Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Rabu, 12 Mac 2014

Terbaikkah Cara Kita Berkomunikasi?

Artificial sakura witk flowers

Gambar sekadar hiasan


Alhamdulillah, sedikit sebanyak pengalaman menyertai industri serta pengalaman hidup disertai proses berfikir banyak membantu dan mematangkan saya dalam lebih memahami apakah yang cuba dicapai dalam kesopanan dan akhlak mulia.

Tidak kira apa jua tahap kedudukan kita, akhlak menjadi bukti dan manifestasi kepada dalaman kita. Akhlak menzahirkan siapakah kita dengan lebih jelas. Maka amat indah mereka yang terzahir keindahan mereka melalui perilaku yang sopan, menenangkan.

Kadang-kadang sekecil-kecil perkara yang kita nampak dan fikir mudah sebenarnya perlu dilaksanakan dengan terbaik. Seumpamanya:

Bertegur sapa
Respon dan reaksi kepada pertanyaan orang lain
Menegur
Menyatakan pandangan
Menolak permintaan
dan lain-lain lagi...

Secara common sensenya kita sendiri boleh berfikir apakah perasaan orang lain apabila kita bersikap kurang sopan dan berhati-hati terhadap mereka. Apa perasaan yang kita alami apabila kita berada di tempat mereka.

Susunan ayat, pemilihan kata, nada, reaksi muka, dan seumpamanya semua berkait rapat antara satu sama lain dalam menerbitkan zahir kebaikan akhlak. Kita tidak boleh menyembunyikannya dan berpura-pura kerana akhirnya kebusukan sikap yang buruk berpunca daripada hati yang tidak dibersihkan. Takut kan?

Seumpamanya dalam menegur, jika salah cara, silap pendekatan, silap mengatur keutamaan, silap menjangka kesan, salah pemilihan kata dan nada, maka dikhuatiri mudarat yang lebih buruk dan besar akan berlaku.

Ada kalanya, berilah ruang untuk bersangka baik dan mencari takwilan yang sihat selagi mana belum jelas berlaku pelanggaran peraturan syariat yang jelas dan besar.

Kadang-kadang perkara kecil yang belum jelas zahir melanggar aturan agama, maka jangan kita terburu-buru untuk lantang menegur dan menghukum.

Kita bimbang, kesan buruknya akan terjejas hubungan baik dan mesra sesama manusia, rosak, sakit dan terputus.

Tidak semua keadaan boleh dihadapi dengan secara mudah ringkas me'negur' tanpa mengambil kira pelbagai aspek yang lain. Pastinya, usaha menyampaikan kebenaran, membetulkan kesilapan adalah suatu seni. Kerana kita adalah manusia dan juga berinteraksi dengan manusia yang masing-masing Allah ciptakan perasaaan.

Pendekatan sopan, berhikmah, positif, tidak langsung: kita yakin adalah lebih sihat dalam membawa kebaikan.

Lebih dukacita kita rasai sekiranya orang yang menegur itu berasa diri lebih baik, lebih berpengetahuan agama, lebih ketat berpegang kepada agama dan mengamalnya, mudah memandang serong dan hina kepada orang lain yang difikirkannya jahil, lalai, berdosa. Maka tindakan menegurnya itu dikhuatiri berada dalam posisi takabbur. Hilang keberkatan dan hasil daripada tindakan.

Kita amat menyetujui bahawa akhlak mulia adalah disepakati oleh seluruh manusia, dan mereka semuanya menyenangi akhlak yang mulia dan sopan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...