Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 27 Februari 2013

Kukuhkan Keazaman Untuk Sentiasa Bersama Al-Quran


Kemuliaan Al-Quran sebagai kalam Allah adalah teragung dan mengatasi segala perkara yang lain. (Sumber gambar)


Cita-cita mulia dan besar untuk sentiasa melazimi bacaan, hafazan, pemahaman dan pengamalan Al-Quran adalah sesuatu yang turut sama menuntut kesabaran yang menggunung tinggi, pergantungan dan keyakinan akan bantuan Allah secara sepenuh hati, kecekalan hati yang utuh, kesungguhan dan keazaman usaha keras dan gigih yang berterusan tanpa ada erti untuk berputus asa dan berhenti.

Perlu kita amati dan insafi bahawa niat yang suci mutlak demi pencarian keredhaan Allah dan sebagai satu jalan ibadah mendekati-Nya perlulah dipasakkan dengan sekukuh-kukuhnya dan sentiasa diingatkan agar tidak terpesong perjalanan ruhani.

Intabihu bahawa usaha menghafaz Al-Quran memerlukan peruntukkan masa yang besar, secara harian dan berterusan, diwujudkan kedua-dua unsur menghafaz ayat hafazan baru dan mengulang hafazan yang lama atau telah diperoleh. Lidah dan hati perlu sentiasa disibukkan dan dilembutkan dengan ulangan bacaan ayat-ayat Al-Quran agar melekat dan masyi hafazan itu.

Dan selepas dihafaz ayat Al-Quran ingatlah bahawa amanah adalah terlalu besar untuk berusaha menjaga ingatan tersebut, kerana melupakan ayat Quran yang telah dihafaz adalah mengundang kemurkaan Allah. Diumpamakan juga Al-Quran yang dihafaz itu adalah unta, yang perlu diikat kuat dengan ulangan agar tidak hilang.

Mudah-mudahan Allah kurniakan kita sebenar-benar keikhlasan niat, diberikan redha-Nya, diizinkan kita menghafaz Al-Quran dengan baik dan lancar sepanjang hayat, diberikan kemudahan untuk kita mengulang sekurang-kurangnya sebanyak 3 juzuk sehari dengan punyai kualiti pemahaman dan pengamalan isi kandungannya.

Mafhum juga dalam hadis Baginda sollaAllahu alaihi wa sallam bahawa seorang hamba yang sibuk dengan bacaan Al-Quran sehingga tidak sempat untuk berdoa maka dia akan dikurniakan oleh Allah dengan kurniaan yang lebih baik kepada hamba lain yang berdoa tetapi tidak disibukkan dengan bacaan Al-Quran.


....

Jumaat, 25 Januari 2013

Apa Sebenarnya Tersirat Di Sebalik Bermacam-macam Kejadian Dunia


Tidakkah kita memerhatikan apa sebenarnya kesimpulan yang tersirat daripada segala apa yang telah dan sedang berlaku di dunia ini? Bermacam-macam suka duka, masalah dan seumpamanya.

Di sebalik semua itu, adalah proses ujian, pengukuran nilai pahala dan darjat untuk dikurniakan pada para hamba Allah.

Maka sungguh-sungguh kita hadirkan keyakinan bahawa dunia ini benar-benar hanya persinggahan yang terlalu singkat yang menjadi tempat membuat bekalan persiapan menuju akhirat.

Sungguh di akhirat sana, bersenang-lenanglah wahai para hamba Allah yang mendapat keredhaan-Nya. Kebahagiaan di sana adalah kekal, sudah tidak ada lagi masalah, sudah tidak ada lagi kematian.

Hargailah setiap setiap nafas yang kita masih ada sekarang, kerana peluang hidup ini adalah tidak ternilai.

Mengambil pengajaran daripada Surah Al-Hijr, 15: ayat kedua yang mana mafhumnya:

Orang kafir itu kadang-kadang di akhirat nanti menginginkan sekiranya mereka dahulu di dunia menjadi orang Muslim.

Jumaat, 18 Januari 2013

Salam Ukhuwwah dan Mahabbah



Assalamualaikum kepada semua sahabat dan rakan pembaca blog saya ini,

Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan ampunan Allah.

Sedikit perkembangan yang ingin saya kongsikan,

- Alhamdulillah bulan ini adalah bulan ketujuh saya berkhidmat dalam PETRONAS Carigali Sdn Bhd, dalam Jabatan Eksplorasi Geofizik bahagian pemprosesan dan pengimejan seismik. Saya adalah bekas pelajar di bawah pinjaman boleh ubah PETRONAS, dan sekarang dalam proses dan tempoh 'bayar balik' selama sepuluh tahun. Syukur sehingga kini saya menikmati dan meminati peluang kerja ini. Sedikit demi sedikit dibina keyakinan, ditingkatkan ilmu dan penguasaan kemahiran dalam bidang industri ini.

- Setiap hari yang kini sedang berlalu adalah terasa begitu pantas. Sangat wajar sentiasa ada muhasabah diri dan terus menerus ada usaha pembaikan diri dan mengutamakan keutamaan dan keuntungan yang lebih besar untuk dibawa menuju akhirat.

- Saya kini dengan izin dan rahmat Allah, mudah-mudahan sentiasa dibantu Allah untuk ikhlas, juga berusaha dan beriltizam untuk cuba memahami terjemahan dan pengajaran umum daripada Al-Quran, menghayati dan cuba mengamalkannya. Atas ikhtiar secara harian, insya Allah ada usahanya. Dalam hari-hari kerja Isnin sampai Jumaat, memang lebih terkejar-kejar dan padat masa. Pada hujung minggu pula, digandakan azam berbanding pada hari-hari kerja.

- Dalam masa yang sama, kami mengusahakan satu platform untuk kebaikan umat Islam berteraskan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah melalui Pertubuhan Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh Malaysia (APIS). Ada komitmen untuk memimpin dan melaksanakan gerak kerja.

- Juga diikhtiarkan adalah untuk melazimi majlis pengajian ilmu agama secara konsisten secara bulanan paling minimum.

- Tidak dilupakan juga, saya berazam untuk semakin mempelajari, memahami dan mengamalkan ilmu bahasa Arab.

- Insya Allah, dalam kerangka besar perancangan peribadi, mahu pada satu hari nanti berkhidmat kepada umat ini melalui aspek keilmuwan yang bermanfaat.

- Bagi tujuan fokus dan menghindari 'kesibukan' berlebihan dan tidak diperlukan, maka saya memilih untuk menghentikan (deactivate) akaun Facebook untuk satu tempoh yang lama.

- Mohon didoakan kebaikan kami dan umat ini yang lain, daripada doa kalian yang insya Allah akan dikabulkan-Nya.

- Teruskan berusaha, mudah-mudahan Allah merestui cita-cita besar dan mulia kita.


...

Selasa, 9 Oktober 2012

Sentiasa Muda Untuk Belajar


Insya Allah kita sentiasa muda untuk belajar. Tidak ada tarikh tamat bagi proses belajar. Belajar dengan cinta, minat, kesedaran, penghargaan insya Allah akan banyak beri impak positif.

Ilmu yang nak dipelajari itu pula perlulah ada kewajaran, bermanfaat, mampu memberi kesan positif untuk diri sendiri dan yang lain. (Kerana segala macam ilmu yang ada terlalu banyak jika nak dibandingkan dengan batas umur kita)

Antara ilmu paling mustahak ialah: ilmu bagaimana untuk kita dapat jalankan kewajipan kita sebagai hamba-Nya dengan cemerlang.

Mudah-mudahan ada kesedaran dalam minda kita, bahawa insya Allah setiap hari yang bertambah, akan bertambah juga ilmu, amalan, kematangan.

Ahad, 7 Oktober 2012

Meraih Kebahagiaan - Jangan Disibukkan dengan Perkara Remeh Temeh



Salah satu petua meraih kebahagiaan - Sentiasa melihat gambaran besar, mengutamakan wawasan besar dan jauh sejauh akhirat, tidak disibukkan dengan perkara-perkara picisan, remeh temeh.

Semoga bermanfaat dalam membimbing kita untuk semakin menghampiri kemenangan sebenar dan ketenangan jiwa. ♥


*
Terjemahan buku berjudul 30 Kunci Meraih Kebahagiaan tulisan Dr. Aidh Al-Qarni, terbitan Pustaka Al-Shafa Kuala Lumpur, 2009.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...