Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Khamis, 1 September 2016

Soal Jawab Tentang Solat (Siri 3)


1. Saf solat terputus kerana tiang dan orang itu berada seorang diri 

Saf solat yang terputus tidak membatalkan solat.

Jika terputus kerana ada keuzuran syarie, contohnya ada tiang, ada najis, maka tidak mengapa.
Jika terputus kerana sengaja ingin putus, maka pahala dan kebaikan akan berkurang. 

2. Saf solat terputus kerana ada yang solat sendiri

Saf solat yang terputus tidak membatalkan solat.

Jika terputus kerana ada keuzuran syarie, contohnya ada tiang, ada najis, maka tidak mengapa.
Jika terputus kerana sengaja ingin putus, maka pahala & kebaikan akan berkurang.

Orang yang ingin solat bersendirian wajar mencari tempat yang sesuai dan tidak mengganggu kawasan orang yang akan membuat saf jamaah baru.


3. Cara sambung/mula saf baru bagi muslimat

Jika berjemaah hanya berdua ( 1 org imam perempuan dan 1 org makmum perempuan ), maka makmum berada di sebelah kanan imam.

Jika berjemaah bertiga atau lebih ( 1 org imam perempuan dan 2 org atau lebih makmum perempuan ), maka makmum berada di sebelah kanan dan kiri imam. 

Hendaklah seimbang kanan dan kiri. Imam pula berada hanya sedikit ke hadapan saja daripada makmum (bukan seperti kedudukan imam lelaki jauh di hadapan makmum).

Bagi menyambung atau memulakan saf baru di belakang, mulakan dengan kedudukan tengah (di kedudukan setentang dengan kedudukan imam), kemudian sambung supaya jadi seimbang kiri dan kanan (centered and balanced on both sides)


4. Hukum tersalah qiblat

Bagi kawasan yang memang sudah tetap diketahui arah kiblat, maka wajib diulangi solat tadi.

Jika di kawasan yang sukar diketahui kiblat (contohnya di laut dan di hutan), tidak wajib ganti.

Ahad, 14 Ogos 2016

Muliakan setiap ilmu!


Setiap ilmu wajar dimuliakan. Seumpama hasil kelas tadi, perbincangan berkenaan aqsaamul kalimah (pembahagian jenis perkataan) dalam surah Al-Fatihah. Berkat keikhlasan sahabat yang belajar ingin tahu dan tanya soalan: memberikan dorongan dan kekuatan saya untuk membuka dan merujuk syarah bagi i'rob bagi surah Al-Fatihah. (kebanyakan mereka latar belakang profesional - seumpama jurutera lepasan dari Kanada, calon sarjana Matematik di UM dll) Ya, kadang-kadang terasa ilmu nahu / tatabahasa bahasa Arab (dan bahasa lain) seperti tidak sebesar sehebat ilmu perbahasan teknikal dan falsafah yang lain - tetapi sebenarnya ilmu nahu ini menjadi ilmu alat dan asas dan kayu pengukur 'maruah' kita. Sebagaimana terasa tak kena kalau dibuat ayat 'I does not like to eating', maka lebih-lebih lagi kalau salah dibaca baris dalam ayat bahasa Arab. Ya Allah, bantu dan pimpinlah kami dengan ilmu yang bermanfaat Kau redhai, moga kami selamat hingga akhirat kelak.

Selasa, 19 Julai 2016

Kelas Mingguan (Ahad) Asas Bahasa Arab

Kelas Mingguan (Ahad) Asas Bahasa Arab
Anjuran sekumpulan ahli usrah sebuah NGO Islam dan terbuka kepada semua. (saya terima jemputan mereka, insyaAllah khidmat untuk sampaikan ilmu daripada guru-guru kita - sekadar jadi posmen orang yang menaqalkan ilmu guru-guru)
Mudah-mudahan menjadi amalan soleh bernilai pahala dan redha Allah, bermanfaat ilmu bahasa Arab ini dunia akhirat.
Sila rujuk poster untuk maklumat lanjut.

Rabu, 27 April 2016

Soal Jawab Tentang Solat (Siri 2)

Beberapa Permasalahan Hukum Hakam Solat (Siri 2)

Susunan Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki
6 April 2016
Rujukan:
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari


 1.     Mengapakah@apakah hikmah solat siang bacaan Fatihah dan surah rakaat 1 dan 2 dibaca perlahan.

Jawapan

Sifat ibadah adalah tauqifiyyah (terima sepertimana Allah dan Rasul perintahkan). Adapun hikmah para ulama menyatakan ada yang kita boleh fikir dan ada yang tidak mampu fikir. 

Imam Sya’rawi menyatakan dibaca perlahan solat siang hari kerana pada awal Islam untuk mengelakkan permusuhan orang kafir yang tidak sukakan Islam dan mengetahui tempat ibadah orang Islam ketikamana Islam masih lemah di Mekah. Adapun solat malam untuk mengajar kepada para sahabat kaifyyat solat.

2.    Bagaimanakah cara alihkan tudung yang tertutup atau terhalang pada dahi (jadi secara tidak sengaja kerana angin tiup) ketika sujud.

Jawapan : 

Jika sudah sujud dan dahi mengenai tempat sujud saya fikir tidak perlu dialihkan lagi. Jika sebelum sujud atau hampir kepada sujud maka alihkan atau tahankan dengan tangan.

3.    Bagi warga emas usia 90-an, yang kadang-kadang ada ingatan biasa, kadang-kadang nyanyuk, apakah hukum solat kepadanya? Adakah dia wajib solat?

Jawapan : 

Solat wajib ketika dia sedar dan tidak wajib ketika dia nyanyuk.


4.    Bagaimanakah cara mengalihkan najis yang terkena pada badan semasa solat?

Jawapan : 

Najis yang terkena pada badan itu membatalkan solat kerana menanggung najis. Wajib hentikan solat, haram meneruskan solat jika menyedari ada najis atau batal solat. Bersihkan dan solat kembali.


5.    Adakah batal solat jika berlaku pergerakan tangan dan kaki secara tidak sengaja ketika solat dan ternampak ada benda akan terjatuh kepada anak yang berada di depan (tindak balas spontan untuk selamatkan anak)?

Jawapan : 

Tidak membatalkan sembahyang. Sengaja tidak boleh melebihi 3 kali adapun jika tidak sengaja atau ada bahaya seperti memukul ular maka tidak membatalkan solat walaupun melebihi 3 kali berturut-turut.

6.    Bagaimanakah cara untuk berhenti/keluar dari solat sebelum salam ketika ada kecemasan?

Jawapan : 

Niat keluar daripada sembahyang. Hentikan solat.

7.    Bagaimanakah cara untuk beritahu kepada orang yang sentuh bahu kita (dia nak jadikan kita imam solat) semasa kita sedang solat?

Jawapan : 

Imam tidak diwajibkan berniat Imam. Jika dia tidak niat imam tetap solat sah. Mazhab kita sunat niat Imam untuk menghasilkan pahala. 

Memadai kita berdiri sebelahnya dan itu sudah menjadi isyarat. Jika kita dua orang atau lebih maka lebih afdhol untuk kita buat Jemaah baru.

Wallahu A’laam Bissowaab..

Ahad, 24 April 2016

Iceberg Dosa Pahala



Iceberg dosa pahala

Orang kiri dalam gambar ini : dosa-dosanya yang sedikit terzahir di permukaan air, manakala amal solehnya jauh lebih banyak dan besar tenggelam (tersembunyi) di bawah air.
Manakala orang di tengah : amal soleh sedikitnya terzahir di permukaan air, manakala dosa-dosanya jauh lebih besar dan banyak tetapi tenggelam (tersembunyi) di bawah air. Ironi, dia dengan lantang mengatakan orang di kiri tersebut sebagai pelaku kejahatan (fasid).
Sumber gambar : internet

Isnin, 11 April 2016

Persoalan Maksud Wanita Dicipta Daripada Rusuk Lelaki - Jawapan Mufti Wilayah Persekutuan

Diambil dari laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan


Mufti Wilayah Persekutuan
IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-33: HADIS PENCIPTAAN HAWA DARIPADA TULANG RUSUK
Soalan :
Apakah yang dimaksudkan dengan Hawa diciptakan bukan daripada tulang rusuk atau seperti tulang rusuk ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berkaitan soalan yang diajukan, isu hadis yang menceritakan berkaitan penciptaan waniat atau Hawa daripada tulang rusuk telah berlaku perselisihan oleh para ulama’ dalam memahami hadis ini. Sebelum kami nyatakan pendapat ulama’ berkaitan hadis ini, kami sertakan dahulu hadis-hadis yang menceritakan tentang isu ini, antaranya ialah:
hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
Maksudnya : “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”.
[Riwayat al-Bukhari, kitab hadis-hadis berkaitan Nabi, bab penciptaan Adam dan keturunannya, no. hadis: 3083, kitab al-Nikah, bab Wasiat Untuk Wanita, no.hadis 4787]
Berdasarkan hadis ini, yang dimaksudkan dengan wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk ialah asal penciptaan wanita adalah bengkok dan wanita tidak menerima pembetulan sebagaimana tulang rusuk juga tidak menerima pelurusan. Maka dengan itu, setiap kali kamu ingin membetulkannya maka ia akan patah. Ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. [Lihat: Fath al-Bari, 6:368]
Selain itu, terdapat hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ المرأةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، لَنْ تستقيمَ لَكَ علَى طريقَةٍ، فإِنَّ استمْتَعْتَ بِها استمتعْتَ بِها وبِها عِوَجٌ، وإِنْ ذهبْتَ تقيمُها كسرْتَهَا، وكسرُها طلاقُها
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tidak dapat kamu luruskan dengan cara bagaimanapun, jika kamu hendak bersenang-senang dengannya, kamu dapat bersenang-senang dengannya dan dia tetap saja bengkok, namun jika kamu berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah dan mematahkannya adalah menceraikannya”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2670]
Padanya terdapat dalil atau tanda apa yang dikatakan oleh fuqaha’ atau sebahagian daripada mereka bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana firman Allah SWT bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada diri yang satu dan daripada diri itu Allah SWT ciptakan pasangannya. Selain itu, Nabi SAW menjelaskan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk. Di dalam hadis ini, dianjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan dia (suami) tidak ingin membetulkannya (isteri). [Lihat: al-Minhaj, 10:57]
Pendapat ulama’ dalam memahami isu ini
Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadis Nabi SAW ini. Antaranya ialah:
Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadis berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang lain. Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, berdasarkan firman Allah SWT:
خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا
Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa)”. [Al-Zumar : 6]
Al-Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini:
“Maksud Allah SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu ialah Allah SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS. Kemudian di jadikan daripadanya Hawa sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) - lelaki dan perempuan yang ramai”. [al-Nisa’ : 1] [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 7:75]
Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita. Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurthubi ketika mensyarahkan hadis ini. Selain kebanyakan ulama’ kontemporari juga memilih pendapat ini. Antaranya ialah Syeikh Syuaib al-Arna’outh, beliau berkata:
“Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadis bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، (Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptkan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunnah (hadis) yang sahih”.
Tarjih
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan dan dibahaskan oleh para ulama’, kami lebih cenderung kepada pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sekadar perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk. Tambahan pula, di dalam hadis ini juga, Nabi SAW memulakan dengan “Nasihatilah para wanita (dengan baik)” dan di dalam hadis ini juga tidak disebut daripada tulang rusuk Adam. Selain itu, terdapat sebuah hadis yang sahih sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، إذا ذَهبتَ تقيمُها كسرتَها، وإِنْ ترَكتَها استمتعتَ بِها وفيها عِوَجٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu diciptakan seperti tulang rusuk, jika kamu ingin meluruskannya nescaya akan patah dan jika kamu membiarkannya maka kamu akan dapat bersenang-senang akan tetapi dia tetap bengkok”. [Riwayat Muslim, kitab Menyusui, bab Wasiat untuk wanita, no. hadis: 2669]
Tambahan pula, berkenaan dengan maksud diri yang satu di dalam surah al-Zumar ialah ialah jenis yang sama iaitu manusia dan bukannya asal penciptaan wanita itu daripada lelaki, bahkan manusia itu lahir dan tercipta daripada lelaki dan wanita. [Lihat: Tafsir al-Manar, 4:272]
Penutup
Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, maka kita (lelaki) dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan. Tambahan pula, wanita ini adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya. Selain itu juga, wanita adalah sebahagian daripada lelaki sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatakan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”. [Riwayat Abu Daud, kitab bersuci, bab Orang yang mendapati seluarnya basah ketika tidur, no. hadis: 204]
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi manfaat kepada kita agar kita sentiasa berada di dalam naungan taufiq dan hidayah Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan memimpin kita untuk sentiasa berada di atas jalan yang benar serta menganugerahkan kepada kita isteri-isteri yang solehah dan keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat. Amin.
Wallahua`lam
Pautan ke laman rasmi PMWP: http://goo.gl/iJc48d

Rabu, 6 April 2016

Soal Jawab Hukum Puasa Pada Bulan Sya'ban

Penulis : Ustaz Sidi Abu Muhammad

Diambil dari laman :

http://bahrusshofa.blogspot.my/
http://jomfaham.blogspot.my/

Masih ramai kalangan awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (hari 15 Sya'baan). Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi`i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi`i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW: "Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa". Dan telah berkata Abu `Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini.
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda: "Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
Imam ash-Shan`ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa` bin `Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan`aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa` bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).

Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-

1. puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama (separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang (yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah mewiridkan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan wiridnya itu.

3. puasa qadha` samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu

4. puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan. Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.

Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi`i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-

(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-




Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.`anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit.".......... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).

Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu`in"pada halaman 60:-



(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ......., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha` walaupun hanya qadha` puasa sunnat.

Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-


Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab. 

Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi`i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.

Sumber : Bahrusshofa

Bacaan Tambahan :

1. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab 1

2. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab 2


3. Puasa Sunat Bulan Sya'ban (Isu-isu Hukum Mengenainya) Bab Akhir

Soal Jawab Tentang Solat (Siri 1)


Beberapa Permasalahan Hukum Hakam Solat (Siri 1)

Susunan Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki
6 April 2016
Antara rujukan:
Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
Rakaman kuliah Syaikh Nuruddin Al-Banjari
Rakaman kuliah Ustaz Azhar Idrus
Laman Ustaz Ahmad Adnan Al-Azhari:  http://ilmudanulamak.blogspot.my/

Jika solat ditinggalkan kerana tertidur atau terlupa, pada lafaz niat dan niat tersebut, dinyatakan “ada-an” atau “qo-do-an”. 

1)    Disunatkan sahaja berniat qada’. Jika tidak berniat qada’ sah solatnya kerana solat yang tertinggal tiada waktu lagi.

2)    Boleh kedua-duanya. Sebaiknya qada’ disegerakan selepas terbangun daripada tidur kerana menuruti perbuatan Nabi SAW.

Jika sempit masa sebagai contoh apabila diqada’ solat zohor maka terlepas solat asar maka wajib didahulukan solat asar kerana ia di dalam waktu solat tunai.

                                                                                           Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari


Sebagai contoh, seseorang terlepas waktu solat fardhu zuhur dan sekarang dia berada dalam waktu solat asar.

Tunaikan solat qodha (zuhur) dulu atau solat fardhu waktu itu (asar) dulu?

Solat yang terlepas akibat uzur, iaitu kerana tertidur atau terlupa, boleh diqada’ pada bila-bila masa. Tidak wajib disegerakan. Solat yang terlepas kerana uzur tertidur adalah kerana sebelum masuk waktu solat lagi sudah tidur, apabila terjaga daripada tidur, waktu solat telah tamat.

Tetapi, jika sudah sedar ketika telah masuk waktu solat, kemudian tidur semula, solat yang terlepas kerana tidur itu adalah berdosa dan wajib disegerakan qada’.


Jika terbangun tidur pada waktu hampir syuruk (terbit matahari),bolehkah solat subuh?
Solat subuh selepas bangun jam 10 pagi?

Jika memang tidak terjaga tidur sejak sebelum azan sehingga selepas azan subuh, maka jika selepas terjaga walaupun telah luput waktu, keadaan tersebut adalah keuzuran.

Namun, jika sudah terjaga semasa / selepas azan subuh, tetapi tidur semula kemudiannya terjaga kembali selepas luput waktu subuh, maka berdosa hukumnya.

Boleh solat pada bila-bila masa kita terjaga untuk solat subuh, walaupun hampir atau pada waktu syuruk, dan waktu-waktu selepasnya.

Yang tidak boleh adalah kita dengan sengaja tunggu untuk solat pada waktu syuruk dan waktu-waktu selepasnya.

Rujukan Ustaz Azhar Idrus :
https://www.youtube.com/watch?v=kD3Fh1FBQxM

Solat yang tertinggal kerana uzur syarie, maka disunatkan untuk qada’ dengan segera. Tidak wajib qada segera.

Rujukan Ustaz Azhar Idrus :
https://www.youtube.com/watch?v=uD4bCjkKR8w


Bolehkah pejam mata ketika solat?

Boleh pejam mata ketika solat jika itu membantu untuk khusyuk.

Jika solat dapat dilakukan dengan khusyuk tanpa pejam mata, itu adalah lebih baik, memandang tempat sujud.


Bolehkah solat dengan memandang teks Al-Quran (ketika solat fardhu dan sunat)?

Jawapan Syaikh Ali Jumuaah : diharuskan

Rujukan: http://jomfaham.blogspot.my/2009/08/hukum-membaca-al-quran-secara-langsung.html

Bagi solat fardhu : makruh
Bagi solat sunat : diharuskan

Rujukan Ustaz Azhar Idrus :
https://www.youtube.com/watch?v=R7I2ZkGAM3Y

Bagaimana solat dalam pesawat?

1. Untuk tujuan maslahah dan elakkan mudarat, jika tiada wuduk, boleh tunaikan solat menghormati waktu dan kemudian selepas mendarat boleh dilaksanakan secara sempurna solat tersebut. Solat hormat waktu tersebut wajib diqada’.
Solat hormat waktu adalah untuk meraikan waktu solat yang berlalu, dalam keadaan kita tidak dapat solat, contohnya tiada wudhuk.

Rujukan Ustaz Azhar Idrus :
https://www.youtube.com/watch?v=pUfmzoYq50I&ebc=ANyPxKoWp3Yi3LPbe8njI9xtuI6UInbKGRXQZT44HkWb6AuUZWP235Bf-NfZYFvqBYp3wxHsGyinCLWeURhieB_Br7slymtIJw  

2. Boleh berwudhuk menggunakan semburan botol air.

3. Paling mampu jika boleh dibuat adalah cuba menghadap kiblat semasa takbiratul ihram dalam keadaan mana yang boleh dibuat, sekadar yang mampu (contohnya dengan duduk di atas kerusi tempat duduk sendiri kerana tidak ada ruang untuk berdiri dan sujud).

Rujukan Ustaz Azhar Idrus : 

https://www.youtube.com/watch?v=Z_IbQ-XCYUs 

https://www.youtube.com/watch?v=Iic3qVr8Iu8 

4. Menentukan arah kiblat ketika solat atas kenderaan

Bagi solat fardhu : menghadap kiblat adalah wajib. Boleh tahu dan anggaran arah kiblat dengan kedudukan matahari, dengan kompas yang ada pada pesawat.

Jika sudah kehabisan cara untuk tahu arah kiblat, maka menghadap mana-mana arah dikira menghadap kiblat.

Bagi solat sunat : tidak wajib untuk menghadap kiblat.


Bagaimana solat tersangkut kesesakan jalan?


Solat menghormati waktu dibuat kerana tidak cukup syarat sah solat, contohnya pakaian bernajis, tiada wudhuk. Jika dibiarkan, waktu solat akan habis. Maka dibuat solat hormat waktu, dan wajib diqada setelah sampai di destinasi.

Contohnya terperangkap dalam kesesakan kereta di jalan raya. Jika tidak cukup syarat sah solat, solat hormat waktu dibuat.

Namun jika cukup syarat sah solat seperti ada wuduk, pakaian suci, maka solat yang dibuat itu adalah solat biasa yang sah dan tidak perlu diqada.

Rujukan Ustaz Azhar Idrus :
https://www.youtube.com/watch?v=G2wEySXNVsU

Sah solat dalam kenderaan semampu yang mungkin, menghadap kiblat semasa takbiratul ihram.

Rujukan Ustaz Azhar Idrus : 

https://www.youtube.com/watch?v=Iic3qVr8Iu8 

https://www.youtube.com/watch?v=G2wEySXNVsU 

Pergerakan anggota yang terbatas kemampuan kita dengan mengambil kira faktor keselamatan (contohnya sedang memandu dan tidak boleh mengalihkan badan ke arah kiblat), maka kewajiban itu gugur.

Buat segala-gala yang termampu.

Rujukan Ustaz Azhar Idrus :

https://www.youtube.com/watch?v=hr_j0Qga0xE 

https://www.youtube.com/watch?v=yf_Cmi_JNb8 


Apakah kadar suara ketika bacaan Fatihah solat didengari telinga sendiri?

Dengan kadar didengari suara sendiri dalam keadaan senyap.

Rujukan : https://www.youtube.com/watch?v=AZs3Ar_cwkI


Bolehkah solat asar pada waktu sekitar 6.45 petang, waktu hampir terbenam matahari?

Haram sengaja solat asar pada waktu terbenam matahari.

https://www.youtube.com/watch?v=IZEf5CrzkTM


Bilakah waktu akhir solat isyak?

Jawapan Syaikh Nuruddin : Waktu karohah (yang dibenci) adalah hampir dengan waktu subuh. Jika tidak sengaja, tak mengapa. Contoh subuh 5.45 pagi, masih boleh solat pada 5.35, 5.40

Rujukan : https://www.youtube.com/watch?v=AabNwNlieRg

Waktu pilihan :

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.

Yang terbaik, contoh di Malaysia : sekitar jam 9.30 malam, 10.30 malam

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.

Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat.

Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Rujukan Ust Ahmad Adnan Al-Azhari:  http://ilmudanulamak.blogspot.my/2008/10/waktu-akhir-solat-isyak.html


WAKTU AKHIR SOLAT ISYAK

Soalan; 

USTAZ, SAYA INGIN BERTANYA BILAKAH SEBENARNYA HABIS WAKTU SOLAT ISYAK?

KATAKAN SAYA DENGAN SENGAJA ATAU TAK SENGAJA BANGUN SEBELUM JAM 5 PAGI ATAU PUN SEBELUM MASUK WAKTU SUBOH DAN MENGERJAKAN SOLAT ISYAK,

ADAKAH SAH SOLAT SAYA TERSEBUT?

HARAP DAPAT USTAZ BERIKAN PENJELASAN DENGAN DISERTAKAN DENGAN HADIS-HADIS YANG BERKAITAN DENGAN PERSOALAN INI.

SEKIAN DAN TERIMA KASIH ATAS PENJELASAN YANG AKAN USTAZ BERIKAN.

Jawapan;

Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib). Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak;

Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.

Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.

Pandangan pertama berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat.

Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan;

“Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat.

Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…

Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”.

                                                 (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh).


Pandangan kedua pula berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;

“Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275).

Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi keluasan/kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu.

Selepas waktu ikhtiyar tersebut, para ulamak berikhtilaf;

Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas waktu ikhtiyar itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah.


Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran.

Di antara bentuk keuzuran ialah;

1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud;

“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;

Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.

Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat.

Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.


                                               Ditulis pada 28 Oktober 2008 oleh USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL



Ahad, 3 April 2016

Cari Redha Allah yang Hakiki






Makin kita berusia, berubah sudut pandang, kecenderungan, prioriti.


Analogi mudah : semasa kecil, seseorang teruja dengan hadiah berupa alat mainan, gula-gula, dsbg.


Apabila dewasa, benda yang sama berupa alat mainan, gula-gula, dsbg. tetapi sudah berbeza cara pandang terhadapnya.


Dalam konteks ibadah kepada Allah:


Awal-awal kita pujuk diri supaya dapat pahala yang dijanjikan Allah.


Lama-lama nanti akhirnya kita yakinkan diri bahawa setiap sesuatu dan segala nafas gerak geri diam kita adalah supaya Allah redhai kita, ampuni kita.


Apa bentuk balasan di akhirat - kita serahkan kepada Allah, kerana kita sudah fokus terbaik apa yang kita perlu/wajib buat sebagai hamba-Nya.


Ahad, 27 Mac 2016


Gambar hiasan daripada laman umat-menderita.blogspot



Mukmin Profesional

Beberapa contoh sebenar saya lihat sepanjang pengalaman bekerja daripada staf lain

1. Menjaga solat wajib - ada antara mereka berposisi pengurus besar, pengurus, jawatan technical professional dan seumpamanya jawatan besar - ada yang ketara menjaga waktu awal solat (apabila nampak mereka mula bersedia untuk berwuduk, maka boleh tahu waktu solat hampir/telah tiba) - dan ada yang kerap hadir berjamaah di surau

2. Menjaga kepentingan dan kewangan syarikat dengan cermat, teliti dan penuh ownership seperti menjaga kepentingan dan kewangan sendiri

3. Teliti dalam kerja dan melaksanakan tugasan dengan kualiti terbaik - mengelakkan sebarang bentuk kelalaian/kesilapan/kesalahan

Alhamdulillah - dakwah mereka secara tindakan profesional lebih menampakkan dan menzahirkan nilai agama dari sudut practicality dalam amanah kerjaya.

Mari jadi pemerhati dan belajar daripada persekitaran.

Ahad, 6 Mac 2016

Sabar, Ikhlas dan Jangan Gopoh Belajar dan Mengajar Ilmu








 Istifadah daripada program radio IKIM Fm


Ikhlas, sabar, jangan gopoh dalam belajar dan ajar ilmu
Mafhum daripada Ust Nazrul Nasir,
Bersabarlah dan ikhlas dalam belajar ilmu.
In syaa Allah, dengan ikhlas, Allah akan hantarkan juga kepada kita orang yang nak belajar dengan kita.
Jika tiada orang belajar sekalipun, kita sudah mendapat pahala ibadah dengan usaha kita belajar ilmu.
Sesiapa yang tergopoh-gapah dalam nak menyampaikan ilmu sebelum tiba masanya, maka dikhuatiri pada hujungnya dia tidak mendapat kebaikan.

Gelaran Ustaz

Ust Nazrul Nasir menyebut bahawa
ketika pada zaman sebelum ini, gelaran Al-Ustaz hanya diberikan kepada orang yang menguasai kesemua bidang ilmu. Sepertinya Al-Imam Fakhruddin Ar-Razi, yang merangkumi ilmu agama dan ilmu melibatkan keduniaan.
In syaa Allah, suatu didikan kuat kepada kita untuk terus lebih beradab dan membaiki diri, tahu di mana kedudukan sebenar kita.

Sabtu, 5 Mac 2016

Akhlak, Penampilan, Penyampaian Da'wah

Akhlak, Penampilan, Penyampaian Da'wah



Teringat saya kepada salah seorang guru yang mulia, Al-Ustaz Haisam Al-Lubnani hafizohuAllah

Kami mengambil manfaat daripada ilmu dan akhlak beliau semasa berada di Adelaide Australia sekitar tahun 2009. Beliau mengajar kitab Riyadhus Solihin Imam An-Nawawi rohimahuAllah pada waktu malam di Masjid Bandar.

Beliau adalah warganegara Australia yang berasal dari Lubnan.
Kali terakhir saya maklum beliau menyambung pengajian Islam peringkat PhD di Syria (pada masa tersebut belum terjadi krisis).

Secara peribadinya, beliau antara ustaz yang sangat membuka mata dan menyedarkan saya.

1. Sangat sopan dan berakhlak mulia. Kali pertama beliau mengajak kami untuk duduk dalam majlis ilmu, beliau senyum manis dan mengajak dengan cara yang sopan dan menyenangkan.

2. Pengajaran dan penyampaiannya adalah menarik, senang difahami. Antara khutbah Jumaat yang disampaikan, penyampaiannya penuh dengan semangat.

3. Penguasaan ilmu beliau yang kukuh.

4. Penampilan beliau yang sentiasa segak, baju dan pakaiannya keseluruhan sentiasa kemas dan bersih.

5. Sangat ikhlas dan bersungguh-sungguh menjawab pertanyaan bagi permasalahan agama yang diajukan - pernah saya sendiri bertanya kepada beliau - dan jawapannya sangat sopan dijawab dengan begitu baik, panjang lebar agar dapat difahami dengan sebaiknya.

6. Wajah sentiasa ceria, manis, dan pandai mengambil hati jemaah dengan unsur gurauan dan seumpamanya.



Mudah-mudahan Allah terus memelihara beliau dan para guru kita, dan kita terus mengambil manfaat daripada ilmu dan akhlak mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...