Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Doa


Mohon Doa Anda untuk Saya


Insya-Allah, saya sekarang berada pada tahun akhir pengajian di universiti dan bakal menamatkannya pada November tahun ini.

Mohon didoakan kecemerlangan dalam akademik, mudah semua urusan, lulus dalam temuduga dan beroleh kerja di Petronas KLCC (Petronas Carigali) mulai awal tahun 2012 (untuk saya dan rakan-rakan seangkatan).

Semoga Allah memberikan anda sebaik-baik balasan.


Ya Allah, Jadikan Kami Hamba-Mu yang Istiqamah

Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Tuhan kami ialah Allah," kemudian mereka meneguhkan pendirian (istiqamah) mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), "Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih hati; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepadamu."


(Surah Fushshilat, 41: 30)


Ya Allah, dengan sifat keagungan-Mu kami memohon agar kami ditetapkan dengan istiqamah mentaati-Mu.


Doa Anda Dipohon

Saya penuh dengan perasaan besar hati memohon jasa baik anda semua untuk sentiasa mendoakan saya (juga umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain) agar terus terpelihara dalam pemeliharaan dan keampunan ALLAH s.w.t., tetap tabah dan bersungguh-sungguh memahami dan menjaga hafazan Al-Quran, menguasai bidang sains (geologi) yang sedang dipelajari dengan baik, memperdalam, memperluas dan memahami ilmu-ilmu usuluddin dan cabang ilmu Islam yang lain, masa berada dalam keberkatan dan tiada terbazir, tetap suci ikhlas kerana ALLAH semata-mata, bermujahadah dan bertenaga dalam perjuangan Islam, terjaga akhlak dan kesucian niat, dan dimudahkan segala urusan untuk kebaikan dan manfaat umat Islam, selamat dan sejahtera di dunia dan di akhirat.


Jasa Ibu dan Ayah tidak terbayar, kasih mereka kekal hingga ke syurga.

"Ya ALLAH, ampunilah segala dosa kedua-dua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sejak kecil. Lanjutkanlah usia mereka dalam kesejahteraan, kebahagiaan dan 'amal ketaatan kepada-Mu. Kelak Kau kurniakan mereka sebaik-baik kurniaan-Mu, selamatkan mereka daripada sebarang kemurkaan, azab dan seksa-Mu. Sungguh takkan kumampu membalasi jasa mereka. Izinkan aku untuk terus berbakti kepada mereka."

Insya ALLAH, keluarga yang diredhai dan dikasihi-Nya.

Bagi setiap daripada ahli keluargaku,

Semoga ALLAH s.w.t. sentiasa mengampun, merahmati dan membimbing kita. Moga dimudahkan urusan kita untuk membaiki hubungan sesama kita, ditetapkan dalam 'aqidah dan ketaatan yang benar dan bersama-sama ditempatkan dalam tempat yang selamat di akhirat nanti.


Al-Quran Kalamullah

Benar, ALLAH akan menguji hamba-Nya, adakah dia benar-benar cinta akan Al-Quran dan ingin meletakkannya dalam hati. Insya Allah, apabila kita sudah menghafaz ayat-ayat Quran, beristiqamahlah dalam mengulangi bacaannya, mengamalkan kandungan pengajaran yang dibawanya.


Jangan Berasa Jemu dan Berputus Asa

Insya ALLAH, usaha ini akan membuahkan hasilnya. Proses ini akan tamat keseluruhannya. Matlamat sudah ditetapkan dengan jelas. Usaha dilaksanakan pada kadar sebagai seorang hamba, dengan sepenuh keupayaan yang terbaik dan termampu. Selebihnya, sentiasa panjatkan doa, memohon kurniaan dan bantuan-Nya. Jangan berasa jemu dan berputus asa. Teruskan usaha dengan gigih. Syaitan dan musuh yang lain akan sentiasa berusaha menggagalkan usaha perjuangan ini, mengatakan diri tidak mampu. Yakinlah kepada hakikat tauhid, "Tiada daya upaya untuk melakukan kebaikan dan menghindari keburukan melainkan dengan apa yang diizin dan dipinjamkan ALLAH." Laa hau lawalaa quwwata illaa billah . Moga nafsu liar akan terdidik untuk mentaati ALLAH dan terkekang daripada terus menjadi buas. Insya ALLAH, akan tamat proses ini dengan hasil yang berkualiti dan dicintai ALLAH. Usah menjadi terlalu terkejar-kejar dan terburu-buru. ALLAH kan sentiasa ada pada setiap masa untuk membantu dan mendengar rintihan. Lagi banyak permohonan hamba kepada-Nya, lagi Dia mencintai hamba-Nya itu. Cinta dan kasih sayang ALLAH jauh lebih dahsyat daripada cinta dan kasih sayang seorang ibu kepada anak yang dilahirkannya.


Allahumma Aamiin, Aamiin, Aamiin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...