Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Rabu, 11 September 2013

Hati-hati Dengan Penulisan dan Idea Aidh Qarni


Foto daripada Twitter yang dimuat naik oleh pengguna Facebook Mahmoud Al Wosabi (klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)


Terjemahan untuk foto tersebut yang dibuat oleh Mohd Nawawi Abdul Razak (serta edit oleh saya pada sofawiyun)

Dr Aidh : Wahai pendakwah-pendakwah Islam, tinggalkan perselisihan dan perbincangan mendalam mengenai isu furu', datanglah (ke Malaysia) untuk memurnikan akidah, di sini akidah hancur di tangan kuburiyun & orang-orang sofawiyun.

Muhammad as-Saggaf : Bahkan seluruh dunia menentang pandangan kamu yang bersifat takfir ini wahai syaikh Qarni, alangkah baik kalau syaikh Qarni tidak mengganggu umat-umat islam, tidak ada yang lebih bahaya kepada mereka daripada pandangan beliau ini.

Bin Talal : Ya syaikh Muhammad, maksud sebenar syaikh Qarni itu ditujukan kepada orang2 yang ghuluw dan pengamal khurafat bukan insan-insan berfahaman sederhana seperti kalian, dan kalian telah memberi manfaat kepada umat melalui siri Fattabiouni

Muhammad as-Saggaf : Aku kenal Malaysia dulu dan sekarang, dan gambaran syaikh Qarni mengenai (akidah muslimin) Malaysia tidak tepat/sahih


Daripada komentar Facebook Syaikh Muhamamd Husni Ginting Al-Azhariy,

Muhammad Husni Ginting:

Sudah lama saya tahu dari buku2 dan bacaan DR `Aidh Al-Qarni itu Wahabi tukang sesatkan ahli sufi dan Asya`irah tetapi banyak orang yang terperdaya dengan tulisan-tulisannya, setelah terjadinya keadaan serangan Syeikh Qarni terhadap penduduk Malaysia dengan mengkafirkan penduduk Malaysia yang kebanyakkannya Sufi maka saya mengajak saudara-saudara agar berhati-hati memilih Syeikh, buku-buku bacaan, hendaklah meminta pendapat ulama yang masyhur dengan keahli sunnahannya, ingat Indonesia dan Malaysia masuk kedalam agama islam melalui ulama-ulama sufi, sebelum ulama-ulama minyak dan rial datang ke Nusantara.

Lagi foto di bawah daripada pengguna Facebook Mohd Hanif:


                                          (klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)

Isnin, 9 September 2013

Semakin Membaiki Kualiti Ikhlas

Berusaha ke arah kualiti ikhlas dan sidq yang lebih baik, semakin menjauhi riyak

- Mafhum daripada apa yang diajarkan oleh guru kita dalam membincangkan kitab hikam Imam Ibnu 'Atoillah Sakandary rohimahuLlah: hati yang ikhlas dan menjauhi riyak tidak akan terkesan dengan apa-apa daripada makhluk.

- Kerana makhluk tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada manusia. Hanya Allah yang Maha Memberikan Balasan kepada amalan.

- Mafhum daripada Imam Al-Ghazali rohimahuAllah: manusia ini banyak rosak kerana manusia lain. Sebagai contoh: amalan yang baik menjadi rosak kerana penyakit riyak (kerana mahu dilihat makhluk, mahu mendapat tempat dalam hati manusia), kerana takabbur (merasa diri lebih baik, dan ini berlaku apabila diri sendiri membanding-banding dengan orang lain).

- Dalam ungkapan nasihat yang lain diajarkan kepada kita: kualiti ikhlas yang lebih baik adalah apabila sudah tidak ada perbezaan perasaan yang dialami oleh seseorang sama ada dia dipuji ataupun dia dikeji.

- Semoga Allah membantu kita untuk sentiasa membaiki kualiti niat kita, semakin menjauhi keburukan yang bersarang dalam hati.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sediakan Kain Kafan Sendiri

Bagus juga untuk mula berfikir dan mencari kain kafan putih sebagai persiapan kita untuk kepastian. Letakkan tanda nama: nama kita sendiri selaku bakal mayyit/mayyitah, bakal jenazah.

Letakkan di tempat yang selalu boleh dilihat.

Kesusahan Mencari Ilmu - Jadikan Sebagai Motivasi

Kesusahan mencari ilmu - lebih menjadikan kita menghargainya, menjaga, mengamalkannya, lalu mengharapkan keberkatan.

Melihat kembali kesungguhan perjuangan tokoh besar dalam ilmu Islam pada masa lalu, bagaimana mereka bermusafir dalam jarak yang begitu jauh, dalam tempoh yang begitu lama, dengan perbelanjaan yang banyak demi semata-mata menuntut sesuatu ilmu. Kadang-kadang ilmu yang dicari itu tidaklah begitu banyak, dan logik orang awam kita pada hari ini akan menyatakan bahawa perbelanjaan besar tersebut adalah tidak sepadan dengan apa yang kuantiti nak diperoleh.

Tetapi, dilihat dalam sudut positif yang lain, kesusahan semua itulah yang menjadi diri pencari dan pemiliknya begitu menghargai dan menjaga dan seterusnya membawa kepada terbukanya pintu barokah dan kebaikan yang mengalir kepada umat yang hidup selepas mereka.

Kita ingat, bahawa ilmu bermanfaat adalah ilmu yang sentiasa kita perlu berusaha untuk tambah, faham, amal, ulang kaji sepanjang hidup kita. Apa jua rintangan dalam proses tersebut, susah atau senang, lama atau sekejap, belanja besar atau kecil, kesemuanya kita mengharapkan ada barokah, ada redha Allah, adanya kebaikan yang mengalir berterusan.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Zikir Lidah dan Hati

Zikir lidah dan hati

- Pada tahap yang biasa, seseorang itu berzikir dengan lidahnya supaya hal yang demikian diharapkan akan memandu hati untuk berzikir kepada Allah.

- Pada tahap yang lebih khusus dan tinggi, hati seseorang itu sangat penuh zikirnya kepada Allah sehingga tidak mampu lagi terungkap dengan kata-kata lidah. Contoh untuk faham yang mudah: apabila kita begitu sebak kerinduan bertemu orang yang kita sayangi dan baru berjumpa semula selepas begitu lama berpisah, maka kita tidak mampu lagi mengungkap perasaan dengan kata-kata.

- Dalam keadaan diri kita yang sedang berusaha untuk terus membaiki diri, kadang-kadang walaupun kita berzikir dengan lidah, hati kita masih lalai. Tapi tidak mengapa, hati yang lalai walaupun sudah berusaha untuk berzikir dengan lidah adalah lebih baik daripada hati lalai yang langsung tidak ada usaha untuk dibantu dengan zikir dengan lidah.

- Mafhum firman Allah dalam Al-Quran: hati akan menjadi tenang dengan zikruLlah.

- Bacaan Al-Quran adalah zikir yang utama.

- Solawat atas Nabi juga adalah sebahagian daripada zikir.

- Tidak semata-mata memburu jumlah bilangan zikir, kualiti penghayatan makna zikir yang meresap ke dalam hati juga mustahak untuk membuahkan hasil dan memberikan kemanisan.

- Terlebih utama perkongsian catatan ini ditujukan kepada penulis sendiri yang sentiasa dilingkari kelalaian, dan semoga sentiasa kita mendapat 'inayah dan nusroh daripada Allah untuk semakin hampir kepada-Nya dan membaiki kualiti ibadah.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sabtu, 7 September 2013

Pentingnya Sanad Sebuah Ilmu oleh Syaikh Usamah Al Azhariy



Bersumberkan Facebook Persatuan Ittihad AN NUR ( Malaysia ), daripada Suara al-Azhar


Pentingnya Sanad Sebuah Ilmu

"Sanad Keilmuan bisa terealisasi dengan cara (Mulazamatul Ulama) terus menerus secara berkala menyerap ilmu dari para ulama dan (al-Hirshu) mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk duduk di halaqah ilmu untuk mengambil ilmu dari para ulama tersebut dengan rentang waktu yang lama.

Sebagai contoh saya me-mulazamah kira-kira 40 orang ulama. Saya mengambil ilmu kepada ulama tersebut seperti Syekh Ahmad Thaha Rayyan, Syekh Mushtafa Imran, Syekh Ali Jum'ah, Syekh Ahmad Thayyib. Saya temui mereka satu per satu untuk duduk sambil memegang kitab lalu saya baca. Terkadang saya betul dan kadang salah hingga saya mengetahui rahasia kebenaran sebuah masalah dan akal (saya) pun menjadi matang. Setelah itu baru saya bisa memahami perkataan para ulama dan memahami permasalahan dengan teliti.

Para guru saya pun juga mengambil ilmu dari para guru mereka di al-Azhar dan terus bersambung hingga ulama terdahulu dan akhirnya sanad keilmuan tersebut tersambung kepada Rasulullah.

Saya sampaikan hal ini untuk mengingatkan bahwa antara seorang guru dan murid harus ada ikatan, kedekatan, dan itulah hal pertama yang ditanamkan oleh al-Azhar kepada semua pelajarnya.."

Syekh Usamah Sayyid Al-Azhari

Sumber : Suara al-Azhar

Catatan penulis blog ini:

Selain ancaman Syiah, ancaman yang saya rujuk sebagai 'Najdiyyun' banyak dikatakan berpunca daripada segelintir manusia yang terputus rantaian keilmuwan mereka. Tahu beberapa hadis sahaja sudah berani mengeluarkan fatwa, menyalahkan dan menyesatkan ulama Islam, berani memahami dalil-dalil yang samar-samar maknanya dengan kefahaman literalis versi sendiri serta seumpamanya yang berputar dengan 'dalil' agama, tetapi mewujudkan kekeliruan dan ketegangan dalam amalan umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan kita. Pesanan Syaikh Usamah Al-Azhariy ini in syaa Allah akan banyak membantu kita menguasai ilmu dan kefahaman melalui jalur yang selamat.

Tempat dalam Syurga bagi Orang yang Terakhir Memasukinya

Sedikit catatan daripada kuliah pagi ini: Tempat dalam syurga bagi orang yang terakhir memasukinya.

Bagaimana tempat di dalam syurga bagi orang yang terakhir memasukinya, pintu gerbangnya sahaja sudah begitu membuatkan orang tersebut adalah begitu teruja, dia terlintas dalam hatinya adakah benar tempat itu disediakan untuknya. Baginya mungkin tempat itu adalah untuk orang yang jauh lebih beramal berbandingnya.

Setelah beberapa kali meminta malaikat mengesahkan bahawa tempat itu adalah tempat baginya, maka dia percaya, dan begitu teruja, tidak percaya, belum lagi memasukinya yang begitu luas.

Tempat dalam syurga bagi orang yang terakhir memasukinya sendiri sudah terlalu jauh lebih hebat tiada bandingan dengan mana-mana istana paling cantik, paling besar, paling mahal di dunia ini.

Mafhum daripada kuliah KH Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizohuAllah.

* Maka untuk kita, jom terus gagahkan perjalanan ruhaniyah batiniah menuju Allah, menuju alam akhirat yang terlalu lebih jauh berharga dan kekal tiada penghujung.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Persiapan Nikah: Sederhana Menginsafi Realiti

Sederhana menginsafi realiti

- Petang tadi di pejabat saya berbual panjang dengan sahabat saya yang juga merupakan bekas rakan serumah semasa di universiti.

- Gaya perbualan kami lebih kepada gaya orang lelaki bujang, banyak menjurus kepada persiapan untuk masuk ke fasa baru.

- Ada kami sentuh mengenai ikhtiar mencari calon pasangan melalui khidmat orang tengah.

- Saya bertanya kepada beliau, apakah ciri yang dicari beliau. Beliau menyebut, selain faktor agama yang menjadi keutamaan, kesesuaian calon yang boleh hidup dengan baik dalam kesederhanaan tanpa 'demand' yang tinggi. Lanjut kata beliau, kadang-kadang persepsi masyarakat adalah meletakkan 'expectation' yang begitu tinggi kepada sesetengah posisi kerjaya dalam syarikat tertentu. Mungkin masyarakat ada yang kurang memerhatikan bagaimana kos kehidupan semasa (current living cost) terutama di Lembah Klang yang jika dibandingkan dengan pendapatan yang dikatakan agak tinggi, sebenarnya itu adalah tidak ke mana sangat. Semoga kita terselamat daripada terbelit dalam tipu daya materialistik dunia.

- Saya secara peribadi bersetuju. Jika saya diminta untuk berkongsi pandangan kepada sahabat-rakan saudara-saudari yang dalam ikhtiar mencari calon pasangan hidup, maka saya begitu sepenuh hati menyarankan bahawa faktor agama adalah paling mustahak, di samping tidak menafikan kepentingan dalam realiti sekarang kemampuan dan kesungguhan si lelaki untuk berusaha memenuhi keperluan hidup.

- Kami juga bertukar-tukar idea, bagaimana wajarnya ada kedua-dua elemen berikhtiar secara zohirnya, dan bertawakkal-berdoa kepada Allah secara batinnya. Kedua-dua adalah bergerak seiringan. Kita yakin bahawa soal jodoh adalah rahsia dan dan ketentuan Allah. Tetapi tidak menyebabkan kita menjadi pasif, tidak proaktif dan hanya 'menunggu' datangnya rezeki.

- Antara kayu ukur (walaupun secara tidak mutlak, tetapi tetap menunjukkan sedikit sebanyak) beragamanya seseorang adalah sejauh manakah seseorang itu mendirikan dan menjaga solat. Saya mendapati, Prof Muhaya dalam slot beliau di radio IKIMfm begitu menekankan nasihat kepada pendengar, terutama kepada kaum muslimah untuk menyemak bagaimanakah keadaan calon/bakal suami, adakah dia mendirikan dan menjaga solat. Kita yakin dan bersangka baik bahawa jika seseorang itu menjaga solat fardhu, maka in syaa Allah itu menunjukkan hidupnya iman beliau dan sudah banyak yang selesai dalam aspek lain. Orang yang menjaga solat pasti beliau meyakini kewujudan dan kekuasaan Allah, meyakini kehidupan akhirat yang ada pembalasan baik dan buruk.

- Bicara soal menjaga solat, maka saya terus terpanggil bagaimana alhamdulillah beliau seorang yang begitu menjaga solat, baik secara berjama'ah ketika kami di rumah penginapan, mahupun menghidupkan solat berjama'ah di masjid bandar. Teringat lagi bagaimana basikal dikayuh bersama lampu pada waktu malam. Disokong lagi dengan akhlak beliau yang terpancar. Saya tidak ragu bahawa orang yang jaga solat, in syaa Allah akan ada nur/kelainan pada akhlaknya.

- Perbincangan kami hidup dan agak interaktif, kerana beliau percaya bahawa perkongsian berdasarkan pengalaman-realiti adalah begitu berguna.

Semoga bermanfaat. Bantulah diri kita sendiri dan saudara-saudari kita apa yang mampu untuk sama-sama mencapai hidup yang lebih berkualiti dengan ruh beragama.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Saluran Youtube Rakaman Kuliah Mantan Mufti Mesir, Syaikh Ali Jumuah

Saluran Youtube bagi rakaman-rakaman kuliah Syaikh Ali Jumu'ah Mantan Mufti Mesir:http://www.youtube.com/user/sheikhaligomaa/videos 

Ada lebih daripada 900 buah video termuat naik.

Alhamdulillah, dengan kelebihan nikmat Unifi yang laju boleh dimanfaatkan dengan tujuan ilmu.

Pelihara Kehormatan Wanita

Pelihara kehormatan muslimah, tutup pintu fitnah

Hati-hati jika memuat naik gambar yang melibatkan saudari-saudari kita, para muslimah kita. Hadkan akses gambar kepada ahli keluarga, mahram, sahabat-rakan muslimaat mereka yang dipercayai sahaja. Sungguh pun bertudung, banyak pintu dan ruang fitnah yang ada jika tidak diawasi. Sekali terlepas dalam ruang internet, sukar untuk dikawal.

Maka apatah lagi jika gambar yang dimuat naik itu dalam keadaan 3/4 atau separa atau sangat sedikit mematuhi etika pemakaian seorang Islam? 

Kita pun tidak mahu ada sebarang saham dalam perkara yang tidak elok. Bukan pahala sahaja yang berterusan, dosa berterusan pun ada.

Rabu, 4 September 2013

Sedikit Panduan Dalam Berguru

Jika saya diminta untuk berkongsi nasihat dan panduan asas dan awal bagi sahabat-rakan yang mahu mendalami kefahaman agama dengan cara berguru:

- Utamakan guru yang berautoriti membawa pegangan majoriti ulama Islam (Ahlus Sunnah Wal Jama'ah) yang memberi penekanan kepada tiga-tiga sendi utama ilmu Islam (iaitu aqidah-tauhid, fiqh-syariah, tasawuf-akhlak) sebagaimana dihuraikan daripada hadis Jibril. Guru tersebut sewajarnya adalah guru yang mewarisi kefahaman dan keyakinan ilmu daripada guru sebelumnya yang berantai-bersambungan-musalsal keilmuwannya dengan para ulama sebelum ini yang akhirnya membawa kepada bertemu Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam. Guru tersebut juga menguasai ilmu-ilmu alat yang asas (sepertinya adalah bahasa Arab - maka bagaimana mungkin orang yang membaca buku terjemahan sudah boleh terus menceduk informasi dan terus mengeluarkan hukum dan fatwa yang berat).

- Guru yang sangat wajar atau perlu kita lazimi adalah guru yang punyai tsiqoh (kepercayaan) yang menunjukkan kepada kita akhlak yang mulia, dibuktikan dengan tindakannya. Sewajarnya pertambahan kuantiti dan kualiti ilmu membawa kita untuk semakin berakhlak mulia, bersih diri daripada penyakit 'ujub, sum'ah, riyak secara sendirian atau ketika berada bersama orang lain, takabbur dan seumpamanya.

- Lapangkan dada, bersihkan hati, sucikan niat bahawa tujuan belajar faham agama adalah dengan tujuan untuk beramal, mendapatkan manfaat, untuk lebih mengagungkan Allah dan mencintai Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam dan sesiapa dan apa-apa yang diajarkan kepada kita untuk mencintai mereka.

- Elakkan diri daripada tergelincir atas 'slippery slope' yang menjadikan kita fanatik, ta'asub, merasakan diri dan pilihan guru dan aliran dan kumpulan sendiri sahaja yang paling betul. Elakkan diri daripada berlebih-lebihan untuk kagum pada makhluk sehingga terpaling pandangan kita daripada melihat kepada keagungan Allah.

Kita memohon kepada Allah agar sentiasa dikurniakan keampunan, pimpinan, keberkatan, kemuliaan akhlak, kesudahan hidup yang baik, dan redha-Nya.

Isnin, 2 September 2013

Hanya Harapkan Keredhaan Allah

Carilah ketenangan dan kepuasan apabila benar-benar hati dihadapkan kepada Allah sahaja.

Apa-apa yang dibuat hanya risau sama ada Allah terima atau tidak, Allah redha atau murka. (dan jangan salah faham. Apa-apa yang dilaksanakan ikut perintah Allah pasti bawa kesan baik kepada sesama manusia)

Tidak risau lagi apa manusia nak beri balasan. Tak mengharapkan apa-apa pengiktirafan makhluk yang bersifat majazi-pinjaman.

Tak penat dengan macam-macam sikap manusia, jual mahal, sombong, mengungkit-ungkit, hasad, tidak menghargai dan seumpamanya yang menyesakkan jiwa.

Maka apabila sudah dikosongkan hati daripada kesempitan keburukan dunia, ada lebih ruang untuk kita merasai ketenangan zikruLlah.

Sedikit Panduan Kepada Ibu Bapa dalam Menddik Anak-anak


Ilmu keibubapaan

- Tadi di pejabat, alhamdulillah pengurus sudi berkongsi pengalaman dan ilmu mereka.

- Budaya begini adalah sihat dalam suasana pejabat. Cakap yang tidak kosong. Memandu kehidupan untuk lebih bermanfaat.

- Banyak kebaikan bergaul, bertukar pandangan dengan mereka yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman. Kematangan, cara berfikir dan perspektif in syaa Allah jauh lebih ke hadapan dan sedikit sebanyak kita akan turut terkesan dan terpengaruh.

- Berkaitan kemahiran mendidik anak-anak.

- Saya memang suka jika orang yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman berkongsi. Mereka berkongsi atas pengalaman-tindakan-realiti. Bukan anak muda yang masih mentah dan hanya indah atas kata-kata kertas teori.

- Beliau menyatakan, keberkesanan dalam mendidik anak-anak hendaklah melalui contoh atau teladan. Ibu bapa sendiri hendaklah melaksanakannya sebelum mereka menyuruh anak-anak melakukan.

- Anak-anak mendengar/ikut apa yang mereka lihat, bukan semata-mata apa yang disebutkan oleh ibu bapa.

- Sebagai contoh, bagaimana mungkin berkesan bagi si ayah menyuruh anaknya selalu membaca Al-Quran sedangkan dia sendiri tergagap-gagap membaca Al-Quran, bagaimana mungkin berjaya mendidik anak untuk solat pada awal waktu jika si bapa itu sendiri pada waktu azan dilaungkan masa dilalaikan dengan televisyen.

- Ibu bapa perlu jadi ibu bapa yang boleh berkawan dengan anak-anak (yakni dengan maksud boleh dihampiri dengan mudah dan mesra, tetapi ada ketegasan dan dihormati anak-anak) dan tidak sepatutnya menjadi kawan kepada anak-anak (yakni dengan makna hilang hormat anak-anak terhadap mereka).

- Jadi bagaimana dengan kita? Sudah bermula dan sedang bersiap dengan ilmu sebagai ibu bapa? Mudah-mudahan Allah permudahkan.

- Jika mahu anak-anak lembut lidah dan sentiasa mendampingi al-Quran, maka kita selaku ibu bapa (atau bakal) hendaklah sejak sebelum berkahwin lagi sudah lembut lidah dan sentiasa mendampingi al-Quran. Jika mahu anak-anak sentiasa menjaga solat sunat qobliah subuh serta solat fardhu subuh berjama'ah, maka ibu bapa itu sendiri hendaklah memulakan sejak mereka belum diijabkabulkan lagi (supaya sebati dan ringan dilaksanakan).

- Wawasan kita adalah untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak yang soleh-solehah sebagaimana yang diperintahkan Allah subhanahu wa ta'ala.

- Penulis yang menulis dan berkongsi ini sendiri menujukan catatan ini kepada diri sendiri, dan semoga berguna catatan ini kepada anda semua. Berikhtiar sebaik yang mungkin, memohon bantuan dan petunjuk daripada Allah, agar sentiasa terarah dan dapat melaksanakan tuntutan agama atas kita.

- Sungguh, Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam adalah begitu gembira dengan jumlah umatnya yang begitu ramai, dan sesungguhnya adalah menjadi sumber pahala yang besar dan berterusan melalui anak-anak yang soleh-solehah.

- Semoga Allah perkenankan permohonan kita, dengan keberkatan dan kemuliaan Kekasih-Nya.

Ahad, 1 September 2013

Niat dalam Belajar dan Mengajar - Imam Abdullah Al-Haddad

Susunan kepelbagaian niat dalam menuntut ilmu - susunan Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad.

Kerana modal masa kita adalah amat terbatas, kerana menuntut ilmu adalah suatu pekerjaan dan ibadah yang amat mulia, maka dengan kebijaksanaan mengatur niat yang dihadirkan, banyak nilai pahala dan darjat yang akan diperoleh dalam satu-satu majlis.

Semoga bermanfaat dan beroleh upaya untuk mengamalkannya.

(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...