Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Selasa, 7 Januari 2014

Orang awam - ialah orang yang tidak mendalami sesuatu bidang ilmu tertentu

Orang awam - ialah orang yang tidak mendalami sesuatu bidang ilmu tertentu

Sebagaimana diajarkan oleh Prof Wan Suhaimi Wan Abdullah dalam radio IKIM Fm rancangan Tafaqquh Fiddin sebentar tadi, orang awam itu boleh dirujuk kepada dua (susun atur perkataan penulis):

1) Orang yang tidak berpendidikan
2) Orang yang berpendidikan, tetapi tidak menguasai/mendalami sesuatu bidang ilmu yang sedang dibincangkan, maka orang yang berpendidikan itu dikira orang awam dalam bidang tersebut. Sebagai contoh, orang yang hanya berpendidikan dan menguasai ilmu hadits, tetapi tidak menguasai dan mendalami ilmu akidah, maka dia adalah orang awam dalam ilmu akidah.

***

Maka secara umum juga pengajaran kepada kita: rujuklah tokoh yang sepatutnya untuk berbicara dalam topik-isu tertentu, yakni tokoh yang merupakan ahli dalam bidang tersebut dan mendalaminya. Jangan terus dipukul rata kerana mustahil ada individu yang mampu menguasai dan menjadi pakar dalam kesemua bidang ilmu yang wujud.

Catatan peribadi saya: insaf. Sedar dan tahu diri sebagai orang awam yang awam, terlalu melaut luas tak bertepian kejahilan diri, hanya tahu percikan-percikan ilmu sahaja, itu pun yang dipinjamkan Allah.

Mudah-mudahan Allah jadikan kita berilmu, dengan ilmu yang bermanfaat yang menjadikan kita semakin berakhlak dan beramal dengan kejernihan jiwa.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Jemput ziarah: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/

Hidup sederhana - cari redha Allah - Semoga tidak dilalaikan dengan kemewahan dunia


Gambar sekadar hiasan (Sumber: http://fofoa.blogspot.com/)

Hidup sederhana - cari redha Allah, cari ketenangan, sentiasa ingat akan Allah

- Bersyukurlah kepada Allah atas segala kurniaan-Nya, tak kira apa-apa tahap sekalipun kemampuan ekonomi kita. Tanpa dinafikan, ada seruan agama untuk kita sentiasa berusaha membaiki kemampuan diri.

- Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam adalah Kekasih Allah yang segala permintaannya pasti akan diiberikan oleh Allah. Jika diminta segala kekayaan dan kemewahan dunia untuk keselesaan hidup Baginda dan sekeluarga dan melicinkan segala usaha untuk Islam, pasti tidak ada masalah untuk Allah mengabulkannya.

- Namun perjalanan Nabi kita tidaklah selesa dan mewah. Pernah dilaporkan kepada kita bagaimana Baginda Nabi kita lebih jauh menahan kelaparan dengan mengikat lebih batu di perut Baginda berbanding para sahabat, dapur rumah Baginda tidak berasap dalam tempoh yang lama.

- Ya pasti ada hikmah, rahsia besar dan didikan Baginda kita kepada kita selaku umatnya. Antaranya untuk tidak kita leka bermewah-mewah.

- Umat Baginda lebih dikhuatiri dengan ujian kesenangan. Jangan sangka apabila kita sudah kaya-raya kita lebih mudah untuk melakukan sedekah, bahkan akan menjadi teruji pada saat itu.

- Antara rahsia/hikmah yang dapat kita yakini atas kurniaan Allah yang tidak dizahirkan dalam bentuk kekayaan harta benda dunia: dengan itulah kita tidak berada dalam keadaan lalai. Sedikit kesusahan hidup menjadikan kita sentiasa teringat kepada-Nya dan melaksanakan ibadah ketaatan. Begitu ramai di luar sana ditinggalkan dalam kelalaian mereka dengan kemewahan dan kekayaan duniawi.

- Sahabat-rakan semua (termasuk saya sendiri) yang dibesarkan dalam keluarga pertengahan, pasti kita pernah merasai dan mengalami betapa tidak begitu mudah kita dapatkan dalam hidup kita (jika dibandingkan dengan orang-orang yang kaya)? Suasana kita tidaklah begitu mewah. Kita jadi lebih menghargai kehidupan ini. Kita tak jadi boros. Kita tahu bagaimana nak cari pendapatan, utamakan perbelanjaan yang jadi keperluan.

- Dan kita teruskan kesungguhan untuk membaiki kemampuan diri. Kita yakin bahawa tangan yang di atas yang memberi itu adalah lebih baik daripada tangan yang berada di bawah yang menerima.

- Kita jangan lupa betapa masih banyak saudara-saudara kita yang sangat susah kehidupan mereka. Bantulah dengan yang terbaik dan termampu.

- Apa-apa pun kemampuan kita, hindarilah cara hidup yang terlalu berlebihan bermewah-mewahan, kerana boleh jadi kita akan mudah tergelincir daripada tujuan syariat agama ini. Hindari perbelanjaan atas kehendak yang bukannya keperluan, yang berlebihan dan terjerumus dalam tindakan membazir.

- Semoga dunia dan isinya yang punyai kesenangan dan kemewahan sementara ini tidak menjadikan kita lemah hati dan buta pandangan batin untuk memburu kehidupan sebenar di akhirat.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Ahad, 5 Januari 2014

Suami-isteri penghafaz Al-Quran

Suami-isteri penghafaz Al-Quran  :)

- Bagi suami yang punyai isteri seorang penghafaz Quran: maka menjadi tanggung jawab anda untuk berusaha memastikan iadah (ulangan) hafazan Quran bagi isteri anda itu berterusan, adanya tasmi', bagi menghidupkan hafazan Quran dan menjauhi dosa melupakan ayat-ayat Quran yang telah dihafaz. 


- Bagi isteri yang punyai suami seorang penghafaz Quran: maka hendaklah anda memahami keperluan khusus suami anda untuk beliau berusaha memastikan iadah (ulangan) hafazan Quran itu berterusan, adanya tasmi', bagi menghidupkan hafazan Quran dan menjauhi dosa melupakan ayat-ayat Quran yang telah dihafaz. Berikan ruang masa kepada beliau, bantu beri peringatan, semangat, motivasi kepada beliau.

- Bagi kedua-dua suami-isteri yang menghafaz Quran: aturlah strategi agar kedua-dua kalian sentiasa menghidupkan iadah hafazan Quran, selang seli menjadi yang orang memperdengarkan hafazan dan orang yang mendengar-menyemak hafazan Quran.

"Hafazan Quran sebagai jalan mencari redha Allah, menghampirkan jiwa kepada-Nya, persiapan akhirat, usaha untuk istiqamah dan sibuk dalam ketaatan."

Jangan lupa untuk berterusan perbaharui niat, agar kesemuanya HANYA ditujukan kepada Allah, mengharapkan rahmat-Nya.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Jumaat, 3 Januari 2014

Sahabat rapat kita dalam berdampingan dengan Al-Quran!


Sahabat rapat kita dalam berdampingan dengan Al-Quran! :)

Pemain MP3 in syaa Allah boleh dimanfaatkan untuk mendengar bacaan al-Quran.

Dengar bacaan Al-Quran adalah amat besar pahalanya! Dan banyak kebaikan dunia akhirat!

Bagi yang terlibat dalam hifzul Quran (hafazan Quran), boleh jadikan pemain MP3 sebagai rakan dalam persiapan tasmik, rakan dalam iadah (ulangan) hafazan yang lama, dan melembutkan telinga dan hati untuk mula menghafaz ayat yang baru.

Pesan seorang pensyarah tasmi' Darul Quran JAKIM kepada saya berkenaan realiti penghafaz Quran yang sibuk dalam kerjaya: Setidak-tidaknya kita konsisten dengar bacaan Al-Quran walaupun tak sempat dan mampu membaca. Supaya sentiasa hidup dan bergema ayat-ayat suci al-Quran dalam ingatan.

Boleh muatkan pemain ini dengan fail-fail bacaan Quran mengikut juzuk.

Setiap juzuk anggarannya sekitar 40 minit dibaca oleh qari yang kita boleh dengar.

Boleh kita gunakan untuk isi masa kita yang tidak mengizinkan kita membaca teks al-Quran (contohnya ketika berada dalam kenderaan yang bergerak, ketika berjalan ulang-alik antara rumah dan tempat kerja/tempat belajar).

Susun atur strategi kita:

- Pada pagi hari dalam perjalanan ke tempat kerja/belajar: kita dengar 1 juzuk.
- Pada petang hari dalam perjalanan pulang dari tempat kerja/belajar: kita dengar 1 juzuk.

Maka dalam sehari kita boleh meliputi 2 juzuk Al-Quran.

In syaa Allah dalam 15 hari (1/2 bulan) kita boleh meliputi 30 juzuk Al-Quran.

Dan in syaa Allah dalam sebulan, kita boleh meliputi 2 pusingan keseluruhan Al-Quran.

Semoga Allah sentiasa memberikan kepada kita kekuatan, keikhlasan, istiqamah dalam berterusan berdampingan al-Quran: membaca, menghafaz, menjaga ulangan hafazan, memahami makna dan pengajarannya, mengamalkan ajaran Al-Quran dalam hidup kita, sehinggalah akhir hayat kita di dunia.

Semoga kita beroleh sebesar-besar kemuliaan dan syafaat daripada Al-Quran.



اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Jemput ziarah laman perkongsian ilmu dan hikmah: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/

Khamis, 2 Januari 2014

Berkenaan ikhtiar untuk bernikah


Sedikit catatan bersama nasihat :)

Berkenaan ikhtiar untuk bernikah

- Tidak perlu terlalu risau, kerana ada jaminan Allah.

- Utamakan menjadi hamba Allah yang mentaati perintah-Nya (buat yang wajib, tinggalkan yang dilarang).

- Niatkan untuk mentaati perintah Allah, menghidupkan sunnah Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam, menjaga kehormatan diri.

- Ingat bahawa matlamat mulia dan besar kita adalah untuk menjadi suami-isteri yang diredhai Allah di dunia dan di akhirat.

- Berikhtiar secara jasadi-zahir melalui saluran yang dibenarkan agama, lakukan dengan cara yang betul dan sepenuh kesungguhan. Bukannya berpeluk tubuh, duduk diam tanpa ada ikhtiar.

- Secara batinnya, jiwa menyerahkan pergantungan kepada Allah, percaya kepada Allah, yakin akan bantuan yang akan diberikan.

- Tidak betul jika berpandangan perlu bersosial hingga menyeberangi jantina tanpa ada keperluan dan kesopanan semata-mata ingin mencari calon dan kesesuaiannya. Pergaulan bebas tanpa kawalan peraturan agama sebenarnya membawa dan membuka kepada pintu dosa dan zina.

- Selagi mana tidak ada akad nikah, ijab dan kabul, maka tidak ada apa-apa yang memberikan kebenaran dan menghalalkan interaksi dan pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Jaga diri daripada melakukan perkara haram, in syaa Allah Dia akan kurniakan kemanisan dalam melakukan perkara yang halal.

- Sudah terbukti bagaimana ada pasangan suami isteri yang sah bernikah bertemu jodoh mereka melalui saluran ikhtiar yang selamat, bahkan mereka saling tidak mengenali pun sebelum perkenalan (taaruf) daripada saluran ikhtiar mencari jodoh yang selamat. Tidak semestinya kena berkenalan dan berkawan belasan tahun untuk mencari jodoh.

- Sememangya faktor agama (dan akhlak - kerana orang yang faham dan amal agama secara betul akan bawa kepada akhlak yang mulia) adalah ciri pertama dan paling utama dalam mencari calon pasangan hidup. Faktor selainnya hendaklah dipertimbangkan secara rasional.

- Sedar juga hakikat manusia yang tiada 100% sempurna, maka perlu ada memberi dan menerima (give and take), jangan terlalu mencari kesempurnaan kepada calon yang dicari, tanpa sedar diri sendiri pun tidaklah 100% sempurna. 

Perkongsian untuk memandu sahabat-rakan semua yang memerlukan panduan. Saya bukanlah pakar rujuk dalam bab ini. Saya juga tidak melihat hal ini sebagai hal picisan, saya memandangnya sebagai hal yang sangat utama dan mustahak.

Jika silap percaturan dalam pernikahan, tersilap memilih pasangan hidup boleh membawa banyak masalah dan potensi kerosakan iman dan amal.

Semoga Allah membantu segala usaha kita dan memberi karunia redha-Nya.

Jemput ziarah: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/

Sumber gambar: http://hazimahalqisya.blogspot.com/

Antara Tanda Kemuliaan Lelaki dan Wanita Muslimah

Antara tanda kemuliaan seseorang lelaki muslim itu dalam ketaatan beliau kepada Allah:

integriti dan kerapian beliau dalam menjaga pandangan mata. Beliau memandang hanya kepada perkara yang sunat, harus, halal, wajib.

Antara tanda kemuliaan seseorang perempuan muslimah itu dalam ketaatan beliau kepada Allah:

integriti dan kerapian beliau dalam menjaga pemakaian

- menurut panduan syariah, tidak menampakkan warna dan bentuk aurat/tubuh, tudung tidak menampakkan rambut, bentuk telinga, dan bentuk dada (mohon maaf: lebih jelas jika disebutkan sebagai buah dada), baju-kain-seluar tidak ketat atau tidak menggunakan kain licin/melekap menampakkan bentuk pinggang, bahagian belakang (mohon maaf: lebih jelas jika disebutkan sebagai punggung), bentuk paha dan betis, tidak mengenakan corak dan warna yang menarik perhatian orang, tidak mengenakan wangian yang menarik perhatian lelaki ajnabi lain, tidak berjalan dalam keadaan yang menarik perhatian pandangan orang lain, tidak bercakap dengan keadaan manja serta perkara-perkara lain yang mengundang fitnah dan mendedahkan kepada punca dosa kepada orang lain.

integriti dan kerapian beliau dalam menjaga mulut dan lidah

- tidak bercerita belakang berkenaan perkara yang tidak baik dan tidak disenangi oleh subjek (individu yang jadi bahan) - walaupun benar, itu adalah ghibah (umpatan) yang berdosa tidak diampunkan Allah, melainkan subjek ghibah yang memaafkannya, dan jika perkara yang dikatakan itu adalah tidak benar - itu adalah fitnah yang juga berdosa.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita, memberikan kekuatan kepada kita untuk sentiasa membaiki diri, bertaubat, membetulkan kesilapan-kesalahan kita, untuk kita terus semakin hampir dalam mentaati-Nya. (Terutamanya kepada diri saya si penulis yang lebih jauh memerlukan pembaikan diri)

Jaga kehormatan para muslimah kita

Hati-hati ketika memuat naik atau kongsi gambar-gambar, pastikan tidak dengan nyata memaparkan wajah para muslimah kita secara dekat walaupun bertudung.

Jika lebih berhat-hati lagi, jika tiada keperluan memuat naik atau kongsi gambar yang ada para muslimah - wanita, maka tak perlu buat.

Ini adalah pandangan yang lebih berhati-hati dan mahu aman daripada fitnah yang boleh diduga dan fitnah yang tidak diduga. (Atau muat naik dengan hanya akses diberikan kepada orang-orang yang harus/halal memandangnya)

Melihat kepada para syaikh dan ustaz kita yang telah menunjukkan tsiqah mereka (kita percaya akan pengamalan agama mereka), kebanyakan kita dapati jika mereka memuat naik atau kongsi gambar isteri mereka, itu pun dalam keadaan berniqob, dalam keadaan terlalu hampir dan jelas muka.

Begitu juga, ketika mereka bergerak dengan isteri mereka pun, isteri mereka mengenakan niqob.

Pasti ada rahsia dan hikmah tertentu daripada tindakan mereka, kan? Mereka lebih faham akan tujuan syariat agama ini, mereka lebih tahu menutup apa-apa pintu yang tidak baik.

Saya amat khuatir kita menjadi pencetus kepada rosaknya pandangan mata dan hati, rosaknya iman, padamnya nur dalam hati akibat sahabat-rakan Facebook kita terpandang gambar muslimah walaupun bertudung (dalam keadaan yang boleh undang fitnah, yang tiada keperluan) serta lebih-lebih lagi gambar-gambar lain yang menjadi haram dipandang yang disiarkan dalam alam maya dan Facebook ini.

Apabila kita menjadi pencetus kepada dosa orang lain, kita turut ada bahagian saham dosa tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...