dan punyai pendapatan tetap bulanan, boleh juga diikhtiarkan potongan secara bulanan, bermula dengan satu jumlah minimum yang kita mampu. In syaa Allah, bagi pemberian pada organisasi yang dibenarkan, perlepasan cukai LHDN juga akan diperoleh (tetapi niatkanlah untuk memperuntukkan pendapatan kita pada jalan redha Allah, bukan untuk lari daripada cukai LHDN).

Pada pengamatan peribadi saya, potongan bulanan, biarpun kecil jumlahnya, itu melatih keikhlasan dan sikap konsisten, dan kita sudah maklum bahawa amalan yang konsisten walaupun sedikit adalah lebih dicintai Allah.

In syaa Allah, pendapatan dan harta kita juga akan beroleh keberkatan. Setiap RM 1 dibelanjakan ikhlas pada jalan Allah, minimum RM 10 menjadi milik kekal kita dalam akaun akhirat. Kita tak hilang apa-apa sebenarnya. Bahkan perbelanjaan ikhlas kerana Allah juga membuka pintu rezeki dan ketenangan hati.

### Boleh buat potongan bulanan daripada gaji kita (borangnya boleh didapati daripada jabatan pengurusan sumber manusia), dan boleh dimasukkan kepada mana-mana antara berikut:

- Jabatan zakat negeri (untuk zakat pendapatan)
- Perbadanan waqaf (untuk tujuan waqaf)
- Rumah anak yatim dan miskin
- Dana pembinaan dan pembangunan masjid, pusat, institusi ilmu Islam.
- dan banyak lagi...

Salah satu saluran waqaf yang ada: http://www.wakafselangor.gov.my/

Ahad, 9 Jun 2013

5 Perkara Menjadi Urusan dan Rahsia Allah

5 perkara yang menjadi rahsia dan urusan Allah, kita tidak tahu. (Istifadah daripada kursus)

1. Masa kematian
2. Tempat kematian
3. Jodoh perkahwinan
4. Rezeki
5. Hari kiamat

Maka, kita atas kapasiti dan peranan kita sebagai hamba-Nya, laksanakanlah tugas dan urusan kita sebaik mungkin. Jangan diragui keyakinan akan keadilan dan keluasan rahmat dan kurniaan Allah kepada para hamba yang beriman.

Seputar Kursus Pra-Perkahwinan di Masjid Negara

Alhamdulillah, syukur dapat menamatkan kursus di Masjid Negara.

Banyak kebaikan yang saya cuba rebut.

- Banyak guru/penceramah adalah 'otai' dalam bidang mereka. Ada dalam kalangan imam Masjid Negara, Masjid Besi, berkhidmat di bawah JAWI yang berpengalaman lama dan luas menguruskan begitu banyak ragam dan kes yang melibatkan suami isteri.

- Kursus pra-perkahwinan selepas ini pada masa akan datang dimaklumkan akan dilaksanakan segala ujian, untuk menguji sejauh mana kefahaman peserta.

- Bermula Jun tahun ini, JAKIM sudah mengarahkan agar ditayangkan video ringkas yang berkisar tajuk slot, pada waktu sebelum dan selepas slot. Saya suka dan bersetuju dengan pendekatan ini. Ini telah merealisasikan konsep dan pendekatan dakwah yang berjalan dan berkembang seiring peredaran zaman dan kemajuan. Lakonannya mantap. Mesejnya jelas. Bahkan boleh menyentuh perasaan penonton. Kualiti gambar dan suaranya pun subhanaAllah cantik.

- Saya juga melihat kaedah penyampaian asatizah (para ustaz) yang berjaya menarik minat. Ada antara mereka yang buat jenaka yang memang fresh untuk wujudkan suasana ceria, banyak menggunakan istilah bahasa Inggeris, banyak merujuk penulisan motivasi yang walaupun bukannya daripada orang Islam, gaya bahasa moden yang dekat dengan anak muda, dan bagi saya memang up to date lah ustaz-ustaz tersebut.

- Saya juga bersyukur kerana penyampai begitu banyak dan lama dalam urusan berkaitan perkahwinan, jadi masalah dan punca yang begitu selalu terjadi dikongsikan, dan panduan menghadapinya diajarkan.

- Saya semakin menyetujui bahawa perjuangan hidup ini pastinya perlu didasari dengan ilmu dan kefahaman yang jelas dan benar. Begitulah urusan perkahwinan. Islam agama kita adalah panduan hidup yang sempurna dan begitu rapi menyusun panduan kepada kita. Apa yang pasti, uswah hasanah (contoh ikutan yang baik) kita adalah Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam. Jika kita ragu-ragu, adakah benar tindakan yang kita akan buat atau tidak, maka rujuklah kepada Baginda Nabi.

- Matlamat kita in syaa Allah amat jelas dalam hidup ini. Mencari keredhaan Allah, mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah teras yang wajar dijadikan pautan kemas dalam apa-apa segala tindakan kita. Begitu juga perkahwinan. Jika benar niat dan caranya, hampir setiap benda yang kita buat in syaa Allah akan diberi ganjaran pahala, pengampunan dosa dan redha-Nya.

- Saya juga berasa begitu diingatkan untuk benar-benar merancang strategi penggunaan masa dan tindakan, kerana modal masa yang dipinjamkan Allah kepada kita adalah benar-benar terhad. Bahtera perkahwinan yang dilayari dengan perancangan yang sepatutnya in syaa Allah banyak kebaikan menanti.

- Bagi sahabat-rakan dan adik-adik yang belum menghadiri kursus ini, pada pengamatan saya, tidak salah jika kalian hadir awal. Itu tidak bermakna kita akan terus berkahwin dalam masa terdekat. Hadir dengan niat mencari ilmu berguna, dan sijil yang akan diperoleh akan sah sepanjang hayat.


Hasil daripada pendedahan sepanjang kursus juga , ada dua sudut pandang antaranya yang boleh diambil.

1. Betapa begitu besarnya beban amanah yang diambil melalui pernikahan. Jika diabaikan, banyak dosa menanti. (Tidak hairanlah ada antara pengantin laki yang menangis setelah sempurna akad, kerana mengenangkan beban amanah yang besar yang baru diambil, dan ada juga yang menangis kerana kesyukuran).

2. Betapa banyaknya dan semakin bertambah nilaian darjat dan gandaan pahala yang bakal diperoleh, in syaa Allah jika amanah dilaksanakan dengan penuh jiwa kehambaan, dengan sentiasa ada hubungan terus dengan Allah.


( dan banyak lagi sebenarnya permata berguna yang terasa ingin dikongsikan, namun mungkin setakat ini kesempatan ada pada kali ini.)

Mencari Rezeki Demi Nafkah Tanggungan - Suatu Jihad

Untuk seorang suami-bapa yang keluar bekerja mencari rezeki untuk diberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak, in syaa Allah usahanya itu adalah salah satu jihad.

Kesusahan sepanjangnya juga akan menggugurkan dosa.

Betapa indahnya dunia ini kerana sudah kita dikhabarkan dengan segala jaminan kebaikan daripada Allah Yang Maha Mengasihani. Syurga ma'rifah, syurga yang dipercepat.

Sabtu, 8 Jun 2013

Sebelum dan Selepas Akad Nikah: Syaitan Sentiasa Bekerja Menyesatkan Manusia

Apakah antara perkara yang dilakukan syaitan untuk memperdaya manusia?

Sebelum perkahwinan: dihasut dan digoda supaya lelaki dan wanita itu terjerumus dalam zina.

Selepas akad nikah: dihasut dan digoda supaya si suami dan si isteri untuk bercerai.

Laa haula wa laa quwwata illa biLlah.

Namun, para yang hamba Allah yang ikhlas (dalam surah Sod surah ke-38 ayat 82-83 digunakan kalimah al-mukhlasin) tidak dapat ditewaskan oleh syaitan.

In syaa Allah, sebagai bekalan kepada kita, secara khusus dalam bab perkahwinan dan juga secara umumnya dalam bab-bab kehidupan yang lain,

betapa perjalanan hidup ini tidak akan sunyi sepi daripada gangguan dan tipu daya syaitan.

Maka, in syaa Allah, marilah kita sentiasa kembali kepada Allah, kembali kepada Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam, kembali kepada ajaran Islam, kembali kepada hadaf/tujuan kehidupan ini, kembali sentiasa memohon bantuan daripada Allah, kembali sentiasa berusaha yang terbaik mempelajari ilmu agama dan mengamalkannya.

In syaa Allah selamat.

Mari Meyakini Jaminan Rezeki Allah

Mari meyakini jawapan Allah terhadap doa kita, mari meyakini jaminan rezeki Allah kepada kita.

Tidak semua perkara yang TERBAIK kepada kita pada penilaian Allah dizahirkan dalam bentuk material. Sungguh luas rahmat, keampunan dan kurniaan-Nya kepada kita.

Jika seluruh dunia ini berisi emas ingin digunakan untuk menebus diri orang kafir yang diseksa di neraka, maka sesungguhnya itu sedikit tidak pun boleh dilaksanakan.

Maka, mari kita lebih menghargai dan menjaga nilai yang terlalu besar nikmat iman, Islam dan menjadi umat Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam, nikmat merasai ketenangan hati, nikmat mempunyai panduan hidup yang jelas, wawasan yang pasti.

Khamis, 6 Jun 2013

Punca Banyaknya Dosa Lelaki dan Perempuan



Seorang perempuan itu meletakkan tangannya pada mulutnya dan dia menangis.

Dan seorang lelaki itu meletakkan tangannya pada matanya dan dia menangis.

Seakan-akan setiap seorang daripada mereka mengetahui daripada manakah bertambah banyak dosanya.

(Banyak dosa perempuan berpunca daripada mulut, banyak dosa lelaki berpunca daripada mata.)

Sabtu, 1 Jun 2013

Hampir Setiap Perkara Boleh Ditukarkan Jadi Pahala




Semua benda yang kita buat, atau kita berdiam sekali pun boleh ditukarkan jadi pahala, jika kena cara dan niat. :)

Subhanallah, syoknya. Tak jadi isu pun kalau tak mau mula kumpul pahala dari sekarang.

Sungguh banyak ada jalan tersedia untuk kita cari redha Allah. Terserah kepada kita semula. Nak atau tidak.

- Dengan berniat nak buat baik, dah dapat pahala!
- Jika dibuat, minimum pahala digandakan sehingga 10 kali. Lebih daripada itu pun Allah boleh beri, sampai 700 kali ganda, dan Allah Maha Memberi Kurnia tanpa hisab.

Kita tolong orang, kita berakhlak baik, bercakap kata-kata baik, kita senangkan hati orang, kita senyum kepada orang, kita beri sedeqah hatta RM1 sekali pun,

semuanya itu tetap masuk dalam buku akaun kita, yang kita akan lihat penyatanya nanti di akhirat. Mesti seronok sakan kan apabila penyata akaun kita penuh dengan kebaikan dan lipatan ganjaran kebaikan.


Rasa Selamat dan Rasa Putus Asa




Daie yang baik itu... tidak akan menimbulkan rasa putus asa kepada yang sedang berdosa dan tidak menimbulkan rasa selamat kepada yang sedang taat. (Akh Hafizi Al-Hafiz)

Lakukan Kebajikan Walaupun Kecil



Lakukan kebajikan meskipun kau anggap kecil. Sesungguhnya kau tak pernah tahu amal apakah yang menjadi jalanmu masuk syurga --Hasan AlBasri

(Kredit: Ukht Hazwani Hasnan)

Pandangan Cinta dan Pandangan Benci



Pandangan Cinta pasti akan memandang orang yang dicintainya dengan segala kebaikan dan akan membutakan mata daripada kesalahan orang yang dicintainya,

Pandangan Benci pasti akan memandang kepada seseorang yang dibencinya dengan segala keburukan dan kesalahan ( seolah-olah tiada kebaikan langsung daripada orang tersebut)...

P/S : Redha manusia adalah sesuatu yang mustahil untuk kita dapatkan secara keseluruhannya. Buat kerja yang diredhai Allah taala dan RasulNya , insyaAllah selesa hidup kita. Kejar Redha Allah taala dan RasulNya, Jangan Kejar Redha Manusia..

(Ustaz Nazrul Nasir Al-Azhariy, 2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...