"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Akan tetapi, barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." -Al-Hadits. Dicatatkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad
Ulama Benteng
Selasa, 19 Oktober 2021
Adab Hati
- Jangan underestimate
- Prepare for the worse
- Expect least
- Humble, polite
Isnin, 12 April 2021
Ulasan Artikel : Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam
Pengenalan – Setiap harta benda secara hakiki adalah hak milik mutlak Allah dan manusia hanya berperanan menguruskannya semasa hidup dan selepas kematian perlu berpindah amanah itu kepada waris. Islam menyediakan kaedah pengurusan pusaka melalui faraid, dan seiring perkembangan zaman penyelesaian pembahagian pusaka juga boleh dilaksanakan secara muafakat yang dinilai adakah sejajar dengan kaedah takharuj dalam undang-undang pusaka Islam.
Isi-isi penting - Konsep muafakat adalah persetujuan
bersama antara ahli waris melalui kerelaan masing-masing tanpa paksaan. Dalam masyarakat
Melayu, wujud medium khusus menyelesaikan isu pertikaian dan mereka lebih
berminat dengan penyelesaian di luar mahkamah secara rundingan sesama mereka
atau merujuk kepada orang tengah. Cara ini adalah secara kekeluargaan.
Permuafakatan damai telah diamalkan pada zaman Nabi Muhammad SAW, dan proses
ini mempunyai tautan yang erat dengan pengertian sulh, yang dikhususkan
bagi tujuan mengakhiri pertikaian sesama manusia. Konsep takharuj pula
apabila ahli waris saling mengeluarkan bahagiannya kepada saudaranya yang lain
iaitu menyerahkan bahagian miliknya melalui pembelian. Perdamaian berlaku
antara para ahli waris agar sebahagian daripada mereka menarik diri daripada
mengambil bahagian pusakanya. Asas
pengaplikasian takharuj adalah berdasarkan athar yang berlaku
pada zaman pemerintahan ‘Uthman ibn ‘Affan RA, apabila seorang daripada isteri
‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf RA yang dilakukan musalahah terhadapnya (dengan
persetujuan isteri tersebut) dengan dibayar 83,000 (dinar) untuk
mengeluarkannya daripada senarai ahli waris. Kedudukan akad takharuj berteraskan
cara penyelesaian yang dipersetujui para waris, boleh jadi mubadalah, hibah,
mu’awadah dan ibra’. Sungguhpun istilah muafakat dan takharuj berbeza,
terdapat persamaan penting dari aspek hala tuju matlamat yang direalisasikan
melalui kedua-kedua konsep ini, iaitu perdamaian bagi keadilan untuk menjaga persaudaraan
antara waris. Titik utama kepada definisi-definisi tersebut berpunca daripada
perkataan kharaja (keluar) iaitu mengeluarkan diri atau ahli waris daripada
hak kadar ditetapkan faraid, dengan gantian sesuatu imbalan atau tanpa balasan.
Terdapat beberapa perbezaan antara konsep muafakat dan takharuj. Takharuj
boleh dilaksanakan tanpa persetujuan yang lain, namun dalam muafakat memerlukan
keputusan bersama. Seterusnya sumber amalan takharuj ialah athar yang
terlaksana pada zaman ‘Uthman ibn ‘Affan RA, manakala tiada sandaran khusus
yang kuat kepada amalan muafakat. Di samping itu, takharuj memiliki
kerangka asas yang tersendiri dari sudut syarak yang mempunyai syarat-syaratnya
tersendiri manakala amalan muafakat adalah lebih longgar dan tidak terikat
kepada mana-mana syarat. Perbezaan seterusnya ialah dalam konsep takharuj,
setiap ahli waris mengetahui terlebih dahulu kadar dan hak masing-masing, namun
dalam konsep muafakat hal demikian tidak diberikan penekanan. Secara keseluruhan, dapat difahami bahawa
kedua-dua konsep memiliki persamaan asas dalam sudut matlamat akhir untuk
menyelesaikan pembahagian harta pusaka dengan baik dan pada masa sama memelihara
hubungan antara ahli waris. Seterusnya apabila diteliti dengan lebih halus,
wujud beberapa perbezaan yang mana konsep takharuj dilihat memiliki
rujukan dan syarat lebih tersusun.
Pandangan dan persoalan yang timbul
dari isi-isi penting yang dibangkitkan - Konsep muafakat secara asas utama diikat pada kerelaan
dan persetujuan oleh setiap ahli waris, ahli keluarga yang berhak menerima
agihan harta pusaka si mati dan seterusnya untuk digunakan dalam kelangsungan
hidup. Hukum Islam secara pasti telah menentukan faraid kepada setiap waris.
Namun, dalam beberapa situasi dan perkembangan cabaran zaman, wujud harta yang
sukar untuk dipecahkan dan diagihkan seperti lot tanah jika dipecahkan menjadi
lot lidi akan kurang nilai gunaannya. Justeru, terdapat pilihan yang diamalkan
masyarakat Melayu untuk berhadapan situasi itu, dengan konsep muafakat. Amalan
muafakat yang diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk penyelesaian secara damai
tanpa melibatkan institusi formal seperti mahkamah adalah tradisi, dan pada
peringkat antarabangsa juga telah diamalkan oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Pengamalan
seperti bukan sesuatu yang baru dan janggal, bahkan telah diamalkan sejak
sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul dan berterusan diamalkan
selepasnya. Intipati daripada pendekatan ini adalah memberi keutamaan
penyelesaian pertikaian secara menyeluruh agar masyarakat secara amnya dapat
mengecepai kedamaian dan tidak sekadar penentuan pihak manakah yang menang dan
yang kalah. Pelaksanaan yang berakar umbi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka
dalam muafakat menyelesaikan pertikaian ini adalah berkait rapat kukuh dengan
nilai ajaran Islam. Di samping itu, pertikaian sosial dihadapi berpandukun
nilai-nilai Islam, norma setempat dan adat masyarakat Melayu yang begitu
menitikberatkan kesopanan dan tolak ansur dalam hubungan sosial. Proses
mendapatkan pandangan daripada orang yang lebih dihormati dan diyakini,
kemudiannya terhasil persetujuan bersama adalah penyelesaian yang mengikuti
konsep sulh dalam syariat Islam. Sulh memiliki hubungan yang kuat dengan
sulh. Antara definisi yang sangat tepat dalam konteks ini ialah daripada
al-Isfahani (1961) yang menyatakan sulh dikhususkan bagi menamatkan
pertikaian antara manusia. Sejajar dengan itu, tautan rapat wujud antara
muafakat dengan sulh dengan konteks tujuan yang umum untuk saling
berdamai secara sukarela bagi mengelakkan pertikaian. Dengan mengambil kira
pandangan pelbagai sarjana, disimpulkan bahawa takharuj adalah apabila
para ahli waris berdamai agar seorang atau sebahagian daripada mereka dikeluarkan
daripada menerima harta pusaka dan akan menyerahkannya kepada seorang atau sebahagian
atau kepada semua ahli waris dan sebagai gantiannya daripada apa yang
dipersetujui mereka, sama ada diambil daripada harta pusaka tersebut atau
selainnya, iaitu daripada harta peribadi waris-waris yang menerima atau secara
sukerala tanpa balasan. Maka, dapat dilihat dengan lebih jelas kaitan kuat takharuj
dengan amalan muafakat masyarakat Melayu. Dengan berpandukan athar oleh sahabat
Rasulullah SAW pada zaman Utman bin Affan RA, konsep takharuj diikat
kemas dengan perundangan Islam yang pastinya membawa kepada kebaikan. Akad berperanan
amat mustahak bagi menjelaskan status transaksi, implikasi dan selanjutnya ketenangan
jiwa kepada setiap pihak terlibat. Di
sini, kekuatan dan keunikan kedudukan akad dalam takharuj adalah
berdasarkan cara rundingan dan penyelesaian konsesus setiap waris. Transaksi
menjadi mubadalah (pertukaran) jika harta ditukar dalam nilai sama.
Apabila kurang daripada nilai, transaksi menjadi hibah (hadiah). Takharuj
menjadi ibra’ apabila seorang ahli waris memberi sebahagian haknya dan
mengekalkan haknya pada sebahagian harta lain. Hibah dalam takharuj
berlaku apabila ahli waris melepaskan haknya tanpa sebarang ganti rugi atau
bayaran atau imbal balik. Takharuj boleh dibahagi secara muqasamah sekiranya
ahli waris yang menarik diri melakukan takharuj tanpa balasan, mengenakan syarat
agar bahagiannya dibahagi sama rata dalam kalangan ahli waris lain. Sekali lagi
dilihat kesyumulan, fleksibiliti perundangan Islam yang meraikan situasi yang
berbeza dan pilihan yang dipersetujui ahli-ahli terlibat. Perbezaan konsep
muafakat dan takharuj adalah tidak ketara. Kepelbagaian definisi oleh
ulama dan sarjana membawa kepada kesimpulan yang sama dan saling melengkapi
antara satu sama lain. Dalam takharuj, waris yang berhak menerima pusaka, jika
ia ingin keluar daripada menerima, ia boleh melaksanakannya secara mutlak tanpa
memerlukan persetujuan waris lain. Berbeza dengan pelaksanaan muafakat yang
memerlukan keputusan secara bersama. Di sini di lihat kesantunan masyarakat
Melayu yang masih mementingkan kebersamaan sosial setiap ahli terlibat. Dari
sudut rujukan, pelaksanaan takharuj sewaktu zaman sahabat Nabi SAW yang
tiada penentangan menjadikan amalan itu sebagai diterima dan dijadikan asas
rujukan ulama. Muafakat pula tidak memiliki sumber penulisan khusus, dan diamalkan
secara adat dan tradisi. Apa yang berlaku adalah usaha ulama pada masa
kontemporari untuk mengaitkan konsep muafakat dengan sulh kerana amalan
yang baik itu tidak bertentangan dengan syarak. Dalam pelaksanaan konsep
tersebut, muafakat boleh mengambil kira dan ditambah baik dari segi syarat-syarat,
tertakluk kepada elemen-elemen yang boleh membatalkannya. Dengan demikian,
setiap ahli akan lebih yakin dan tenang jiwa kerana setiapnya bernilai ibadah
akhirat dengan lebih jelas dan terbela haknya oleh sistem perundangan Islam. Di
samping itu, pemurnian amalan muafakat juga boleh terlaksana dengan mencontohi
amalan takharuj yang menuntut setiap ahli waris mengetahui hak dan
bahagian masing-masing terlebih dahulu. Dengan itu, ahli waris membuat
keputusan dengan pengetahuan dan keyakinan. Berbanding dengan muafakat yang
tidak memestikan pengetahuan setiap ahli waris. Dapat diketengahkan juga bahawa
amalan muafakat adalah banyak berteraskan adat dan kesantunan masyarakat
Melayu, tanpa ada ikatan syarat yang lebih jelas dan ketat. Amalan tradisi muafakat
berdasarkan ikatan adat. Bagi kebaikan kesemua pihak, terutama kelangsungan
hidup kekeluargaan, maka amat wajar kekuatan kedua-dua konsep dimanfaatkan. Hak
setiap ahli waris terjamin, hubungan baik sesama mereka dapat dipertahankan
dalam suasana santun dan damai.
Senarai
rujukan – dari bahan bacaan jurnal atau buku teks berkaitan
al-Hasari, Ahmad. 1992.
al-Tarikat wa al-Wasaya wa al-Qadaya al-Muta‘alliqat bihima fi al-Fiqh
al-Islami al-Muqaran. Bayrut: Dar al-Jayl.
Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan
Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif
Undang-undang Pusaka Islam.
al-Isfahani, al-Raghib.
1961. al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an. al-Qahirah: Matba‘at Mustafa al-Babi
al-Halabi. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 –
28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut
Perspektif Undang-undang Pusaka Islam.
Cohen, J.A. 1978. China’s
Changing Constitution. Harvard: Harvard Law School. Dipetik daripada Md
Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi
Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam.
Ibn Manzur, Jamal
al-Din Muhammad Mukarram ibn ‘Ali. 1990. Lisan al-‘Arab. Bayrut: Dar Sadir. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat
39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan
Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam.
Mansur, ‘Abd al-Halim.
2010. Fiqh al-Mawarith fi al-Shari‘ah al-Islamiyyah. Iskandariyyah: Dar
al-Fikr al-Jami‘i. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1)
2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka
menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam.
Md Yazid Ahmad,
Hayatullah Laluddin. 2010. Pengurusan harta pusaka: Permasalahan sikap
masyarakat Islam di Malaysia dan penyelesaiannya menurut perspektif Islam. Shariah
Law Reports 4: 30-54.
Md Yazid Ahmad,Ibnor
Azli Ibrahim. 2006. Konsep harta menurut perspektif undang-undang Islam &
undang-undang sivil: Satu tinjauan. Jurnal Pengajian Umum 7.
Sabtu, 6 Mac 2021
Apa amalan anchor kita?

Apa amalan anchor kita?
Iaitu satu amalan yang benar-benar kita nak lazimi, secara berterusan, insya Allah.
Kita pasang pada minda kita, jadi akan tersemat dalam fikiran kita, walaupun separa sedar, dan jadi auto-pilot nanti terlaksana kerana sudah sentiasa dilazimi.
Sesuaikan dengan kemampuan, suasana, minat kita.
Contoh-contoh:
1) Bersedeqah secara rahsia RM 1 seminggu secara online bank transfer
2) Mendoakan sahabat-rakan di luar pengetahuan mereka
3) Setiap minggu usaha untuk gembirakan orang lain, sekurang-kurangnya sekali
4) Setiap minggu, kita bantu orang lain ajarkan mereka ilmu berguna
5) Sentiasa isi masa yang ada terluang senggang dengan berselawat kepada Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam. Contoh : semasa berjalan ke kedai, semasa tunggu lif
Kenapa nak cari amalan anchor?
Mafhum hadis :
- Allah cinta amalan hamba yang dilakukan berterusan walaupun sedikit
- Amalan yang dilazimi semasa sihat dan tidak bermusafir, dengan rahmat Allah, akan tetap diberikan pahala seandainya hamba Allah itu sakit dan bermusafir
Foto: Creator: graphixchon
|
Credit: Getty Images/iStockphoto
Copyright: graphixchon
Jumaat, 29 Januari 2021
Calm with Growth Mindest
Selasa, 19 Januari 2021
Rukun Negara : Prinsip Kedua - Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Catatan ini dipaparkan juga pada laman mohdikhwanzhaki.blogspot.com
Saya sekadar penyusun. Kredit kepada penulis dan pengkaji asal.
Pendahuluan
Untuk menjamin keutuhan perpaduan setiap warganegara Malaysia, pastinya perlu ada asas-asas yang menjadi rujukan utama yang mengikat kesemua rakyat. Kesedaran bagi menghasilkan perpaduan kaum dalam negara berbilang kaum di Malaysia menjadi satu beban tugas yang berat. Oleh sebab yang demikian, pemimpin Malaysia telah membentuk Rukun Negara bagi mengatasi perbezaan yang wujud antara kaum di Malaysia yang jika tidak diuruskan dengan baik akan merobek keutuhan perpaduan. Berpegang teguh pada falsafah Rukun Negara menjadi satu kemestian bagi setiap warganegara Malaysia.
Rukun Negara
Rukun Negara menjadi ideologi kebangsaan. Bertitik tolak dari tempoh sekitar tahun 1970 khususnya semasa pentabdiran negara oleh MAGERAN, pelaksaanaan dilaksanakan secara serius bagi memformulasikan dasar-dasar kerajaan. Objektif utama adalah untuk mengawal masyarakat di negara ini supaya tidak terheret ke dalam kancah perkauman seperti yan telah terjadi pada 13 Mei 1969. Rentetan peristiwa 13 Mei tersebut, Majlis Perundingan Negara melalui MAGERAN telah ditubuh dan memainkan peranan sebagai pemikir merangka perpaduan negara. Antara hasilnya adalah dengan terhasilnya satu ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru bagi mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil. Dengan falsafah Rukun Negara, Malaysia dapat menjadikannya pendekatan utama bagi mengatasi perbezaan antara etnik. Unsur-unsur yang terkandung dalam Rukun Negara tidak menunjukkan hak milik eksklusif mana-mana satu kaum. Sifat Rukun Negara adalah umum dan membina lingkaran yang luas, sehingga pada titik akhirnya dapat menyusun tata kelakuan, mengendalikan, dan memberi hala tuju kepada kepada kelakuan dan perbuatan yang selayaknya bercirikan Malaysia (Abdul Rahman, 2010).
Rukun Negara mempunyai lima prinsip yang berteraskan acuan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tujuan objektif utama prinsip-prinsip ini adalah untuk memperkukuh perpaduan kaum. Lima prinsip Rukun Negara:
1) Kepercayaan kepada Tuhan
2) Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3) Keluhuran Perlembagaan
4) Kedaulatan Undang-undang
5) Kesopanan dan Kesusilaan
Falsafah Rukun Negara
Dalam merujuk pendekatan makna falsafah, antara definisi yang dikemukakan adalah : 1) pemikiran yang dasar, asas atau fundamental, (2) memberi makna signifkan sesuatu konsep dan (3) pemikiran yang mendalam. Justeru, dalam memahami dan menghargai Rukun Negara, pastinya perlu dilihat pada sudut falsafahnya. Rukun Negara dibentuk, disusun, digarap dengan penuh ketelitian yang merangkumi punca keperluan diadakan, elemen, kumpulan sasaran dan matlamat yang ingin dicapai. Secara umumnya semua bersetuju bahawa falsafah Rukun Negara amat mustahak dalam pembinaan sesebuah negara. Falsafah Rukun Negara ditujukan kepada sesuatu konteks yang spesifik, khususnya kepada konteks pemikiran negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya dan kaum. Jelas, falsafah tersebut mempunyai sifat lokal tersendiri (iaitu masyarakat majmuk) walaupun isu yang ditangan bersifat universal dan global (perpaduan rakyat dan kestabilan negara). Dilihat dari sudut ruang lingkup cakupannya, Rukun Negara adalah berada pada tahap makro. Falsafah Rukun Negara bertujuan membentuk dan membina ideologi kebangsaan.
Prinsip Rukun Negara kedua: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Pada prinsip kedua ini, konsep yang diguna pakai ialah konsep negara bangsa iaitu nation state. Nation state Malaysia memiliki unsur sejarah tersendiri yang diserap melalui sistem beraja atau sistem monarki. Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan diamalkan di Malaysia. Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara dan sistem beraja turut diamalkan di setiap negeri. Bagi negeri yang tidak mempunyai raja, Yang di-Pertua Negeri berperanan sebagai ketua. Kesemua Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri menjadi simbol penyatuan rakyat. Oleh sebab yang demikian, setiap warganegara Malaysia hendaklah memberikan tumpuan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pada peringkat negeri pula, rakyat menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa menjejaskan dan menguragkan taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sejajar dengan perintah agama Islam yang menuntut rakyat mentaati pemerintah, ketaatan kepada ketua negara, iaitu Yang Di-Pertuan Agong dan raja-raja serta para pemimpin negara menjadi satu kewajipan. Sehubungan dengan itu, sumpah setia kepada Raja dan Negara menjadi nilai dalam masyarakat dalam negara ini. Unsur kesetiaan ini adalah mustahak bagi menjamin wujudnya aspek kesepaduan dalam kalangan rakyat, dan kesepaduan itu adalah berdasarkan kesetiaan mereka kepada Raja yang menjadi lambing sebagai Ketua Negara berpelembagaan.
Hubungan Antara Rakyat dengan Raja
Prinsip kesetiaan kepada raja dan negara berpaksi dalam Malaysia negara yang berpayungkan institusi raja. Dalam sistem negara dan kerajaan yang memiliki raja, pemerintah dan rakyat, tidak dinafikan keperluan bagi memahami hubungan antara kedua-dua raja dan rakyat. Sungguhpun tiada ketentuan yang pasti tentang syarat menjadi “rakyat”, tetapi dari pelbagai peristiwa dan historiografi dapat dikesan beberapa perkara yang boleh dilihat sebagai syarat menjadi rakyat (Bazrul Bahaman, 2015).
Ketaatsetiaan
Seorang “rakyat” harus memberikan taat setia sepenuhnya kepada raja. Ia harus mengutamakan kepentingan raja lebih daripada kepentingan dirinya sendiri. Seorang rakyat kedudukannya dalam negara adalah seumpama hamba kepada raja. Ia harus memberikan segala hak miliknya apabila diminta oleh raja. Setia kepada raja mempunyai makna yang luas meliputi:
1. Taat pada semua perintah raja
2. Taat pada peraturan yang disahkan raja
3. Taat pada pembesar yang dilantik oleh raja
Tidak Memberikan Kesetiaan kepada Raja Negara lain
Memberikan taat setia kepada negara lain boleh mengakibatkan seseorang itu hilang taraf ke”rakyat”annya. Memetik tulisan Bazrul Bahaman (2015) yang memuatkan kisah bagaimana Sang Guna ketika berada di Perlak dan Brunei tidak mahu menyembah kepada raja negera tersebut. Hal ini demikian kerana jika ia menyembah bererti ia mengubah kesetiaanya kepada negeri Melaka yang boleh menyebabkan kedudukannya sebagai rakyat Melaka diragukan. Justeru, seseorang yang berada di negara lain dapat mengekalkan kedudukannya sebagai rakyat negara asalnya dengan cara ia tidak menyembah tunduk kepada raja negara tersebut.
“Rakyat” peringkat awal terdiri daripada rakyat yang dibawa oleh pengasas negeri dan rakyat setempat. Kedua-dua kumpulan ini sama-sama membuka tanah dan mendirikan istana, balairung seri dan kota. Di samping itu, terdapat juga “rakyat” yang berasal dari pedagan atau pendakwah yang tujuan awalnya hanya untuk berniaga atau berdakwah. Namun, mereka kemudiannya menetap untuk jangka masa lama sehingga menjadi “rakyat”. Selain itu terdapat dua golongan lain yang menjadi “rakyat”, pertama rakyat negeri lain yang meninggalkan negerinya lalu memohon kepada raja untuk menetap dan menjadi "rakyat". Permohonan sebagai “rakyat” biasanya dinyatakan sebagai "menyembah" atau "memperhamba diri". Kedua, orang yang mohon perlindungan. Misalnya Raja Palembang setelah dikalahkan oleh adiknya melarikan din ke Jambi dan mohon perlindungan dari Raja Jambi (Bazrul Bahaman, 2002). Seseorang dianggap lucut kerakyatannya apabila tidak memberikan kesetiaan kepada raja atau membelot. Mereka tidak diakui lagi oleh sultan sebagai rakyatnya, dan akan diusir dan dalam negara. Dalam Hikayat Palembang ada dikisahkan tentang seorang pedagang Arab bernama Pangeran Syarif Muhamad sudah tidak diakui lagi oleh Sultan Palembang sebagai rakyat Palembang. Ia kemudian pindah ke Betawi dan menjadi tali barut Belanda.
Kepentingan Ketaatan kepada Raja dan Negara
Penentu kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara adalah aspek kesetiaan. Dengan kesetiaan, kepercayaan mampu dibina dan ikatan terbentuk antara pihak-pihak terlibat. Dalam hal ini, semua rakyat perlu taat dan setia kepada ketua negara, kerajaan dan keluarga agar perpaduan tidak pecah dan robek. Pada masa yang sama, keselamatan negara pula ditentukan oleh dua faktor utama iaitu secara dalaman dan secara luaran. Oleh sebab yang demikian,bagi mengekalkan kestabilan dan keselamatan negara, kedua-dua faktor tersebut wajib dipelihara sepanjang masa dan sememangnya tugasan berat ini menjadi tugas kerajaan dan setiap warganegara tanpa kecuali, tidak mengira perbezaan kaum, agama, umur, status sosial, fahaman politik, mahupun kawasan kediaman seseorang individu. Punca ancaman terhadap keselamatan negara boleh muncul daripada sekecil-kecil perbuatan menyalahi peraturan sehingga sebesar-besar kesalahan. Justeru, perhatian teliti dan menyeluruh amat mustahak. Sekecil-kecil ruang ancaman kepada perpaduan negara ditutup, agar tidak merebak dan membarah kepada tahap yang lebih buruk. Brown III (2004) menyatakan zaman kini memiliki dunia siber dan keterdedahan kepada ancaman dari segenap sudut dan tahap keseriusan, maka cara pengurusan negara memerlukan ketegasan. Pada masa yang sama, di samping aspek penguatkuasaan yang berkesan, ketaatan negara sentiasa boleh dibajai dengan menghidupkan roh ikatan sosial melalui Rukun Negara.
Peranan Rakyat dalam Negara
Secara lebih khusus diteliti berdasarkan konteks ikatan rakyat dan raja dalam sejarah Kesultanan Melayu, yang dapat diambil intipati pengajarnnya dalam sistem moden raja berperlembagaan demokrasi berparlimen, terdapat tiga aspek peranan rakyat yang utama secara keseluruhannya. Hal ini dinyatakan oleh Bazrul Bahaman (2015).
a. Pertahanan
Pada konteks hari ini, aspek ini dilihat ketara peranannya dimainkan oleh Angkatan Tentera Malaysia yang turut merangkumi pasukan simpanan / separa tentera (askar wataniah). Aspek pertahanan juga merangkumi pertahanan awam yang berkhidmat membantu menyelamatkan rakyat dalam situasi kecemasan antaranya seperti bencana banjir dan lain-lain.
Dengan melihat kepada konteks sejarah kesultanan Melayu, peranan paling penting rakyat ialah untuk pertahanan. Bila ada serangan luar rakyat akan dipanggil untuk terlibat berperang mempertahankan negara. Rakyat dipimpin oleh penghulu atau membesar yang menguasai daerah mereka. Ketika menghadapi serangan Siam ke atas Melaka rakyat Kelang datang dengan diketuai oleh Tun Perak yang pada ketika itu menjadi penghulu di Kelang. Ketika Melaka diserang oleh Portugis rakyat ikut berperang bersama raja hingga ramai yang mati. Di Negara-Dipa ketika perang antara Negara-Dipa dengan Banjarmasin juga melibatkan rakyat, sehingga ramai yang terkorban dan luka-luka. Ketika menyerang Inderapura Laksamana telah membawa rakyat Sungai Raya untuk sama-sama menyerang Inderapura kerana Sungai Raya pada waktu itu di bawah kekuasaan Laksamana. Ketika Singapura diserang todak pula, rakyat berkubu betis untuk menahan serangan ikan todak.
b. Tenaga Kerja
Dalam konteks moden pada hari ini, peranan tenaga kerja dilihat dalam segenap aspek sama ada sektor awam atau swasta. Masing-masing memainkan peranan penting sebagai rakyat yang menyumbang kepada kemajuan negara. Dalam konteks sejarah rakyat di bawah raja Melayu pada suatu masa dulu, selain untuk perang, kerahan tenaga juga dilakukan ketika membuka negeri. Ketika itu semua rakyat yang dibawa ikut sama dan rakyat yang sudah sedia ada di kawasan tempat negeri yang baru dibuka itu akan bekerja untuk membangun istana, balairung, rumah, kota dan pasar sebagai keperluan asas sebuah negara. Kerahan tenaga rakyat juga dilakukan untuk melakukan kerja-kerja raja seperti mendirikan istana, masjid dan sebagainya.
c. Memilih Penghulu (Wakil Rakyat – Pemimpin)
Pada hari ini, rakyat menggalas amanah untuk membuang undi memilih wakil rakyat pada peringkat negeri dan kebangsaan masing-masing melalui calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kawasan masing-masing. Parti yang menang membentuk kerajaan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Mereka bekerja, dengan peranan tenaga kerja penjawat awam juga dalam berkhidmat kepada Yang Di-Pertuan Agong dan negara. Intipati ini didapati dalam sejarah Melayu. Peranan rakyat yang paling besar adalah di peringkat daerah. Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang bakal menjadi penghulu. Dalam Sulalatus Salatin diceritakan bagaimana rakyat Kelang telah memilih Tun Perak sebagai penghulu mereka.
Menjunjung Ikrar Setia kepada Raja
Institusi raja menjadi tiang seri negara yang sentiasa perlu dipertahankan, dimuliakan. Raja menjadi payung kepada kedaulatan negara. Hal ini menjadi amanah setiap warganegara Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, status sosial dan perbezaan ideologi politik. Perlu diinsafi bahawa Raja-raja Melayu bukanlah boneka yang hanya sekadar menurunkan mohor berkenaan kepada semua dokumen dipersembah dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat tanpa kuasa menyuarakan pendirian. Sebaliknya, Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong berperanan sebagai penimbang tara yang adil dan saksama jika mendapati nasihat dipersembah menyimpang daripada undang-undang, tergelincir daripada landasan keadilan, berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara. Bagi terus menjunjung ikrara setia kepada Raja, undang-undang khusus yang lebih berfokus kepada isu penderhakaan kepada Raja perlu digubal dan diperhalusi. Hal ini adalah mustahak bagi mengelakkan rakyat daripada terus melupakan status diri dan melanggar hak-hak yang telah digariskan. Selain itu, sektor pendidikan turut perlu menilai keberkesanan pengajaran subjek kenegaraan.
Junjung Prinsip Rukun Negara
Sejak bangku sekolah lagi, setiap rakyat Malaysia diajar untuk patuh kepada Rukun Negara, secara khususnya kepada rukun kedua yang dengan jelas menyatakan keperluan kesetiaan kepada raja dan negara. Dengan penghayatan dan pengamalan prinsip tersebut, patut terzahir rasa hormat setiap warganegara Malaysia kepada ketua negara. Hakikatnya bukan sahaja terbatas dalam Rukun Negara tetapi dalam Perlembagaan Negara juga jelas memperincikan kedudukan raja dan institusi raja berperlembagaan di Malaysia. Oleh sebab demikian, dengan penuh keinsafan dan rasa sedar mendalam, tidak boleh emosi dan taksub mana-mana individu atau kumpulan sanggup membelakangkan undang-undang negara.
Sebagai warganegara yang bertanggung jawab, kita sewajarnya dan selalunya sentiasa patut untuk akur, taat dan mematuhi undang-undang, terutama Perlembagaan Negara yang dibina atas dasar kemuafakatan masyarakat majmuk. Apabila setiap warganegara gagal mematuhi rukun hidup seperti Rukun Negara yang begitu asas pengikat hidup setiap penghuninya, pelbagai masalah dalam masyarakat diundang. Prejudis, tuduh-menuduh, perselisihan faham, dan pra-sangka buruk boleh mengambil tempat dengan begitu senang akibat isu sensitif yang berlaku.
Jika tidak berhat-hati, kemarahan boleh tercetus akibat pengabaian Rukun Negara. Perbalahan dalam kalangan rakyat pelbagai agama dan bangsa berlaku di Malaysia. Keadaan ini tidak mustahil kerana orang Melayu sangat mengambil berat dan mempertahankan soal agama, bangsa dan raja serta institusi raja. Sehubungan dengan itu, amat perlu setiap rakyat mencari jalan untuk sentiasa berterusan menyuburkan dan mempertahankan keamanan dan kestabilan yang dinikmati. Pelanggaran Rukun Negara, ketidaksetiaan kepada Raja dan Negara boleh menghumban negara kepada pergolakan antara kaum.
Sikap Rakyat Malaysia Terhadap Kesetiaan kepada Negara : Salah Satu Kajian
Kajian oleh Pah Rokah dan Ismail (2016) dapat dijadikan salah satu petanda dan kayu ukur kepada tahap kesetiaan sebenar secara realiti oleh rakyat Malaysia terhadap Raja dan negara. Kajian tersebut bermatlamat untuk meneliti sikap rakyat Malaysia terhadap keseiaan kepada negara mengikut kawasan yang telah ditetapkan meliputi enam zon dengan 1500 sampel dalam kalngan rakyat Malaysia mengikut kaum. Dapatan kajian menunjukkan kesemua zon atau negeri berkeadaan baik kecuali bagi zon tengah yang diwakili oleh negeri Perak, Kuala Lumpur dan Selangor yang merekodkan nilai kesetiaan kepada negara pada tahap sederhana. Namun begitu, kelemahan tersebut tidaklah begitu ketara segingga meletakkan Malaysia dalam keadaan dilemma atau bermasalah. Walaupun begitu, statistik hasil kajian tersebut mungkin boleh menggambarkan tahap kesetiaan rakyat Malaysia secara menyeluruh dan tidak secara tepat bagi mengukur manusia yang agak rumit dan dinamik.
Susulan tahap kesetiaan rakyat yang diperoleh, kajian mengesyorkan program berkenaan pemantapan nilai kesetiaan dan patriotisme kepada negara yang sedia ada perlu diteruskan. Sebagai langkah proaktif dan inisiatif berjaga-jaga, amat wajar usaha diambil untuk meningkatkan tahap patriotisme dan kesetiaan kepada tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan. Hal ini menjadi penting kerana ledakan maklumat secara terbuka mampu mengancam jati diri belia pada masa akan datang dan selanjutnya akan memburukkan keadaan.
Realiti Cabaran kepada Institusi Raja : Perbuatan Penghinaan oleh Sebahagian Rakyat
Antara cabaran pada zaman kini yang dihadapi oleh institusi beraja ialah penghinaan melalui penyalahgunaan premis kebebasan bercakap dan bersuara oleh sebahagian anggota masyarakat yang melakukannya dengan cara memuat baik cemuhan dan penghinaan dalam laman sosial (Hafizah, 2019). Berdasarkan kajian Fabli Yusof dan Mohd Sufiean (2020), wujud kes penghinaan terhadap Yang Di-Pertuan Agong di media sosial yang berlaku secara realiti. Data yang diperoleh dari tujuh laman Facebook yang menjadi ruang berlakunya penghinaan terhadap kedaultan sultan dan institusi raja di Malaysia telah dianalisis dalam kajian tersebut (Lampiran 1). Dari sudut undang-undang, tersedia peruntukan bagi kesalahan berkaitan fitnah, hasutan, jenayah dan komunikasi yang telah digubal dan diwartakan di Malaysia. Namun begitu, persoalan yang kritikal adalah dari sudut keberkesanan dan ketegasan penguatkuasaan. Tindakan menghina institusi raja yang dilakukan sebahagian rakyat Malaysia dilihat berlaku secara berterusan dan jika tidak dikawal, kesan buruknya akan memberikan natijah yang boleh meruntuhkan perpaduan negara. Hasutan, tulisan yang menjelekkan dan penghinaan terhadap raja lama-kelamaan akan menghakis kedaulatan institusi tersebut yang menjadi payung kepada negara dan rakyat. Tidak dinafikan sememangnya ada rakyat yang begitu prihatin mempertahankan institusi raja, membuat laporan bagi penghinaan tersebut kepada pihak berkuasa. Selanjutnya, pihak berkuasa melaksanakan siasatan terhadap laporan yang diterima dan beberapa individu telah didakwa di mahkamah.
Merujuk kepada tujuh kes penghinaan yang dilaporkan berlaku pada laman sosial Facebook tersebut, didapati enam kes telah dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan manakala satu kes lagi belum dibawa ke mahkamah (pada saat tulisan tersebut dibuat) tetapi sekadar diambil tindakan oleh pihak majikan semata-mata atas dasar menghormati etika dan Rukun Negara. Daripada enam kes tersebut, didapati bahawa masyarakat Malaysia masih banyak yang belum memahami erti sebenar kebebasan bersuara sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan bersuara yang dibenarkan Perlembagaan adalah tertakluk kepada beberapa undang-undang lain yang sudah digubal oleh Parlimen sebelum ini. Sungguhpun demikian, undang-undang sedia ada didapati tidak cukup untuk mencegah perbuatan menghina institusi raja dan YDPA. Banyak kekurangan peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa orang yang menghina YDPA. Di samping itu, usaha mengekang perbuatan biadap tersebut dilihat tidak mampu berkesan bagi jangka masa yang panjang kerana tahap hukuman yang dijatuhkan mahkamah dilihat tidak cukup berat dan tidak menggerunkan pesalah. Kesannya adalah masyarakat tidak melihat hukuman itu sebagai satu bentuk pencegahan yang berkesan. Banyak pihak menggesa agar hukuman lebih berat seperti penjara mandatori dijatuhkan kepada pesalah yang menghina raja. Jika hukuman sekadar bayaran denda, kesalahan akan selesa dilakukan dan terlepas selepas bayaran denda dijelaskan. Namun, penjara mandatori memberikan kesan kuat kepada psikologi pesalah melalui proses tahanan di penjara. Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang mana raja berperanan sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam. Oleh sebab demikian, Fabli dan Sufiean (2020) memetik Rozais (2019) menyatakan bahawa perbuatan yang terjumlah kepada penghinaan terhadap institusi raja merupakan satu kesalahan yang amat besar, sangat serius dan tidak boleh dipandang remeh.
Refleksi Peribadi
Berikut dicatatkan refleksi peribadi dalam menelusuri falsafah Rukun Negara, secara khusus pada prinsip kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Faham falsafah Rukun Negara dengan sepenuh hati
Sebagaimana difahami antara pendekatan makna bagi falsafah ialah pemikiran yang mendasar, maka menjadi satu keperluan untuk dihayati secara asas mendasar bagi prinsip-prinsip Rukun Negara. Kefahaman yang datang sepenuh hati akan menjadikan setiap warganegara Malaysia menjalani kehidupan yang santun, saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain serta mengukuhkan perpaduan antara mereka. Raja selaku ketua negara menjadi tempat semua rakyat menumpahkan taat setia dan simbol penyatuan. Di samping itu, sifat raja-raja Melayu yang tidak terikat kepada mana-mana aliran fahaman parti politik menjadi sebab utama yang membolehkah rakyat bersatu dan mengetepikan perbezaan parti politik mereka. Selain itu, kesetiaan kepada Raja dan Negara yang difahami sepenuh hati juga akan menyebabkan rakyat melakukan sebaik mungkin bagi menyumbang kepada kemajuan negara. Sebarang bentuk pembelotan, pengkhianatan dan seumpamanya dijauhi.
Hargai Kepentingan
Peristiwa hitam pada 13 Mei 1969 adalah catatan sejarah yang amat pahit bagi negara ini. Susulan itu, tindakan bersungguh-sungguh pemerintah negara menghasilkan Rukun Negara. Penderitaan rakyat Malaysia dari sudut kestabilan perpaduan menyebabkan Rukun Negara dibentuk, diterapkan dan diamalkan. Dengan menginsafi sejarah ini, kita akan tahu, sedar dan yakin bahawa pentingnya perpaduan, pentingnya satu bentuk kehidupan yang teratur, santun dan mengikat setiap warganegara berbilang kaum. Di situlah peranan falsafah Rukun Negara. Seandainya tiada Rukun Negara, episod pergaduhan antara kaum pasti terus berlaku, bertambah buruk dan ketenangan tidak akan dicapai. Oleh sebab demikian, kita sentiasa menghargai Rukun Negara khususnya pada prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara kerana kita yakin tanpanya tiada ikatan umum antara rakyat berbilang kaum dan pelbagai masalah lain akan wujud.
Zahirkan dalam Bentuk Setiap Tindakan, Percakapan, Tulisan
Dengan kefahaman dan penghargaan kita ada terhadap Rukun Negara, selanjutnya amat wajar bagi kita untuk mengamalkannya dalam setiap denyut nadi kehidupan seharian. Penghayatan Rukun Negara – Kesetiaan kepada Raja dan Negara perlu dizahirkan dalam setiap bentuk tindakan, percakapan dan tulisan. Umpamanya, tulisan kita pada hari ini dalam media sosial dalam menghadapi bermacam-macam perkembangan semasa, apabila tiba kepada titah keputusan YDPA selaku ketua negara, maka perlu ditunjukkan bukti kesetiaan itu. Sambut titah dengan tulisan yang akur, menyokong dan tidak menderhaka. Selain itu, contoh dalam percakapan pula kita tidak akan melemparkan tuduhan tidak berasas, sangkaan buruk liar yang merosakkan institusi raja. Dalam perbuatan pula, salah satu situasi contoh kesetiaan kita kepada Raja dan Negara ialah pada penghormatan kita pada bendera Malaysia. Bendera Malaysia menjadi simbol kepada negara ini, kepada ketua negara ini iaitu YDPA. Justeru, kita akan pastikan bendera Malaysia dikibarkan dan diletakkan dengan betul, tidak menghina statusnya.
Didik Generasi Muda dan Akan Datang
Bagi meneruskan kesinambungan kesantunan dan penghayatan kukuh terhadap Rukun Negara prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara pada setiap generasi, kita perlu berterusan mendidik generasi muda dan akan datang dalam setiap ruang yang ada. Dengan pendidikan formal di sekolah pelajar diasuh tentang hal ini, dalam siaran televisyen, radio dan segenap media sosial turut dicetuskan kesedaran dan didikan. Ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih dewasa boleh menggunakan ruang perbualan dan interaksi untuk menerapkan didikan ini. Pepatah Melayu menyebutkan, melentur buluh biarlah daripada rebung, itu menunjukkan anak-anak ketika sedang membesar mereka lebih mudah menerima dan menyerap didikan yang diberikan sewaktu pemikiran mereka mula bercambah dan menjadi lebih matang. Hasilnya, didikan dan kesedaran yang dipahat pada minda dan jati diri mereka akan terus membentuk keperibadian dan meletakkan Rukun Negara prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara pada tempat yang tinggi.
Sokong Kempen yang Dijalankan
Bagi menyemarakkan penyuburan Rukun Negara prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, setiap individu dan kumpulan memainkan peranan tersendiri dan antara tugas yang boleh dijalankan adalah dengan menyahut dan menyokong sebarang kempen yang dilaksanakan baik daripada pihak kerajaan atau bukan kerajaan. Sokongan yang diberikan akan menambah keberhasilan kempen yang dijalankan. Seringkas-ringkas tanda pagar slogan kempen Rukun Negara pada laman media sosial menjadi penzahiran sokongan kita dan akan mencetus rangkaian kesedaran kepada para pengguna media sosial yang lain.
Proaktif Laporkan Aduan Perbuatan Menghina
Sebagai rakyat yang cinta akan Malaysia, kita laksanakan pelbagai bentuk usaha yang termampu. Tidak dinafikan bahawa sentiasa ada unsur kesalahan, provokasi dan seumpamanya yang dilakukan oleh segelintir masyarakat dan berada di luar bidang kuasa kita. Dalam situasi ini, tindak balas atas kapasiti sendiri jika tidak dikawal akan menyebabkan kesan tidak diingini. Justeru, warganegara dengan keprihatinan boleh mengumpulkan bukti dan membuat laporan polis. Seterusnya, tindakan sepatutnya dalam peruntukan undang-undang akan dijalankan oleh pihak berkuasa. Biarpun kelihatan seperti terhad, tindakan laporan yang dilakukan secara kolektif akan menunjukkan kesan kesepaduan dan isyarat perhatian serius yang ditunjukkan. Jika seratus laporan polis dibuat bagi satu kesalahan menghina YDPA yang dilakukan oleh seorang individu yang sama, pasti pihak berkuasa dan rakyat melihat tahap keseriusan hal ini. Pada masa yang sama, rakyat semakin sedar bahawa setiap tindak tanduk mereka diperhatikan, diawasi dan apa-apa sahaja kesalahan dalam bentuk penghinaan YDPA dan negara akan berhadapan kesan undang-undang.
Kesimpulan
Rukun Negara pada prinsip kedua Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah salah satu pasak utama bagi kehidupan yang stabil dan harmoni bagi rakyat Malaysia yang hidup berbilang-bilang kaum dan dipayungi oleh institusi raja berperlembagaan. Penghayatan falsafah ini sentiasa perlu dibajai dan dipelihara. Sejarah adalah guru yang terbaik bagi kita menghargainya. Kita sedar akan kepentingannya. Setiap pihak pada segenap peringkat memainkan peranan. Sekecil-kecil usaha memahami dan menterjemah dalam bentuk tindakan, sehingga ke sebesar-besar peranan pendakwaan dan pelaksanaan hukuman oleh pihak berkuasa : kesemuanya ada impak secara kolektif. Rukun Negara sentiasa perlu disanjung tinggi dan menjadi panutan setiap warganegara Malaysia.
Rujukan
Abdul Rahman Abdul Aziz. 2010. Rukun Negara dalam Memperkukuhkan Ketahanan Negara. Prosiding Seminar on Nasional Resilience (SNAR 2010) "Political Managements and Policies in Malaysia". 13-15 Julai 2010. Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamad’s Thoughts, Universiti Utara Malaysia. Hlmn 443-457.
Bazrul Bahaman. 2002. Hikayat Jambi. Projek penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bazrul Bahaman. 2015. Konsep Rakyat dan Peranannya dalam Negara. Jurnal Peradaban Melayu 10. Hlm 123-134.
Brown III, R.W. .2004. Removing “Nasty Nazi Habit”: the CIC and the Denazification of Heidelberg University 1945-1946. The Journal of Intelligence History 4(1). Hlm. 25-56.
Fabli Yusof, Mohd Sufiean Hassan. 2020. "Kes Penghinaan Raja-Raja/Yang Di-Pertuan Agong di Media Sosial: Tindakan Dan Penguatkuasaan Undang-Undang dalam Kebebasan Bersuara." Journal of Law and Governance 3.1: 127-142.
Hafizah Iszahanid. 2019 Oktober 24. Raja Perlis Tegur Golongan Guna Teknologi Hina Institusi Diraja. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/621055/raja-perlis-tegur-golongan-guna-teknologi-hina-institusi-diraja [16 Januari 2021]
Tuan Pah Rokiah Syed Hussain, Ismail Abd Muttalib. 2016. Kajian Sikap Rakyat Malaysia terhadap Kesetiaan kepada Negara. Journal of Techno Social 8.2.
Lampiran-lampiran
Lampiran 1
Beberapa kes dibincangkan dalam perenggan berikut yang berkaitan dengan perbuatan penghinaan terhadap YDPA dan institusi raja di Malaysia yang dilaporkan oleh akhbar dalam talian.
Kes 1. Suri Rumah Hina Yang di-Pertuan Agong Melalui Laman Facebook (Vivi Sumanti, 2018)
Pada 25 Mac 2018, Astro Awani melaporkan tertuduh seorang suri rumah bernama Shamsiah Samsuddin berumur 44 tahun telah dijatuhi hukuman penjara 8 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerusi laman sosial Facebook. Menurut pertuduhan yang dibacakan terhadap tertuduh di mahkamah tersebut, pada 25 April 2017, tertuduh didapati telah menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui profil Facebook dengan menggunakan nama “Tengku Cik Puan Muda Shamsiah” secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain telah dibaca pada 26 April 2017 jam lebih kurang 2.11 petang di pejabat Sentosa Jaya Jalan Padang Bogor, Kota Bharu. Mahkamah menetapkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh dituduh pada 14 Februari 2018 Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman tersebut mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Kes 2: Doktor Pelatih Didakwa Kerana Menghantar Komen Jelik Melalui Laman Facebook (Siraj, 2018)
Berita Harian yang bertarikh 15 Februari 2018 telah melaporkan seorang doktor pelatih bernama Mohd Faiz Mohd Yusop berumur 29 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran jelik melalui akaun laman sosial Facebook miliknya yang membabitkan Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 6 petang pada 16 Disember 2016.
Menurut pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah tersebut, tertuduh secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang malam di sebuah restoran Jalan Permai 1A, Taman Kota Pendamar, Pelabuhan Klang.
Tertuduh menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. Tertuduh yang tidak diwakili peguam pada ketika itu telah membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan. Mahkamah telah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 7000 dengan seorang penjamin.
Kes 3. Peniaga Hina Yang di-Pertuan Agong Melalui Facebook (Amin Ridzuan, 2019)
Pada Februari 2019, Berita Harian telah menyiarkan berita seorang peniaga yang menggunakan nama ‘Desmond Yongkor’ di Facebook disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan didakwa telah menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Tertuduh telah ditahan polis untuk siasatan. Menurut Ketua Polis Pahang ketika itu, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, tertuduh seorang lelaki berusia 45 tahun telah ditahan di Kuantan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kerana laporan polis dibuat di Temerloh. Menurut Datuk Mohd Zakaria lagi, Kertas siasatan telah dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 dan segala dapatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan. Seterusnya orang ramai dinasihatkan tidak bertindak sendiri atau di luar undang-undang dan menghormati Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja yang seharusnya dihormati segenap lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Polis Pahang lagi, beberapa pengguna media sosial dikesan mengeluarkan kenyataan menghina Al-Sultan Abdullah sempena istiadat melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur, sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai. Antaranya ialah tertuduh terbabit didakwa telah menulis di ruangan komen dengan kenyataan menghina gambar Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Kes 4. Wan Ji Didakwa Kerana Menghina Sultan Selangor Melalui Laman Facebook (Tuan Buqhairah, 2019)
Pada 9 Julai 2019, Sinar Harian melaporkan seorang penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin telah didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor pada jam 10 pagi 5 November 2012 termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi. Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5. Tertuduh dijatuhi hukuman setahun penjara atas kesalahan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Yang Arif Hakim, Datuk Abdul Halim Aman setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan. Dalam menjatuhkan hukuman, Yang Arif Hakim menyatakan:
“Setelah menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes, mahkamah dengan ini meminda hukuman sembilan bulan yang dijatuhi oleh hakim mahkamah sesyen kepada penjara bagi tempoh satu tahun dan hukuman itu berkuatkuasa hari ini”
Seterusnya Yang Arif Hakim dalam ringkasan penghakimannya berkata, penerbitan kata-kata itu (kata-kata menghasut) adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Menurut Yang Arif Hakim lagi, apa yang diterbitkan daripada penerbitan itu bukan sahaja sesuatu yang menghasut malah ia cuba menanam sifat kebencian rakyat terhadap Institusi Raja- Raja.
“Terhadap apa yang dinyatakan tertuduh (Wan Ji) ini seperti mana tertera dalam pertuduhan, saya mendapati ianya adalah sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh. Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja-raja. Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan”
Yang Arif Hakim turut mengingatkan bahawa satu lagi prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Bukan sahaja penghormatan wajar diberikan, malahan wajar diutamakan kerana kehidupan dirangkumi oleh adab dan tatasusila yang sering menjadi amalan terutama dalam situasi DYMM Sultan adalah ketua agama Islam dan sultan adalah payung negeri tempat rakyat bernaung dibawahnya.
Dalam kes ini, Wan Ji, menerusi peguamnya, Mohd Radzlan Jalaludin telah memohon penangguhan pelaksanaan hukuman atas alasan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Yang Arif Hakim telah memerintah peguam tertuduh memfailkan permohonan penangguhan tersebut secara rasmi.
Kes 5: Suami Isteri Hina Yang di-Pertuan Agong Melalui Laman Twitter Digantung Kerja (Rahmat, 2019)
Pada 8 Januari 2019, Harian Metro telah melaporkan sepasang suami isteri yang melemparkan komen biadap terhadap institusi diraja telah menerima hukuman apabila digantung kerja sementara oleh majikan masing-masing. Tindakan tersebut diambil oleh firma tempat mereka bekerja kerana kedua-dua suami dan isteri tersebut telah menjejaskan reputasi firma berkenaan kerana dianggap sebagai menggajikan pekerja yang tidak beretika.
Kenyataan menghina tersebut dibuat selepas Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, mengumumkan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong. Petikan Komen yang menjelikkan itu boleh dilihat melalui rajah 2 di bawah. Walaupun dalam kes ini sepasang suami isteri tersebut belum lagi didakwa di mahkamah, tetapi pihak majikan masing-masing telah mengambil tindakan sedemikian sebagai menunjukkan mereka adalah warganegara yang menghormati amalan budaya rakyat Malaysia serta mengamalkan prinsip rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada raja dan negara serta kesopanan dan kesusilaan.
Kes 6. Pekebun Mengaku Bersalah Menghina Yang di-Pertuan Agong Melalui Laman Facebook (Nur lela, 2019)
Sinar Harian yang bertarikh 8 April 2019 telah melaporkan Seorang pekebun telah didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook. Tertuduh, Sharil Mohd Sarif berumur 36 tahun telah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen M.M Edwin Paramjothy pada sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Sharil Chain”, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 11.30 pagi, 13 Mac 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal telah memohon hukuman pemenjaraan berat dan denda selepas mengambil kira kesalahan serius tertuduh kerana mencabuli Perlembagaan Persekutuan dengan mengeluarkan kenyataan menghina dan cacian terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana ia bersifat menyerang karakter peribadi kerana Yang di-Pertuan Agong bukan rakyat biasa tetapi ketua negara di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Kes 7: Eric Liew Menghina Yang di-Pertuan Agong Melalui Laman Facebook (Nur Lela, 2019).
Pada 11 Februari 2019, Harian Metro melaporkan, Liew Chee Ling berumur 46 tahun, bekas pengurus pemasaran syarikat keselamatan swasta telah didakwa di Mahkamah Siber, Kuala Lumpur atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menghina Sultan Muhammad V melalui laman Facebook ‘Eric Liew’ pada 7 petang hingga 9 malam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 6 Januari 2019. Kenyataan itu didakwa dimuat naik secara sedar dan memulakan penghantaran komunikasi secara jelik dengan berniat untuk menyakitkan hati orang lain. Tertuduh didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial dan didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walaubagaimanapun, tertuduh iaitu Liew Chee Ling mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Edwin Paramjothy Michael Muniandy. Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Kamal telah mencadangkan jaminan RM20,000 kerana ia membabitkan kos berprofil tinggi selain membuktikan bahawa mahkamah memandang serius berhubung kes sedemikian. Tertuduh melalui peguamnya telah membuat rayuan pengurangan jaminan dan telah dipersetujui oleh Mahkamah dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM 8,000 dengan seorang penjamin. Kes telah ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Mac 2019.
Sabtu, 19 Disember 2020
Pendekatan Ekonomi Mahathir dan Najib
Pendekatan Ekonomi Tun Mahathir
Secara khusus dalam berhadapan kegawatan ekonomi susulan pandemik COVID-19, pendapat dan analisis yang berlegar dalam ruangan maya menyatakan aliran neoliberal yang diamalkan oleh Tun Mahathir. Antara sorotan sejarah dijejak ialah pada awal-awal tahun 90-an Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat meniru idea-idea penswastaan daripada bekas Perdana Menteri UK, Margaret Thatcher. Pada masa tersebut, idea-idea neoliberal berjaya menjad lebihan (surplus) kerana aset-aset negara yang dijual kepada pihak-pihak swasta akan menyediakan lebihan tunai kepada kerajaan.
Sebagaimana dicatatkan Adam Abu Bakar (2020), Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat mengubah cara hidup dan membuat pengorbanan dengan tidak lagi mengharapkan imbuhan pada nilai sama kerana penularan Covid-19 akan membawa impak kepada ekonomi negara. Salah satu perkara yang kita perlu terima hakikat, jika perniagaan tidak berjalan dengan baik, maka anda tidak lagi boleh mengharapkan dibayar dengan nilai yang sama lagi. Kita semua akan memperoleh pendapatan yang rendah.Disebabkan itu kita kena ubah cara hidup, kita tidak lagi boleh berharap untuk mengamalkan gaya hidup seperti dahulu lagi, yang sebelum ini memerlukan wang. Apabila kurangkan aktiviti yang memerlukan wang, keperluan tanggungan anda akan semakin berkurangan.
Adam
Abu Bakar. 2020. Dr M Gesa Rakyat Ubah Cara Hidup Buat Pengorbanan Selepas
COVID-19. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/04/06/dr-m-gesa-rakyat-ubah-cara-hidup-buat-pengorbanan-selepas-covid-19/
[19 Disember 2020]
Menurut Rizwan Roslan (2020a), falsafah ekonomi Tun Mahathir ini adalah falsafah neoliberal, satu falsafah yang tidak sesuai untuk ekonomi moden terutamanya dalam keadaan kegawatan ekonomi. Apa yang dicadangkan beliau adalah “austerity measures” atau langkah penjimatan. Andaian Tun Mahathir adalah apabila ekonomi perlahan, kerajaan perlu menjimatkan perbelanjaan. Ini adalah pemikiran “household economy”. Ekonomi negara bukan seperti ekonomi rumahtangga kita. Apabila kerajaan berbelanja, sektor persendirian dapat peluang menjana ekonomi. Apabila kerajaan kurang berbelanja, sektor persendirian sakit.
Apa yang penting bagi ekonomi negara bukanlah jumlah nominal hutang negara, tetapi ratio hutang/KDNK. Hutang nominal negara akan sentiasa meningkat selama lamanya kerana negara dianggap abadi. Kebolehupayaan negara membayar hutang diukur dengan ratio hutang/KDNK kita. Disetujui bahawa apabila ekonomi gawat, kerajaan perlu membuat pinjaman dari pasaran domestik yang menyebabkan ratio hutang/KDNK meningkat, tetapi ini hanya sementara saja supaya ekonomi negara terus berkembang dan tidak menguncup lebih teruk. Pelabur juga akan lebih yakin apabila pasaran domestik mempunyai wang untuk berbelanja. Jika mengikut Tun Mahathir, beliau akan melaksanakan llangkah penjimatan, ekonomi mungkin akan pulih selari dengan ekonomi global tetapi harga yang dibayar begitu tinggi. Pastinya ada cara yang lebih berkesan dan lebih bijak.
Rizwan Rozlan. 2020a. Catatan
di Facebook berkenaan perbezaan ekonomi Tun Mahathir dan DS Najib Razak. 18
November 2020. https://www.facebook.com/rizwan.rozlan
[19 Disember 2020]
Sebagaimana dilaporkan Firdaus Azil (2020), bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan beberapa peruntukan di
bawah Belanjawan 2021 yang beliau anggap, tidak membantu usaha Kerajaan
menangani COVID-19. Kerajaan sebenarnya tidak perlukan jumlah Belanjawan yang
begitu besar iaitu RM322.5 bilion, melainkan benar-benar untuk mengatasi
masalah sosial, ekonomi, dan membanteras pandemik itu. Menurut beliau, ada perbelanjaan
yang boleh ditangguhkan sementara, atau digunakan untuk COVID-19, dalam usaha
menangani kemerosotan ekonomi. Antara contoh yang dirujuk adalah kabinet
terlalu besar. Ramai yang dilantik jadi Menteri, Timbalan Menteri, bertaraf
Menteri tetapi mereka tidak dapat bekerja pun kerana wabak. Kita boleh
kurangkan jumlah mereka tanpa jejaskan perjalanan pemerintahan. Beliau turut
menyentuh cadangan pemotongan gaji menteri sebanyak 30 peratus yang diyakini
mereka tidak akan kebuluran jika cadangan itu dilaksanakan.Sebaliknya terdapat
ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga
lagi.
Firdaus Azil. 2020.
Belanjawan 2021: Menteri tak akan kebulur kalau potong gaji 30 peratus - Tun
Mahathir. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/belanjawan-2021-menteri-tak-akan-kebulur-kalau-potong-gaji-30-peratus-tun-mahathir-268052 [19 Disember 2020]
Pendekatan
Ekonomi Dato Sri Najib Razak
Menurut Rizwan Roslan (2020b), Dato Sri Najib Razak berpendapat bahawa saranan Tun Mahathir tentang pemotongan gaji ini tidak berkesan dan tidak efektif. Bagi Dato Sri Najib Razak, apa yang diperlukan adalah “rangsangan ekonomi” bukan sebaliknya. Memotong gaji, mengurangkan perbelanjaan kerajaan akan menyebabkan ekonomi menguncup.
Pada
2009, Dato Sri Najib Razak melaksanakan rangsangan ekonomi dengan meminjam dari
pasaran tempatan dan memang kadar
hutang/KDNK negara meningkat, tetapi kesannya adalah sewaktu dunia
dilanda kegawatan yang dikatakan pakar ekonomi kata lebih teruk dari Great
Depression, Malaysia hampir tidak terkesan kerana kita pulih dalam masa tak
sampai setahun. Rakyat Malaysia tidak sempat merasai kesannya. Selepas tahun
2009, kerajaan mengurangkan defisit tahunan apabila ekonomi sudah pulih.
Rizwan Rozlan. 2020b. Catatan di Facebook berkenaan perbezaan ekonomi Tun Mahathir dan DS Najib Razak. 18 November 2020. https://www.facebook.com/rizwan.rozlan [19 Disember 2020]
Menyoroti laporan media oleh Astro Awani
(2020), bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan pendekatan
"cash is king" seperti mana
banyak negara lain yang menggunakan pendekatan tersebut untuk menyelamat
ekonomi negara ketika berdepan krisis COVID-19. Menurut beliau, satu persatu
negara dalam dunia sedang menggunakan pendekatan "cash is king" untuk menyelamatkan ekonomi mereka dari krisis
COVID. Diharapkan agar kerajaan PN juga akan menggunakan cara yang sama pada
skala yang paling besar mungkin dalam pakej rangsangan ekonomi tambahan hari
ini untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi dipelihara dalam
keadaan negara yang susah sekarang.Pada masa yang sama, bantuan ini mesti mesti
dipercepat.
Datuk Seri Najib Tun Razak turut memetik laporan The Edge pada 27 Februari lalu yang melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia boleh menjana simpanan RM2 trilion untuk terus merangsang ekonomi. Kata beliau, kerajaan tidak perlu bimbang untuk menggunakan rizab negara dan boleh membina semula kekayaan negara selepas krisis COVID-19 berakhir. Najib juga berharap kerajaan PN gunakan rizab dan kekayaan yang ada dengan sebaik-baiknya dan pada skala paling besar dengan segera untuk selamatkan negara dari krisis COVID-19.
Astro
Awani. 2020. COVID-19: Guna pendekatan "cash is king" untuk
selamatkan ekonomi negara - Najib
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-guna-pendekatan-cash-is-king-untuk-selamatkan-ekonomi-negara-najib-235527
[19 Disember
2020]
Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!