Ulama Benteng

Ulama Benteng
Memaparkan catatan dengan label Al-Hikam Ibnu 'Athoillah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Al-Hikam Ibnu 'Athoillah. Papar semua catatan

Rabu, 6 Oktober 2010

Ilmu Menjadikan Kita Takut Akan Allah


Teruskan usaha menyucikan jiwa, kerana pertemuan dengan Allah kelak memerlukan hati yang sejahtera, jiwa yang suci. Apabila terasa kepenatan dengan ragam dunia, pujuklah hati dengan kekalnya kebahagiaan akhirat, singkatnya dunia yang hina ini.



Artikel ini diambil dari laman Jom Faham.


Oleh : PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, adakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal.

Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.

(al-Faatir: 28)


Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata,

"Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati."


Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata:

"Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya:

"Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan:

"Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata:

"Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata:

"Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:

"Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi:

"Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan."

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Allah SWT berfirman (maksudnya):

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.

(al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)".

(Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim)

Fudhail ibn 'Iyadh berkata:

"Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain".

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama:

"Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis".



Sumber : Yayasan Sofa

*Saya ada membuat beberapa pembaikan untuk disesuaikan dengan tatabahasa Melayu dan dari segi susun atur perkataan bagi memudahkan pembacaan.

Khamis, 15 April 2010

Bagaimanakah Ilmu Yang Bermanfaat Itu?



Al-Imam Ibnu 'Athoillah Sakandari menyebut dalam kitab Al-Hikamnya:


"Ilmu yang paling baik adalah yang disertai khasysyah(rasa takut kepada Allah yang disertai mengagungkan Allah)"

"Untuk mengetahui ilmumu bermanfaat atau tidak, cukuplah kau lihat bekasnya. Jika dengan itu kau semakin takut kepada Allah dan semakin baik ibadahmu kepada-NYA, maka itulah tanda ilmumu benar-benar bermanfaat. Jika sebaliknya, maka berhati-hatilah saudaraku"



Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Jumaat, 9 April 2010

Penyucian dan Penjernihan Hati

*Disiar semula artikel ini, yang sudah dipaparkan pada tahun 2009

Gambar kenangan bersama Ustaz Haji Yusri bin Muhammad semasa ziarah ke rumah beliau pada tahun 2007.


Petang tadi, saya bersama dengan Fakhrul bertandang ke Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dengan hajat untuk menziarahi seorang 'alim dan tokoh pemimpin Islam. 'Alim yang dimaksudkan ialah Ustaz Haji Yusri bin Muhammad. Pertemuan yang diadakan di biliknya dan juga kafeteria mahallah yang berlangsung dalam jangka masa lingkungan jam 6 petang hingga azan maghrib telah banyak memberi nafas segar dalam usaha mengislahkan diri sendiri. Memang hajat peribadi saya untuk menziarahi beliau sebelum keberangkatan ke bumi Adelaide pada Isnin depan. Budaya ziarah dan mengambil tausiyah daripada para 'ulama dan solihin adalah sesuatu yang wajar dilaksanakan.

Ustaz Yusri bin Muhammad ini antara individu yang sangat menjaga aspek kerohanian dan ilmu tasawuf. Beliau mempunyai hubungi yang baik dengan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dan Syeikh Fuad daripada Yayasan Sofa dan kedua-dua 'ulama ini ialah ahli dalam bidang tasawuf. Nada percakapan beliau pasti akan menyebabkan kita yang halus perasaan dapat mengesani bahawa insan seperti beliau adalah bersifat tawadhu' dan tidak terasa sebarang unsur kibr yang muncul dalam tutur katanya.

Antara nasihat beliau ialah daripada segi penjagaan perkara fardhu 'ain, pemilihan 'ulama yang diyakini dan sebaik-baiknya 'ulama yang mempunyai pertalian (sanad) dengan 'ulama yang mu'tabar sebelumnya, serta 'ulama yang mendapat didikan secara tradisional. Beliau menyatakan bahawa gerakan 'ulama sebegini makin berkembang dan antara contohnya ialah Habib Umar yang banyak menjelajah ke merata-rata negara di dunia. 'Ulama centric ataupun kepusatan kepada 'ulama dalam proses pengisian tarbiyyah dan islah perlu diberikan perhatian. Sentuhan 'ulama tradisional yang mempunyai sanad yang diyakini mempunyai kesan sentuhan dan keberkatan.

Pendapat secara peribadi, perkenalan saya dengan Ustaz Yusri banyak memberikan keinsafan kepada diri kepada aspek penyucian dan penjernihan hati. Beliau ada berkongsi kepada kami bagaimana kesungguhan Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali yang menekuni persoalan hati (tasawuf) sedangkan kedudukan beliau yang pada tahap profesor dalam bidang syari'ah. Bagi Imam Al-Ghazali, beliau terasa kekurangan jika tiada kekukuhan dalam aspek tasawuf.

Diri memang insaf apabila selalu menziarahi dan mendengar nasihat secara talaqi daripada para 'ulama. Memang benar, keadaan hati kita yang bersih ataupun tidak akan terjelma pada riak muka atau wajah kita dan seterusnya dalam tindak-tanduk kita. Tengok sahaja golongan solihin, akan terserlah kejernihan air muka mereka, manis dengan senyuman. Nada percakapan yang sedikit pun tidak menyebabkan perasaan kita tergugat. Mereka punyai perasaan yang halus dan sangat menjaga tutur kata, gerak geri dan akhlak mereka. Insya ALLAH, mereka yang telah "selesai" dalam urusan penyucian dan penjernihan hati akan beroleh ketenangan yang luar biasa dalam urusan mereka dengan manusia lain.

Kami bersalaman dan berpelukan buat kali terahir sebelum keberangkatan saya ke Adelaide, di perkarangan masjid UIAM Gombak. Terus terang daripada saya, kita memang memerlukan pergaulan, persahabatan yang soleh (suhbah solehah) dalam usaha untuk beristiqamah menjaga hati. Juga daripada Ustaz Yusri, jika dalam masa tiga hari kita tidak bertemu atau melihat 'ulama, pasti usaha kita untuk menjaga hati akan terganggu.

Syaikh Ibnu 'Atoillah dalam kitab al-Hikamnya yang masyhur dalam dunia tasawuf ada mengungkapkan hikmah berikut:

Sebaik-baik Sahabat

" Dan sekiranya engkau berkawan dengan seorang bodoh yang tidak menurutkan hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan dengan seorang 'alim yang selalu menurut hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang 'alim yang selalu menurut hawa nafsunya itu, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang hawa nafsunya."




Sabtu, 27 Mac 2010

Terima Kasih Buatmu Yang Sudi Menjadi Sahabatku


Pernahkah kita terfikir mengapa insan-insan yang sangat hampir kepada Rasulullah s.a.w. dan sentiasa berakhlak mulia terhadap baginda diberi gelaran sahabat? Kenapa bukan gelaran kenalan, rakan atau kawan yang digunakan? Pasti taraf "sahabat" itu adalah sangat tinggi dalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w.. Begitu juga kita selaku umat Baginda, sering kali kita dengan penuh rasa semangat menyebut-nyebut slogan "ukhuwwah fillah", "ana akhukum fillah", "ana uhibbuk fillah", "ukhuwwah fillah abadan abada" dan lain-lain lagi. Ya, masing-masing memerlukan ni'mat persaudaraan yang didasari 'aqidah yang satu ini. Persaudaraan ini ialah persaudaraan yang sangat tinggi kemanisannya, lebih kuat lagi ikatannya daripada ikatan kekeluargaan. Kita juga sering mendakwa diri kita sebagai sahabat insan yang lain, dan tidak kurang juga kita mendakwa insan lain ialah sahabat kita.




Gambar: Senyuman dari hati yang suci mententeramkan jiwa mu'min yang lain.


Sejauh manakah kita memenuhi kriteria-kriteria sebagai seorang sahabat? Ini adalah antara persoalan yang amat perlu kita amati. Cuba kita lakukan muhasabah, periksa di manakah kecacatan yang kita ada. Syukur kepada ALLAH jika kita ditemukan dengan kecacatan tersebut, dan jangan berlengah lagi, lakukan perubahan! Itulah antara ciri yang sangat mahal bagi mu'min kelas pertama yang sangat berjiwa besar. Mereka bersedia mengakui kelemahan diri dan bersungguh-sungguh untuk membaiki kelemahan tersebut.


"Terima kasih buat mereka yang sudi menjadi sahabatku!" Sahabat; mereka yang benar-benar memenuhi kriteria-kriteria sebagai seorang sahabat. Alhamdulillah, jiwa hamba ini terasa segar dengan kemurnian jiwa yang engkau tunjukkan! Sahabat yang soleh sebagaimana yang diacu oleh acuan Muhammad s.a.w. pasti akan menyerlahkan ketinggian budi pekerti. Akan terpancar akhlak-akhlak mahmudah yang akan mententeramkan hati sahabat mereka.


Bersabarlah dalam usaha pencarian sahabat yang sejati. Jangan mudah terasa dengan rintangan-rintangan yang ada dalam usaha pencarian sahabat ini. Kadang-kadang, kita sahaja di satu pihak yang beria-ia ingin menjalinkan ukhuwwah Islamiyyah dan menyuburkannya. Namun sungguh tidak menyenangkan hati, usaha ini tidak mendapat sambutan daripada pihak tersebut, seperti mana yang kita harapkan.


- Berjabat tangan, tetapi muka memandang ke tempat yang lain.
- Bertemu dengan air muka yang tidak menyenangkan.
-Perbualan satu balas satu.
-Pertanyaan khabar yang tidak berbalas.
-Berada dalam satu majlis, tetapi tidak bersapa antara satu sama lain.
-Tidak menghargai pelawaan atau jemputan, bahkan lebih puas untuk mengutamakan kehendak nafsu sendiri.






Inilah antara norma kecacatan dan penyakit ukhuwwah Islamiyyah. Kelukaan ini jika tidak dirawat, mampu merobek jiwa dan menyebabkan kehausan rohani yang sentiasa ingin bersuhbah menuju ALLAH s.w.t. Secara realitinya, masih terdapat banyak lagi ciri kecacatan dalam ukhuwwah Islamiyyah.

Insya ALLAH, mari bersama-sama kita melakukan penilaian terhadap tahap penghayatan ukhuwwah Islamiyyah kita. Kita baiki kekurangan yang ada, kita perkasakan pelaksanaannya.


Dalam kitab Bimbingan Mu'min tulisan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.t., Saidina Ali k.w. berkata:

" Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu.
Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatan dirimu.
Seorang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu.
Sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu."





Dalam kitab yang sama juga, Imam Ghazali r.t. memuatkan; Abu Sulaiman Ad-Daaraani r.t. berkata pula:

" Jangan sesekali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang daripada dua yang berikut:
1. Orang yang engkau merasakan senang dengannya dalam menguruskan hal ehwal keduniaanmu.
2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfa'at dalam hal ehwal keakhiratanmu."


Dalam kitab Al-Hikam, Ibnu 'Athoillah mencatatkan:


" Jangan berkawankan seorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada ALLAH, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan ALLAH kata-katanya."


Lemah lembut dalam ukhuwwah Islamiyyah.

Sedih dan terkilan dengan penjelmaan golongan yang agak keterlaluan dalam ketegasan mereka. Kononnya menjaga syar'iat hingga terkesan di jiwa masyarakat, mereka ini sudah hilang kelembutan dalam ukhuwwah Islamiyyah, dalam pergaulan dengan orang-orang beriman. Sudah tentu hati kita tidak akan tenteram andaikata pendokong-pendokong perjuangan Islam menjadi pelampau dan sudah lagi tidak memiliki kelembutan perilaku dalam pergaulan yang soleh.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."
Surah Ali Imran, 3: 159

Ahad, 11 Oktober 2009

Dosa dan Ta'at


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Penulisan ini disalin semula daripada terjemahan kitab Al-Hikam Imam Ahmad Ibnu 'Athoillah.

Dosa Yang Menyebabkan Bertaubat Lebih Baik Daripada Ta'at Yang Menimbulkan Ujub (Sombong)

106) Ma'siat (dosa) yang menimbulkan rasa rendah diri dan memerlukan rahmat ALLAH, lebih baik daripada perbuatan ta'at yang membangkitkan rasa sombong, 'ujub dan besar diri.

Abu Mad-yan r.a. berkata: Perasaan rendah diri seseorang yang telah berbuat ma'siat dosa itu adalah lebih baik daripada kesombongan seorang yang ta'at. Ada kalanya seorang hamba berbuat kebaikan (hasanat) yang menimbulkan rasa ujub sombong, sehingga dapat menggugurkan segala amal-amal yang sebelumnya, dan ada kalanya seorang berbuat dosa yang menyedihkan hatinya, sehingga timbul rasa takut kepada ALLAH, dan menyebabkan keselamatan dirinya.

Asysya'by meriwayatkan daripada Alkhalil bin Ayyub bahawasanya seorang 'abid (ahli ibadah) Bani Israil ketika ia berjalan ia dinaungi oleh awan, tiba-tiba ada seorang pelacur Bani Israil, maka tergerak dalam hati pelacur itu: Ini seorang 'abid Bani Israil, aku ingin mendekat kepadanya semoga aku mendapat rahmat ALLAH kerana mendekat kepadanya. Maka ketika pelacur itu mendekat kepada 'abid itu, tiba-tiba si 'abid itu mengusir dengan berkata: Nyah engkau dari sini. Maka ALLAH menurunkan wahyu kepada Nabi s.a.w. bahawa Aku (ALLAH) mengampunkan dosa pelacur itu dan membatalkan amal 'abid itu. Maka berpindah awan daripada atas kepada 'abid ke atas kepala pelacur itu.

Al-Harits Al-Muhasiby berkata: ALLAH menghendaki supaya anggota lahir ini sesuai dengan batinnya (hatinya), maka apabila sombong congkak orang 'alim/'abid, sedang pelacur itu bertawaduk merendah diri, maka ketika itu si pelacur itu lebih taat kepada ALLAH daripada 'abid dan 'alim. Ada pula kejadian ketika seorang 'abid Bani Israil sedang sujud, tiba-tiba dipijak kepalanya oleh seseorang, maka berkata 'abid itu: Angkat kakimu, demi ALLAH tidak akan mengampunkan engkau. Maka ALLAH menjawab: Hai orang yang bersumpah dengan nama-Ku, bahkan engkau yang tidak diampunkan kerana kesombonganmu. Al-Harits dalam komentarnya berkata: Dia bersumpah kerana merasa diri besar di sisi ALLAH, maka kesombongan, ujub itulah yang tidak diampunkan ALLAH.


Semoga ALLAH memberikan kepada kita 'ilmu yang bermanfaat daripada 'ilmu Imam Ibnu 'Athoillah, dan memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Khamis, 16 April 2009

Suka Duka Itu Rahmat ALLAH


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

"Tidak daya upaya dalam melakukan ketaatan melainkan dengan apa yang dipinjamkan oleh ALLAH s.w.t.. Hamba sujud mengakui kebergantungan kepada-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa."

Berikut ialah penyalinan semula penulisan Imam Ibnu 'Athoillah dalam kitab al-Hikam beliau yang telah diterjemahkan bahasanya.

Suka Duka Itu Rahmat ALLAH

90)

"ALLAH melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu berada dalam kesempitan, dan ALLAH menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan ALLAH melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain daripada ALLAH."

ALLAH mengubah keadaanmu daripada sedih kepada gembira, daripada sihat kepada sakit, daripada kaya kepada miskin, daripada terang kepada gelap, supaya mengerti bahawa engkau tidak bebas daripada hukum ketentuan-Nya, supaya selalu engkau berdiri di atas landasan LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH. (Tidak ada daya upaya untuk mengelakkan sesuatu dan tidak ada kekuatan untuk melaksanakan sesuatu, kecuali dengan pertolongan ALLAH s.w.t.)

Firman ALLAH s.w.t., mafhumnya:

"Supaya kamu tidak sedih (menyesal) terhadap apa yang terlepas dari tanganmu, dan tidak gembira atas apa yang diberikan kepadamu."

91)

"Orang arif jika merasa lapang lebih khuatir (takut), daripada jika mereka berada dalam kesempitan, dan tidak dapat tegak di batas-batas adab dalam keadaan lapang itu kecuali sedikit sekali."

Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata:

Kami diuji dengan kesukaran, maka kami tahan dan sabar, tetapi ketika diuji dengan kesenangan (kelapangan), hampir tidak sabar (tahan).

Yusuf bin Husain Arrazy menulis surat kepada Al-Junaid:

Semoga ALLAH tidak memberi kepadamu rasa kelazatan hawa nafsumu, sebab jika engkau merasakan kelazatannya, maka tidak akan merasakan kebaikan untuk selamanya.

92)

"Dalam masa kelapangan (basath - بسط ) hawa nafsu dapat mengambil bahagiannya kerana gembira, sedang dalam masa sempit (qabdh - قبض ) tidak ada bahagian sama sekali untuk hawa nafsu. Kerana itu manusia lebih aman berada dalam kesempitan, kerana hawa nafsu tidak dapat memperdaya."

Abul Hasan Asy-Syadziliy r.a. berkata; Al-Qabdhu wal basthu (القبض والبسط) -risau hati dan riang hati selalu silih berganti dalam perasaan setiap hamba, bagaikan silih berganti siang dan malam. Dan sebabnya قبض (risau hati) itu salah satu daripada tiga:

Kerana dosa atau kehilangan dunia, atau dihina orang. Maka adab seorang hamba, jika merasa berdosa harus segera bertaubat, dan jika kehilangan dunia harus rela dan menyerah kepada hukum ALLAH, dan apabila dihina orang harus bersabar. Dan jagalah dirimu jangan sampai kamu merugikan dirimu dua kali, ya'ni dengan perbuatanmu sendiri, dan hinaan (aniaya) orang lain. Dan apabila terjadi قبض (risau hati) itu tidak diketahui sebabnya, maka harus tenang menyerah. Insya ALLAH jika tenang menyerah, tidak lama akan sirna masa gelap dan berganti dengan terang, ada kalanya terang bintang iaitu ilmu atau sinar bulan iaitu tauhid, atau matahari iaitu ma'rifat, tetapi jika tidak tenang pada masa gelap (risau hati) mungkin akan terjerumus dalam kebinasaan.

Adapun dalam masa suka (riang hati), maka sebabnya ialah satu daripada tiga:

Kerana bertambahnya kelakuan 'ibadat (taat) dan bertambahnya ilmu ma'rifat atau bertambahnya kekayaan atau kehormatan, dan yang ketiga kerana pujian dan sanjungan orang kepadanya. Maka adab seorang hamba: Jika berasa bertambah taat ibadatnya dan ilmu ma'rifatnya harus berasa bahawa itu semata-mata kurnia Tuhan, dan berhati-hati jangan sampai berasa bahawa itu daripada kerajinan sendiri. Dan jika mendapat tambah keduniaan, maka ini pula yang harus dianggap bahawa itu semata-mata kurnia ALLAH, dan harus waspada jangan sampai terkena bahayanya.

Adapun jika berupa pujian sanjungan orang kepadamu, maka kehambaanmu mengharuskan bersyukur kepada ALLAH yang telah menutup kejahatanmu sehingga orang hanya mengenal kebaikanmu, semata-mata.

Semoga penulisan Imam Ibnu 'Athoillah memberikan manfaat kepada kita dengan izin ALLAH, dan semoga ALLAH senantiasa mengurniakan rahmat dan keampunan kepada beliau.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

Jumaat, 3 April 2009

Bergembira Atas Taat kerana Kurnia ALLAH





"Jangan berasa gembira atas perbuatan taat (bakti) kerana engkau telah berasa telah dapat melaksanakannya, tetapi bergembiralah atas perbuatan taat itu, kerana itu sebagai kurnia taufiq, hidayah daripada ALLAH kepadamu."

Al-Hikam Syaikh Ibnu 'Athoillah.

قُلْ بِفَضْلِ اللّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

"Katakanlah: Kerana manusia mendapat kurnia dan rahmat ALLAH mereka harus bergembira. Itulah yang lebih baik daripada yang dapat dikumpulkan oleh mereka."

Surah Yunus: 58.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...