Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 4 Jun 2010

Definisi Sufi dan Tasawwuf

*Artikel ini dipetik daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.


Utusan Malaysia,11 Mei 2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEBAGAI memulakan siri pengenalan dan penjelasan kita terhadap tasauf dan dunianya marilah kita melihat makna istilah tasauf dan sufi itu sendiri. Terdapat banyak pendapat ulama mengenai kata asal tasauf.


Imam Al Ghazali seorang tokoh sufi yang berpengaruh.
--------------------------------------------------------------------------------

Ini kerana, perkataan sufi pada asalnya diambil atau berasal daripada suatu benda atau perkara yang dinisbahkan kepadanya.

Di antaranya:

1. Perkataan sufi berasal dari nama seorang lelaki yang dipanggil Sufah. Nama sebenarnya ialah al-Ghauth ibnu Mur ibn Ud ibnu Tabikhah ibn Ilyas ibnu Mudhar. Beliau telah menumpukan seluruh kehidupannya hanya untuk beribadat kepada Allah di Masjid al Haram.

Daripada perbuatannya itu, nama sufi dinisbahkan kepada namanya. (al Fairuz Abadi, Qamus al-Muhit, Jld 2. H: 1105).

Ada ulama yang menolak pandangan ini kerana jika sufi sememangnya dinisbahkan kepada nama orang yang kuat beribadat, maka nama para sahabat dan tabien lebih layak dinisbahkan kepada sufi kerana kedudukan mereka yang lebih tinggi dan mulia.

2. Sebahagian ulama yang lain pula berpendapat, nama sufi dinisbahkan kepada perkataan suf iaitu pakaian yang dibuat daripada bulu kambing. Pendapat ini dipilih oleh Ibnu Taimiyyah, al Suhrawardi (Awarif al Ma'arif. H: 41) dan Ibnu Khaldun (Muqaddimah Ibni Khaldun, H: 517) berdasarkan beberapa perkara.

3. Dikatakan juga perkataan sufi dinisbahkan kepada Ahli Suffah. Iaitu, mereka yang tinggal di anjung Masjid Nabawi di Madinah yang disediakan oleh Rasulullah SAW untuk sahabat-sahabat yang miskin.

Di antaranya, sahabat baginda, Abu Hurairah, Abu Zar dan Abu Darda' kerana mereka mempunyai persamaan dengan orang sufi dari segi hubungan dengan Allah. Mereka telah memutuskan hubungan dengan dunia dan meluangkan masa untuk beribadat.

Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa.

Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.

4. Dikatakan ia berasal daripada perkataan sof iaitu saf hadapan, kerana orang-orang sufi akan berdiri di saf-saf hadapan ketika menghadap Allah di akhirat kelak. Ini juga tidak tepat dari segi bahasa, kerana sekiranya nama sufi disandarkan kepada perkataan sof, maka sudah tentu ia disebut sebagai soffi bukannya sufi.

5. Dikatakan juga, perkataan tasauf dinisbahkan kepada makhluk pilihan Allah (sofwah). Ini juga tidak tepat dari sudut bahasa, kerana mengikut bahasa, orang yang terpilih disebut di dalam Bahasa Arab sebagai Sofawi.

6. Dinisbahkan kepada Sufanah yang bermaksud tumbuhan di padang pasir. Ini kerana, mereka hidup memadai dengan makanan yang sedikit seperti tumbuh-tumbuhan yang berada di padang pasir.

Pendapat ini juga tidak betul kerana mengikut Bahasa Arab, sekiranya dinisbahkan kepada Sufanah maka ia menjadi Sufani bukannya sufi.

7. Dikatakan, perkataan sufi berasal dari perkataan Sufah al-Qafa (rambut-rambut yang tumbuh di hujung bahagian belakang kepala) kerana ahli sufi memalingkan pandangan mereka daripada makhluk dan menghadapkan pandangan mereka kepada Allah.

8. Dikatakan perkataan sufi berasal dari perkataan sofaa, yang bermaksud suci. Sekalipun terdapat pendapat yang menyangkalnya dari segi bahasa, namun ini adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama.

Abu al-Fath al-Busti r.a (wafat 401 H) pernah menyatakan dalam syairnya:

"Manusia telah bercanggah pendapat di dalam memberikan makna sufi dan mereka telah berselisih pendapat padanya, mereka menyangka bahawa ia terbit daripada perkataan suf (pakaian bulu kambing);

"Dan aku tidak sekali-kali memberikan nama ini melainkan kepada pemuda yang mensucikan dirinya, maka ia menjadi suci sehingga dinamakan sebagai sufi".

Mereka dinamakan sufi kerana dinisbahkan kepada perkataan Sofaa disebabkan Ahli Sufi memandang kepada batin atau dalaman sesuatu perkara, ketika manusia memandang kepada zahirnya.

Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasauf al-Islami al-Sohih, H: 24-27)

Tasauf dari sudut istilah

Sheikh Zarruq r.a menyebut, definisi tasauf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (ibn Ajibah, Iqaz al Himam. H: 24) Semua definisi tersebut dicetuskan oleh ulama berdasarkan zauq dan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Sebahagian mereka pula, mendefinisikan tasauf berdasarkan peringkat-peringkat yang terdapat dalam tasauf.

Di antaranya, Abu Muhammad al-Jariri r.a mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Bidayah (orang yang berada di peringkat permulaan).

Beliau mentakrifkan: "(Tasauf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (al Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasauf. H: 280)

Manakala Abu al-Hasan al-Nuri mentakrifkan tasauf berdasarkan mujahadah orang-orang yang sedang salik menuju kepada Allah (Orang yang mengambil tariqah daripada penghulu kaum sufi dan menjalaninya mengikut syarat-syarat yang telah mereka tetapkan).

Beliau berkata: "Tasauf ialah meninggalkan segala kehendak nafsu". (Al-Kalabazi, al-Ta'aruf li Mazhab Ahli al Tasauf H: 32, al Munawi, Al-Kawakib al-Durriyyah fi Tarajim al-Sa'adah al-Sufiyyah, Jilid 1 H: 524)

Imam al-Syazuli r.a pula berkata: "Tasauf adalah melatih nafsu ke arah pengabdian kepada Allah dan menundukkan nafsu di bawah hukum-hakam-Nya". (Al-Mafakhir al-'Aliyyah, H: 111)

Imam al-Junaid r.a, yang diiktiraf umum sebagai Imam dan penghulu golongan sufi (w. 297H / 910M) pula mentakrifkan tasauf berdasarkan keadaan Ahli Nihayah atau orang yang telah merasai hasil perjalanannya yang dicita-citakan.

Menurutnya, tasauf adalah: "Allah mematikan kamu daripada memandang kepada diri kamu (fana') dan Dia menghidupkan kamu dengan mengingati-Nya dan bermunajat kepada-Nya (baqa')". (Al-Risalah al Qusyairiah H: 280, Awarif al Ma'arif H: 39 dan Nataij al Afkar al-Qudsiyyah Jilid 4 H: 6)

Ini merupakan darjat sufi yang paling tinggi dan sempurna. Berdasarkan definisi-definisi di atas, kita mendapati bahawa seseorang Ahli Sufi perlu melalui tiga peringkat berikut:

1. Bidayah

Orang yang berada di peringkat ini, akan merasai pada fitrahnya bahawa terdapat suatu hakikat yang perlu dikecapi. Hakikat itu ialah akhlak dan peradaban yang mulia.

Natijahnya, rohnya benar-benar merasa rindu untuk mengecapinya. Untuk mengenali dan mengecapinya pula, memerlukan kepada suatu perjalanan yang berbekalkan keazaman dan niat yang jujur dan benar.

2. Mujahadah

Aspek amalan yang berhubung kait dengan syariat.

3. Orang yang merasai Zauq

Merasai dan mencapai hasil yang dicita-citakan.

Dalam erti kata lain, peringkat tasauf adalah:
  • Mengenal nafsu, rangsangan dan keinginannya.
  • Menyucikan hati dan membersihkan roh daripada sifat-sifat yang kotor dengan bermujahadah.
  • Menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mulia dan meningkatkan diri dari satu makam ke satu makam untuk menjadi ahli sufi yang mempunyai hati yang sentiasa sibuk bersama Allah.
Maka, seseorang salik masih belum layak untuk digelar sebagai Ahli Sufi, melainkan setelah melalui ketiga-tiga peringkat ini dan orang-orang yang masih belum merentasi ketiga-tiga peringkat ini, dinamakan sebagai murid atau mutasawwif. (Abdul Aziz Ahmad Mansur, al-Tasauf al-Islami al-Sohih H:23)

Kesimpulan

Berdasarkan semua definisi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan, bahawa tasauf tertegak di atas konsep kejernihan, merebahkan kedegilan nafsu, mengikut sunnah, zuhud terhadap dunia dan keseronokannya, memutuskan hubungan dengan selain Allah dan sentiasa bertafakur tentang-Nya.

Sebahagian Ahli Sufi berkata: Permulaan tasauf ialah ilmu, pertengahannya ialah amal, dan penghujungnya ialah mendapat kurniaan daripada Allah SWT.

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami, tasauf adalah suatu cabang ilmu yang definisinya telah ditangani secara ilmiah dan kemas. Ia juga terbit daripada usul agama yang sahih dan bukannya berpunca daripada mazhab serpihan atau agama lain, seperti dakwaan sesetengah pihak.



Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Rabu, 2 Jun 2010

Yusuf Islam - Where True Love Goes

Saya masih teringat lagi, alam peralihan saya daripada sekolah menengah pasca SPM (dari MCKK) ke pengajian persediaan universiti (IB Diploma) memang banyak mempunyai liku-liku kehidupan yang perlu saya tempuhi setelah menjejakkan kaki di dalam alam realiti (luar sekolah berasrama penuh).

Rasa-rasanya, jika dijejak kembali perjalanan dalam tempoh tersebut, iaitu dari awal tahun 2007 hingga hujung tahun 2008, pasti saya akan tersenyum sendiri, dan tidak mustahil sedikit menangis kesedihan dan kesyukuran mengenang kembali pelbagai aturan Allah yang telah saya alami.

Apa yang pasti, perjalanan hidup kita pasti mencabar dan tersirat pelbagai hikmah yang dapat terus dihubungkan kepada Pencipta kita Yang Maha Esa.


Insya Allah, Dia akan senantiasa membantu kita, menjadikan kita lebih matang, belajar daripada peristiwa hari silam dan membina hari esok yang pastinya lebih indah dan gemilang.


Apa yang saya ingin kaitkan pada catatan kali ini ialah, pertemuan dan pengenalan saya dengan karya Al-Akh Yusuf Islam, seorang seniman dan pendakwah yang sangat masyhur. Pastinya, bakatnya yang luar biasa dalam bidang hiburan pasti memberikan sentuhan jiwa yang sangat mendalam terutamanya dalam menyampaikan mesej da'wah dan ketuhanan.













Al-Akh Yusuf Islam hafizahullah ( sebelumnya dikenali sebagai Cat Stevens).



Laman Web Rasmi beliau: http://www.yusufislam.com/


Saya sememangnya menghayati keindahan lagu, dan susun kata liriknya. Memang mempesona! Kadang-kadang, saya akui, pada satu tahap, saya mengalirkan air mata ketika menghayati keindahan lagunya dan pada masa sama hati kuat mengingati Allah, mengenang nasib diri.








Bayangkan, betapa besarnya saham kebaikan yang beliau ada, lagunya yang berunsurkan da'wah, ketuhanan dan kemanusiaan yang sentiasa didengari manusia merentasi batasan geografi dan bangsa. Luasnya capaian da'wah beliau melalui seni muzik!


Itulah keluasan rahmat Allah, macam-macam uslub (pendekatan) dakwah yang ada. Melalui hiburan/muzik pun, hati manusia akan tersentuh untuk kembali kepada Allah.



Ada satu lagu Yusuf Islam, memang hingga hari ini saya tak jemu mendengarnya; Where True Love Goes.

Ada eloknya bagi kita menghayati liriknya jua, mudah-mudahan ada manfaat! =)








The moment you walked inside my door

I knew that I need not look no more,

I've seen many other souls before

- ah but,Heaven must've programmed you

The moment you fell inside my dreams

I realized all I had not seen,

I've seen many other souls before

- ah but,Heaven must've programmed you.

Oh will you?

Will you?

Will you?

I go where True Love goes,

I go where True Love goes

I go where True Love goes,

I go where True Love goes

And if you walk along

and if you lose your way,

Don't forget the one

who gave you this today

Follow True Love,

follow True Love,

Follow True Love,

follow True Love

Oh will you?

Will you?

Will you?

I go where True Love goes,

I go where True Love goes

I go where True Love goes,

I go where True Love goes

And if a storm should come and if you face away,

That may be the chance for you to be safe

And if you make it through the trouble and the pain,

That may be the time for you to know his name

The moment you walked inside my door

I knew that I need not look no more,

I've seen many other souls before

- ah but,Heaven must've programmed you

The moment you fell inside my dreams

I realized all I had not seen,

I've seen many other souls before

- ah but,Heaven must've programmed you.

The moment you said "I will"

I knew that this love was real,

And that my faith was seen

- ohHeaven must've programmed you

The moment I looked into your eyes

I knew that they told no lies,

There would be no good byes

- Ah'cause Heaven must've programmed you

I go where True Love goes,

I go where True Love goes

I go where True Love goes,

I go where True Love goes

Sumber lirik.

Moga bermanfaat, dan semakin bertambah baik hubungan kita dengan Allah subhanahu wa ta'ala. Insya Allah.

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki

Adelaide, Australia.

*Gambar-gambar Al-Akh Yusuf Islam dimuat turun daripada laman internet.

Isnin, 31 Mei 2010

Rumahku Syurgaku


Sumber gambar.

Insya Allah, kita semua bercita-cita mulia untuk membentuk dan mengimarahkan sebuah usrah (keluarga) yang solehah (baik) dan padanya dilimpahi sakinah (ketenangan) yang datang daripada Allah subhanahu wa ta'ala. Alangkah beruntungnya mereka yang benar-benar beriman dan beramal soleh, mereka dimuliakan oleh Allah subhanahu wa ta'ala dengan Islam.

Wawasan kita memang besar dan jauh, semulia-mulia wawasan ingin menjadi umat Nabi Muhammad shollallahu 'alahi wa sallam yang terbaik.

Mendirikan sebuah keluarga yang solehah, menuruti acuan yang ditunjukkan Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam selaku sebaik-baik suami kepada isteri adalah sesuatu yang amat dituntut. Insya Allah akan lahir generasi Islam yang benar-benar mantap dan akan meneruskan khilafah di muka bumi ini.

Bagi mereka yang masih berada pada usia muda dan peralihan daripada alam pengajian ke alam pekerjaan, pastinya anda perlu memperkasa persediaan bagi menyahut seruan dan amanah yang mulia dan besar ini.




Lirik Lagu "Rumahku Syurgaku" oleh Hijjaz.

Tidak salah jika kita mendengar hiburan yang sebenarnya mendidik jiwa kita menjadi 'ibaadur Rahman yang lebih murni akhlaknya.

Suami Perlukan Belaian Dari Isteri Yang Penyayang
Yang Dapat Melayani Dan Menghiburkannya
Serta Pandai Mengurus Rumah Tangga
Itulah Harapan Suami

Isteri Juga Sangat Mengharapkan Suami Yang Penyayang
Bertanggungjawab Dan Berhikmah Dalam Mendidik
Anak-Anak Akan Bahagia Dan Tenang
Apabila Ibubapanya Berkasih Sayang
Bertanggungjawab Mengasuh Dan Mendidik

Ibubapa Bahagia Kalau Anak-Anaknya
Menyayangi Mentaati Dan Memuliakan Mereka
Rasa Kasih Murni Antara Suami Isteri Boleh Rosak
Jika Masing-Masing Tidak Berakhlak

Cinta Murni Antara Anak-Anak Dengan Ibubapanya
Diikat Kuat Oleh Cinta Tabii
Yang Semulajadi Akan Punah
Jika Tidak Disuburkan

Cinta Suci Akan Subur
Apabila Ada Iman Dan Akhlak Yang Mulia
Iman Dan Akhlak Mulialah Menjadi Penyebab
Membentuk Keluarga Yang Bahagia
Dan Berkasih Sayang...
Sehingga Lahirlah
Masyarakat
Penyayang Dan Negara Makmur

Hasil Daripada Keistimewaan
Kasih Sayang Dalam Rumah Tangga


Ahad, 30 Mei 2010

4 Pertanyaan Yang Wajib Dijawab Setiap Hamba Ketika Berhadapan Dengan Allah s.w.t.



Gambar sekadar hiasan.

Sistem kehakiman yang diguna pakai oleh manusia pastinya tidak mampu menandingi ketelitian kehakiman Allah subhanahu wa ta'ala yang Maha Hebat. Rakaman bukti tercatat dan tersimpan rapi, tiada satu tercicir pun walau sebesar zarrah. Andai kata semasa menjalani proses kehakiman manusia di dunia, mulut masih lagi berpeluang mengucapkan pembohongan, namun semasa berhadapan dengan Allah subhanahu wa ta'ala kelak, mulut sudah tidak berpeluang lagi menuturkan sebarang penipuan. Mulut pada ketika tersebut ditutup, tangan pula yang diberi keizinan untuk berucap, dan kaki menjadi saksi segala perbuatan yang dilakukan.









Assalaa mu'alaikum w.b.t.,






Tidak salah kiranya jika kita memperuntukkan sedikit masa kita untuk memikirkan sesuatu yang pasti berlaku, sesuatu yang amat mustahak bagi kita.


Jika kita berupaya menjadikan diri kita sentiasa mengingati kehidupan yang kekal, lantas menghitung diri serta mempertingkat persiapan menujunya, maka puji dan puja kita lafazkan kepada Allah subhanahu wa ta'ala kerana telah memilih kita, menjadikan kita sebagai manusia yang bijak pada penilaian-Nya.


Dalam satu hadits Baginda Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam, yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi rohimahullahu ta'ala, dan hadits tersebut dinilainya sebagai hasan shohih, ada disebutkan (terjemahannya):


Daripada Abu Barzah Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami rodhiyallahu ‘anhu berkata:

Bersabda Rasulullah shollallhu ‘alaihi wa sallam:

“Belum berganjak lagi kedua-dua kaki seorang hamba (di hadapan Allah subhanahu wa ta’ala pada hari qiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa dibinasakannya (digunakannya).”



Manusia mungkin selalu alpa akan hakikat kewujudannya sebagai hamba Allah tabaroka wa ta'ala, yang diberikan amanah dan pinjaman ni'mat semasa berada di dunia. Kesemua amanah dan pinjaman ni'mat tersebut pasti akan disoal kembali tentang penggunaannya semasa pertemuan dengan Allah subhanahu wa ta'ala kelak nanti.


Ada empat persoalan yang wajib dijawab oleh setiap hamba, dan kesemua soalan tersebut adalah berkaitan dengan:

1. Umur
2. Ilmu
3. Harta
4. Tubuh Badan


Benarlah apa yang disebutkan oleh Saidina 'Umar Al-Khottob rodhiyallahu 'anhu yang bunyinya hampir begini:

"Hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung (semasa Pengadilan Allah subhanahu wa ta'ala)."


Pada masa yang sama, dalam kita mengamati dan menginsafi hakikat ini, pastinya akan hadir dorongan ataupun motivasi yang luar biasa pada kita untuk melakukan setiap perkara dengan terbaik. Kita akan melaksanakannnya dengan penuh nilai ihsan, sesuai "quality standard" yang telah digariskan Allah subhanahu wa ta'ala. Hal ini sedemikian kerana kita sememangnya meyakini kesemua perkara tersebut pasti akan ditanya tentang penggunaannya semasa berhadapan dengan pengadilan di mahsyar nanti.


Dengan meyakini hakikat persoalan ataupun pertanyaan tentang keempat-empat perkara tersebut, masih mampukah kita untuk membiarkan diri melakukan perkara-perkara yang buruk?

Pastinya tidak.

Insya Allah, kita akan melakukan perkara yang baik-baik belaka. Yakini juga bahawa segala perkara yang baik pada pandangan Allah pastinya adalah yang terbaik pada pandangan kita, yang akan membuahkan perasaan sakinah / ketenangan dalam jiwa kita serta sentiasa dicucuri rahmat dan kasih sayang Allah subhanahu wa ta'ala.


Mudah-mudahan Allah subhanahu wa ta’ala menjadikan kita para hamba-Nya yang sentiasa melakukan ketaatan, ya’ni menggunakan segala pinjaman ni’mat-Nya dengan sebaik-baik mungkin. Insya Allah kita akan dapat menghadapi pertanyaan tersebut dengan baik. Juga, sentiasa kita bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala atas segala dosa dan keterlanjuran kita, kerana Dia Maha Mengampunkan segala dosa melainkan syirik.



Susunan Al-Faqir ila Robbihi,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki
Adelaide, Australia.



Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang tetap beristiqamah dan ikhlas mentaati-Mu.

Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid. Selamatkan kami dunia dan akhirat.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...