Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 30 Jun 2010

Ukuran Ilmu


Universiti Azhar Syarif, simbol bagi keilmuan.

"Ilmu bukan diukur dengan banyaknya pengetahuan, tapi sebanyak mana ia dapat diterjemahkan melalui kehidupan."
-dipetik daripada laman Akhuna Thaqif Ilman Al-Muqri

Mesej Al-Quran : Tundukkan Pandangan


Terjemahan ayat:

"Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memlihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka."

Surah An-Nuur, 24: 30

Selasa, 29 Jun 2010

Pencarian Lailatul Qadr Bermula Sebelum Ramadhan Lagi



Gambar hiasan.


Alhamdulillah, sekarang kita berada dalam bulan Rejab.

Insya ALLAH selepas itu akan tiba Sya'ban, disusuli bulan teragung dalam kesemua 12 bulan, ya'ni Ramadhan.

Terlintas dalam fikiran saya, bagaimana pernah dinasihatkan oleh orang soleh kepada kita:

"Orang yang benar-benar ingin mencari dan mendapatkan Lailatul Qadr, pencariannya sudah pun bermula dalam tempoh sebelum tibanya Ramadhan."

Pencarian yang dimaksudkan bermula sebelum tibanya Ramadhan dapat kita fahami sebagai persediaan ruhaniah. Hati dan ruhani mula dididik untuk lebih menghargai setiap detik peluang amal kebaikan.

Lebih baik lagi, dibuat perencanaan, perancangan apa yang mahu dicapai dalam Ramadhan akan datang.

Mungkin tahun lepas, kita ada menjamu orang yang berbuka puasa dengan air minuman sahaja, mungkin pada kali ini, insya Allah kita akan menjamu mereka dengan sesuatu yang lebih baik.

Ataupun, mungkin tahun lepas, kita sekadar menumpukan pembacaan al-Quran semata-mata tapi tanpa cuba mengambil sedikit inisiatif melihat terjemahannya, insya Allah pada kali ini kita akan lebih menghidupkan penghayatan makna ayat Al-Quran itu dengan asbab mengambil tahu terjemahan, asbabun nuzul (sebab penurunan) dan tafsir mengenainya.

Juga, mungkin pada Ramadhan lalu, kita mampu menamatkan 1 juzuk pembacaan Al-Quran, insya Allah pada tahun ini kita pertahankan jumlah tersebut dan lebih baik lagi dapat ditingkatkan lagi.

Ya lah, mengapa tidak bersedia jika benar-benar diinginkan, dirindui malam tersebut. Malam agung yang sangat istimewa kedudukannya di sisi Allah.

Insya ALLAH, moga ALLAH izinkan kita, ibu bapa dan keluarga kita, serta seluruh umat Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam untuk bertemu dengan Ramadhan tahun ini.

Isnin, 28 Jun 2010

Tasawwuf Galakkan Berjihad dan Bekerja

*Artikel ini diambil daripada laman Yayasan Sofa Kuala Lumpur.

Tasauf galakkan berjihad dan bekerja

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

DI antara tohmahan sesetengah pihak terhadap tasauf dan ahlinya adalah tasauf itu mendorong kepada sikap pasif, jumud dan berserah semata-mata tanpa berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.


Islam menyuruh umatnya bekerja bersungguh-sungguh agar menikmati kejayaan
di dunia. - Gambar hiasan




Oleh kerana kurangnya maklumat dan kefahaman sebenar terhadap persoalan ini, sebahagian masyarakat awam turut terpengaruh dengan persepsi ini.

Apabila anak-anak, saudara atau teman mereka terlibat dalam aliran berunsur tasauf, walaupun yang murni dan arus perdana, maka timbullah kegusaran dalam hati mereka bahawa aspek duniawi dan kebajikan mereka ini akan tertinggal dan terabai.

Persepsi salah ini perlu dijauhi. Jika tidak ia mungkin menjerumuskan kita dalam sikap menzalimi. Bahkan memusuhi mereka yang sebenarnya berada di atas kebenaran dan bahkan mungkin sebahagiannya adalah para wali atau kekasih-kekasih Allah SWT.

Memusuhi wali-wali Allah adalah termasuk beberapa kesalahan paling berat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap pelakunya seperti maksud satu hadis qudsi yang masyhur.

Sebenarnya, para pembaca sudah sepatutnya mampu menolak persepsi negatif ini jika mereka telah memahami dan bersetuju dengan penjelasan kami dalam siri ruangan ini yang lepas-lepas bahawa tasauf itu adalah tidak lain daripada dimensi ihsan agama kita dan bahawa tasauf hakiki adalah bersumberkan dan selari dengan al-Quran dan al-sunnah.

Mana mungkin sesuatu yang begitu asasi dan asli dalam Islam bersifat pasif, lemah dan jumud melulu?

Tanpa perlu berbahas panjang, seseorang yang bijaksana sudah mampu meletakkan isu ini pada kedudukan sebenarnya. Samalah seperti seseorang Muslim yang benar-benar faham dan yakin tentang sifat-sifat Maha Adil, Pengasih dan Penyayang yang ada pada Allah SWT.

Tanpa pembahasan terperinci tentang persoalan qada dan qadar, ketentuan, nasib dan seumpamanya, orang ini tetap tidak akan sampai mempertikaikan keadilan Tuhan di sebalik segala ketentuan buruk atau baik yang berlaku dalam kehidupan.

Namun, apakan daya. Kita ditakdirkan hidup dengan adanya suara-suara sumbang yang sering cuba menyerang tasauf. Maka perlulah soal ini dibahaskan.

Jika diteliti secara insaf, ajaran, aliran dan para pengamal tasauf hakiki sepanjang sejarah Islam adalah mereka yang sangat mementingkan berusaha dan bekerja dalam menghadapi urusan dunia.

Malah jika semboyan jihad dikumandangkan dalam situasi jihad peperangan yang benar-benar memenuhi syaratnya, kita akan dapati para ahli tasauf adalah antara mereka yang berada di saf hadapan tentera Islam.

Sikap ini jelas pada sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda yang merupakan para pengasas dan pemuka tasauf. Abdullah Ibnu Mubarak, Syaqiq al-Balkhi, Hatim al-'Asom pula adalah antara tokoh tasauf yang menyusuli mereka yang tercatat jelas keperwiraan dan kepahlawanan mereka di medan jihad perang.

Begitu juga para pemuka tasauf yang datang kemudian seperti Imam Abul Hasan al-Syazuli dan Badiuzzaman Said Nursi.

Sejarah juga menjadi saksi kesatriaan para pejuang berlatar-belakangkan tasauf seperti Imam al-Sanusi di Libya dan Imam Syamil Al-Daghestani di Chechya.

Di alam Melayu, kita biasa mendengar tentang kepahlawanan para ulama sufi menentang penjajah Belanda dan Inggeris seperti para Wali Songo, Sheikh Abdul Samad al-Falembani, Sheikh Yusuf Tajul Khulwati al-Makasari.

Ahad, 27 Jun 2010

Menggunakan Kesempatan Ketika Masih Ada


Suasana dalam Masjid Bandar Adelaide, juga selalu dirujuk sebagai City Mosque.
Masjid ini antara masjid tertua di Australia. Di South Australia sendiri, City Mosque yang sejak awal pembinaannya dulu dikenali sebagai Afghan Chapel, menjadi National Heritage. Saiz masjid ini tidaklah begitu besar. Mungkin sebesar kebanyakan surau di kawasan perumahan di Malaysia.



Saya masih ingat lagi, pada suatu hari saya bersama seorang sahabat seperjuangan dari Malaysia berjalan kaki bersama-sama menuju ke Masjid Bandar Adelaide.

Jarak tempat penginapan saya tidaklah begitu jauh daripada masjid tersebut. Anggarannya dalam 750 meter. Jika berjalan kaki, ambil masa hampir 10 minit.

"Kau tahu tak, City Mosque ni kalau tidak akan jadi muzium. Sebab tak ramai orang guna untuk solat." kata beliau. Terkejut juga saya dibuatnya, apabila masjid dijadikan muzium. Rakan saya tersebut memang giat dalam pergerakan jama'ah tabligh. Pengetahuannya tentang perkembangan Islam di Australia luas dan tidak dinafikan.

Kata-kata beliau memang meninggalkan kesan kepada saya hingga hari ini. Menjadi asbab untuk saya lebih banyak berfikir, menghargai peluang untuk beribadah sebagai umat Islam.

"Kalaulah Masjid City sudah dijadikan muzium, maksudnya memang lagi jauhlah perjalanan aku ke masjid yang ada dan terdekat. Mungkin kena ambil bas." hati kecil bercakap.

City Mosque pun tak ada organisasi pegawai masjid yang cekap dan memang kemas.

Pernah disebut apa sebab fenomena tersebut berlaku:

"I am not paid to do that job."

Ringkas, dan banyak lagi rasanya yang dapat dihuraikan.

Peluang untuk melaungkan azan pun terbuka amat luas, kecuali semasa solat Jumaat.

"First come first serve."


"Oh, inikah maksudnya munajat orang-orang soleh yang berbunyi: Tuhanku, aku zalimi diriku." hati kecil berbisik. Seolah-olah baru memahami dengan lebih mengakar ungkaian kata tersebut.

Saya menasihati diri saya. Alangkah penyayangnya Allah, banyak sungguh peluang untuk melaksanakan kebaikan yang tersedia. Kadang-kadang kerana dosa yang menebal, hati terhijab daripada melihat peluang untuk melakukan ketaatan yang sentiasa ada dan terbuka.

Saya memang zalim jika terus membutakan hati daripada merebut segala peluang kebajikan ini. Imam Al-Ghazali rodhiyallahu 'anhu pernah menyebut dalam menggambarkan berharganya setiap hela nafas hayat kita yang dikurniakan Allah, hampir begini:

"Setiap nafas hayat yang diberikan Allah, digunakan untuk kebaikan adalah lebih berharga daripada dunia dan seisinya."

'Ulama menasihati kita, rezeki yang dikurniakan Allah kepada kita bukan sekadar banyaknya wang dan harta yang kita ada. Rezeki tersebut juga merangkumi kesihatan yang baik, kelapangan masa untuk beribadah, rakan dan teman yang soleh, kerajinan dan motivasi untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan yang lain-lain.

Belitan iblis akan senantiasa menipu kita, untuk menangguhkan segala bentuk kebaikan. Kononnya usia masih lanjut. Kelak nanti, bila dah berusia, masih ada masa untuk beramal. Apa salahnya masa muda ini terguna untuk menikmati keindahan dunia.

Saya membuat congakan, hitungan kasar.

"Azan kalau dilaungkan, memang sangat istimewa. Nabi ada sebut, kalau manusia tahu kelebihannya, pasti manusia sanggup mencabut undi bagi mendapat giliran melakukannya. Di sini, peluang untuk melaungkan azan ketika masuk waktu di masjid amat terbuka luas. Cuma kena cop tempat awal-awal."

"Paling kurang pun, pergi ke masjid dari tempat penginapan, ada dalam 400 langkah kaki. Kalau dikecilkan lagi, mungkin ada dalam 600 lebih. Hadits Nabi menyebut, setiap satu langkah menuju ke masjid untuk menunaikan solat berjama'ah, setelah disempurnakan wudhu' di rumah, akan menghapuskan dosa, memberikan pahala kebaikan, dan menaikkan darjat di syurga."

Apa yang lebih menginsafkan saya ialah, realiti di Australia ini, bilangan masjidnya adalah amat terhad. Tidak sebanyak yang ada di Malaysia. Jarak dari satu masjid ke masjid yang lain pun adalah jauh. Rupa-rupanya memang rezeki yang besar daripada Allah, disediakan kemudahan untuk saya sentiasa menghadiri masjid, dengan asbab ketentuan-Nya meletakkan saya untuk tinggal di kawasan yang berhampiran.

Teringat ketika zaman remaja di MCKK dahulu, ketika solat subuh, ustaz yang mengimamkan solat jama'ah selalu membacakan ayat di bawah. Rupanya, bertahun-tahun juga masa diambil untuk makna dan penghayatannya lebih mengakar dalam hati ini. Terima kasih ya Allah. Sungguh, peluang mentaati-Mu itu lebih berharga daripada dunia dan seisinya.


"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".

Surah Al-Munafiqun, 63: 10


Pengajaran untuk kita fikirkan dan selami:

Sejauh manakah hati kita celik dalam melihat segala peluang kebajikan yang sentiasa dilapangkan Allah kepada kita?

Setinggi manakah kesungguhan kita untuk menghargai peluang tersebut?

Pastikah hayat kita di dunia ini akan berlangsungan pada hari esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan, 10 tahun depan?

Bukankah kita sudah sentiasa dimaklumkan dengan kematian manusia yang berlaku pada usia muda mereka?

Moga bermanfaat, dan dikurniakan Allah kekuatan ruhaniyah dalam menganjakkan diri, menewaskan nafsu, melazimkan diri dengan memanfaatkan kesemua peluang kebaikan yang tersedia.

Al-Faqir ilaLlah,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki
The Village, Adelaide, Australia.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...