Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Sabtu, 28 Disember 2013

Merancang pendidikan anak-anak


Sumber gambar: http://karnatakamuslims.com/portal/admissions-open-at-muslim-orphanage-bangalore/


Jika nasihat pandangan yang paling utama diminta daripada saya kepada sahabat-sahabat semua, maka saya ringkaskan kepada berikut:

- Utamakan didikan agama fardhu 'ain yang ada tiga asasnya:

a. Ilmu aqidah-tauhid: mengikut penyusunan kefahaman dan pegangan sebahagian besar ulama Islam zaman berzaman - Ahlus Sunnah Wal Jama'ah 'Ashairah dan Maturidiyah

b. Ilmu fiqh-syariah: untuk tahu dan sah setiap ibadah kita. Dalam konteks di Malaysia, pegangan dan amalan terbesar adalah dalam mazhab Syaf'ie.

c. Ilmu pembersihan jiwa-akhlak-tasawuf: ikut penyusunan dan pengamalan ilmu tasawuf yang hakiki amalan ulama muktabar, tasawuf yang berjalan berpandukan syariah.

- Tumpukan usia awal (memori sangat kuat pada usia kanak-kanak dan remaja) untuk mereka habis menghafaz 30 juzuk Al-Quran secara masyi, mantap, berkualiti, dan sentiasa dididik nilai ikhlas dan istiqamah. Maka selepas selesai hafazan 30 juzuk Quran, rutin harian mereka adalah untuk menjaga ulangan hafazan Quran (setiap hari sekitar 1 hingga 3 juzuk)

- Kukukhkan ilmu alat terutamanya bahasa Arab, dan bahasa utama yang lain

dan selepas daripada ini, tidak mengapa meneroka bidang-bidang ilmu yang bermanfaat lebih mendalam.

Untung kita jika anak-anak kita adalah dalam kalangan penghafaz Al-Quran, orang-orang berilmu yang faham dan amal agama, ulama. Kita in syaa Allah akan dapat saham pahala, akan dapat pahala yang berterusan walaupun berada dalam alam kubur.

Isnin, 2 Disember 2013

Hilang Sensitiviti Terhadap Dosa Adalah Tanda Hati Sakit

Hilang sensitiviti terhadap perkara haram (contohnya memandang kepada wanita tidak bertudung) adalah petanda hati dan iman dalam keadaan sakit dan berbahaya.

Mafhum didikan Syaikhna Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizohuAllah:

Kerana sudah menjadi biasa keadaan masyarakat tidak menutup aurat dengan sempurna (terutamanya wanita), kita boleh jadi larut dalam suasana dosa sehingga memandang orang yang tidak bertudung pun kita rasa 'tak pa'. Itu menunjukkan keadaan yang berbahaya kepada iman dan hati kita. Sudah hilang sensitiviti terhadap perkara yang jelas haram, yang jelas bertentangan dengan hukum Allah.
...........
Benar kan keadaan sedemikian? Jika hari ini wanita Islam bertudung sekalipun, kita berasa amat khuatir tudung mereka hanya lebih bersifat untuk berfesyen tampak kelihatan cantik serta menarik perhatian manusia lain. 

Aurat wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangannya. 

Aurat wanita hendaklah ditutup dalam kedua-dua aspek: 

1) Tutup warna aurat (jangan memakai pakaian yang jarang sehingga nampak kulit)
2) Tutup bentuk-ketulan aurat (jangan memakai pakaian yang ketat sehingga terzahir bentuk tubuh)

Ya, jika aurat tidak ditutup sesempurnanya, maka risau kita, adakah tudung yang dipakai itu bernilai pahala?

Pastinya jika berleluasa keadaan pemakaian yang tidak mengikut ajaran Islam, maka akan melatalah ruang zina itu, bermula dengan zina mata.

Jika itu yang sedang melata, pasti memandang lantai/tanah itu lebih rela dilaksanakan. 

Para muslimah yang berpakaian longgar, bertudung labuh-bulat (atau tudung yang menepati kehendak Islam), serta berniqob: saya yakin mereka jika berada di tempat awam sekalipun mereka tidak membawa fitnah kepada lelaki, bahkan boleh membawa kepada keinsafan, tazkirah kepada masyarakat yang mampu memandang dengan pandangan akal dan iman.

Ahad, 1 Disember 2013

Hadiah si isteri untuk si suami


Kredit gambar: media.photobucket.com

Hadiah si isteri untuk si suami

Untuk si isteri yang menjadi bidadari solehah kepada si suami yang punyai himmah yang tinggi, iltizam yang kuat, jihad dalam berkhidmat kepada agama dan umatnya serta bekerja gigih untuk wawasan besar akhirat,

maka banyaklah hadiah dan pengorbanan si isteri tersebut kepada si suaminya, memberikan hadiah dan pengorbanan dalam bentuk kurangnya masa mereka bersama sebagaimana kebanyakan orang awam (kerana memberi laluan kepada suami masa untuk dimanfaatkan kepada umat), diberikan sokongan moral kepada suami agar kepenatan usaha itu terubat.

Ya, kerana janji mereka untuk menjadi suami isteri di dunia dan di akhirat, maka mereka tidak ada gusar lagi bahawa janji Allah itu adalah benar, bahawa dunia ini hanya persinggahan terlalu sebentar, bahawa dunia ini hanyalah medan ujian dan amal untuk dijadikan bekalan dan pengumpulan pahala dan redha Allah yang akan ditunaikan di syurga kelak. Ketenangan, kebahagiaan, kerehatan sebenar yang tidak putus-putus dinikmati hanyalah di syurga sana.

Kurangnya masa bersama ketika di dunia kerana sibuk bekerja untuk kehidupan bersama yang kekal di akhirat. Walaupun masa yang ada bersama begitu terhad, tapi kualitinya memberikan bekas. Fokus pada masa yang ada.

Beruntung kan jika kita ada makrifah (kenal) Allah, tahu tujuan hidup? Kenikmatan syurga (dalam bentuk makrifah) sudah segera dirasai sejak dunia lagi.

Semoga Allah membantu dan membimbing kita untuk menjadi golongan yang solihin dan solihat di sisi-Nya.

"Menuju Akhirat"


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sabtu, 23 November 2013

Awasi Ancaman Wahhabi dan Syiah

Banyak kali para masyaikh dan asatizah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah kita mengingatkan kewaspadaan untuk berhati-hati daripada terpengaruh dengan ajaran Wahhabi (juga boleh dirujuk sebagai pseudo-Salafi, Najdiyyun) dan Syiah.

Orang awam yang tidak mendalami permasalahan ini mungkin dengan mudah akan terperangkap dan terpengaruh dengan kedua-dua ajaran Syiah dan Wahhabi. Terutamanya jika hanya berpandukan bacaan sendiri daripada buku-buku yang datang dari Arab Saudi dan Iran, dan juga laman-laman internet.

Kedua-dua Wahhabi dan Syiah adalah ancaman 'dalaman' umat Islam.

Dalam video dalam catatan kali ini, Mufti Kedah dengan jelas dan tegas mempertahankan pegangan dan amalan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan tidak menerima cubaan masuk Syiah dan Wahhabi.



 

Mudah-mudahan kita mengambil perhatian dan menyelamatkan diri kita.

Khamis, 21 November 2013

Keharusan Menerima Hadiah atau Upah Mengajar Quran dan Ilmu Agama


Keharusan Menerima Hadiah atau Upah Mengajar Quran dan Ilmu Agama


Assalamualaikum,

Persoalan berikut telah dikemukakan kepada Al-Ustaz Muhammad Noorazam Bin Bahador Al-Azhariy (lepasan Universiti Al-Azhar) dan kini sedang sambung pengajian dalam Darul Ifta Mesir. Beliau antara pelajar Malaysia yang istimewa kerana mendapat keizinan masyaikh Al-Azhar untuk mengajar kitab jawi-Melayu di sana.

Soalan:

Salam Ustaz Azam,

Jika kita terima permintaan orang-orang yang berada untuk kita ajarkan mereka ilmu quran dan fardhu ain, sedangkan mereka latar belakang berbeza dan mungkin belum faham dan amal Islam,

adakah diharuskan kita terima hadiah daripada mereka? (kerana saya mungkin ada waswas pendapatan mereka bercampur-campur)

Jika dilihat dalam sudut lain, peluang ni lah nak dekati mereka berdakwah.


Jawapan:

Waalaikumussalam. Peluang mengajar orang-orang macam mana sekalipun, perlu ambil, dan tunai baik-baik, insyaAllah ada kebaikan di situ

Kemudian persoalan upah atau pemberian hadiah dengan kita mengajar fardhu ain atau al-quran juga dibenarkan. (Memang ada perbahasan dan khilaf, cuma pendapat yang membenarkan itu sesuai untuk dipegang zaman ni, tapi jangan melampau-lampau dalam meletakkan nilai dan lain-lain).

Persoalan ketiga tentang sumber pendapatn orang kaya itu, selagi mana pendapatnnya tidak total dari sumber terlarang, atau jelas nyata dari sumber terlarang, hukumnya harus kita terima hadiah.


Wallahu'alam


* Catatan penulis: untuk lebih sejahtera dan aman daripada fitnah dan kegelinciran, lebih baik kita menyerahkan kepada pelajar untuk memberikan hadiah dalam jumlah yang mereka bersedia dan senang hati untuk beri.

Sabtu, 16 November 2013

Cinta Dibuktikan Dengan Tindakan

Ya, cinta bukan sahaja dilafazkan dengan lidah, ditulis dengan lidah.

Wahai kekasih, saksikanlah bahawa seluruh jiwa dan tindakanku adalah membenarkan dan membuktikan cintaku padamu.

Mudah-mudahan beroleh ketenangan yang hakiki dan sebenar.

Isnin, 4 November 2013

Niat Sentiasa Mahu Mentaati Allah

Assalamualaikum kepada semua sahabat-rakan pembaca,

Ulama mendidik kita untuk sentiasa optimis dan berfikiran positif. Apa jua keadaan yang kita alami dan akan alami, maka sentiasa kita pujuk dan menghadirkan niat untuk melakukan ketaatan yang terbaik kepada Allah. Mengapa? Kerana dengan niat itu sendiri sudah tercatat pahala kepada kita.

Ya, pada setiap malam sebelum tidur, dan juga pada setiap pagi awalnya kita berazam untuk melaksanakan dengan rahmat dan bantuan Allah:

1. Melaksanakan sebaik-baik dan sebanyak-banyaknya ketaatan yang ikhlas dan berkualiti kepada Allah. Kita tidak mahu terlepas apa-apa bentuk ketaatan pun kepada Allah.
2. Menyesali segala dosa, keburukan, kesilapan, kesalahan, kelalaian yang telah berlalu serta sungguh-sungguh tidak mahu mengulanginya, bahkan menutup rapi apa-apa pintu ruang untuk berlaku lagi kesilapan sama.
3. Betul-betul berazam untuk sedikit pun tidak terpandang, tidak terfikir, tidak terdengar segala lintasan untuk melakukan apa-apa perkara yang sia-sia, makruh dan haram.

Semoga kualiti ini dapat kita sentiasa pupuk dan tingkatkan sepanjang hayat kita.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Isnin, 28 Oktober 2013

Apa Antara Yang Dicari Melalui Hafazan Al-Quran?

Assalamualaikum semua,

Sebelum, ketika dan sesudah kita menghafaz Al-Quran, amat-amat penting untuk kita sentiasa memikirkan apakah tujuan sebenarnya dalam usaha dan kesungguhan kita menghafaz, menjaga dan mengamalkan hafazan Al-Quran.

Maka, bertegaslah kepada diri, sedarkan diri daripada kelalaian, JANGAN tenggelam dengan segala tipuan dan kesenangan sementara di dunia ini seumpamanya sekecil terdetik dalam hati kecil ingin meraih tempat dan simpati oleh manusia lain dan mendapat tempat yang tinggi pada pandangan mereka.

Pujuklah diri, sedarkan diri bahawa hakikat segala pinjaman nikmat adalah datang daripada Allah, tujuan sebenar dan mutlak segala-gala tindakan kita adalah untuk mencari keredhaan dan cinta Allah. Kerana kita yakin bahawa Al-Quran adalah kitab suci yang mengandungi firman Allah Yang Maha Suci dan Maha Agung. Maka dengan kesungguhan kita berusaha menghafaz, membaca, mengamalkan dan menjaga hafazan Al-Quran SEPANJANG hayat kita, itu adalah satu bentuk IKATAN kita untuk sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah, sebagai 'ubudiyah pengabdian diri kepada Allah, uintuk taqorrub sentiasa hampir jiwa kita kepada Allah, padat masa terisi dan tidak sia-sia.

Hatta sekalipun kita begitu lancar / masyi selepas tamat hafazan 30 juzuk Al-Quran, kita tetap beriltizam untuk terus menerus melazimi dan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai makanan ruhani harian, perkara 'wajib' atas kita untuk bersama Al-Quran.

Ya Allah, Engkau benarkanlah niat mulia dan ikhlas kami ini agar sentiasa berterusan kami melaksanakannya dalam hidup ini, hatta sehingga ke saat terakhir menghembuskan nafas kami dengan sentiasa mendampingi dan membaca al-Quran, sepanjang hayat kami bangun dan tidur, berjalan, berdiri, diam, duduk dan seumpamanya adalah dengan Al-Quran. Amiin. Semoga menjadi bekalan agung kami dalam betemu dengan-Mu dalam kerinduan dan kehambaan.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم


Jumaat, 25 Oktober 2013

Berkhidmat Sebagai Guru Al-Quran dan Fardhu Ain Peribadi

Salaam,

Alhamdulillah, Allah perkenankan izin saya untuk menjadikan usaha mengajar dan mendidik umat Islam ini dengan ilmu bermanfaat sebagai salah satu kesungguhan menjadikan sumber pahala yang berterusan dan persiapan menuju akhirat.

Pengalaman mengajar Al-Quran dan sebahagian ilmu agama alhamdulillah saya telah ada dan bawa sejak zaman universiti di Adelaide: baik dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Inggeris.

Keluarga pertama yang menghubungi saya setelah menjumpai laman kelolaan saya: http://tutorquran.blogspot.com/ setelah beliau mencari dalam Google.

Kedua-dua pihak ibu bapa dan anak-anak mereka selaku pelajar sendiri memberikan kerjasama, kesungguhan, hormat serta minat yang begitu tinggi dan saya sangat memhargainya.

Mudah-mudahan Allah membantu, memberikan kekuatan dan keikhlasan kepada saya serta kemudahan dalam proses mengajar sekarang, menjadi tapak latihan untuk saya membina kualti penyampaian yang in syaa Allah akan menjadi persiapan untuk berkongsi dan mengajar pada sidang hadirin dan kuantiti bahan yang lebih banyak pada masa akan datang.

Sahabat-rakan semua,

Kalian juga wajar ambil peluang ini. Gunakan apa-apa kemampuan dan kelebihan yang kita ada sebagai persiapan terbaik menuju hari akhirat.

Rabu, 11 September 2013

Hati-hati Dengan Penulisan dan Idea Aidh Qarni


Foto daripada Twitter yang dimuat naik oleh pengguna Facebook Mahmoud Al Wosabi (klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)


Terjemahan untuk foto tersebut yang dibuat oleh Mohd Nawawi Abdul Razak (serta edit oleh saya pada sofawiyun)

Dr Aidh : Wahai pendakwah-pendakwah Islam, tinggalkan perselisihan dan perbincangan mendalam mengenai isu furu', datanglah (ke Malaysia) untuk memurnikan akidah, di sini akidah hancur di tangan kuburiyun & orang-orang sofawiyun.

Muhammad as-Saggaf : Bahkan seluruh dunia menentang pandangan kamu yang bersifat takfir ini wahai syaikh Qarni, alangkah baik kalau syaikh Qarni tidak mengganggu umat-umat islam, tidak ada yang lebih bahaya kepada mereka daripada pandangan beliau ini.

Bin Talal : Ya syaikh Muhammad, maksud sebenar syaikh Qarni itu ditujukan kepada orang2 yang ghuluw dan pengamal khurafat bukan insan-insan berfahaman sederhana seperti kalian, dan kalian telah memberi manfaat kepada umat melalui siri Fattabiouni

Muhammad as-Saggaf : Aku kenal Malaysia dulu dan sekarang, dan gambaran syaikh Qarni mengenai (akidah muslimin) Malaysia tidak tepat/sahih


Daripada komentar Facebook Syaikh Muhamamd Husni Ginting Al-Azhariy,

Muhammad Husni Ginting:

Sudah lama saya tahu dari buku2 dan bacaan DR `Aidh Al-Qarni itu Wahabi tukang sesatkan ahli sufi dan Asya`irah tetapi banyak orang yang terperdaya dengan tulisan-tulisannya, setelah terjadinya keadaan serangan Syeikh Qarni terhadap penduduk Malaysia dengan mengkafirkan penduduk Malaysia yang kebanyakkannya Sufi maka saya mengajak saudara-saudara agar berhati-hati memilih Syeikh, buku-buku bacaan, hendaklah meminta pendapat ulama yang masyhur dengan keahli sunnahannya, ingat Indonesia dan Malaysia masuk kedalam agama islam melalui ulama-ulama sufi, sebelum ulama-ulama minyak dan rial datang ke Nusantara.

Lagi foto di bawah daripada pengguna Facebook Mohd Hanif:


                                          (klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)

Isnin, 9 September 2013

Semakin Membaiki Kualiti Ikhlas

Berusaha ke arah kualiti ikhlas dan sidq yang lebih baik, semakin menjauhi riyak

- Mafhum daripada apa yang diajarkan oleh guru kita dalam membincangkan kitab hikam Imam Ibnu 'Atoillah Sakandary rohimahuLlah: hati yang ikhlas dan menjauhi riyak tidak akan terkesan dengan apa-apa daripada makhluk.

- Kerana makhluk tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada manusia. Hanya Allah yang Maha Memberikan Balasan kepada amalan.

- Mafhum daripada Imam Al-Ghazali rohimahuAllah: manusia ini banyak rosak kerana manusia lain. Sebagai contoh: amalan yang baik menjadi rosak kerana penyakit riyak (kerana mahu dilihat makhluk, mahu mendapat tempat dalam hati manusia), kerana takabbur (merasa diri lebih baik, dan ini berlaku apabila diri sendiri membanding-banding dengan orang lain).

- Dalam ungkapan nasihat yang lain diajarkan kepada kita: kualiti ikhlas yang lebih baik adalah apabila sudah tidak ada perbezaan perasaan yang dialami oleh seseorang sama ada dia dipuji ataupun dia dikeji.

- Semoga Allah membantu kita untuk sentiasa membaiki kualiti niat kita, semakin menjauhi keburukan yang bersarang dalam hati.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sediakan Kain Kafan Sendiri

Bagus juga untuk mula berfikir dan mencari kain kafan putih sebagai persiapan kita untuk kepastian. Letakkan tanda nama: nama kita sendiri selaku bakal mayyit/mayyitah, bakal jenazah.

Letakkan di tempat yang selalu boleh dilihat.

Kesusahan Mencari Ilmu - Jadikan Sebagai Motivasi

Kesusahan mencari ilmu - lebih menjadikan kita menghargainya, menjaga, mengamalkannya, lalu mengharapkan keberkatan.

Melihat kembali kesungguhan perjuangan tokoh besar dalam ilmu Islam pada masa lalu, bagaimana mereka bermusafir dalam jarak yang begitu jauh, dalam tempoh yang begitu lama, dengan perbelanjaan yang banyak demi semata-mata menuntut sesuatu ilmu. Kadang-kadang ilmu yang dicari itu tidaklah begitu banyak, dan logik orang awam kita pada hari ini akan menyatakan bahawa perbelanjaan besar tersebut adalah tidak sepadan dengan apa yang kuantiti nak diperoleh.

Tetapi, dilihat dalam sudut positif yang lain, kesusahan semua itulah yang menjadi diri pencari dan pemiliknya begitu menghargai dan menjaga dan seterusnya membawa kepada terbukanya pintu barokah dan kebaikan yang mengalir kepada umat yang hidup selepas mereka.

Kita ingat, bahawa ilmu bermanfaat adalah ilmu yang sentiasa kita perlu berusaha untuk tambah, faham, amal, ulang kaji sepanjang hidup kita. Apa jua rintangan dalam proses tersebut, susah atau senang, lama atau sekejap, belanja besar atau kecil, kesemuanya kita mengharapkan ada barokah, ada redha Allah, adanya kebaikan yang mengalir berterusan.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Zikir Lidah dan Hati

Zikir lidah dan hati

- Pada tahap yang biasa, seseorang itu berzikir dengan lidahnya supaya hal yang demikian diharapkan akan memandu hati untuk berzikir kepada Allah.

- Pada tahap yang lebih khusus dan tinggi, hati seseorang itu sangat penuh zikirnya kepada Allah sehingga tidak mampu lagi terungkap dengan kata-kata lidah. Contoh untuk faham yang mudah: apabila kita begitu sebak kerinduan bertemu orang yang kita sayangi dan baru berjumpa semula selepas begitu lama berpisah, maka kita tidak mampu lagi mengungkap perasaan dengan kata-kata.

- Dalam keadaan diri kita yang sedang berusaha untuk terus membaiki diri, kadang-kadang walaupun kita berzikir dengan lidah, hati kita masih lalai. Tapi tidak mengapa, hati yang lalai walaupun sudah berusaha untuk berzikir dengan lidah adalah lebih baik daripada hati lalai yang langsung tidak ada usaha untuk dibantu dengan zikir dengan lidah.

- Mafhum firman Allah dalam Al-Quran: hati akan menjadi tenang dengan zikruLlah.

- Bacaan Al-Quran adalah zikir yang utama.

- Solawat atas Nabi juga adalah sebahagian daripada zikir.

- Tidak semata-mata memburu jumlah bilangan zikir, kualiti penghayatan makna zikir yang meresap ke dalam hati juga mustahak untuk membuahkan hasil dan memberikan kemanisan.

- Terlebih utama perkongsian catatan ini ditujukan kepada penulis sendiri yang sentiasa dilingkari kelalaian, dan semoga sentiasa kita mendapat 'inayah dan nusroh daripada Allah untuk semakin hampir kepada-Nya dan membaiki kualiti ibadah.


اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Sabtu, 7 September 2013

Pentingnya Sanad Sebuah Ilmu oleh Syaikh Usamah Al Azhariy



Bersumberkan Facebook Persatuan Ittihad AN NUR ( Malaysia ), daripada Suara al-Azhar


Pentingnya Sanad Sebuah Ilmu

"Sanad Keilmuan bisa terealisasi dengan cara (Mulazamatul Ulama) terus menerus secara berkala menyerap ilmu dari para ulama dan (al-Hirshu) mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk duduk di halaqah ilmu untuk mengambil ilmu dari para ulama tersebut dengan rentang waktu yang lama.

Sebagai contoh saya me-mulazamah kira-kira 40 orang ulama. Saya mengambil ilmu kepada ulama tersebut seperti Syekh Ahmad Thaha Rayyan, Syekh Mushtafa Imran, Syekh Ali Jum'ah, Syekh Ahmad Thayyib. Saya temui mereka satu per satu untuk duduk sambil memegang kitab lalu saya baca. Terkadang saya betul dan kadang salah hingga saya mengetahui rahasia kebenaran sebuah masalah dan akal (saya) pun menjadi matang. Setelah itu baru saya bisa memahami perkataan para ulama dan memahami permasalahan dengan teliti.

Para guru saya pun juga mengambil ilmu dari para guru mereka di al-Azhar dan terus bersambung hingga ulama terdahulu dan akhirnya sanad keilmuan tersebut tersambung kepada Rasulullah.

Saya sampaikan hal ini untuk mengingatkan bahwa antara seorang guru dan murid harus ada ikatan, kedekatan, dan itulah hal pertama yang ditanamkan oleh al-Azhar kepada semua pelajarnya.."

Syekh Usamah Sayyid Al-Azhari

Sumber : Suara al-Azhar

Catatan penulis blog ini:

Selain ancaman Syiah, ancaman yang saya rujuk sebagai 'Najdiyyun' banyak dikatakan berpunca daripada segelintir manusia yang terputus rantaian keilmuwan mereka. Tahu beberapa hadis sahaja sudah berani mengeluarkan fatwa, menyalahkan dan menyesatkan ulama Islam, berani memahami dalil-dalil yang samar-samar maknanya dengan kefahaman literalis versi sendiri serta seumpamanya yang berputar dengan 'dalil' agama, tetapi mewujudkan kekeliruan dan ketegangan dalam amalan umat Islam.

Semoga Allah menyelamatkan kita. Pesanan Syaikh Usamah Al-Azhariy ini in syaa Allah akan banyak membantu kita menguasai ilmu dan kefahaman melalui jalur yang selamat.

Tempat dalam Syurga bagi Orang yang Terakhir Memasukinya

Sedikit catatan daripada kuliah pagi ini: Tempat dalam syurga bagi orang yang terakhir memasukinya.

Bagaimana tempat di dalam syurga bagi orang yang terakhir memasukinya, pintu gerbangnya sahaja sudah begitu membuatkan orang tersebut adalah begitu teruja, dia terlintas dalam hatinya adakah benar tempat itu disediakan untuknya. Baginya mungkin tempat itu adalah untuk orang yang jauh lebih beramal berbandingnya.

Setelah beberapa kali meminta malaikat mengesahkan bahawa tempat itu adalah tempat baginya, maka dia percaya, dan begitu teruja, tidak percaya, belum lagi memasukinya yang begitu luas.

Tempat dalam syurga bagi orang yang terakhir memasukinya sendiri sudah terlalu jauh lebih hebat tiada bandingan dengan mana-mana istana paling cantik, paling besar, paling mahal di dunia ini.

Mafhum daripada kuliah KH Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizohuAllah.

* Maka untuk kita, jom terus gagahkan perjalanan ruhaniyah batiniah menuju Allah, menuju alam akhirat yang terlalu lebih jauh berharga dan kekal tiada penghujung.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Persiapan Nikah: Sederhana Menginsafi Realiti

Sederhana menginsafi realiti

- Petang tadi di pejabat saya berbual panjang dengan sahabat saya yang juga merupakan bekas rakan serumah semasa di universiti.

- Gaya perbualan kami lebih kepada gaya orang lelaki bujang, banyak menjurus kepada persiapan untuk masuk ke fasa baru.

- Ada kami sentuh mengenai ikhtiar mencari calon pasangan melalui khidmat orang tengah.

- Saya bertanya kepada beliau, apakah ciri yang dicari beliau. Beliau menyebut, selain faktor agama yang menjadi keutamaan, kesesuaian calon yang boleh hidup dengan baik dalam kesederhanaan tanpa 'demand' yang tinggi. Lanjut kata beliau, kadang-kadang persepsi masyarakat adalah meletakkan 'expectation' yang begitu tinggi kepada sesetengah posisi kerjaya dalam syarikat tertentu. Mungkin masyarakat ada yang kurang memerhatikan bagaimana kos kehidupan semasa (current living cost) terutama di Lembah Klang yang jika dibandingkan dengan pendapatan yang dikatakan agak tinggi, sebenarnya itu adalah tidak ke mana sangat. Semoga kita terselamat daripada terbelit dalam tipu daya materialistik dunia.

- Saya secara peribadi bersetuju. Jika saya diminta untuk berkongsi pandangan kepada sahabat-rakan saudara-saudari yang dalam ikhtiar mencari calon pasangan hidup, maka saya begitu sepenuh hati menyarankan bahawa faktor agama adalah paling mustahak, di samping tidak menafikan kepentingan dalam realiti sekarang kemampuan dan kesungguhan si lelaki untuk berusaha memenuhi keperluan hidup.

- Kami juga bertukar-tukar idea, bagaimana wajarnya ada kedua-dua elemen berikhtiar secara zohirnya, dan bertawakkal-berdoa kepada Allah secara batinnya. Kedua-dua adalah bergerak seiringan. Kita yakin bahawa soal jodoh adalah rahsia dan dan ketentuan Allah. Tetapi tidak menyebabkan kita menjadi pasif, tidak proaktif dan hanya 'menunggu' datangnya rezeki.

- Antara kayu ukur (walaupun secara tidak mutlak, tetapi tetap menunjukkan sedikit sebanyak) beragamanya seseorang adalah sejauh manakah seseorang itu mendirikan dan menjaga solat. Saya mendapati, Prof Muhaya dalam slot beliau di radio IKIMfm begitu menekankan nasihat kepada pendengar, terutama kepada kaum muslimah untuk menyemak bagaimanakah keadaan calon/bakal suami, adakah dia mendirikan dan menjaga solat. Kita yakin dan bersangka baik bahawa jika seseorang itu menjaga solat fardhu, maka in syaa Allah itu menunjukkan hidupnya iman beliau dan sudah banyak yang selesai dalam aspek lain. Orang yang menjaga solat pasti beliau meyakini kewujudan dan kekuasaan Allah, meyakini kehidupan akhirat yang ada pembalasan baik dan buruk.

- Bicara soal menjaga solat, maka saya terus terpanggil bagaimana alhamdulillah beliau seorang yang begitu menjaga solat, baik secara berjama'ah ketika kami di rumah penginapan, mahupun menghidupkan solat berjama'ah di masjid bandar. Teringat lagi bagaimana basikal dikayuh bersama lampu pada waktu malam. Disokong lagi dengan akhlak beliau yang terpancar. Saya tidak ragu bahawa orang yang jaga solat, in syaa Allah akan ada nur/kelainan pada akhlaknya.

- Perbincangan kami hidup dan agak interaktif, kerana beliau percaya bahawa perkongsian berdasarkan pengalaman-realiti adalah begitu berguna.

Semoga bermanfaat. Bantulah diri kita sendiri dan saudara-saudari kita apa yang mampu untuk sama-sama mencapai hidup yang lebih berkualiti dengan ruh beragama.

اللهمّ صلّ على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
اللهمّ اختم لنا بحسن الخاتمة
اللهمّ ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك
اللهمّ ادخلنا الجنّة بغير حساب ولا سابقة عذاب
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Saluran Youtube Rakaman Kuliah Mantan Mufti Mesir, Syaikh Ali Jumuah

Saluran Youtube bagi rakaman-rakaman kuliah Syaikh Ali Jumu'ah Mantan Mufti Mesir:http://www.youtube.com/user/sheikhaligomaa/videos 

Ada lebih daripada 900 buah video termuat naik.

Alhamdulillah, dengan kelebihan nikmat Unifi yang laju boleh dimanfaatkan dengan tujuan ilmu.

Pelihara Kehormatan Wanita

Pelihara kehormatan muslimah, tutup pintu fitnah

Hati-hati jika memuat naik gambar yang melibatkan saudari-saudari kita, para muslimah kita. Hadkan akses gambar kepada ahli keluarga, mahram, sahabat-rakan muslimaat mereka yang dipercayai sahaja. Sungguh pun bertudung, banyak pintu dan ruang fitnah yang ada jika tidak diawasi. Sekali terlepas dalam ruang internet, sukar untuk dikawal.

Maka apatah lagi jika gambar yang dimuat naik itu dalam keadaan 3/4 atau separa atau sangat sedikit mematuhi etika pemakaian seorang Islam? 

Kita pun tidak mahu ada sebarang saham dalam perkara yang tidak elok. Bukan pahala sahaja yang berterusan, dosa berterusan pun ada.

Rabu, 4 September 2013

Sedikit Panduan Dalam Berguru

Jika saya diminta untuk berkongsi nasihat dan panduan asas dan awal bagi sahabat-rakan yang mahu mendalami kefahaman agama dengan cara berguru:

- Utamakan guru yang berautoriti membawa pegangan majoriti ulama Islam (Ahlus Sunnah Wal Jama'ah) yang memberi penekanan kepada tiga-tiga sendi utama ilmu Islam (iaitu aqidah-tauhid, fiqh-syariah, tasawuf-akhlak) sebagaimana dihuraikan daripada hadis Jibril. Guru tersebut sewajarnya adalah guru yang mewarisi kefahaman dan keyakinan ilmu daripada guru sebelumnya yang berantai-bersambungan-musalsal keilmuwannya dengan para ulama sebelum ini yang akhirnya membawa kepada bertemu Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam. Guru tersebut juga menguasai ilmu-ilmu alat yang asas (sepertinya adalah bahasa Arab - maka bagaimana mungkin orang yang membaca buku terjemahan sudah boleh terus menceduk informasi dan terus mengeluarkan hukum dan fatwa yang berat).

- Guru yang sangat wajar atau perlu kita lazimi adalah guru yang punyai tsiqoh (kepercayaan) yang menunjukkan kepada kita akhlak yang mulia, dibuktikan dengan tindakannya. Sewajarnya pertambahan kuantiti dan kualiti ilmu membawa kita untuk semakin berakhlak mulia, bersih diri daripada penyakit 'ujub, sum'ah, riyak secara sendirian atau ketika berada bersama orang lain, takabbur dan seumpamanya.

- Lapangkan dada, bersihkan hati, sucikan niat bahawa tujuan belajar faham agama adalah dengan tujuan untuk beramal, mendapatkan manfaat, untuk lebih mengagungkan Allah dan mencintai Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam dan sesiapa dan apa-apa yang diajarkan kepada kita untuk mencintai mereka.

- Elakkan diri daripada tergelincir atas 'slippery slope' yang menjadikan kita fanatik, ta'asub, merasakan diri dan pilihan guru dan aliran dan kumpulan sendiri sahaja yang paling betul. Elakkan diri daripada berlebih-lebihan untuk kagum pada makhluk sehingga terpaling pandangan kita daripada melihat kepada keagungan Allah.

Kita memohon kepada Allah agar sentiasa dikurniakan keampunan, pimpinan, keberkatan, kemuliaan akhlak, kesudahan hidup yang baik, dan redha-Nya.

Isnin, 2 September 2013

Hanya Harapkan Keredhaan Allah

Carilah ketenangan dan kepuasan apabila benar-benar hati dihadapkan kepada Allah sahaja.

Apa-apa yang dibuat hanya risau sama ada Allah terima atau tidak, Allah redha atau murka. (dan jangan salah faham. Apa-apa yang dilaksanakan ikut perintah Allah pasti bawa kesan baik kepada sesama manusia)

Tidak risau lagi apa manusia nak beri balasan. Tak mengharapkan apa-apa pengiktirafan makhluk yang bersifat majazi-pinjaman.

Tak penat dengan macam-macam sikap manusia, jual mahal, sombong, mengungkit-ungkit, hasad, tidak menghargai dan seumpamanya yang menyesakkan jiwa.

Maka apabila sudah dikosongkan hati daripada kesempitan keburukan dunia, ada lebih ruang untuk kita merasai ketenangan zikruLlah.

Sedikit Panduan Kepada Ibu Bapa dalam Menddik Anak-anak


Ilmu keibubapaan

- Tadi di pejabat, alhamdulillah pengurus sudi berkongsi pengalaman dan ilmu mereka.

- Budaya begini adalah sihat dalam suasana pejabat. Cakap yang tidak kosong. Memandu kehidupan untuk lebih bermanfaat.

- Banyak kebaikan bergaul, bertukar pandangan dengan mereka yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman. Kematangan, cara berfikir dan perspektif in syaa Allah jauh lebih ke hadapan dan sedikit sebanyak kita akan turut terkesan dan terpengaruh.

- Berkaitan kemahiran mendidik anak-anak.

- Saya memang suka jika orang yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman berkongsi. Mereka berkongsi atas pengalaman-tindakan-realiti. Bukan anak muda yang masih mentah dan hanya indah atas kata-kata kertas teori.

- Beliau menyatakan, keberkesanan dalam mendidik anak-anak hendaklah melalui contoh atau teladan. Ibu bapa sendiri hendaklah melaksanakannya sebelum mereka menyuruh anak-anak melakukan.

- Anak-anak mendengar/ikut apa yang mereka lihat, bukan semata-mata apa yang disebutkan oleh ibu bapa.

- Sebagai contoh, bagaimana mungkin berkesan bagi si ayah menyuruh anaknya selalu membaca Al-Quran sedangkan dia sendiri tergagap-gagap membaca Al-Quran, bagaimana mungkin berjaya mendidik anak untuk solat pada awal waktu jika si bapa itu sendiri pada waktu azan dilaungkan masa dilalaikan dengan televisyen.

- Ibu bapa perlu jadi ibu bapa yang boleh berkawan dengan anak-anak (yakni dengan maksud boleh dihampiri dengan mudah dan mesra, tetapi ada ketegasan dan dihormati anak-anak) dan tidak sepatutnya menjadi kawan kepada anak-anak (yakni dengan makna hilang hormat anak-anak terhadap mereka).

- Jadi bagaimana dengan kita? Sudah bermula dan sedang bersiap dengan ilmu sebagai ibu bapa? Mudah-mudahan Allah permudahkan.

- Jika mahu anak-anak lembut lidah dan sentiasa mendampingi al-Quran, maka kita selaku ibu bapa (atau bakal) hendaklah sejak sebelum berkahwin lagi sudah lembut lidah dan sentiasa mendampingi al-Quran. Jika mahu anak-anak sentiasa menjaga solat sunat qobliah subuh serta solat fardhu subuh berjama'ah, maka ibu bapa itu sendiri hendaklah memulakan sejak mereka belum diijabkabulkan lagi (supaya sebati dan ringan dilaksanakan).

- Wawasan kita adalah untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak yang soleh-solehah sebagaimana yang diperintahkan Allah subhanahu wa ta'ala.

- Penulis yang menulis dan berkongsi ini sendiri menujukan catatan ini kepada diri sendiri, dan semoga berguna catatan ini kepada anda semua. Berikhtiar sebaik yang mungkin, memohon bantuan dan petunjuk daripada Allah, agar sentiasa terarah dan dapat melaksanakan tuntutan agama atas kita.

- Sungguh, Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam adalah begitu gembira dengan jumlah umatnya yang begitu ramai, dan sesungguhnya adalah menjadi sumber pahala yang besar dan berterusan melalui anak-anak yang soleh-solehah.

- Semoga Allah perkenankan permohonan kita, dengan keberkatan dan kemuliaan Kekasih-Nya.

Ahad, 1 September 2013

Niat dalam Belajar dan Mengajar - Imam Abdullah Al-Haddad

Susunan kepelbagaian niat dalam menuntut ilmu - susunan Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad.

Kerana modal masa kita adalah amat terbatas, kerana menuntut ilmu adalah suatu pekerjaan dan ibadah yang amat mulia, maka dengan kebijaksanaan mengatur niat yang dihadirkan, banyak nilai pahala dan darjat yang akan diperoleh dalam satu-satu majlis.

Semoga bermanfaat dan beroleh upaya untuk mengamalkannya.

(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)

Sabtu, 31 Ogos 2013

Panduan Quran dalam Pengurusan Kewangan

Salah satu panduan Al-Quran kepada kita dalam mengurus kewangan:

- Jangan terlalu boros, jangan terlalu kedekut. Pilihlah pertengahan. (Mafhum ayat)

Panduan Mengekang Nafsu

Sedikit panduan dalam mengekang nafsu

- Rancangan TV Al-Hijrah petang tadi dalam bab tasowwuf bersama Dr. Zulkifli Al-Bakri membincangkan hikmah Imam Ibnu Atoillah Sakandary rohimahuAllah berkenaan nafsu yang boleh mengambil ruang pada waktu kesenangan, kekayaan. Sedangkan pada waktu kesusahan, kesedihan, kemiskinan, nafsu tidak punyai ruang.

- Nafsu ammarah sememangnya begitu kuat suruhan/keinginan/godaan. Lepas yang satu, yang lain pula, dan berterusan.

- Oleh sebab godaan nafsu yang sangat kuat, maka berlaku kesungkuran, terbabas.

- Oleh sebab yang demikian juga, agama mengajar kita mujahadah nafs (kesungguhan melawan nafsu yang tidak baik).

- Ada dua panduan ringkas yang diberikan dalam mengekang nafsu:

1) Mengambil pilihan gantian yang disediakan oleh Allah. Seperti contoh: menjauhi zina, mengambil pernikahan sebagai jalan yang halal dan betul. Menjauhi riba, mengambil jalan perniagaan sebagai kaedah halal yang disediakan agama.

2) Sedar dan tahu akibat buruk daripada mengikuti hawa nafsu. Tiada sesiapa pun yang untung dengan mengikuti hawa nafsu. Menuruti nafsu akan berakhir dengan kerugian dan penyesalan.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan keikhlasan mujahada kepada kita, agar sentiasa terus melawan nafsu jahat dan godaan syaitan, agar kita terus selamat berada pada jalan pengabdian diri kepada Allah. Semoga Allah perkenankan permohonan kita ini, dengan barokah dan kemuliaan Kekasih-Nya sollaAllahu alaihi wa sallam.

Pentingnya Ulangan Hafazan Quran

Hafazan Quran - pentingnya ulangan yang berterusan sepanjang hayat.

'Maintenance' memang sangat mustahak, demi menjaga ikatan 'unta' yang sangat mudah terlepas lari jika tidak dijaga dan diikat kuat.

In syaa Allah, luangkanlah sebahagian masa kita secara harian, untuk mengulang hafazan Quran yang telah dilakukan. Semoga terus segar-masyi ayat-ayat Al-Quran dalam hati dan lidah.

Ada sesetengah petua menyatakan, kadar ulangan harian bagi mereka yang telah khatam hafazan 30 juzuk Al-Quran adalah mengulang 3 juzuk sehari.

Mudah-mudahan kita dibantu oleh Allah.

Suasana Tempat Kerja Muslim

## Seronok dan berkongsi gembira+syukur dengan suasana solat berjamaah di tempat kerja ##

- Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ditempatkan di tempat kerja yang majoritinya adalah umat Islam. 

- Apa yang menarik yang saya semakin perhatikan dan rasai adalah kemeriahan apabila tiba waktu solat fardhu Zuhur dan Asar.

- Bergeraklah sebahagian staff daripada ruang pejabat dan tingkat masing-masingmenuju ke tempat yang sama, yakni musolla untuk menara/bangunan tersebut.

- 'Meriah' dirasai. 'Berpusu-pusu' orang ke sana. Kerap sesak laluan menuju musolla, panjang baris untuk mengambil wuduk, padat lif menuju musolla. Lebih daripada dua saf untuk jama'ah yang pertama.

- Kadang-kadang ketika bergerak menuju ke musolla, siap berajak-ajak untuk sama-sama berteman menuju ke tempat mulia dan tujuan mulia itu. Kerja ditinggalkan sebentar untuk menyahut seruan yang lebih utama. Waktu solat menjadi particular untuk diawasi.

- Demikian adalah apa yang saya pelajari daripada rakan-rakan saya yang solihin di tempat kerja. Rasa insaf. Lebih 'memukul' keinsafan melihat pengurus, pengurus kanan, technical professional yang lebih tinggi jawatan sendiri begitu menjaga waktu dan solat berjama'ah.

- Demikian suasana tempat dan jenis sahabat-kenalan yang kita gauli banyak beri kesan dan pengaruh kepada agama, ibadah dan akhlak kita.

- Solat adalah tiang agama, dan punyai falsafah yang luas dan begitu mendasar. Jika baik solat, maka baiklah kualiti kerja dan hidup yang lain. (Astaghfirullah, penulis sendiri masih banyak kelalain dan kurang kualiti. Moga Allah ampuni dan bantu untuk islah).

- Solat berjama'ah berikan gandaan 27 kali berbanding solat sendirian.

- Bersegera untuk solat, dan solat berjamaah pada saf bertama adalah ibadah yang sangat besar ganjarannya, dan jika diketahui manusia maka mereka akan sanggup mencabut undi dapatkan giliran laksanakannya.

Panduan Tentang Keutamaan Dalam Hidup

- Sedikit panduan daripada ulama yang arif tentang keutamaan hidup -

# Seandainya kita tahu usia kita yang masih berbaki hanya 7 hari, maka apakah kira-kiranya jenis ilmu yang akan kita betul-betul tumpu untuk belajar+faham+amal?

# Apakah amalan yang akan kita buat dalam masa 7 hari tersebut?

# Adakah akan kita pergunakan 7 hari yang suntuk itu belajar ilmu bahasa asing yang tidak begitu mustahak? Adakah kita masih sibuk untuk melancong ke negara 4 musim dan menghabiskan masa dengan bergambar di sana-sini?

# Maka begitu pasti, masa 7 hari itu akan dilaksanakan dengan pecutan terakhir dengan ibadah yang utama dan besar gandaannya bagi menyiapkan apa-apa bekalan yang boleh dibawa menuju alam kekal bertemu Allah.

# Oh diri si penulis ini sendiri terutamanya, mengapakah masih lalai dengan setiap pertambahan hari dengan rasa seolah-olah masih akan lama lagi hidup, padahal secara pasti dan hakikatnya setiap hari yang bertambah tidak akan lagi datang kembali, maka semakin bertambah sehari kurangnya pinjaman hari yang berbaki untuk persiapan akhirat, semakin sehari bertambah hampir dengan kematian.

Ya Allah, kami memohon pimpinan dan kekuatan daripada-Mu agar sentiasa kami diingatkan, sentiasa dibantu untuk membaiki kualiti ibadah.

**** Moga diri tidak disibukkan dan ditipu oleh dunia yang nilainya tidak lebih daripada sayap nyamuk.

Tenang dan rasional dalam menbuat keputusan hidup yang besar

~Tenang dan rasional dalam menbuat keputusan hidup yang besar~

- Itulah antara pengajaran hidup yang saya pelajari hari ini. Secara khusus melibatkan ikhtiar dan pilihan dalam laluan kerjaya yang akan memberi kesan dalam jangka masa sehingga 20-30 tahun akan datang. Secara umumnya boleh diamalkan dalam segenap aspek hidup.

- Dalam membuat apa-apa keputusan besar, perlu kita utamakan pertimbanganyang rasional dan tenang, berdasarkan pengumpulan fakta, maklumat dan buah pandangan orang lain, lebih-lebih lagi daripada mereka yang berkeahlian/arif/berpengalaman.

- Keputusan besar jangan dibuat dalam keadaan beremosi dan terburu-buru, tanpa ada risikan/carian maklumat yang cukup.

- Jika masa yang sedikit panjang diperlukan untuk buat penilaian dan keputusan, maka laksanakanlah. 

- Maka lebih-lebih lagilah jika keputusan itu melibatkan perhitungan syurga atau neraka, yang melibatkan keadaan akhirat sebagai impak dan destinasinya. Maka keputusan itu hendaklah benar-benar menjadikan iman dan taqwa sebagai dasar panduan.

Banyak Kemudahan Belajar Faham Agama

Kalau nak beri alasan jauh kena naik unta pergi tempat pengajian, memang dah tak dak.

Sekarang dah boleh belajar melalui radio, siaran langsung diajar guru, masuk ke corong suara radio/komputer, di dalam rumah/tempat sendiri. 

Ya Allah, masihkah diri mahu memberi alasan untuk tidak belajar?

Dua Telaga Kaustar Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam

Dikhabarkan kepada kita oleh 'ulama bahawa telaga kautsar yang dianugerahkan kepada Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam nanti ada dua.

Satu di mahsyar, dan satu lagi di dalam syurga.

Mudah-mudahan kita dimasukkan oleh Allah ke dalam golongan yang diizinkan untuk minum daripada air telaga tersebut.

Kerana kita khuatir dan mohon perlindungan Allah daripada termasuk dalam kalangan mereka yang dihalang daripada minum air telaga tersebut, yakni mereka yang ingkar terhadap perintah Allah dan ajaran Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam, bahkan Baginda sendiri murka apabila mengetahui perbuatan mereka.

Awasi Kesan Buruk TV dan Internet

Dalam persiapan untuk memimpin keluarga sendiri kelak, mendapat inspirasi daripada perkongsian syaikh mengenai perkampungan umat Islam yang menjaga biah solehah, secara lebih khusus di perkampungan Derang, Kedah. Tambahan, ada bapa saudara yang tinggal di sana dan pernah saya bertandang ke sana beberapa kali.

Pernah perkampungan tersebut terkenal dengan kampung tanpa televisyen. Saya yakin, ada percaturan dan pertimbangan ulama untuk tidak membenarkan adanya 'tingkap' masuknya perkara yang tidak elok.

Tanpa menafikan ada kebaikan yang dalam siaran TV, tetapi nisbahnya kepada keburukan adalah begitu kecil. Manfaat lebih kecil daripada mudarat.

Jika dilihat dalam konteks hari ini, 'tingkap' keburukan yang lebih luas dan pantas menyebarkan anasir tidak baik (jika tidak dikawal dan ditapis) adalah kemajuan internet.

Buat ibu bapa, jika anak-anak dibiarkan dalam masa yang begitu banyak bersama TV - internet tanpa pengawalan, kita berasa risau akan terbentuknya pemikiran dan sikap mereka yang tidak selari dengan aqidah dan akhlak Islam.

Antara kunci perkongsian ini: kesungguhan dan kerapian pencegahan punca pencemaran minda, tersebarnya kemaksiatan dalam zaman yang banyak fitnah.

Semoga menjadi renungan, panduan demi tindakan kita bersama.

Ahad, 25 Ogos 2013

'Ironi' dalam Amalan Soleh

'Ironi' dalam amalan soleh - dengan mengambil pengajaran daripada Jubbul Hazan

Usaha terbaik agar mendasar dalam diri kita kerendahan hati, tahu dan sedar bahawa diri hanya insan kerdil peminjam nikmat Allah, tak punya apa-apa secara hakikatnya.

Agar tidak kita semakin 'terhijab' apabila bertambah amal? Bukankah itu satu bentuk ironi?

Diharapkan apabila bertambah ilmu dan amal, adalah semakin melihat kebesaran Allah, semakin tidak nampak diri sendiri.

Namun khuatir dan rasa pelik seandainya ilmu dan amal bertambah, apa yang semakin dilihat adalah kehebatan diri sendiri, tidak lagi dilihat keluasan rahmat dan pemberian Allah.

Ruang-ruang 'tergelincir' yang mungkin dapat diamati untuk dihindari:

Wujud rasa bangga diri, wujud rasa semakin memandang kehebatan diri sendiri, semakin terhijab apabila:

- Semakin bertambah ilmu
- Semakin bertambah amalan
- Semakin hebat butiran CV-resume
- Semakin hebat tahap sijil akademik dan insitusi pengajian tinggi yang memberikannya
- Semakin rasa diri lebih 'suci' daripada dosa, semakin rasa diri lebih 'syar'ie', semakin rasa diri lebih 'sufi', semakin rasa diri lebih 'haraki', semakin rasa diri lebih 'jaga ikhtilat', semakin rasa diri lebih 'intelektual', semakin rasa diri lebih 'wara',
- Semakin banyak bergaul, berhubung, bergambar dengan orang-orang besar
- Semakin banyak menukilkan kitab-kitab besar
- Semakin banyak peminat
- Semakin bertambah angka gaji
- Semakin bertambah jenama dan model kereta mewah
- .... dan seterusnya serta seumpamanya.

'Ironi' dalam amalan soleh: secara zohir kita sangka amalan itu sepatutnya membawa syurga, tetapi kerana rosak batinnya amalan itu membawa kepada neraka.

Disebutkan dalam kitab Sairus Salikin oleh Al-Marhum Syaikh Abdus Somad Al-Falimbani pada bab menyatakan uzlah, membawa hadis Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam, hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi rohimahuAllah dalam kitab Zuhud, terjemahannya:

"Minta peliharakan oleh kamu dengan Allah ta'ala daripada 'Jubbul Hazan'. Maka sembah sahabat: Apa ia ya Rasulallah? Maka sabdanya: Iaitu lembah di dalam neraka jahannam yang berlindung daripadanya jahannam setiap hari seratus kali. Lalu ada yang bertanya: Ya Rasulallah! Siapa yang masuk ke dalamnya? Maka sabdanya: Ia disediakan bagi qari-qari yang riya' dengan amal mereka itu."

Antara pengajaran besar lagi adalah: marilah berusaha melakukan amal ibadah kebaikan dengan begitu berhati-hati menjauhi kegelinciran batin.

Menjaga hubungan dan perasaan sesama manusia

- Secara jujurnya, hampir setahun lebih saya bekerja dalam syarikat minyak dan gas negara yang majoritinya (boleh dikatakan lebih 70%) adalah staff Melayu dan/atau Muslim (yakni merujuk expatriates Muslim dari negara umat Islam lain seperti Indonesia, Mesir, Turki dll), banyak kesedaran dan ilmu berkenaan 'soft skills', sikap, interpersonal skills yang saya alami dan pelajari. Sedikit sebanyak telah mempengaruhi perubahan sikap dan cara berfikir sekarang.

- Ditambah pula pengalaman di luar kerja yang saya alami untuk dijadikan perbandingan.

- Boleh dinyatakan secara umum dan ringkas: bahawa akhlak dan sikap yang elok, hubungan yang sopan dan santun sesama manusia dengan menjaga perasaan mereka adalah sesuatu yang diakui oleh seluruh manusia baik mereka itu adalah orang Islam mahupun bukan Islam. (Maka lebih-lebih lagilah orang Islam yang beriman, sememangnya agama ini amat menekankan akhlak yang mulia)

- Sebarang bentuk komunikasi, contohnya melalui e-mel bagi urusan perniagaan sekalipun jika hendak dilakukan akan dibuat draft dahulu agar maknanya jelas dan tidak membawa emotional 'attack' kepada penerima. Sebarang penggunaan jenis pilihan perkataan ada maksud dan kesannya tersendiri. Pengunaan 'bold', huruf besar/caps lock (membawa maksud nada menjerit), "!", warna font merah dan seumpamanya membawa kesan kepada penerima.

- Kita sebagai manusia dan insan lain pun sebagai manusia masing-masing ada perasaan. Oleh sebab yang demikian, marilah kita berfikir sebelum bertindak, agar tindakan kita tidak melukakan perasaan dan menjadikan hubungan terjejas. Kita sendiri boleh membayangkan dan menjangkakan kesan daripada tindakan kita kepada insan lain jika memikirkan seandainya kita adalah penerima tersebut.

- Islam mengutamakan dan melebihkan ganjaran kepada insan yang berakhlak mulia, menjaga hubungan sesama manusia, yang banyak memberikan manfaat kepada manusia, yang mudah didekati oleh manusia lain, yang menghiburkan manusia lain.

- Saya sendiri sentiasa berazam dan berusaha membaiki akhlak, dan memohon doa agar Allah membantu untuk memperoleh kualiti akhlak yang lebih baik.

- Terima kasih kepada sesiapa saja yang telah menunjukkan dua ekstrem tasyadud (terlalu berkeras) dan tasahul (terlalu bermudah); yang menunjukkan akhlak yang indah dan yang menunjukkan akhlak buruk. Maka lebih saya faham dan belajar untuk dijadikan ikutan dan sempadan.

- Bukankah sifat keindahan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam itu berada pada pertengahan di antara dua ekstrem? Mari memilih pertengahan.

- Marilah kita menggunakan akal, rasional, sedar dalam realiti, memandang penting terhadap hubungan yang santun sesama manusia. Islam memberi ruang dan keutamaan kepada akal untuk berfungsi dengan dipandu syariat dan wahyu.

- Dosa seorang hamba kepada Allah, in syaa Allah jika dia bertaubat dan Allah berkehendak untuk mengampunkannya maka akan selesai dosa itu. Namun, jika dosa seorang hamba kepada manusia lain maka dia perlu selesaikan dosa itu dengan manusia tersebut juga. Oleh sebab itu, si syahid yang tidak menjelaskan hutang dengan manusia lain juga akan tersangkut/terjejas dalam perjalanan menuju syurga.
 

Sabtu, 24 Ogos 2013

Doa Pendekat Jodoh



Doa Pendekat Jodoh

- diambil daripada buku tulisan Dr. Haron Din, Darussyifa.

- atas permintaan salah seorang sahabat sebaya dengan saya.

- di samping doa, berikhtiarlah dan proaktif mencari saluran yang ada, dalam bertaaruf dan mencari kesesuaian calon jodoh, dengan niat ibadah.

- semoga bermanfaat.

- sila muat turun gambar ini, zoom in (atau klik kanan) untuk lihat paparan lebih jelas untuk tengok huruf dan baris yang tepat.

Khamis, 22 Ogos 2013

Kerja dengan nilai pahala menuju akhirat



Kerja dengan nilai pahala menuju akhirat

In syaa Allah, walau apa pun pekerjaan kita yang halal menurut neraca syariat, PASTI ada peluang merebut dan menjadikannya nilai pahala menuju akhirat. Sebagaimana yang pernah kita bincangkan sebelum ini, dan juga sedikit lanjutan:

- Golongan mukmin profesional yang bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berkualiti adalah dicintai oleh Allah

- Ada antara dosa si hamba itu yang keguguran - diampunkan oleh sebab kesusahan yang dihadapi dalam bekerja

- Si bapa yang keluar mencari rezeki halal untuk menyara keluarganya, maka itu adalah salah satu jihad

- Mulianya pada pandangan agama para hamba yang makan daripada hasil tangannya (usahanya sendiri)

- Pedagang yang jujur dan amanah akan dikumpulkan bersama para Nabi, orang-orang siddiq, syuhada' (mafhum hadis atau sebagaimana yang disabdakan - (( ﺍﻟﺘﺎﺠﺭ ﺍﻟﺼﺩﻭﻕ ﺍﻷﻤﻴﻥ ﻤﻊ ﺍﻟﻨﺒﻴﻴﻥ ﻭﺍﻟﺼﺩﻴﻘﻴﻥ ﻭﺍﻟﺸﻬﺩﺍﺀ ))
[ ﺭﻭﺍﻩ ﺍﻟﺘﺭﻤﺫﻱ ﻋﻥ ﺃﺒﻲ ﺴﻌﻴﺩ ﺍﻟﺨﺩﺭﻱ]

- Bahkan sepanjang mana-mana senggang yang ada boleh digunakan untuk berukhuwwah, mempamerkan akhlak mulia, mengisi dan membasahkan lidah dengan zikruLlah, solawat.

- Alhamdulillah, in syaa Allah, mudah-mudahan kita beroleh kekuatan dan keikhlasan untuk terus menjadikan setiap saat hidup di dunia ini bernilai akhirat.

- Foto di bawah, dalam kepilan ini adalah diambil daripada Majalah Solusi, diberikan panduan bagaimana kerja yang dilakukan boleh memberikan pahala.

Sabtu, 27 Julai 2013

Terus Maju Ke Hadapan

Assalamualaikum buat semua sahabat rakan,

Selamat meneruskan ibadah dengan penuh kualiti pada hari-hari Ramadhan yang berbaki. Semoga kita memburu redha Allah dan diizinkan bertemu dan memanfaatkan malam Al-Qadr.

Juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya fitri, maaf zahir batin.


.........


Secara tuntas sedikit catatan saya pada kali ini,

- Mari kita lebih memahami realiti dan tujuan kehidupan ini. Maka kita akan lebih mampu untuk membuat keputusan dan keutamaan.

- Hidup kita di dunia ini adalah persinggahan yang cukup singkat. Jadikan kematian sebagai peringatan yang sangat memberi kesan ke dalam keinsafan dan sikap diri terhadap dunia.

- Pertambahan usia akan turut membawa perubahan perspektif kita terhadap dunia dan kehidupan ini. Maka, kita sangat mengutamakan perjuangan sebagai hamba dan khalifah Allah. Peruntukkan segala tenaga, harta, fokus ke arahnya. Utamakan fokus dan usaha bagi manfaat dan kehidupan kekal di akhirat sana. Tutup, potong, henti, kurangkan segala perkara yang tidak bermanfaat dan tidak berkaitan, yang kurang impak positifnya.


... mohon doanya kepada saya dan umat Islam lain, daripada sahabat-sahabat lain....

Khamis, 11 Julai 2013

Sesuaikan kesungguhan usaha kita

Sesuaikan kesungguhan usaha kita berdasarkan nilainya pada pandangan Allah :)

Buat sahabat-rakan yang dikasihi dan dimuliakan kerana Allah,

Kehidupan kita ini memang penat kan? Macam-macam tugasan, macam-macam ujian, kesusahan dan seumpamanya.

Dalam kita meniti kehidupan ini, amat perlu kita fikirkan, bagaimanakah kita menggunakan segala modal yang ada pada kita dengan sebaik-baiknya mengikut keutamaannya.

Bagi yang bekerja, fikir kembali apakah tujuan kerja kita? Jika sekadar mahu mendapatkan kesenangan dunia, mendapat gaji, mendapat bonus, mendapat pangkat tinggi, mahu punyai kereta mewah, banglo mewah dan segala macam barang yang begitu mahal dengan dorongan untuk dipuji dan dipandang hebat makhluk: maka segala penat lelah, kesusahan kerja lebih masa, kesusahan berhadapan dengan bos, klien dan seumpamanya hanyalah terlalu singkat hasilnya. Apabila mati kelak, akan ditinggalkan segala-galanya di dunia ini, Hanya diri dan amalan yang dibawa. Mohon maaf disebutkan, jika niat keduniaan yang disebutkan tadi juga akan menjadikan kepenatan bekerja itu hanya sia-sia, dan boleh membawa kepada azab seksaan di dunia dan di akhirat.

Bahkan:

- Segala isi dunia jika semuanya itu adalah emas, maka-maka sama sekali kesemua emas itu tidak boleh digunakan untuk menebus orang kafir yang diseksa dalam neraka.

- Nilai dunia ini tidak lebih daripada sebelah sayap nyamuk pada pandangan Allah.

- Solat dua rakaat qobliah subuh itu sudah cukup jauh lebih bernilai daripada segala himpunan kekayaaan dunia.

Maka, jangan kita tertipu dengan kehidupan dunia ini yang amat-amat sementara dan melalaikan.

Jadikan segala-galanya dalam hidup kita ini sebagai penghambaan kepada Allah, demi meraih cinta dan redha-Nya. Maka kita akan merasai nikmat syurga itu sejak di dunia lagi (syurga ketenangan dan makrifah)

Semoga Ramadhan ini kita benar-benar manfaatkan demi kebaikan dan perjalanan menuju akhirat kita. :)

Selasa, 9 Julai 2013

Tidur berkualiti sekitar 2-3 jam sehari

Tidur berkualiti sekitar 2-3 jam sehari

Alhamdulillah, petang tadi saya berkesempatan menghadiri majlis ilmu secara langsung kali ke-2 bersama Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, sesi yang dianjurkan oleh pihak syarikat. (Kali pertama dahulu semasa di MCKK, dan beliau Dr. Fadzilah Kamsah juga adalah seorang alumnus MCKK).

Perkongsian adalah berkenaan Ramadhan. Saya berasa cukup tertarik untuk berkongsi satu informasi / tips yang saya amati in syaa Allah bermanfaat, lalu 'menarik' saya masuk ke dalam Facebook untuk menyampaikannya.

Hal tersebut adalah berkaitan. Mengikut kajian saintifik, tidur yang 'solid' adalah sekitar/selama 2 jam sahaja pada waktu malam, dan diikuti tidur siang sekitar 23 minit.

Hal ini adalah selari dengan apa yang ditunjukkan Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam, yang tidur sekitar/selama 2 jam pada malam, dan disertai qoilulah pada waktu siangnya.

Tidur yang mengikut sunnah Baginda sollaAllahu alaihi wa sallam, seperti tidur atas lambung kanan membolehkan rehatnya struktur tulang belakang (jika dibandingkan tidur melentang) dan jantung semasa itu berada di bahagian atas, membolehkan darah dipam lebih efisyen ke anggota badan.

Apa yang diamalkan oleh beliau Dr. Fadzilah Kamsah adalah tidur antara 2-5 pagi sejak beliau berusia 45 tahun, dan kini usia beliau sekarang sudah melebihi 60 tahun.

Ya, jika kita lanjutkan pembacaan dan kajian juga pun, memang banyak seruan oleh agama dan pengamalan para ulama besar silam dan para solihiin yang kurang jumlah tidur malam mereka, Kita juga menyaksikan sehubungan dengan itu, kualiti hidup dan produktiviti mereka adalah tinggi dan sebahagiannya adalah luar biasa.

Dalam didikan pembersihan dan penyucian jiwa, waktu 1/3 malam terakhir memang dilihat sebagai waktu keemasan.

Apa pengajaran secara ringkas dapat kita ambil:

1) In syaa Allah proses pengurangan masa tidur boleh dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (ada disebutkan oleh Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali rohimahuAllah).

2) Tidur yang berkualiti 'solid' dan tidak terlalu panjang in syaa Allah membolehkan kualiti dan produktiviti kita ditingkatkan. Ketenangan malam akan membuka ruang pelbagai ilham dan keluasan usaha.


Semoga Allah mengizinkan kita memperoleh tidur yang berkualiti dan tidak terlalu panjang, lalu membolehkan produktiviti semakin tinggi.

Isnin, 1 Julai 2013

Catatan Kuliah Al-Hikam bersama KH Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari Al-Maliki

Sebahagian manfaat diambil daripada majlis bersama guru kita malam semalam: (dalam susunan perkataan dan kefahaman saya)

- Kurniaan daripada Allah in syaa Allah akan diberikan kepada kita. Namun persoalan lebih besar tertuju kepada kita, "Mahu berusaha atau tidak?" (merujuk mafhum ayat Al-Quran tentang siapa yang bersungguh-sungguh pada jalan-Nya, Allah akan tunjukkan)

- Para auliya Allah, orang-orang yang bersih jiwa mereka, hampir jiwa mereka kepada Allah: hati mereka sentiasa tenang dan lazat dengan zikir kepada Allah, tidak hati mereka berminat dengan kemewahan dunia, dan sedemikianlah keadaanya di dunia sehinggalah ke akhiratnya.

- Mafhum daripada para tokoh sufi, bagaimana menggambarkan kelazatan zikir mereka kepada Allah, maka hal demikian itu diketahui oleh para raja di dunia, maka mereka meninggalkan kesenangan dunia dan menyertai kelazatan zikir tersebut.

- Dosa tetap dijadikan sempadan dan tidak boleh dipermudah-mudahkan dan dijadikan belitan tipuan. Perlu serius dihindari. Seumpamanya, tidak boleh mengatakan tabiat merokok pada seorang yang didakwa wali Allah sebagai suatu penutupan rahsia pada dirinya. (Maka secara jelas kita boleh faham - pengamalan tazkiyyatu an-nafs/tasowwuf perlu berdasarkan dan mematuhi peraturan syariat agama - perlu menjauhi pelanggaran syariat yang bersembunyi atas nama tasowwuf)

- Persiapan zahir seperti kurangnya makan berlebihan, zuhud terhadap kesedapan dunia adalah antara syarat zahir untuk membolehkan kosongnya hati daripada perkara-perkara selain Allah, dan hal sedemikian itu membawa dan membantu mencapai kualiti zikir dalam hati yang merasai kebesaran Allah.

- Perlunya ada guru yang mursyid dalam perjalanan menuju Allah - sehinggalah bertemu Allah - ambil iktibar perjalanan Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam yang dibimbing oleh malaikat Jibril alaihissalam sebagai guru mursyid dalam peristiwa israk mikraj yang memimpin Nabi daripada bermacam-macam gangguan.

Ahad, 30 Jun 2013

Tips Hafazan Al-Quran: Banyakkan Ulangan

Tips petua hafazan Al-Quran:

- Jika pada awalnya berniat menjadikan hafazan Al-Quran sebagai salah satu jalan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah,

maka jika sudah diperoleh hafazan Al-Quran, jagalah dan amalkanlah hafazan tersebut, realisasikan niat pada awalnya. 

Kerana diumpamakan hafazan Al-Quran itu akan 'merajuk' kuat jika lama tidak diulang dihidupkan, dan diibaratkan juga unta yang perlu diikat kemas (dengan ulangan-penjagaan) sebelum unta itu liar kehilangan.

Usaha Baiki Diri Melalui Didikan Solat Berjamaah

Ingin berusaha membaiki diri?

In syaa Allah kita boleh! Bantuan Allah sentiasa hampir kepada kita.

Mulakan dengan satu-satu amalan dulu. Biar berkualiti dan konsisten. Walau ringan dan mudah. 

Bagi para muslimiin (lelaki), bagus dan berguna jika kita mulakan antaranya untuk baiki diri kita dengan menjaga solat fardhu berjama'ah. Kerana ada banyak falsafah dan didikan kepada kita melalui solat fardhu jama'ah.

Lebih hebat lagi adalah solat fardhu subuh berjama'ah. Kerana mafhum hadis: "seandainya seseorang itu tahu keutamaan solat fardhu berjama'ah, maka dia sanggup mendatanginya walau dalam keadaan merangkak."

Semoga Allah memimpin dan memberikan kekuatan kepada penulis yang sentiasa lalai ini terutamanya dan kepada sahabat-rakan semua untuk kita tergolong dalam kalangan mereka yang menjaga solat fardhu berjama'ah, dan sentiasa berusaha membaiki diri.
 

Utamakan Cinta Akhirat



Tidak akan berkumpul antara dua cinta dalam satu hati. Hati kita hanya mampu menanggung satu cinta yang suci sahaja.

(In syaa Allah poster ini saya jadikan hadiah dedikasi kepada sahabat-rakan semua, juga kepada seluruh umat Baginda Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam secara umumnya)

Semoga bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...