Ulama Benteng

Ulama Benteng

Selasa, 19 Julai 2016

Kelas Mingguan (Ahad) Asas Bahasa Arab

Kelas Mingguan (Ahad) Asas Bahasa Arab
Anjuran sekumpulan ahli usrah sebuah NGO Islam dan terbuka kepada semua. (saya terima jemputan mereka, insyaAllah khidmat untuk sampaikan ilmu daripada guru-guru kita - sekadar jadi posmen orang yang menaqalkan ilmu guru-guru)
Mudah-mudahan menjadi amalan soleh bernilai pahala dan redha Allah, bermanfaat ilmu bahasa Arab ini dunia akhirat.
Sila rujuk poster untuk maklumat lanjut.

Rabu, 27 April 2016

Soal Jawab Tentang Solat (Siri 2)

Beberapa Permasalahan Hukum Hakam Solat (Siri 2)

Susunan Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki
6 April 2016
Rujukan:
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari


 1.     Mengapakah@apakah hikmah solat siang bacaan Fatihah dan surah rakaat 1 dan 2 dibaca perlahan.

Jawapan

Sifat ibadah adalah tauqifiyyah (terima sepertimana Allah dan Rasul perintahkan). Adapun hikmah para ulama menyatakan ada yang kita boleh fikir dan ada yang tidak mampu fikir. 

Imam Sya’rawi menyatakan dibaca perlahan solat siang hari kerana pada awal Islam untuk mengelakkan permusuhan orang kafir yang tidak sukakan Islam dan mengetahui tempat ibadah orang Islam ketikamana Islam masih lemah di Mekah. Adapun solat malam untuk mengajar kepada para sahabat kaifyyat solat.

2.    Bagaimanakah cara alihkan tudung yang tertutup atau terhalang pada dahi (jadi secara tidak sengaja kerana angin tiup) ketika sujud.

Jawapan : 

Jika sudah sujud dan dahi mengenai tempat sujud saya fikir tidak perlu dialihkan lagi. Jika sebelum sujud atau hampir kepada sujud maka alihkan atau tahankan dengan tangan.

3.    Bagi warga emas usia 90-an, yang kadang-kadang ada ingatan biasa, kadang-kadang nyanyuk, apakah hukum solat kepadanya? Adakah dia wajib solat?

Jawapan : 

Solat wajib ketika dia sedar dan tidak wajib ketika dia nyanyuk.


4.    Bagaimanakah cara mengalihkan najis yang terkena pada badan semasa solat?

Jawapan : 

Najis yang terkena pada badan itu membatalkan solat kerana menanggung najis. Wajib hentikan solat, haram meneruskan solat jika menyedari ada najis atau batal solat. Bersihkan dan solat kembali.


5.    Adakah batal solat jika berlaku pergerakan tangan dan kaki secara tidak sengaja ketika solat dan ternampak ada benda akan terjatuh kepada anak yang berada di depan (tindak balas spontan untuk selamatkan anak)?

Jawapan : 

Tidak membatalkan sembahyang. Sengaja tidak boleh melebihi 3 kali adapun jika tidak sengaja atau ada bahaya seperti memukul ular maka tidak membatalkan solat walaupun melebihi 3 kali berturut-turut.

6.    Bagaimanakah cara untuk berhenti/keluar dari solat sebelum salam ketika ada kecemasan?

Jawapan : 

Niat keluar daripada sembahyang. Hentikan solat.

7.    Bagaimanakah cara untuk beritahu kepada orang yang sentuh bahu kita (dia nak jadikan kita imam solat) semasa kita sedang solat?

Jawapan : 

Imam tidak diwajibkan berniat Imam. Jika dia tidak niat imam tetap solat sah. Mazhab kita sunat niat Imam untuk menghasilkan pahala. 

Memadai kita berdiri sebelahnya dan itu sudah menjadi isyarat. Jika kita dua orang atau lebih maka lebih afdhol untuk kita buat Jemaah baru.

Wallahu A’laam Bissowaab..

Ahad, 24 April 2016

Iceberg Dosa Pahala



Iceberg dosa pahala

Orang kiri dalam gambar ini : dosa-dosanya yang sedikit terzahir di permukaan air, manakala amal solehnya jauh lebih banyak dan besar tenggelam (tersembunyi) di bawah air.
Manakala orang di tengah : amal soleh sedikitnya terzahir di permukaan air, manakala dosa-dosanya jauh lebih besar dan banyak tetapi tenggelam (tersembunyi) di bawah air. Ironi, dia dengan lantang mengatakan orang di kiri tersebut sebagai pelaku kejahatan (fasid).
Sumber gambar : internet

Isnin, 11 April 2016

Persoalan Maksud Wanita Dicipta Daripada Rusuk Lelaki - Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan

Diambil dari laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan


Mufti Wilayah Persekutuan
IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-33: HADIS PENCIPTAAN HAWA DARIPADA TULANG RUSUK
Soalan :
Apakah yang dimaksudkan dengan Hawa diciptakan bukan daripada tulang rusuk atau seperti tulang rusuk ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berkaitan soalan yang diajukan, isu hadis yang menceritakan berkaitan penciptaan waniat atau Hawa daripada tulang rusuk telah berlaku perselisihan oleh para ulama’ dalam memahami hadis ini. Sebelum kami nyatakan pendapat ulama’ berkaitan hadis ini, kami sertakan dahulu hadis-hadis yang menceritakan tentang isu ini, antaranya ialah:
hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
Maksudnya : “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”.
[Riwayat al-Bukhari, kitab hadis-hadis berkaitan Nabi, bab penciptaan Adam dan keturunannya, no. hadis: 3083, kitab al-Nikah, bab Wasiat Untuk Wanita, no.hadis 4787]
Berdasarkan hadis ini, yang dimaksudkan dengan wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk ialah asal penciptaan wanita adalah bengkok dan wanita tidak menerima pembetulan sebagaimana tulang rusuk juga tidak menerima pelurusan. Maka dengan itu, setiap kali kamu ingin membetulkannya maka ia akan patah. Ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. [Lihat: Fath al-Bari, 6:368]
Selain itu, terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ المرأةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، لَنْ تستقيمَ لَكَ علَى طريقَةٍ، فإِنَّ استمْتَعْتَ بِها استمتعْتَ بِها وبِها عِوَجٌ، وإِنْ ذهبْتَ تقيمُها كسرْتَهَا، وكسرُها طلاقُها
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tidak dapat kamu luruskan dengan cara bagaimanapun, jika kamu hendak bersenang-senang dengannya, kamu dapat bersenang-senang dengannya dan dia tetap saja bengkok, namun jika kamu berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah dan mematahkannya adalah menceraikannya”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2670]
Padanya terdapat dalil atau tanda apa yang dikatakan oleh fuqaha’ atau sebahagian daripada mereka bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana firman Allah SWT bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada diri yang satu dan daripada diri itu Allah SWT ciptakan pasangannya. Selain itu, Nabi SAW menjelaskan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk. Di dalam hadis ini, dianjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan dia (suami) tidak ingin membetulkannya (isteri). [Lihat: al-Minhaj, 10:57]
Pendapat ulama’ dalam memahami isu ini
Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadis Nabi SAW ini. Antaranya ialah:
Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadis berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang lain. Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, berdasarkan firman Allah SWT:
خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا
Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa)”. [Al-Zumar : 6]
Al-Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini:
“Maksud Allah SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu ialah Allah SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS. Kemudian di jadikan daripadanya Hawa sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) - lelaki dan perempuan yang ramai”. [al-Nisa’ : 1] [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 7:75]
Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita. Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurthubi ketika mensyarahkan hadis ini. Selain kebanyakan ulama’ kontemporari juga memilih pendapat ini. Antaranya ialah Syeikh Syuaib al-Arna’outh, beliau berkata:
“Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadis bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، (Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptkan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunnah (hadis) yang sahih”.
Tarjih
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan dan dibahaskan oleh para ulama’, kami lebih cenderung kepada pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sekadar perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk. Tambahan pula, di dalam hadis ini juga, Nabi SAW memulakan dengan “Nasihatilah para wanita (dengan baik)” dan di dalam hadis ini juga tidak disebut daripada tulang rusuk Adam. Selain itu, terdapat sebuah hadis yang sahih sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، إذا ذَهبتَ تقيمُها كسرتَها، وإِنْ ترَكتَها استمتعتَ بِها وفيها عِوَجٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu diciptakan seperti tulang rusuk, jika kamu ingin meluruskannya nescaya akan patah dan jika kamu membiarkannya maka kamu akan dapat bersenang-senang akan tetapi dia tetap bengkok”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2669]
Tambahan pula, berkenaan dengan maksud diri yang satu di dalam surah al-Zumar ialah ialah jenis yang sama iaitu manusia dan bukannya asal penciptaan wanita itu daripada lelaki, bahkan manusia itu lahir dan tercipta daripada lelaki dan wanita. [Lihat: Tafsir al-Manar, 4:272]
Penutup
Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, maka kita (lelaki) dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan. Tambahan pula, wanita ini adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya. Selain itu juga, wanita adalah sebahagian daripada lelaki sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatakan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”. [Riwayat Abu Daud, kitab bersuci, bab Orang yang mendapati seluarnya basah ketika tidur, no. hadis: 204]
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat kepada kita agar kita sentiasa berada di dalam naungan taufiq dan hidayah Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan memimpin kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar serta menganugerahkan kepada kita isteri-isteri yang solehah dan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat. Amin.
Wallahua`lam
Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/iJc48d

Rabu, 6 April 2016

Soal Jawab Hukum Puasa Pada Bulan Sya'ban

Penulis : Ustaz Sidi Abu Muhammad

Diambil dari laman :

http://bahrusshofa.blogspot.my/
http://jomfaham.blogspot.my/

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-

1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.

3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu

4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.

Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-

(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-




Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).

Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-



(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.

Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-


Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab. 

Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Sumber : Bahrusshofa

Bacaan Tambahan :

1. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab 1

2. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab 2


3. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab Akhir

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...