Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 7 Jun 2021

Ulasan : Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan

 Butiran artikel jurnal diulas:

Amla Salleh, Zahara Aziz, Zuria Mahmud & Abd. Aziz Mahyuddin. 2020. Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2)(2010): 9-17


1.0 PENDAHULUAN

Islam ialah sebuah agama yang meletakkan peranan dan tanggungjawab bapa yang begitu jelas. Suami dan bapa adalah ketua keluarga yang digalaskan tanggungjawab memberi nafkah, menjamin keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarganya serta membimbing mereka, iaitu isteri dan anak-anak supaya menjalani kehidupan yang berlandaskan prinsip Islam. Namun begitu, dengan melihat kepada isu-isu yang berkaitan dengan remaja terutama remaja lelaki dalam masyarakat Malaysia, wujud keperluan untuk melaksanakan kajian-kajian empirikal yang dapat mengenal pasti faktor-faktor yang berkaitan terutamanya peranan bapa. Menurut sebahagian pengkaji dan penulis, remaja lelaki menunjukkan ciri sahsiah yang lebih rendah daripada remaja perempuan, baik dalam bidang akademik, kerjaya serta aspek pertumbuhan sahsiah. Butiran mengenai artikel jurnal ini dimuatkan pada penghujung ulasan ini.

 

2.0 ISU UTAMA

Terdapat beberapa isu utama yang diketengahkan dalam artikel jurnal ini. Antaranya adalah berkenaan peranan dan kesan penglibatan bapa dalam mengasuh anak-anak. Pemisahan sokongan ibu daripada sokongan bapa menunjukkan perbezaan serta hubungan ketara pada pola sokongan bapa dengan tindak-tanduk remaja. Penglibatan bapa yang tinggi semasa proses asuhan meningkatkan perasaan penerimaan, hubungan positif antara bapa dengan anak berupaya mengurangkan tingkah laku antisosial dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, gaya asuhan bapa memberikan kesan kepada pencapaian akademik anak-anak dan perkembangan mereka.

Selanjutnya, asuhan bapa telah terbukti membentuk anak-anak. Antara model asuhan bapa yang dikemukakan adalah daripada Lambs yang merangkumi tiga aspek: (1) masa bersama (engagement) iaitu penglibatan bapa dalam berinteraksi bersama dengan anak dalam pelbagai aktiviti, (2) mudah dihubungi, iaitu interaksi bapa secara langsung dan tidak langsung dan (3) tanggungjawab, iaitu bapa bertanggungjawab menyediakan kebajikan dan perhatian terhadap anak-anak. Turut dicadangkan ialah penglibatan bapa yang optimal berlaku sekiranya bapa memiliki motivasi yang tinggi.

Di samping itu, isu utama yang diketengahkan ialah perbincangan tentang remaja yang digambarkan sebagai zaman yang bercirikan cabaran dan penuh gelora. Remaja melalui satu tahap untuk mencari dan membentuk serta menilai identiti diri. Justeru, perkembangan psikososial seseorang pada tahap ini dianggap sangat penting.

Seterusnya, isu yang turut dibincangkan adalah berkenaan kebiasaan masyarakat yang mengukur kejayaan keibubapaan melalui pencapaian cemerlang anak-anak dalam negara. Kebiasaan ini dilihat turut biasa berlaku dalam kalangan masyarakat Asia, berbeza dengan masyarakat Amerika.  

Kajian ini turut memuatkan pemerhatian terhadap corak pencapaian akademik, kematangan dan efikasi kendiri kerjaya remaja lelaki adalah lebih rendah berbanding perempuan. Keadaan demikian adalah merisaukan.

Lanjutan daripada itu, kepentingan peranan bapa dilihat mustahak dalam membimbing serta mengasuh anak-anak. Data sedia ada tidak begitu banyak dan jelas menunjukkan kesan penglibatan bapa kepada perkembangan anak-anak. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menambah maklumat yang dapat meningkatkan kefahaman tentang gaya dan tahap penglibatan bapa dan kepentingannya terhadap perkembangan remaja.

 

3.0 METODOLOGI

Kajian Tinjauan

Reka bentuk kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik untuk mendapatkan data kuantitatif daripada pelajar (remaja) sekolah menengah. Tiga pemboleh ubah utama yang dikaji ialah (1) tahap penglibatan bapa dalam asuhan anak-anak, (2) pencapaian akademik serta (3) konsep kendiri remaja. Kajian bertujuan melihat korelasi antara pemboleh ubah tahap penglibatan bapa dengan pencapaian akademik dan dengan konsep kendiri anak.

 

4.0 ISU UTAMA DAPATAN ARTIKEL

Bapa memainkan peranan asuhan dengan baik

Bapa dilihat menjalankan peranan asuhan dengan baik. Bapa dipandang tinggi pada usaha mereka menyediakan keperluan makan minum, persiapan persekolahan sokongan yang diberikan kepada ibu mereka. Anggapan terhadap bapa adalah positif sungguhpun mereka beranggapan bapa kurang mesra dalam perhubungan dan meluangkan masa bersama.

Faktor Kurang Kemesraan dan Masa Diluangkan Bapa dengan Anak-anak

Antara faktor yang menyebabkan kurang kemesraan dan masa bapa dengan anak-anak adalah pekerjaan dan pendapatan bapa yang memerlukan mereka bekerja lebih daripada satu pekerjaan, justeru masa adalah terhad. Selain itu faktor pengaruh nilai tradisional Melayu yang meletakkan bapa sebagai ketua keluarga memiliki “kuasa yang perlu dihormati dan ditakuti” berkemungkinan menjadi penyebab bapa tidak berkelakuan mesra dengan anak.

Kesan Asuhan Bapa kepada Perkembangan Kendiri Anak-anak

Kajian ini juga mendapati tahap asuhan bapa mempunyai impak ke atas perkembangan konsep kendiri anak-anak. Terdapat satu bentuk hubungan yang positif antara persepsi remaja terhadap asuhan bapa dengan konsep kendiri mereka terutama dalam kalangan remaja perempuan.

Tiada Peranan Bapa kepada Pencapaian Akademik Anak-anak

Kajian ini mendapati penemuan menarik yang mana bapa seolah-olah tidak mempunyai peranan dalam perkembangan akademik anak-anak walaupun peranan mereka dilihat secara positif oleh anak-anak. Pencapaian akademik anak-anak dilaporkan agak tinggi namun hal ini tidak dapat dikaitkan dengan asuhan bapa.

 

5.0 REFLEKSI

Bagi tujuan refleksi saya terhadap artikel jurnal Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya Terhadap Nilai Kekeluargaan, berikut disenaraikan pandangan dan perspektif saya mengikut susunan berdasarkan isu utama dapatan kajian artikel jurnal tersebut (pada halaman seterusnya).

 

 

 

Bapa memainkan peranan asuhan dengan baik

Persepsi dan penerimaan umum adalah positif kepada peranan bapa dalam asuhan kepada anak-anak. Peranan lebih ketara bapa dalam menyediakan keperluan hidup dan dipandang tinggi. Islam sebagai agama yang syumul memberikan panduan yang jelas berkenaan peranan bapa dalam mendidik anak. Saya tidak menafikan bahawa kita sentiasa melihat kebanyakan bapa sememangnya melaksanakan peranan ketua keluarga dalam mencari rezeki untuk keluarga. Namun pandangan saya lebih tertarik untuk mencatatkan bagaimana panduan Rasulullah sollaAllahu alaihi wa sallam dalam mendidik anak-anak. Walaupun puteri Baginda memiliki iman yang kental, namun Baginda tetap berpesan kepada anakandanya itu: “Wahai Fatimah, bebaskanlah dirimu daripada neraka.” Contoh ini adalah jelas dan mulia kepada para bapa untuk mengikutinya dalam mendidik dan mengasuh anak-anak. Lebih-lebih lagi, saranan mendidik anak-anak ini juga dirakamkan dalam firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Tahrim ayat ke-6 : “Wahai orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”. Panduan Quran kepada para bapa juga ditunjukkan dalam Surah Luqman ayat ke-13: "Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pengajaran kepada anaknya: Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar." Di sini, Luqman sebagai seorang bapa mengutamakan didikan kepada anaknya terutamanya dalam tauhid kepada Tuhan, dan tidak mensyirikkan-Nya. Seandainya aspek paling asas (tauhid) sudah perlu dididik bapa kepada anak, maka pastinya didikan aspek-aspek cabang seterusnya juga menjadi kewajaran bagi bapa untuk melaksanakannya.

Jika dilihat secara umum konteks Malaysia, kita dapat menyatakan pemerhatian yang sederhana bahawa kebanyakan bapa menzahirkan komitmen mereka bekerja mencari rezeki menyara keluarga. Dari sudut didikan kepada anak-anak, tidak keterlaluan dikatakan bahawa dalam konteks Malaysia, masyarakat kita lebih melihat peranan ini tergalas kepada para ibu semata-mata. Oleh sebab yang demikian, hal ini amat perlu dibaiki dan diperkasakan. Para bapa perlu sedar akan hal ini dan tidak terus lepas tangan kepada para ibu. Hal ini demikian kerana peranan bapa sememangnya benar. Bapa sebagai ketua yang memimpin keluarga seharusnya menjadi ‘role model’ kepada isteri dan anak-anak. Personaliti bapa yang baik dapat menjamin kesejahteraan dalam keluarga (Izzah & Salasiah, 2018).

Faktor Kurang Kemesraan dan Masa Diluangkan Bapa dengan Anak-anak

Berbicara soal kurangya masa dan kemesraan diluangkan bapa dengan anak-anak, saya berpandangan secara umum bahawa realiti ini secara pastinya berlaku. Hal ini menjadi lebih ketara apabila si bapa berhadapan tekanan untuk bekerja lebih daripada satu jenis pekerjaan atau perniagaan bagi menampung kekurangan jumlah yang diperlukan untuk menyara keluarga. Hal ini berlaku lebih-lebih lagi kepada keluarga yang datang daripada kelompok miskin dan sederhana yang pastinya mereka bertarung dengan keperluan mencukupkan wang perbelanjaan dalam realiti kos hidup yang semakin meningkat. Kita perlu berlaku adil kepada mereka juga. Bagaimana mungkin kita dapat menjangkakan mereka mampu meluangkan masa yang begitu banyak untuk bermesra dan bersama anak-anak. Boleh jadi, sewaktu mereka tiba di rumah sudah lewat dan diri mereka penat. Fokus dan tenaga mungkin tidak begitu optimum kepada anak-anak. Sungguhpun demikian, cabaran ini boleh dihadapi dengan mengusahakan masa berkualiti bersama keluarga. Para bapa hanya perlu meluangkan kira-kira 5 minit pertama mereka berjumpa dengan isteri dan anak-anak, berkomunikasi dengan penuh perhatian, bertentang mata dengan mata. Kita yakin bahawa masa berkualiti ini akan memberi impak kepada hubungan dan kemesraan. Masa berkualiti ini turut berkait rapat dengan pengurusan masa. Claessens et al. (2004) mendefinisikan pengurusan masa sebagai tingkah laku yang menyasarkan ke arah penggunaan masa secara efektif semasa melaksanakan aktiviti yang bermatlamat.

Seterusnya mengulas tentang pengaruh nilai tradisional Melayu yang meletakkan bapa sebagai ketua keluarga memiliki “kuasa yang perlu dihormati dan ditakuti”, saya berpendapat bahawa pemurnian pandangan ini wajar diperkasakan. Tanpa mengurangkan tradisi nilai Melayu yang memuliakan bapa, pelaksanaanya wajar dicantikkan lagi dengan unsur kasih-sayang, mesra, lembut namun tetap tegas berprinsip. Hal ini akan menyebabkan rasa hormat terhadap bapa terus kuat dimilki, pada masa yang sama jurang kemesraan antara bapa dengan anak-anak dapat dikurangkan. Anak-anak akan tahu di mana sempadannya. Mereka juga tahu adanya ketegasan disiplin yang akan membentuk sahsiah dan jati diri mereka. 

Kesan Asuhan Bapa kepada Perkembangan Kendiri Anak-anak

Menyentuh aspek perkembangan kendiri, saya berpandangan untuk menyetujui dapatan kajian ini yang mendapati adanya impak asuhan bapa kepada perkembangan kendiri anak-anak. Dalam konsep kendiri, seseorang itu melakukan penilaian ke atas dirinya sendiri atau bagaimana ia menganggap tentang dirinya sama ada secara positif atau negatif. Perkembangan kendiri kanak-kanak sememangnya melalui fasa yang kritikal semasa mereka membesar, meneroka dan mengetahui lebih banyak perkara. Justeru, dengan penglibatan bapa yang dengan personaliti tersendiri memberikan maklum balas, teguran, nasihat, cadangan kepada anak-anak : bapa akan mempengaruhi pemikiran anak-anak bagaimana mereka melihat diri sendiri, keyakinan dan harga diri. Oleh sebab yang demikian, amat wajar para bapa memberikan perhatian yang sepatutnya sepanjang tempoh anak-anak menjalani proses perkembangan kendiri. Sebarang perkataan yang diluahkan kepada anak-anak akan memberi kesan, sama ada positif atau sebaliknya.

Tiada Peranan Bapa kepada Pencapaian Akademik Anak-anak

Pada hemat saya, dapatan kajian yang menunjukkan seolah-olah tiada kaitan peranan bapa dengan pencapaian akademik anak-anak tidak sepatutnya dipukul secara rata kepada semua bapa. Situasi ini mungkin berbeza mengikut latar belakang tahap kesedaran dan pendidikan bapa tersebut. Boleh jadi bapa yang mempunyai kesedaran tinggi adalah bermotivasi menunjukkan peranannya dalam pencapaian akademik anak-anak. Selain itu, boleh jadi penglibatan mereka adalah tidak secara langsung yang boleh dilihat oleh anak-anak. Mereka sebenarnya terlibat dengan cara mengusahakan kelengkapan pembelajaran yang terbaik, memberikan wang belanja ke sekolah yang mencukupi, bertanya kepada ibu tentang perkembangan akademik dan juga doa yang dilafazkan agar anak-anak cemerlang. 

Sungguhpun demikian, saya tetap berpandangan bahawa para bapa sememangnya boleh berusaha untuk membaiki penglibatan peranan mereka yang lebih jelas dilihat kepada pencapaian akademik anak-anak. Cadangannya adalah dengan menggunakan masa yang berkualiti, mereka boleh bertanya kepada anak-anak tentang perkembangan akademik, mengajar mana-mana topik yang mereka boleh.

 

Kesimpulan bagi ulasan saya adalah potensi dan peranan bapa sememangnya diperlukan bagi membentuk anak-anak sebagaimana yang telah dibincangkan dalam perbincangan artikel dan ulasan peribadi saya.


Rujukan

Claessens, B.J.C., Van Eerde, W., Rutte, C.G., & Roe, R. A.. 2004. A review of time management literature. Personnel Review, 36(2): 255-276

Izzah Nur Aida Zur Raffar, Salasiah Hanin Hamjah. 2018. Personaliti Bapa Menurut Perspektif Islam dan Aplikasinya dalam Keluarga.  Islāmiyyāt  40, no. 1




Ahad, 6 Jun 2021

7 AMALAN PENGHAYATAN BAGI PERPADUAN NASIONAL

 

01 – Amalan Penghayatan 1 : Menglibatkan Diri  dalam Sukan Merentasi Perbezaan Etnik dengan Semangat Bersatu Padu  

 oleh : MOHD IKHWAN BIN AHMAD ZHAKI (A178052)


Definisi : Melibatkan diri dengan semangat bersatu padu dalam aktiviti sukan sama ada dengan bermain atau menjadi penyokong kepada pasukan sukan yang melibatkan pelbagai etnik.


Huraian ringkas :
Realiti sukan di Malaysia telah membuktikan bahawa platform ini mampu menenggelamkan rasa perbezaan sentimen perkauman. Tumpuan dan semangat akan lebih tertumpu kepada daya juang dan/atau sokongan padu kepada pasukan masing-masing yang secara khusus, atau kepada pasukan kebangsaan Malaysia pada peringkat umumnya. Sukan tidak mempunyai peraturan yang membezakan warna kulit. Peraturan sukan adalah bersifat global, umpamanya dalam sukan bola sepak kesalahan curi ayam “offside” tetap terlaksana kepada setiap pemain tidak kira apa bangsa dan negara asalnya.


Konsep/model :
Setiap individu tidak kira pada mana-mana peringkat boleh melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang melibatkan pelbagai kaum. Penglibatan tersebut boleh dibuat dengan diri sendiri bermain atau menjadi penyokong. Dalam pasukan sukan yang dibentuk (pasukan yang sama), hendaklah memiliki ahli daripada etnik masing-masing. Setelah pasukan dibentuk, setiap ahli bersetuju dengan objektif utama kumpulan iaitu berusaha sebaik mungkin bermain dan menuju kemenangan atau persembahan yang terbaik. Melalui usaha secara berpasukan itu, komunikasi akan berlaku secara berterusan, pemahaman sesama mereka akan bertambah baik dan jurang perbezaan dapat semakin dikecilkan. Pada peringkat tadika, sekolah, kolej-universiti – aktiviti rumah sukan dan mana-mana permainan wajar dilaksanakan secara kerap dan berkala. Di samping itu, bagi kelompok lebih dewasa, kegiatan sukan boleh dilaksanakan pada peringkat tempat kerja seperti pada waktu rehat tengah hari atau petang atau hujung minggu. Untuk warga dewasa juga, sukan dan permainan boleh diadakan pada tahap kejiranan rumah. 


Contoh :
Pada situasi tempat kerja, staf dan majikan merancang membentuk pasukan sukan yang merangkumi setiap etnik yang ada. Syarikat mengumumkan bahawa pasukan yang berjaya mengumpul mata yang banyak daripada tugasan sukan / aktiviti kesihatan yang dilakukan secara berkumpulan akan mendapat pengiktirafan dan saguhati. Lanjutan daripada itu, ahli-ahli pasukan akan berbincang, merancang dan melaksanakan plan kumpulan untuk tujuan yang sama. Dalam proses ini, setiap ahli biarpun berbeza etnik, akan hanya tertumpu kepada matlamat yang sama. Matlamat hanya satu iaitu agar berjaya memenangi pertandingan tersebut. 


Selain itu, contoh yang dapat dibuat ialah dengan menjadi penyokong yang setia bagi pasukan sukan Malaysia. Ibaratnya penyokong setia kepada pasukan bola sepak Malaysia. Dalam menzahirkan sokongan, interaksi dilakukan kepada setiap penyokong yang sama (warganegara Malaysia lain). Umpamanya di stadium, setiap pakaian adalah hampir sekata, laungan sorakan sokongan dan bunyi gendang paluan adalah sehati dan sejiwa.  

 

02 – Amalan Penghayatan 2 : Menjadikan perbincangan dan penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan khazanah negara sebagai titik temu utama

oleh : MOHD IKHWAN BIN AHMAD ZHAKI (A178052)


Definisi : Menjadikan bahasa Melayu yang dituturkan dalam perbualan dan komunikasi harian menjadi tali pengikat perpaduan setiap warganegara. Justeru, aktiviti perbincangan dan penghayatan tentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diguna pakai oleh setiap ahli negara di setiap tempat, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi, papan tanda serta seumpamanya. Sejajar dengan nilai sejarah dan khazanah negara, terdapat begitu banyak aspek dan topik yang dapat dijadikan buah dan titik perbincangan seperti merangkumi prosa kesusateraan, bahasa klasik dan lain-lain lagi.  


Huraian ringkas :
Seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan asas-asas negara, kedudukan bahasa Melayu sudah amat jelas dan menjadi antara wahana utama dalam mengukuhkan perpaduan. Dengan bersetuju bahawa bahasa Melayu ialah bahasa Malaysia, bahasa rakyat Malaysia, maka akan hilang sebarang mana-mana sangkaan dan prejudis yang boleh menjarakkan antara kaum. Justeru, perbincangan tentang bahasa Melayu dapat dilaksanakan dengan menjemput kesemua warganegara tanpa melihat warna kulit untuk sama-sama mengambil manfaat. Perbincangan boleh merujuk kepada tatabahasa, pemilihan perkataan yang tepat, perkongsian tentang punca asal perkataaan dalam sejarah, kebiasaan penggunaannya pada masa klasik dan khazanah yang tersimpan baik.  


Konsep/model :
Dengan menggunakan pelantar Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai entiti dan agensi terutama dalam memperkasa dan mendaulatkan bahasa Melayu, program perkongsian dan perbincangan wajar diatur dan dilaksana. Sesi secara mingguan boleh dilaksanakan. Dengan tema dan topik berbeza tentang bahasa Melayu dapat disentuh, dipersembah dalam infografik, poster dan video yang menarik minat setiap warganegara. Putaran topik dan tema berbeza setiap minggu juga menjadikan aktiviti ini lebih menarik. Setiap warganegara tanpa mengira kaum dijemput dan sentiasa berpeluang menyuarakan pandangan, pertanyaan dan perkongsian masing-masing. Bermula dengan perbincangan asas seperti tatabahasa Melayu, kemudian dibincangkan penggunaan perkataan yang tepat, seterusnya aspek keindahan dan kehalusan bahasa dan budi bicara, dan juga dapat diteruskan dengan menelusuri khazanah sastera bahasa Melayu. Dengan ini, rakyat Malaysia akan melihat keluasan peranan bahasa Malaysia ini dan terisi masa dan fikiran mereka dengan perbincangan dan perkongsian itu, pada masa sama semakin diikat dengan ikatan bahasa yang satu ini.  Setiap rakyat dapat berperanan untuk kongsi dan berinteraksi dalam wahana media sosial itu.


Contoh :
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggunakan pelantar laman Facebook untuk menyiarkan poster / infografik berkenaan asas-asas tatabahasa pada minggu pertama. Sungguhpun  asas tatabahasa mungkin dilihat seperti kecil, namun hal ini dapat dijadikan ulangkaji dan pengukuhan yang bermanfaat. Dalam masa sama, pada ruangan komen, rakyat Malaysia boleh saling berbincang dan bertukar pandangan. Pada minggu kedua, DBP memaparkan poster / infografik berkenaan penggunaan perkataan dan istilah yang tepat dari konteks semasa. Ejaan yang betul, dan mana-mana kesilapan yang biasa dilakukan rakyat Malaysia boleh diketengahkan. Justeru, masing-masing jadi lebih sedar dan menghargai. Pada minggu ketiga pula, DBP memuatkan perkongsian berkenaan budi bahasa, keindahan dan kekayaan perkataan bahasa Melayu. Contohnya, diberikan panduan bagaimana penggunaan bahasa yang sesuai dan beradab. Akhir sekali, pada minggu keempat DBP boleh memaparkan catatan dan sedutan daripada khazanah dan penulisan bahasa Melayu silam.   

 

03 – Amalan Penghayatan 3 : Sentiasa memberikan ucapan bagi peristiwa dan hari perayaan yang berbeza-beza tanpa mengira kaum, sebagai tanda semangat persaudaraan

oleh : MOHD IKHWAN BIN AHMAD ZHAKI (A178052)


Definisi : Melihat kepada Malaysia sebagai negara majmuk, setiap etnik mempunyai hari perayaan atau persitiwa penting. Ucapan tahniah dan kegembiraan disampaikan oleh rakyat Malaysia kepada jiran/rakan mereka yang meraikannya. Masing-masing menjadikan peluang ucapan ini sebagai tali penghubung.


Huraian ringkas :
Secara asas di Malaysia ada pelbagai perayaan dan hari peristiwa yang penting, seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krismas, dan lain-lain lagi. Bagi etnik masing-masing yang meraikannya, pasti mereka berasa begitu gembira menjalaninya. Justeru, bagi memacu dan memperkasa penghayatan perpaduan nasional, ucapan yang disampaikan oleh warganegara Malaysia lain kepada masyarakat yang meraikan adalah dianjurkan. Pasti, akan terasa perhubungan dan keterkaitan antara satu sama lain, dan perayaan itu akan menjadi lebih meriah.  

 

Konsep/model : Setiap warganegara peka dan menandakan pada kalendar masing-masing setiap tarikh utama perayaan dan peristiwa penting. Kesemuanya hendaklah merangkumi perayaan etnik berbeza-beza di Malaysia. Apabila hampir tiba kepada tarikh itu, ucapan boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk yang ada. Paling dekat dan berkesan di hati ialah dengan ucapan secara peribadi dan dekat kepada jiran, rakan yang terdekat. Ucapan dilafazkan beserta kegembiraan, mengungkapkan harapan agar mereka yang meraikannya itu bahagia, beroleh kebaikan dan pada masa berharap perpaduan nasional akan semakin kukuh. Selain itu, ucapan secara lebih menyeluruh kepada mana-mana warganegara lain yang meraikannya dapat dibuat dalam media sosial umpamanya beserta gambar yang menarik. Kesannya, etnik yang meraikan perayaan itu merasakan dirinya diterima mesra dalam keluarga besar sebagai rakyat Malaysia. Etnik yang merayakannya juga akan terasa dihargai dan mereka juga akan menghargai pihak yang mengucapkan kepada mereka. Ucapan balas pasti diberikan pada perayaan seterusnya.   

 

Contoh : Saya sebagai orang berbangsa Melayu dan mempunyai rakan dan jiran berbangsa Cina. Apabila tiba hampir kepada Hari Tahun Baru Cina, saya akan menyampaikan ucapan secara peribadi dan langsung kepada jiran dan rakan saya tersebut. Selain itu, bagi ucapan secara umum, saya akan memuatkannya dalam perkongsian media sosial WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, Twitter. Dalam ucapan itu, saya menzahirkan rasa gembira saya. Saya menyatakan bahawa mereka seperti ahli keluarga besar saya dalam rangka rakyat Malaysia, dekat di hati. Saya juga akan memuatkan harapan agar mereka meraikannya dengan penuh kegembiraan, dan akan diberi kebaikan berterusan. Tidak dilupakan, semua usaha dan ucapan ini adalah berteraskan kepada impian untuk mengukuhkan perpaduan nasional, merentasi perbezaan bangsa dan kepercayaan. Bagi menjadikan ucapan tersebut lebih menarik dan bermakna, saya akan memuatkan gambar-gambar bersama mereka dan juga gambar-gambar yang berkaitan. Seperti contoh, jika Tahun Baru Cina itu mula memasuki tahun ayam jantan, saya akan memuatkan gambar ayam jantan dan cuba berkongsi apakah kebijaksanaan yang ada pada ayam jantan yang boleh dipelajari dan diamalkan dalam hidup. Selanjutnya, bersesuaian dengan kemampuan bajet, saya akan menghadiahkan buah tangan bagi perayaan mereka, seperti hadiah hamper yang bersesuaian.

 

04 – Amalan Penghayatan 4 :  Mengetengahkan kepribadian mulia oleh sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang etnik, menunjukkan semangat perpaduan nasional bahawa peribadi mulia itu boleh dilakukan sesiapa sahaja

 

oleh : MOHD IKHWAN BIN AHMAD ZHAKI (A178052)


Definisi : Dalam amalan penghayatan ini, kita boleh memilih untuk mengetengahkan mana-mana keperibadian yang terpuji, yang mulia, yang patut dicontohi oleh segenap masyarakat Malaysia. Individu atau kumpulan yang memiliki perwatakan dan sikap mulia wajar dibawa kepada perhatian umum, diberi penghargaaan serta pastinya tidak perlu ada batasan kepada warna kulit. Perhatian dan perbincangan tertumpu untuk sama-sama mengiktiraf nilai mulia yang ditunjukkan, dan nilai mulia itu adalah global boleh dilaksanakan sesiapa sahaja tanpa mengira kaum. Justeru, perpaduan nasional dapat dikukuhkan. 


Huraian ringkas :
Tanpa dinafikan bahawa dalam mana-mana populasi masyarakat pasti ada taburan secara normal di mana ada sebahagian yang benar-benar berakhlak baik, kebanyakan pula secara pertengahan sederhana dan sebahagian kecil pula yang benar-benar bermasalah dalam akhlak. Akhlak dan tindak-tanduk terpuji pula secara umumnya diterima di mana-mana sahaja oleh sesiapa sahaja. Misalnya, sikap jujur dan berintegriti seperti menyerahkan wang dan harta yang dijumpai kepada pihak berkuasa adalah tindakan terpuji diterima umum tanpa perlu melihat adakah pelaku itu berbangsa tertentu atau tidak. Sehubungan dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia dalam konteks di negara ini, terutamanya dengan kemudahan media social, dapat menjadikan amalan untuk berkongsi cerita sebenar dan mengetengahkan individu-indidividu yang membuktikan sikap mulia itu.   


Konsep/model :
Amalan ini dapat dilaksanakan oleh setiap individu pada segenap peringkat. Pada peringkat paling asas, masing-masing kita boleh berkongsi cerita inspirasi tentang kebaikan yang telah dilakukan oleh mana-mana individu rakyat Malaysia dan kita mengetengahkan nilai sikap mulia itu dan mengaitkannya kepada perpaduan nasional. Perkongsian itu boleh dibuat secara ringkas dalam perbualan dengan ahli keluarga, rakan terdekat dan jiran. Ceritakan apakah sikap mulia yang telah dipamerkan, apakah nilai yang boleh dicontohi, dan secara rumusannya tekankan bahawa amalan mulia itu patut dijadikan teras yang mengikat perpaduan setiap rakyat Malaysia. Selanjutnya, pada peringkat kejiranan taman perumahan, pada peringkat mukim, daerah, sekolah, kolej, tempat bekerja, negeri dan akhirnya negara : konsep dan model yang sama boleh dilaksanakan. Sememangnya sedia kita melihat ada pengiktirafan seperti Tokoh Maal Hijrah, namun konsep itu boleh terus diluaskan melangkaui apa-apa perbezaan latar belakang etnik. 


Contoh :
Pada peringkat asas individu, saya boleh mengamalkannya seperti jika saya terlihat atau terbaca mana-mana kisah benar tentang sikap mulia ditunjukkan oleh sesiapa sahaja, saya akan berkongsi kepada ahli keluarga, rakan terdekat dan jiran. Saya akan ceritakan apakah nilai kebaikan yang telah dilakukan, apakah kesan positifnya kepada masyarakat, mengapa kita wajar dan boleh mencontohinya, dan saya akan tekankan kepentingannya kepada perpaduan nasional. Contoh jelas dan mudah dilihat ialah saya berkongsi info tentang usaha dilakukan oleh aktivis Ebit Lew. Beliau berbangsa Cina. Beliau gigih turun padang dan menyampaikan bantuan kepada sesiapa sahaja, kepada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain yang memerlukan. Saya akan mengetengahkan perbuatan mulia beliau ringan tulang membantu mereka yang memerlukan. Saya mengutarakan bahawa nilai suka membantu itu dapat kita contohi dan kesannya ialah masyarakat saling membantu, bersatu dan prihatin. Rumusannya juga, saya akan menekankan bahawa dengan mempamerkan kepribadian mulia ini tanpa menyatakan sebab adakah dari kaum mana-mana, maka rakyat akan melihat setiap individu boleh membantu sesama rakyat sekaligu mengukuhkan perpaduan nasional.

05-Amalan Penghayatan 5: Menghulurkan Bantuan Kemanusiaan Tanpa Mengetengahkan Jenis Bangsa 


 

Definisi: Bantuan kemanusiaan diberikan terutamanya dalam situasi kesusahan seperti bencana banjir, kebakaran rumah, wabak COVID-19 dan seumpamanya kepada warga Malaysia secara khususnya tanpa mengira perbezaan jenis bangsa penerimanya.

Huraian ringkas: Bantuan kemanusiaan dilihat sebagai bantuan yang disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, tanpa sebarang agenda tersembunyi, tanpa menuntut balasan daripada segenap bentuk bantuan dihulurkan semasa terjadinya kejadian bencana alam seperti banjir, ribut taufan, kemarau, dan juga apa-apa bentuk musibah lain merangkumi kebakaran rumah, kemalangan, wabak COVID-19, menghidap penyakit kronik dan lain-lain.

Konsep/model: Terdapat banyak bentuk mala petaka dan musibah yang kerap dilaporkan terjadi di Malaysia. Ada yang bermusim seperti banjir. Ada yang tidak bermusim dan luar jangka seperti kebakaran, kemalangan jalan raya, sakit kronik dan seumpamanya. Rakyat bertindak sebagai mata dan telinga kepada negara. Jika diketahui mana-mana ahli masyarakat ditimpa ujian tersebut, maka segera melaporkannya kepada jawatankuasa kejiranan, NGO yang berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain. Dalam melaporkan ini, tidak lagi dilihat siapakah orang tersebut, apakah jenis bangsanya. Kemudian, bantuan disalurkan kepada mereka. Bantuan yang disampaikan boleh dalam apa-apa bentuk dan jumlah serta daripada segenap pihak. Boleh jadi bantuan tiba daripada pihak kerajaan, pihak NGO, kejiranan masyarakat ataupun secara persendirian.   

Bantuan yang diberikan ini didokumentasikan dalam bentuk gambar dan video serta kemudian diberi liputan dalam pelbagai media sosial. Seiring dengan perkongsian tersebut, dipupuk masyarakat dan pembaca tentang teras utama bantuan itu diberikan adalah berasaskan perpaduan nasional. Kita sesama rakyat Malaysia ibarat aur dan tebing, ibarat satu tubuh badan, ibarat satu keluarga. Perpaduan ini benar-benar mengikat setiap ahli masyarakat dan tidak akan membiarkan sesiapa sahaja dalam kesusahan tanpa bantuan yang sewajarnya. Selain daripada bukti tindakan sebenar dalam kehidupan harian, teori dan perbincangan konsep ini hendaklah sentiasa hidup pada peringkat ahli keluarga sendiri daripada ibu ayah kepada anak-anak, kemudian pada peringkat sekolah oleh guru kepada murid dan selanjutnya. 

Selain itu, kesan yang kuat juga akan melekat kepada jiwa ahli masyarakat yang menerima bantuan. Jiwa mereka pada masa kesusahan berada pada tahap lemah dan teruji, pasti mudah terusik terkesan menerima bantuan, lebih-lebih jika yang membantu mereka itu bukan daripada ahli keluarga terdekat bahkan berbeza bangsa.

Contoh: Semasa musim hujan dan banjir yang berlaku di negeri pantai timur, saya mengambil cakna akan kebajikan penduduk yang terkesan. Usaha digerakkan untuk mengenal pasti kedudukan dan status mereka, seperti seandainya perlu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir. Bentuk bantuan yang disalurkan dikenal pasti kesesuaiannya. Ada kala dalam bentuk sokongan moral, kaunseling, pengisian rohani. Ada kala juga dalam bentuk sokongan material pasca banjir untuk memulihkan keadaan rumah dan gantian perabot yang telah musnah. Apa yang pasti, bantuan yang digerakkan ini tidak lagi melihat siapakah mangsa. Apakah bangsa mereka. Selanjutnya, sepanjang proses ini dibuat dan selepasnya : kesemua itu direkodkan dalam media sosial, dikongsi, disebarkan dengan penekanan tanda pagar #perpaduannasional, #bantuankemanusian, #1Malaysia1Keluarga dan sepertinya yang akan menyuburkan lagi semangat perpaduan nasional ini.

06-Amalan Penghayatan 6: Mengutamakan isu nasional yang memerlukan perlu perpaduan erat dan kerjasama setiap rakyat – seperti berdepan dengan COVID-19


Definisi: Negara memberi penekanan dan keutamaan pada isu nasional pada peringkat kebangsaan, peringkat negara, menjangkau batasan negeri masing-masing : isu yang menjadi kepentingan setiap warganegara Malaysia, yang menjadi pengikat antara mereka semua, dan menuntut perpaduan kukuh dari rakyat agar isu nasional tersebut dapat dihadapi dengan baik. Isu nasional adalah menjadi kepentingan segenap lapisan masyarakat daripada kerajaan hingga rakyat.

Huraian ringkas: Saban hari, minggu, bulan dan tahun pasti ada pelbagai cabaran dan isu datang menjelma. Berbagai-bagai jenis isu dan tahapnya boleh dinilai. Ada yang bersifat umum dan menjadi kepentingan negara dan memerlukan penglibatan peringkat kebangsaan, seluruh isi negara. Di sini, kesempatan dan ruang ini menjadi tali pengikat amat berguna menghubungkan setiap ahli masyarakat, rakyat Malaysia. Dengan mengetengahkan isu nasional dan menerangkan betapa perlunya seluruh rakyat beri perhatian, sokongan, penghayatan yang senada bagi menghadapinya – perpaduan nasional semakin dipupuk dan dikukuhkan.

Konsep/model: Kerajaan dan rakyat sama-sama mengetengahkan isu-isu nasional yang menjadi keperluan bersama. Isu-isu tersebut dijadikan keutamaan diberi liputan dalam media. Maklumat dan keterangan yang mencukupi berkenaan isu-isu itu diberikan, meliputi latar belakang, punca, fakta kes, sebab isu-isu tersebut perlu diatasi, bagaimana dan siapa yang perlu terlibat untuk mengatasinya. Seterusnya, pada masa yang sama, kesedaran ditekankan bahawa isu ini adalah isu nasional dan setiap rakyat tanpa mengira perbezaan warna kulit adalah berkepentingan. 

Setiap rakyat diterangkan apakah peranan dan tindakan masing-masing walaupun secara sekecil-kecil tindakan. Rakyat juga dididik bahawa dengan menjadikan isu nasional ini isu bersama, tindakan yang bersatu padu serta senada akan memberikan kesan secara kolektif yang positif. Semasa berhadapan isu ini, setiap rakyat tidak lagi melihat kepada diri dan kaum masing-masing. Mereka melihat bahawa semua orang berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu isu-isu nasional yang akan menggugat negara jika mereka tidak mengambil apa-apa tindakan.  

Justeru, melalui pelaksanaan ini, jurang yang wujud antara bangsa di Malaysia dapat dikurangkan, dirapatkan. Tali perpaduan dapat dikemaskan.

Contoh: Situasi paling realisitik dan terdekat ialah situasi peperangan dengan pandemik COVID-19. Isu ini ialah isu nasional yang pastinya tiada siapa yang terlepas. Kerajaan sentiasa melaporkan fakta dan perkembangan. Rakyat dimaklumkan dan diberikan penegasan bahawa peranan setiap pihak adalah mesti untuk memutuskan rantaian COVID-19. Pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang dalam mengawal wabak tersebut. Rakyat pula perlu bekerjasama dan berperanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), mengikuti saranan pihak berkuasa seperti melaksanakan kawalan kendiri atau self lockdown. Masing-masing sentiasa diingatkan bahawa perang terhadap COVID-19 ini tidak akan berjaya tanpa penglibatan semua. Rakyat juga saling mengingatkan antara mereka. Siaran TV dan radio juga tidak putus-putus memberi peringatan, motivasi kepada semua dalam berhadapan isu nasional yang menjadi isu bersama ini. Rakyat juga diingatkan jika tiada tindakan serius masing-masing, setiap rakyat berpotensi berhadapan risiko kehilangan nyawa diri sendiri dan ahli keluarga sendiri akibat keruntuhan sistem kesihatan. 

Oleh sebab yang demikian, dengan tumpuan bersama masing-masing rakyat kepada isu utama pada peringkat nasional, perpaduan dapat dikukuhkan lagi.

 

7-Amalan Penghayatan 7: Mengiktiraf Pencapaian Setiap Warganegara Malaysia, Diberikan Liputan dalam Media dan Dijadikan Sebagai Contoh Baik kepada Rakyat 


 

Definisi: Pencapaian daripada rakyat Malaysia, baik secara perseorangan atau kumpulan, tanpa mengira apa-apa latar belakang etnik dan kedudukan sosial – pencapaian mereka ini diberikan pengiktirafan serta seterusnya liputan medial dan diumumkan sebagai kewajaran menjadi ikutan setiap rakyat yang lain. Keutamaan diberikan pada kejayaan mereka yang mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Huraian ringkas: Pencapaian cemerlang rakyat Malaysia dalam apa-apa arena dan mana-mana peringkat, lebih-lebih lagi pada peringkat antarabangsa adalah mewakili Malaysia dan rakyat seluruhnya. Hal ini menjadi titik pertemuan dan pengikat antara rakyat Malaysia. Pencapaian cemerlang tersebut diberikan liputan, penghargaan dan pada masa sama diterapkan kesedaran bahawa kecemerlangan itu adalah kebangaan negara Malaysia. Lanjutan daripada itu, kerajaan dan rakyat boleh menjadikan kecemerlangan itu sebagai inspirasi dan ikutan baik dalam hidup mereka.

Konsep/model: Dari peringkat paling atas, pihak kerajaan melalui segenap agensi boleh merekodkan dan memaklumkan sebarang pencapaian cemerlang apa-apa penglibatan sama ada sukan, akademik, pertandingan, reka cipta dan lain-lain lagi pada peringkat antarabangsa. Bagi rakyat pula, mereka boleh memaklumkan kepada agensi kerajaan supaya liputan itu dapat diberikan. 

Bagi menampakkan kesan lebih kuat, pimpinan negara terutamanya daripada pihak Yang Dipertuan Agong, kemudian dituruti Perdana Menteri boleh menzahirkan ucapan tahniah, bangga dan harapan agar kejayaan cemerlang itu menjadi sumber inspirasi dan contoh ikutan kepada rakyat. Selanjutnya pada peringkat rakyat, mereka boleh berkongsi hal ini sesama mereka dan memanfaatkan media sosial dalam perkongsian tersebut.    

Perlu diterapkan bahawa intipati daripada penzahiran ucapan tahniah, bangga dan kegembiraan itu adalah antaranya untuk menjadikan rakyat Malaysia terarah melihat kepada wakil Malaysia itu sebagai titik pertemuan dan pengikat, persepaduan nasional sesama mereka. Mereka dapat merasai perasaan bangga apabila nama dan imej negara Malaysia melakar rekod cemerlang di pentas dunia. Semangat kekitaan dan kebersamaan sebagai keluarga besar Malaysia akan dipupuk dan disuburkan.  

Apabila amalan sebegini berterusan dilaksanakan, dari atasan hingga bawahan akar umbi rakyat, setiap rakyat Malaysia akan sentiasa merasai bahawa mereka ada titik pertemuan dan sebab untuk berasa bangga sebagai rakyat Malaysia.    

 

Contoh: Ahli sukan Malaysia yang menjuarai mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa diberikan penghargaan melalui pimpinan utama Malaysia. Contohnya jika sebelum ini ahli sukan badminton, Lee Chong Wei kerana kecemerlangannya pada pentas dunia maka pemimpin Malaysia memberikan penghargaan seperti gelaran Datuk, pelbagai hadiah bentuk lain, diberikan liputan media tentang kejayaannya dan seiring dengan itu diberikan penekanan dan kesedaran bahawa kejayaan Lee Chong Wei ialah kejayaan setiap rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia berbangga dengannya. Rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada beliau semasa kejohanan. Sungguhpun beliau merupakan bangsa Cina, namun kerana beliau ialah rakyat Malaysia, maka rakyat Malaysia daripada bangsa Melayu, India dan lain-lain lagi tidak memandang kepada bangsa Cina beliau. Perhatian dan fokus sekarang terarah kepada beliau sebagai wakil dan duta Malaysia yang cemerlang pada peringkat antarabangsa. Pada peringkat bawahan pula, rakyat semakin lama semakin memahami mengapa perlu dilihat wakil Malaysia itu tanpa melihat latar belakang mereka. Kesannya, semangat untuk bersatu akan semakin menapak dan mengukuhkan perpaduan nasional. 

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...