Ulama Benteng

Ulama Benteng

Selasa, 30 Jun 2009

Mujahadah Merebut Kasih Sayang ALLAH s.w.t.

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Antara formula untuk mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ALLAH Yang Maha Penyayang adalah dengan memperbanyak 'amalan sunat dan menjauhi perkara yang tidak disukai ALLAH s.w.t. (perkara makruh).

Apa yang jelas, tahap ini sudah berada di atas tahap biasa, iaitu melakukan perkara yang wajib dan meninggalkan perkara yang haram.

Perkara ini bertepatan dengan apa yang kita terima daripada Tuan Guru Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dalam kuliah beliau yang dapat difahami seperti berikut:

Orang yang lebih tinggi tahap 'arif billahnya, 'amalan sunat sudah menjadi 'amalan wajibnya, manakala 'amalan wajibnya sudah terbiasa sangat dilakukan.


Daripada pensyarah tahfiz al-Quran kita di Kuala Kubu Bharu:

"...mesti tabah dan cekal. Perkara yang ALLAH tak suka jangan sesekali buat. Perempuan terutamanya. Kalau bukan tujuan pernikahan, mestilah menjauhinya bersungguh-sungguh."

Menjauhi perhubungan lelaki-perempuan luar nikah harus difahami bahawa perkara ini mendapat keringanan bagi keadaan yang sememangnya tidak dapat dielakkan. Dalam keadaan apabila tiada komunikasi antara lelaki-perempuan, mudarat yang berlaku lebih besar daripada manfaat, maka keringanan diberikan. Laksanakan komunikasi tersebut sekadar mencukupi keperluan, dan tidak terjatuh kepada perkara yang jelas haram.

Bagi mereka yang benar-benar ikhlas untuk memelihara ayat-ayat suci ALLAH s.w.t., perkara ini sewajarnya dititkberatkan kerana ayat-ayat ALLAH tidak layak untuk berada dalam hati mereka yang mencampuradukkan kesucian dan ketidaksucian.

Daripada Dr. Shafi'e Al-Muqri dalam salah satu kursus beliau dapat difahami seperti berikut:

Dengan melaksanakan perkara sunat dan menjauhi perkara makruh, ALLAH akan menambahkan kasih sayang-Nya kepada kita, memudahkan usaha untuk mengingat ayat-ayat al-Quran.

Semoga beroleh manfaat daripada sedikit catatan ini. Bersama-sama kita berusaha meningkatkan kualiti dan kesucian pengabdian diri kita kepada ALLAH s.w.t.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Ahad, 28 Jun 2009

Gigih Merebut 'Ilmu

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.



Islam ialah agama yang sangat mengutamakan 'ilmu. Kedudukan orang yang ber'ilmu dan tidak ber'ilmu di sisi ALLAH adalah berbeza.

Sebagaimana yang disebutkan Profesor Wan Mohd Nor dalam buku beliau, Penjelasan Budaya Ilmu:

Di sini ditegaskan lagi bahawa perletakan 'ilmu sebagai "kebaikan utama" penting kerana proses pencapaian dan penyebaran 'ilmu, antara lainnya, memerlukan usaha yang gigih, kesabaran yang banyak, dan pengorbanan yang ikhlas dan jiwa yang berani. Ganjaran setiap usaha untuk mencari dan menyebarkan 'ilmu adalah berbentuk dalaman (intrinsic) dan keakhiratan.

Juga termuat dalam buku tersebut contoh-contoh berikut, yang memberikan panduan kepada kita dalam membentuk sikap dan kesungguhan terhadap 'ilmu:

Kemiskinan, kecacatan dan keadaan persekitaran yang tidak stabil bukan alasan gagal mencapai kecemerlangan 'ilmu:

Imam Syafi'i (meninggal dunia 820 Masihi), anak yatim dan miskin, telah menghafal al-Qur'an ketika berusia 7 tahun, dan menghafal pula kitab fikah Imam Malik ketika berusia 10 tahun. Beliau juga dikira layak membuat fatwa ketika berusia 15 tahun. Sewaktu dewasa al-Syafi'i biasa menghabiskan 1/3 malam belajar.

Abul Hasan al-Tamimi (meninggal dunia 918 Masihi) seorang yang buta, tetapi kecintaannya kepada 'ilmu membolehkan beliau belajar melalui pendengaran sahaja sehingga menjadi 'ulama fikah Mazhab Syafi'i yang terkenal.

Ibnu Taimiyyah (meninggal dunia 1328 Masihi), yang dilahirkan ketika keadaan politik umat Islam kacau bilau di bawah keganasan Mongol dan Perang Salib, hidup dalam iklim ke'ilmuan keluarganya. Beliau mempelajari al-Qur'an, hadis, fikah, matematik, sejarah, sastera dan ilmu kalam serta falsafah, dan tamat belajar ketika berusia 21 tahun.

Kesenangan hidup juga tidak harus memanjakan diri menjadi malas:

Ibn Hazm (meninggal dunia 1064 Masihi) yang dilahirkan di Kordoba, dan Ibnu Khaldun yang dilahirkan di Tunis (meninggal dunia 1406 Masihi) dalam lingkungan keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh. Mereka yang dibesarkan dalam suasana ke'ilmuan yang biasa dialami oleh anak-anak seperti itu mempelajari semua bidang agama dan falsafah. Bidang kajian Ibn Hazim lebih luas lagi sehingga meliputi perubatan yang beliau tidak amalkan secara serius mungkin kerana terpaksa berpindah randah disebabkan suasana politik yang tidak stabil.

Seterusnya, kedudukan dan umur bukan faktor penghalang untuk terus belajar!

Imam Abu Hanifah, walaupun sudah mempunyai pengikut dan kemasyhuran, masih lagi belajar dengan Imam Malik yang 13 tahun lebih muda daripadanya.

Al-Jahiz (meninggal dunia 869 Masihi), bangsa Negro abdi, penjual roti dan ikan, mencapai ketinggian 'ilmunya bukan sekadar dengan cara menghadiri kuliah tetapi dengan cara bergaul dengan 'ilmuwan di Mirdad, sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra. Mirdad tempat pertumpuan kabilah dan para 'ilmuwan membanding nota tentang berbagai-bagai ragam bahasa 'Arab Badui. Al-Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal-hal yang berguna daripada para pengunjung masjid yang lain (masjidiyun). Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupan yang cintakan akan 'ilmu. Beliau yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu tersimpan di sekelilingnya.

Al-Biruni (meninggal dunia 1048 Masihi), menguasai berbagai-bagai disiplin dan bahasa seperti Arab, Parsi, Turki, Yahudi, Sambani, dan ketika mengikut Mahmud Ghaznawi ke India selama 14 tahun, beliau mempelajari bahasa Sanskrit untuk menulis tentang agama dan budaya orang India.

Ibnu Haitham (meninggal dunia 1039 Masihi) menyara hidup dengan menyalin buku-buku dan menjualnya semasa membuat kajian dan penulisan tentang geometri dan optik di Al-Azhar.

Ibnu Rushd (meninggal dunia 1198 Masihi) hanya bercuti dua hari sepanjang hidupnya kerana bekerja yakni mengajar, menulis dan memberi fatwa sebagai kadi: iaitu pada hari kematian bapanya dan pada hari perkahwinannya.

Budaya 'ilmu yang sebenar akan memberi peluang kepada semua anggota masyarakat untuk mencari 'ilmu dan memperoleh kecemerlangan, betapa pun rendah taraf sosioekonomi pelajar itu.

Demikianlah sedikit petikan daripada buku yang ditulis Prof. Wan Mohd Nor, Penjelasan Budaya Ilmu. Memang jelas bagi kita bahawa sikap dan kesungguhan kita adalah perkara paling mustahak dalam usaha menuntut 'ilmu ini. Semoga kita akan mendapat pedoman dan dorongan hasil daripada penelitian kepada bukti kesungguhan yang telah ditunjukkan 'ilmuwan Islam sebelum ini.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Sabtu, 27 Jun 2009

Hijrah

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Alhamdulillah, pagi tadi saya menamatkan kertas kedua peperiksaan akhir semester ini. Kertas pada pagi ialah kertas Chemistry IA. Masanya adalah selama 3 jam 10 minit. 10 minit adalah masa untuk membaca (reading time). Kini, saya lebih berasa selesa dengan tahap dan bentuk penilaian akademik. Saya dapat nyatakan bahawa peperiksaan pada peringkat universiti ini lebih mudah bagi kita untuk melakukan persiapan dengan efisyen. Lebih menampakkan apa yang perlu kita pelajari, fahami, relevan dan munasabah untuk diuji. Kalau nak dibandingkan dengan peringkat pengajian di sekolah rendah dan menengah, peperiksaan adalah membebankan. Banyak yang perlu dihafal, kadang-kadang tidak nampak perkara yang dihafal tersebut adalah relevan dan bermanfaat. Tinggal satu lagi kertas peperiksaan pada pagi Jumaat nanti, kertas subjek Statistik. Insya ALLAH selepas itu, saya bakal beroleh peluang yang dinanti-natikan; bertemu kekasih yang sentiasa dicintai dan dirindui.

Sudah satu semester saya bermujahadah dalam sistem akademik di Australia. Formula ringkas yang dapat saya catatkan di sini bagi para mu'min profesional dalam alam pengajian:

1. Kuasai kandungan yang disampaikan dalam kuliah yang disampaikan pensyarah.
Mustahil pensyarah akan menghabiskan masa dengan perkara yang tidak munasabah dan tidak relevan untuk diuji.

2. Sediakan nota yang begitu mudah, ringkas dan padat hasil tulisan sendiri. Keutamaan diberikan kepada perkara penting yang sukar untuk kita ingat.

3. Laksanakan semua bentuk latihan tutorial, kerana perkara ini sangat membantu mengukuhkan kefahaman kita.

4. Biasakan dengan bentuk soalan sebenar yang telah diuji pada tahun sebelum ini. Kita akan dapat melihat laras soalan yang akan diuji.

5. Semasa melakukan pembacaan, pemahaman dan ulangkaji, adalah sangat baik jika kita terus dapat menggambarkan bagaimanakah kandungan subjek/topik tersebut akan diuji. Ini satu kelebihan bagi kita, kerana adanya wawasan yang jauh dan dapat melihat sesuatu di hadapan yang akan berlaku.

Hijrah.


Insya ALLAH, pada 6 Julai 2009 nanti saya akan berhijrah ke kediaman pelajar yang disediakan pihak universiti iaitu "The Village". Saya dimaklumkan bahawa jenis rumah yang akan saya masuk ialah "Townhouse" dengan bilik tidur dan bilik air peribadi. Banyak pertimbangan bagi keputusan ini. Antaranya ialah polisi Petronas dalam menguruskan tajaan bagi pelajarnya. Insya ALLAH, tajaan Petronas adalah sangat baik dan agak mewah. Patut bersyukur sesiapa yang mendapatnya. Namun begitu, cara kemudahan tersebut diberikan agak berbeza. Pelajar akan diberikan kemudahan dalam bentuk "kemudahan" itu sendiri. Contohnya di sini, kemudahan tempat tinggal akan terus diuruskan Petronas, jadi pelajar tidak diberikan wang untuk menguruskannya. Bayaran sewa rumah, bil air, gas dan elektrik akan sekaligus diuruskan juga. Kemudahan internet pula dapat dituntut bayaran bagi penggunaannya. Insya ALLAH, kemudahan tempat tinggal sebegini rupa adalah sangat baik, mudah dan selesa. Saya yakin bahawa ini ialah satu cara Petronas memberikan keselesaan kepada para pelajarnya dan memudahkan mereka untuk memberikan tumpuan untuk kecemerlangan akademik.


Antara pemandangan di The Village.

Selain itu, jarak daripada The Village ke kampus universiti dan masjid bandar Adelaide juga adalah dekat. Naik basikal sudah memadai. Ada peluang lebih besar untuk menghidupkan masjid bandar Adelaide, insya ALLAH.

Apa yang lebih signifikan dalam keputusan hijrah ini adalah daripada segi "keperluan" dan keadaan semula jadi saya sendiri. Insya ALLAH, saya berdoa agar hijrah ini dapat memberi ruang yang baru kepada saya untuk terus berusaha dengan baik melaksanakan amanah selaku hamba dan khalifah.

Ada masanya hijrah adalah salah satu cara yang terbaik bagi kita untuk menyegarkan usaha kehambaan, mencari dimensi baru yang lebih memudahkan usaha tersebut dilaksanakan dengan lebih gemilang.

Muhasabah wajar dilakukan dengan konsisten, bagi melihat keadaan kita, apa yang kena dan apa yang tak kena. Apa yang dapat membantu kita untuk lebih mentaati ALLAH dan apa yang membantutkan usaha tersebut. Ketenteraman jiwa tidak boleh dianaktirikan, kerana jiwa kita adalah jiwa yang ingin dihadapkan kepada ALLAH s.w.t., tidak boleh ada perkara lain selain ALLAH s.w.t. yang mengganggu penghadapan jiwa kita.

Benar, ketenteraman yang dicampakkan ALLAH s.w.t. ke dalam hati kita adalah lebih berharga daripada dunia dan isinya yang sentiasa memenatkan jiwa kita, memalingkan kita daripada menghadap ALLAH s.w.t.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Selasa, 23 Jun 2009

Tenang Jiwa Hamba

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Tidak akan sia-sia detik penghadapan kita kepada ALLAH di dunia ini.


Terima kasih Tuhan kerana menyelamatkan hamba

daripada terus ditelan himpitan dan tipuan dunia

benar, mengejar dunia adalah memenatkan dan merungsingkan

menghilangkan perhatian pada-Mu

melemahkan ikatan keyakinan

bahawa rezeki yang telah Kau tetapkan padaku adalah sentiasa mencukupi dan terbaik

sungguh, ketenangan yang Kau campakkan ke dalam hati hamba-hamba-Mu adalah cukup bernilai

tiada tertanding oleh dunia dan isinya

memang terseksa jiwa jika tidak disenangi makhluk lain

namun tiada tergambar jika Kau yang tidak menyenangiku

kepada siapa lagi akan kuhadapkan jiwa penghambaan ini

benar, lautan kasih sayang-Mu melaut luas, tiada bertepian

lemas dan tenggelam aku dalam timbunan rahmat dan ni'mat-Mu

wahai Tuhan, kupohonkan agar Kau terus sudi memelihara kami dalam ingatan kepada-Mu

jangan Kau palingkan hati kami kepada dunia yang fana dan menyesatkan

cinta-Mu cinta agung.

Hamba ingin menyegarkan nafas penghambaan ini, terimalah wahai Raja Yang Maha Penyayang dan Maha Penyantun.

Kau tak akan mempersiakan cinta hamba-hamba-Mu yang mengakui hakikat kebergantungan pada-Mu.

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.

Ar-Ra'du, 13: 28

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُّتَشَابِهًا مَّثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ

الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ

جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاء

وَمَن يُضْلِلْ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al Qur'an yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gemetar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.
Az-Zumar, 39:23

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Al-Ustaz Shamsuri Haji Ahmad

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Al-Ustaz Shamsuri Haji Ahmad Hafizohullah

Saya semakin disedarkan dengan kepentingan institusi 'ilmu dan 'ulama. Benar sabda Nabi Muhammad s.a.w. bahawa para 'ulama ialah pewaris para nabi. Para 'ulama ukhrawi yang benar, tindakan mereka adalah tidak sia-sia kerana mereka bertindak berdasarkan 'ilmu. Kitab-kitab menjadi senjata mereka.

Dalam Islam, tradisi pertalian 'ilmu (ijazah) adalah ditekankan. Apabila kita mendapat sesuatu 'ilmu, kita perlu melihat daripada siapa punca 'ilmu tersebut. Insya ALLAH, jika 'ilmu tersebut adalah daripada para 'ulama yang benar, jika dijejak pertaliannya, sambungan 'ilmu akan sampai kepada para tabi' tabi'in, tabi'in, para sahabat dan akhirnya junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Orang yang belajar secara berguru talaqqi (bersemuka) tidak sama kedudukannya dengan orang yang hanya belajar melalui pembacaan buku, blog, dan sebagainya. Pembelajaran secara talaqqi ada keberkatannya, lebih-lebih lagi jika mendapat ijazah daripada guru tersebut. Insya ALLAH, akan menjadi berkat dan manfaat ilmu yang dipelajari.

Jika sebelum ini saya ada berkongsi maklumat mengenai Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki, insya ALLAH pada kali ini saya ingin berkongsi maklumat mengenai Al-Ustaz Shamsuri Haji Ahmad. Beliau ialah seorang 'alim yang tersohor di utara tanah air. Kuliah beliau sentiasa mendapat sambutan yang sangat memberasangkan. Berasal dari Pulau Pinang, kuliah yang disampaikan beliau banyak diadakan di Kedah dan Pulau Pinang. Di Kedah, antara tempat yang selalu diadakan kuliah pengajian beliau adalah di Masjid Sultanah, Alor Setar.

Alhamdulillah, cara pengajaran, penyampaian dan penjelasan beliau adalah sangat berkesan dan menarik. Saya yakin bahawa kebanyakan kita akan biasa terjumpa kaset-kaset, cd, vcd, dan rakaman dalam bentuk yang lain bagi kuliah beliau.

Insya ALLAH, saya sangat mengesyorkan agar kita dapat bersama-sama mengambil manfaat daripada 'ilmu yang disampaikan beliau.

Bagi sesiapa yang berkemampuan dan berkesempatan, anda boleh menghadiri kuliah beliau secara talaqqi. Bagi yang tidak mampu pula, berikut adalah beberapa sumber yang dapat dimanfaatkan:

1. http://www.mymaktabaty.com/search/label/MP3%3A Shamsuri Ahmad
2. http://www.youtube.com/watch?v=Mwer8ugosKU&feature=related

Semoga mendapat manfaat yang besar hasil daripada ikhtiar kita memuliakan institusi 'ilmu dan 'ulama.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...