Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 30 Mac 2015

Manfaat Istighfar

Kerehatan jiwa dengan syiar-Mu ya Allah

Perjalanan pulang dari kelas al-Quran di Bukit Damansara dan baiki motorsikal tadi saya singgah bersolat maghrib di Masjid Al-Muhsinin Taman Danau Desa.

Ustaz yang sedang memberikan kuliah maghrib menyentuh soal rezeki yang luas bentuknya. Masing-masing ada bahagian rezeki dan ujian masing-masing, baik yang kaya atau miskin.

Sebut beliau lagi: Orang yang jiwa mereka rapat dengan Allah, mereka lebih banyak beribadah beramal berbanding berdoa memohon kepada Allah. Kerana mereka apabila beramal dan beribadah kepada Allah, mereka rasa bersyukur dan rasa cukup punyai Allah sebagai Tuhan.

Ustaz juga menyebutkan kekuatan istighfar sebagaimana dalam Surah Nuh: turunnya hujan, banyakkan kekayaan dan anak-pinak.

Kelak juga, apabila meninggalkan dunia, harta benda yang sekelian banyak dan besarnya tidak dapat dibawa bersama.

Terasa sentuhan dan ketukan kuat buat jiwa: yang tak dinafikan diri berada dalam arus yang selalu bawa kepada hanya mencari dunia dan leka tentang hakikat hidup dan akhirat. Selama ini, apakah yang dicari sebenarnya pagi petang siang malam? Bagaimanakah kedudukan zikrullah dalam diri.

- Ya di masjid ini saya memerhatikan Sdr Halim Othman hadir berjamaah, dan juga para anggota polis hadir mengimarahkan masjid - syiar Allah - hati yang membesarkan syiar Allah punyai nilai taqwa.


Rabu, 11 Mac 2015

Umur untuk 'Kemas Beg'

Umur untuk 'kemas beg'

Sabtu lepas semasa di CASIS UTM Kuala Lumpur untuk kelas nahu Arab, saya duduk berbual dengan super senior saya konsisten dalam pengajian bersama masyaikh-asatizah.

Bertanya keadaan semasa.

Beliau menyebut hajat dan hasrat peribadi untuk lebih banyak menumpukan kepada usaha belajar faham agama.

Kelompok usia beliau menghampiri 40-an.

Kata beliau, umur ini adalah untuk ber'kemas beg' - yakni mula buat persiapan untuk berangkat ke daerah kekal (akhirat).

Mendalam maknanya.

Ya, kita juga maklum hasil didikan ulama betapa usia 40 tahun adalah signifikan dan kritikal untuk kita pertimbangkan. Kerana 2/3 usia sudah digunakan (lazim usia diambil 60 tahun).

Buat diriku dan semua sahabat yang dikasihi kerana Allah,

Bagaimana dengan usia dan persiapan kita?

Jangan terleka dengan usia awal atau pertengahan atau akhir 20-an.

Mulakan perancangan dan persiapan itu dari sekarang sesegara mungkin.

Kerana pada hari itu, sudah tidak berguna lagi harta banyak yang kita kumpulkan di dunia, sudah tidak bermanfaat lagi anak-pinak kita yang banyak,

melainkan kehadiran dan pertemuan kita dengan Allah bersama dengan hati yang sejahtera (qolbun salim).

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...