"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Akan tetapi, barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." -Al-Hadits. Dicatatkan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad
"Ilmu tidak akan dikecapi dengan kerehatan jasad, maka kita perlu bermusafir untuk menuntut ilmu.Ilmu juga ada maharnya iaitu sanggup berpenat lelah untuk menuntutnya.Tidak ada alasan bagi kita untuk mengelak diri dari menghadiri majlis ilmu."
Insya-Allah salah satu caranya ialah azan di telinga. (rujuk hadits musalsal diriwayatkan oleh Syaikh Muhammad Fuad Al-Maliki)
Kita boleh meminta kepada sesiapa untuk melafazkan azan di telinga kita. Minta dia dekatkan mulutnya ke bahagian telinga kita dan lafazkan azan dengan kadar suara yang sesuai (tidak terlalu nyaring).
Insya-Allah, hati kita akan beroleh ketenangan.
Hal ini merupakan satu hadits musalsal yang Syaikh Fuad dapat daripada gurunya dan diijazahkan pula kepada para penuntut yang belajar dengannya.
Andai dapat kita kembali kepada masa lalu, apa yang akan kita lakukan?
Andaikan, kita diberi peluang oleh Allah untuk berada pada minggu lalu, tahun lalu, sepuluh tahun lalu, dan masa-masa sebelumnya.
Mungkin ada yang akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut, untuk membaiki segala kesilapan dan kelemahannya.
Dia akan cuba semampu mungkin, untuk memadamkan segala titik hitam pada masa tersebut.
Memadamkan segala titik hitam yang mencatatkan hubungannya dengan Tuhan Pemilik Seluruh Alam ini.
Apa yang kita cuba renungkan di sini bukanlah membawa maksud cuba memikirkan "kalau" setelah berlakunya sesuatu perkara. "Kalau" sedemikian adalah tidak dianjurkan dalam Islam, kerana lebih membawa kepada perasaan tidak bersyukur akan ketentuan dan pelaksanaan (qada dan qadar) oleh Allah kepada kita. Dalam 'ilmu tazkiyatun-nufus ataupun juga dikenali sebagai 'ilmu tasauf, keadaan sedemikian sudah jatuh dalam keadaan tidak beradab dengan Tuhan.
Jauh dalam hati kita, apa yang kita dambakan ialah satu bentuk muhasabah akan masa yang telah berlalu.
Kita mahu menghadirkan perasaan insaf dan kesal akan keburukan yang telah berlalu dan berazam dengan setinggi-tinggi keazaman untuk tidak lagi melakukannya.
Kualiti orang beriman yang digambarkan para 'ulama adalah tidak melakukan kesilapan berulang kali.
"Masa yang telah berlalu tidak akan kembali lagi, bahkan akan terus bertambah jauh, dan jauh, serta seterusnya."
-
Ya ALLAH,
Hamba mengadu kepada-Mu,
Hamba akui saratnya dosa pada diri hamba ini.
Hamba akui, banyak lagi senarai hutang dosa yang masih belum hamba selesaikan lagi.
Hamba amat kesali segala kelemahan, kesilapan, dan dosa kesalahan hamba pada masa silam.
Hamba berasa amat malu kepada-Mu ya Allah,
Betapa hamba tidak amanah menjaga segala pinjaman ni'mat-Mu ya Robb,
Hamba terus berhajat, berharap dan berdoa kepada-Mu ya Allah,
Agar terus ditambah peluang untuk hidup di atas muka bumi ini dengan hidayah-Mu,
Membersihkan diri hamba, menyelesaikan segala hutang dosa yang masih berada dalam senarai panjang,
Hamba juga terlalu mengharapkan pimpinan dan kekuatan daripada-Mu ya Allah,
Kerana hamba mengakui ketiadaupayaan dan ketidaktahuan hamba ini,
Hamba amat menginginkan saat hamba diziarahi malaikat maut nanti,
Dalam keadaan yang tenang setelah hamba telah bersungguh-sungguh menyempurnakan tugasan hamba, membersihkan diri hamba dengan sebersih-bersihnya untuk bertemu dengan-Mu ya Allah, Kekasih-Mu Muhammad Al-Mustofa, para sahabat Kekasih-Mu, dan seluruh hamba-Mu yang soleh belaka,
Terima kasih ya Allah, kerana Kau mendidik hamba menyedari akan hebat dan tiada tandingan-Nya nilai setiap detik hayat di atas muka bumi ini.
Dengan izin-Mu Tuhan, hamba akan berikhtiar sepenuh daya yang ada, menyempurnakan amanah hamba sebagai hamba kepada-Mu.
-
Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki pernah mengingatkan bagaimana bersedianya Junjungan Tercinta kita, Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam yang menyatakan kepada malaikat Izrail yang datang untuk mengambil nyawa Baginda, hampir begini:
"Ambillah nyawaku kerana tiada satu ayat Allah pun yang aku sembunyikan."
Sabda tersebut menggambarkan betapa bersedianya Baginda untuk berpisah dari 'alam dunia yang sementara ini, dan Baginda telah melaksanakan tugasnya dengan amat cemerlang sekali.
Hargailah hari-hari yang akan tiba selepas ini, kerana apa yang pasti, tempoh keberadaan kita di dunia ini semakin menjadi singkat.
Semak, apakah dosa kita yang masih belum diselesaikan proses memohon keampunannya.
Selesaikannya.
Insya Allah, akan kita tenang menghadapi saat Pertemuan Agung.
Anda ada komen? Saya amat mengalukannya. Kita amat mencintai budaya muzakarah/perbincangan 'ilmu. Moga makin mantap taqwa kita akan Allah dengan menghidupkan 'ilmu.
Video di atas adalah mengenai Tausiyah yang disampaikan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki.
Catatan al-Faqir mengenai video di atas:
- Kita bersyukur kepada ALLAH subhanahu wa ta'ala kerana dihidangkan dengan hidangan 'ilmu dan ma'rifah.
- Seseorang wali Allah, kekasih Allah itu, dia mendapat perhatian, kasih sayang Allah terlebih dahulu sebelum dia dapat mengasihi Allah.
- Sebaik-baik orang yang beradab ialah orang yang mengikuti perjalanan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Adab paling pertama adalah terhadap Allah, kedua terhadap Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam, ketiga terhadap para 'ulama yang ber'amal dengan 'ilmunya, dan keempat terhadap para wali Allah.
-Berkata Al-Imam Abdullah Al-Haddad, hampir begini:
"Pertama-tama sekali untuk orang yang suluk kepada Allah (berjalan kepada Allah) adalah beradab dengan Allah, beradab terhadap sifat Allah sebagaimana yang disifatkan-Nya, dan kemudian dengan sifat sebagaimana yang disifatkan Baginda Shollallahu a'laihi wa sallam.
Kesucian dan keagungan Allah tiada tandingan-Nya baik di langit mahupun di bumi. Hendaklah kalian mensucikan Allah, Pencipta alam ini, Pentadbir alam ini. Hendaklah kalian membersihkan Allah."
-Dalam 'ibadah solat kita, mengikut sunnah Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam, ketika bertasbih, kemudian bertahmid dan bertakbir kepada Allah. Ketika mendahului mensucikan Allah, kemudian baru memuji dan membesarkan-Nya.
-Sahabat bertanya kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mengenai makna subhanallah. Baginda menjawab subhanallah ialah "tanzihullah min kulli suu" (mensucikan, membersihkan, dan membebaskan Allah daripada segala perkara yang buruk).
-Antara perkara yang buruk bagi Allah ialah sifat manusia. Allah menyatakan bahawa manusia diciptakan dalam keadaan lemah.
-Antara perkara yang buruk bagi Allah adalah dengan kita menyatakan Allah duduk di atas kursi, bersandar padanya, menunjukkan Allah berhajat sebagaimana berhajatnya manusia.
-'Aqidah Al-Imam Abdullah Al-Haddad adalah membersihkan Allah daripada penyerupaan dengan sebarang makhluk sama ada di langit mahupun di bumi.
Doa kita bersama:
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.
Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.
Sambungan rakaman kuliah sebelum ini. Insya Allah, saya catatkan juga apa yang disampaikan Syeikh Muhammad Fuad pada bahagian bawah ini.
- Bahu Baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam adalah bidang, menunjukkan keperkasaan Baginda.
-Ketika berjalan, Baginda berjalan dengan tegap, seolah-olah berjalan daripada tanah yang tinggi ke tanah yang landai.
-Apabila Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam berpaling, Baginda berpaling seluruh badannya. Ini ialah tanda tawadhu' Baginda, keprihatinan Baginda kepada orang yang berurusan dengan Baginda, orang yang menghadap Baginda, orang yang berbual dengan Baginda. Baginda menghadap dengan keseluruhan badan Baginda terhadap orang tersebut, bukan dengan hanya memalingkan muka sahaja, bukan dengan hanya dengan lirikan mata sahaja.
Tindakan hanya memalingkan muka, hanya dengan lirikan mata ketika bercakap dengan orang lain adalah tanda kesombongan seseorang. Orang yang sombong, ketika bercakap, ada kalanya muka orang yang bercakap dengannya tidak dipandang (muka orang yang sombong itu mengadap tempat lain), dan mata orang yang bercakap dengannya pun tidak dipandang.
Insya Allah, tindakan menghadap orang yang sedang bercakap dengan kita dengan sepenuh badan, akan menyebabkan orang tersebut berasa dirinya dihargai, biarpun kata-kata kita tidaklah sehebat manapun.
Inilah apa yang diamalkan oleh para masyaikh, tuan guru yang berakhlak mulia kepada para anak murid mereka.
Insya Allah, tindakan tersebut (berhadapan dengan orang lain dengan seluruh badan) ialah tindakan yang sangat mulia dan terpuji. Inilah akhlak yang perlu ada kepada orang yang memimpin masyarakat. Paling dekat situasi ini dapat dipraktikkan antaranya adalah ketika bersama dengan isteri, ahli keluarga.
Bahasa badan (body language) adakalanya lebih berkesan daripada bahasa yang dituturkan lidah.
Tindak tanduk secara luaran seseorang menunjukkan apa yang terkandung dalam dirinya (secara rohaniah, batiniah). Perkara tersebut, ya'ni keadaan dalaman seseorang tidak dapat disembunyikan, dan pastinya akan terjelma dalam tindakan. Sifat takabbur seseorang akan terjelma pada cara pergaulannya.
Ulama menyebut, hampir begini: "Sesuatu yang dilafazkan oleh seseorang (kalamnya) pada hakikatnya berpunca daripada hati orang tersebut. Apa yang dilafazkan orang tersebut menjadi bukti apa yang berada dalam hatinya."
Kekuatan kalam (kepetahan berbicara) menjadi daya tarikan kepada manusia lain. Sejarah tamadun manusia mencatatkan, banyak yang orang yang mempunyai pengikut yang ramai, mereka mempunyai kelancaran kata-kata, kepetahan bicara yang memukau para pengikutnya.
Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam ialah orang yang mempunyai kepetahan berbicara yang terbaik.
Selain lisan al-qaul (apa yang disebut dengan lidah), ada lisan al-hal (apa yang ditunjukkan tindak-tanduk seseorang). Lisan al-hal inilah yang jauh lebih sukar untuk dibuat. Lisan al-hal yang sebenarnya boleh berkata-kata, yang boleh menarik orang kepada da'wah.
'Ulama menyebut, kejayaan da'wah Baginda adalah disokong dengan keindahan lisan al-hal Baginda. Pelbagai manusia, termasuk puak kafir tertarik dengan keindahan akhlak, kekuatan lisan al-hal Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam.
Khutbah Baginda tidaklah begitu panjang. Disebutkan oleh 'ulama dalam bidang sejarah, Baginda memendekkan khutbah Juma'at dan memanjangkan solat Juma'at.
Doa kita bersama:
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.
Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.
Kitab Syama-il Muhammadiyah ialah kitab yang memperincikan keperibadian Baginda Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam. Amat berguna dan perlu dipelajari oleh mereka yang bercita-cita untuk lebih dekat mengenali Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam, mengamalkan sunnahnya dan kelak ditempatkan bersama Baginda di syurga Allah nanti.
Doa kita bersama:
Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.
Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.
Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.