Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 25 Januari 2013

Apa Sebenarnya Tersirat Di Sebalik Bermacam-macam Kejadian Dunia


Tidakkah kita memerhatikan apa sebenarnya kesimpulan yang tersirat daripada segala apa yang telah dan sedang berlaku di dunia ini? Bermacam-macam suka duka, masalah dan seumpamanya.

Di sebalik semua itu, adalah proses ujian, pengukuran nilai pahala dan darjat untuk dikurniakan pada para hamba Allah.

Maka sungguh-sungguh kita hadirkan keyakinan bahawa dunia ini benar-benar hanya persinggahan yang terlalu singkat yang menjadi tempat membuat bekalan persiapan menuju akhirat.

Sungguh di akhirat sana, bersenang-lenanglah wahai para hamba Allah yang mendapat keredhaan-Nya. Kebahagiaan di sana adalah kekal, sudah tidak ada lagi masalah, sudah tidak ada lagi kematian.

Hargailah setiap setiap nafas yang kita masih ada sekarang, kerana peluang hidup ini adalah tidak ternilai.

Mengambil pengajaran daripada Surah Al-Hijr, 15: ayat kedua yang mana mafhumnya:

Orang kafir itu kadang-kadang di akhirat nanti menginginkan sekiranya mereka dahulu di dunia menjadi orang Muslim.

Jumaat, 18 Januari 2013

Salam Ukhuwwah dan Mahabbah



Assalamualaikum kepada semua sahabat dan rakan pembaca blog saya ini,

Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan ampunan Allah.

Sedikit perkembangan yang ingin saya kongsikan,

- Alhamdulillah bulan ini adalah bulan ketujuh saya berkhidmat dalam PETRONAS Carigali Sdn Bhd, dalam Jabatan Eksplorasi Geofizik bahagian pemprosesan dan pengimejan seismik. Saya adalah bekas pelajar di bawah pinjaman boleh ubah PETRONAS, dan sekarang dalam proses dan tempoh 'bayar balik' selama sepuluh tahun. Syukur sehingga kini saya menikmati dan meminati peluang kerja ini. Sedikit demi sedikit dibina keyakinan, ditingkatkan ilmu dan penguasaan kemahiran dalam bidang industri ini.

- Setiap hari yang kini sedang berlalu adalah terasa begitu pantas. Sangat wajar sentiasa ada muhasabah diri dan terus menerus ada usaha pembaikan diri dan mengutamakan keutamaan dan keuntungan yang lebih besar untuk dibawa menuju akhirat.

- Saya kini dengan izin dan rahmat Allah, mudah-mudahan sentiasa dibantu Allah untuk ikhlas, juga berusaha dan beriltizam untuk cuba memahami terjemahan dan pengajaran umum daripada Al-Quran, menghayati dan cuba mengamalkannya. Atas ikhtiar secara harian, insya Allah ada usahanya. Dalam hari-hari kerja Isnin sampai Jumaat, memang lebih terkejar-kejar dan padat masa. Pada hujung minggu pula, digandakan azam berbanding pada hari-hari kerja.

- Dalam masa yang sama, kami mengusahakan satu platform untuk kebaikan umat Islam berteraskan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah melalui Pertubuhan Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh Malaysia (APIS). Ada komitmen untuk memimpin dan melaksanakan gerak kerja.

- Juga diikhtiarkan adalah untuk melazimi majlis pengajian ilmu agama secara konsisten secara bulanan paling minimum.

- Tidak dilupakan juga, saya berazam untuk semakin mempelajari, memahami dan mengamalkan ilmu bahasa Arab.

- Insya Allah, dalam kerangka besar perancangan peribadi, mahu pada satu hari nanti berkhidmat kepada umat ini melalui aspek keilmuwan yang bermanfaat.

- Bagi tujuan fokus dan menghindari 'kesibukan' berlebihan dan tidak diperlukan, maka saya memilih untuk menghentikan (deactivate) akaun Facebook untuk satu tempoh yang lama.

- Mohon didoakan kebaikan kami dan umat ini yang lain, daripada doa kalian yang insya Allah akan dikabulkan-Nya.

- Teruskan berusaha, mudah-mudahan Allah merestui cita-cita besar dan mulia kita.


...

Selasa, 9 Oktober 2012

Sentiasa Muda Untuk Belajar


Insya Allah kita sentiasa muda untuk belajar. Tidak ada tarikh tamat bagi proses belajar. Belajar dengan cinta, minat, kesedaran, penghargaan insya Allah akan banyak beri impak positif.

Ilmu yang nak dipelajari itu pula perlulah ada kewajaran, bermanfaat, mampu memberi kesan positif untuk diri sendiri dan yang lain. (Kerana segala macam ilmu yang ada terlalu banyak jika nak dibandingkan dengan batas umur kita)

Antara ilmu paling mustahak ialah: ilmu bagaimana untuk kita dapat jalankan kewajipan kita sebagai hamba-Nya dengan cemerlang.

Mudah-mudahan ada kesedaran dalam minda kita, bahawa insya Allah setiap hari yang bertambah, akan bertambah juga ilmu, amalan, kematangan.

Ahad, 7 Oktober 2012

Meraih Kebahagiaan - Jangan Disibukkan dengan Perkara Remeh Temeh



Salah satu petua meraih kebahagiaan - Sentiasa melihat gambaran besar, mengutamakan wawasan besar dan jauh sejauh akhirat, tidak disibukkan dengan perkara-perkara picisan, remeh temeh.

Semoga bermanfaat dalam membimbing kita untuk semakin menghampiri kemenangan sebenar dan ketenangan jiwa. ♥


*
Terjemahan buku berjudul 30 Kunci Meraih Kebahagiaan tulisan Dr. Aidh Al-Qarni, terbitan Pustaka Al-Shafa Kuala Lumpur, 2009.

Jumaat, 5 Oktober 2012

Baru dapat gaji? Mari cari keberkatan... ^_^




- Sangat bagus jika setelah kita mendapat gaji, kita segerakan pembayaran hutang dan menunaikan hak individu lain serta perkara seumpamanya.

- Insya Allah, jika benar dan ikhlas perbelanjaan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, insya Allah semua perbelanjaan itu memberikan harta kekal kita di akhirat sana.

- Allah Yang Maha Memberikan rezeki kepada kita, segala apa yang ada di bumi dan di langit adalah milik-Nya, maka sangat positif untuk kita melihat pada rezeki itu ada ujian kesabaran dan kesyukuran.

Pengertian syukur yang dibicarakan ulama,

Tidak sekadar melafazkan syukur dengan lidah, syukur itu adalah menggunakan nikmat kurniaan Allah untuk mentaati-Nya.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...