Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Sabtu, 31 Disember 2011

Macam-macam ada! Jangan cepat bosan!

Disebabkan keadaan kita sebagai manusia yang serba lemah, cepat cenderung menjadi bosan, maka dalam ibadah ketaatan kepada Allah telah disediakan pelbagai bentuk dan jenisnya.

Dalam solat sekalipun, ada pergerakan berdiri, ruku', sujud, bacaan, gerakan jari dan lain-lain.

Dalam zikir, ada bermacam-macam bentuk zikir.

Dalam selawat ada macam-macam selawat.

Puasa, ada pelbagai peluang masa untuk berpuasa sunat (seperti puasa hari-hari putih, puasa Isnin-Khamis, puasa Nabi Daud 'alaihis salam).

Dan banyak lagi jalan menuju Allah subhanahu wa ta'ala.

Memang 'tak dan' dan 'tak laghat nak kepung' bila tau semua benda ini.

Moga Allah bantu kita beri kekuatan, ikhlas, istiqamah, kualiti dalam ibadah.

Rabu, 28 Disember 2011

Muhasabah - Audit Diri Sendiri

Memang ada keperluannya. 

- Untuk semak, sejauh manakah kewajipan telah kita laksanakan,
- sebanyak manakah dosa-dosa kita jauhi dan bertaubat (bagi dosa yang telah dilakukan), 
- bagaimanakah umur telah digunakan, berapa lama masih berbaki, apakah perancangan utk guna umur selepas ini,
- amalan selama ini, adakah benar-benar ikhlas dan besar kemungkinannya diterima Allah
- dan banyak lagi.... (tetapi utamakanlah yang paling utama)

Kenapa perlu muhasabah?

- Sebab hidup kita atas dunia ini bukan sekadar main-main, setiap perbuatan tercatat dalam buku amalan yang akan disempurnakan balasannya di akhirat.

Bila boleh dilaksanakan muhasabah?

- Antara yang dicadangkan ialah muhasabah harian, sebelum tidur.

Isnin, 26 Disember 2011

Sunnah Nabi Ketika Tidur, Jom Amal

Antara sunnah Nabi kita صلى الله عليه وآله وسلم yang mudah untuk diamalkan ketika tidur:

Tidur di atas rusuk atau lambung kanan.


*Insya Allah dengan niat laksanakan sunnah Nabi, bertambah lagi pahala kita melalui tidur. Jom terus amalkan. :)

Sabtu, 24 Disember 2011

Persiapan Akhirat Kita Bagaimana?

Mulakan persiapan SEKARANG! Bukan esok, bukan lusa, bukan minggu depan, bukan bulan depan, bukan tahun depan.



(Klik pada gambar untuk lebih jelas)



Sabtu, 17 Disember 2011

Hindari Dosa Mengumpat dan Fitnah

Gambar sekadar hiasan, (sumber)


Dosa mengumpat dan fitnah merupakan dosa yang melibatkan makhluk lain. Dosa seperti ini tidak diampunkan oleh Allah, melainkan orang yang diumpat dan difitnah itu sendiri memaafkan kesalahan itu. 

Seandainya perkara ini tidak diselesaikan di dunia, maka akan dibawa pengadilannya ke akhirat. Pahala orang yang mengumpat dan memfitnah akan diberikan kepada orang yang diumpat dan difitnah. Sekiranya pahala sudah tidak mencukupi untuk diberikan, maka si pengumpat dan pemfitnah itu akan menanggung dosa orang yang diumpat dan difitnahnya.

Lihat, betapa besarnya kesan buruk dosa mengumpat dan memfitnah serta dosa-dosa lain yang melibatkan makhluk.

Abu Hurairah رضي الله عنه melaporkan bahawa Baginda Rasulullah صلّى الله عليه وآله وسلّم  pernah bersabda:

"Saudara-saudara tahu apa itu mengumpat?"

Sahabat-sahabat Baginda menjawab:

"Allah dan utusan-Nya yang lebih mengetahui."

Rasulullah bersabda:

"Mengumpat itu adalah saudara menyebut hal rakan saudara yang tidak disukainya."

Ada orang bertanya:

"Apa pandangan tuan apabila saudara saya itu memang sifatnya seperti saya sebutkan?"

Baginda menjawab:

"Apabila dia memang begitu, maknanya saudara mengumpat kepadanya. Apabila dia tidak bersifat seperti apa yang saudara katakan, bererti saudara memfitnahnya."

(Hadits riwayat Imam Muslim رحمه الله , dicatatkan oleh Imam An-Nawawi رحمه الله dalam kitab Riyadhus Sholihin)

Oleh sebab yang demikian, dengan berpandukan pengajaran hadis di atas, mari sama-sama kita melakukan muhasabah atas diri kita sendiri. Adakah sehingga kini, perbuatan kita itu sebenarnya adalah umpatan dan fitnah yang tidak kita sedari?

Jika ya, maka bersegeralah kita berhenti dan memohon kemaafan daripada mereka yang telah kita umpat dan fitnah.

Selain daripada itu, sama-sama kita gerakkan usaha kesedaran dan pencegahan agar tabiat berdosa tersebut dihindari oleh ibu bapa kita, ahli keluarga kita, jiran-jiran, sahabat-rakan kita dan umat Islam secara umumnya.

Mudah-mudahan mendapat manfaat dan barokah daripada Allah.

Jom terus bertindak!
  

Isnin, 12 Disember 2011

Yakinlah Dengan Sifat Maha Adil dan Maha Memberi Allah





Tenang hati apabila teringat pesan syaikh: jikalau kita dapat apa semua yang kita rancang, apa yang mahu, apa yang kita minta kepada Allah, kita me'maksa' Allah makbulkan apa yang kita minta, jadi siapa sebenarnya Tuhan? Allah ya Allah, pimpin hamba jadi hamba-Mu yang lebih mensyukuri nikmat-Mu.

Pengajaran untuk difikirkan bersama: teruskan mentaati Allah, berikhtiar semampu mungkin, berdoa dan bertawakkal kepada-Nya. Sesungguhnya ketentuan dan pemberian Allah kepada kita adalah yang terbaik.

..

Isnin, 28 November 2011

Muqaddimah dan Intisari Surah Yaasiin


*Catatan ini adalah berdasarkan risalah seperti tertera dalam gambar di atas, dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Kelebihan Membaca Al-Quran 

Orang yang membaca Al-Quran mendapat pahala daripada setiap huruf demi huruf yang dibacanya sama ada yang membaca itu tahu maknanya atau tidak.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلّم  daripada Abdullah bin Mas'ud maksudnya:

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf. 


Firman Allah, Surah An-Naml, ayat 91-96:

Maksudnya:

Aku disuruh menjadi seorang yang memeluk Islam dan membaca Al-Quran.

Rabu, 9 November 2011

Mencari Yang Kekal

Gambar sekadar hiasan (sumber)

Ya Allah, hamba benar-benar mengadu dan memohon kepada-Mu agar hamba ini dipimpin dan diberi kekuatan untuk sentiasa terus tetap hati dan kukuh berusaha sedaya mampu sebagai hamba-Mu mencari setiap perkara yang kekal pada sisi-Mu. Ya Allah, jangan biarkan hamba ini terleka, terhanyut walau seketika daripada pencarian yang kekal itu. Ya Allah, pimpinlah hamba agar menjadi hamba-Mu yang lebih mensyukuri segala nikmat-Mu, yang mampu lebih sentiasa bersangka baik atas ketentuan-Mu. Ya Allah, izinkan hamba suatu ketika nanti sudah tidak lagi melihat kesementaraan dunia ini, pada masa itu hamba hanya melihat Kekekalan-Mu Ya Allah. Ya Allah, hamba benar-benar memohon agar segala penghambaan hamba sehingga kini Kau terima ya Allah.

اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم

...

Ahad, 6 November 2011

Menjadi Hamba Allah

Gambar sekadar hiasan (sumber

Pada tahap makrifatullah (mengenal Allah) yang lebih tinggi, seseorang hamba itu sudah mula merasai bahawa tidak ada apa yang dilihatnya melainkan semua apa yang dilihatnya itu membawanya untuk ingat akan Allah, kerana semua yang dilihat itu 
adalah ciptaan Allah ( لا مشهود الا الله)


Dalam perjalanan hidup ini, semakin hari yang bertambah dengan segala macam bentuk ujian wajar semakin mendidik rasa dan adab kehambaan kita kepada Allah.

Semakin usaha yang dilakukan untuk mencari redha Allah, semakin patut diri lebih mengenali diri sendiri, semakin mengenali Allah sebagai Tuhannya.

Ya Allah, hamba mengaku bahawa hamba ini sememangnya hamba-Mu. Diri hamba ini diselaputi dengan dosa dan kelalaian, banyak lagi nikmat-Mu yang tidak mampu disyukuri, banyak lagi hak-Mu sebagai Tuhan yang belum mampu hamba penuhi. Hamba tak miliki apa-apa, hamba adalah sekadar peminjam segala macam nikmat-Mu yang tidak mampu dihitung.

Ya Allah, hamba ini punyai cita-cita yang mulia dan besar, tetapi hamba tidak tahu hamba ini layak atau tidak memilikinya. Hamba sedar akan kelemahan dan kekurangan diri, dan pada masa yang sama meyakini bantuan-Mu ya Allah yang sehingga kini tak pernah putus-putus datang. Pimpinlah hamba ini, kerana hamba sekadar melakukan apa yang termampu berdasarkan pengetahuan dan keupayaan hamba yang amat-amat cetek dan terbatas ini. Mudah-mudahan, keazaman untuk menjadikan keseluruhan hayat ini sebagai penghambaan kepada-Mu akan menjadi semakin segar dan dikukuhkan, sama sekali tidak dilunturkan.

Allahu Allah, Allahu Allah, Allahu Allah. Ya Allah, dengan keberkahan Nabi-Mu, perkenankan pengaduan dan permintaan hamba.

اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم



Sabtu, 5 November 2011

Petua Berguna Agar Doa Dimakbulkan oleh Allah

Gambar Masjid Madinah, di mana adanya Nabi kita sholla Allah 'alaihi wa sallam.
(Sumber gambar, Abu Nura)

Kepada para sahabat-rakan pengunjung laman ini,

Mudah-mudahan Allah sentiasa mengampuni dosa kita, merahmati kita serta menyelamatkan kita daripada segala azab di dunia dan di akhirat.

Pada catatan kali ini, insya Allah kita berkongsi mengenai satu petua agar doa kita diterima oleh Allah.

Caranya ialah dengan mengapit doa kita dengan selawat dan salam atas Penghulu kita Nabi Muhammad sholla Allah 'alaihi wa sallam dan keluarganya pada permulaan dan akhir doa.

Hal ini demikian kerana telah dipersetujui oleh para 'ulama Islam bahawa selawat dan salam yang diucapkan oleh orang yang berkekalan melakukan dosa (fasiq) sekalipun akan diterima oleh Allah (sebagaimana yang saya dengar daripada guru yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizhohu Allah). Insya Allah, selawat yang mengapit doa kita itu ibarat lift yang membantu mengangkat doa kita, untuk diterima oleh Allah.

Bahkan lebih daripada kebaikannya untuk diamalkan semasa berdoa, ibadah berselawat ini ada begitu banyak faedahnya. Boleh dikatakan, kalau lidah kita sentiasa sibuk dengan selawat pagi petang siang malam sekalipun tidak akan merugikan sama sekali.

Mudah-mudahan Allah beri kepada kita kekuatan untuk mengamalkan ilmu ini dengan ikhlas dan berterusan. Juga, sebarkanlah kebaikan ini kepada umat Islam yang lain juga.




اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم




***

Rabu, 2 November 2011

Hajat Besar

Gambar sekadar hiasan (sumber)

Kegersangan jiwa kita ini insya Allah dapat dibasahi dengan sentuhan didikan para syaikh yang jernih hati mereka, jelas perjalanan 'aqidah mereka, yang ada pertalian sehingga sampai pada Baginda Nabi kita Muhammad sholla Allah 'alaihi wa sallam.


Alhamdulillah, dan insya Allah saya dan sahabat-sahabat di sini semakin menghampiri detik-detik menamatkan pengajian akademik peringkat sarjana muda. Semakin lama, semakin dekat untuk pulang ke Malaysia.

Saya berhajat dan berazam, agar Allah mengizinkan saya untuk beroleh pekerjaan tetap dan bermastautin di Lembah Klang. Syukur atas kurniaan-Nya, makin lama makin kuat dan mengakar kerinduan dan keinginan untuk melazimi majlis pengajian secara talaqqi (bersemuka dengan guru yang tsiqah dan ada pertalian ilmu) dengan para syaikh di sana. Keberadaan hampir 3 tahun di perantauan ini seolah-olah menjadi satu tempoh didikan bahawa peluang untuk bertemu dan belajar dengan para syaikh ini ialah suatu nikmat yang amat-amat berharga. Allahu Allah. Begitu asyik melihatkan para syaikh kita, dengan kesantunan akhlak mereka, setiap lafaz yang dituturkan ibarat tepat menghala ke hati kita dan berbekas kuat. Kadang-kadang, bisikan hati menyatakan, nanti apabila berada di Malaysia, kalau terlepas satu majlis ilmu bersama mereka sahaja sudah menjadi kerugian besar yang patut benar-benar ditangisi.

Saya berpendapat, budaya mulia berdampingan dan belajar dengan para syaikh-'ulama ialah satu perkara yang wajar dipupuk. Insya Allah, dengan keberkahan yang ada pada mereka, insya Allah proses pembaikan diri dan umat ini akan berlangsung dengan berkesan. Ada kalanya, kenikmatan dan keseronokan yang dialami jiwa yang menghadiri majlis-majlis ilmu mereka adalah tidak mudah untuk digambarkan kepada insan lain. Lepas cuba, baru rasa! Ibarat nak ceritakan kesedapan sesuatu masakan, tak sah melainkan orang lain itu sendiri merasainya.

Insya Allah, dengan niat untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, mencari ilmu dan kefahaman dengan ikhlas demi diamalkan, insya Allah kita akan beroleh keberkahan daripada Allah. Terasa mudah nak faham, selalu ingat, mudah dan seronok untuk mengamalkannya secara berterusan. Allahu Allah.

Sahabat-rakan pembaca,

Anda ada pengalaman untuk dikongsikan?

Boleh catat di bawah ini.

Mudah-mudahan Allah membantu setiap urusan penghambaan kita.


...


Selasa, 1 November 2011

Ya, Adil Lah Untuk Mereka Berdua

Gambar sekadar hiasan (sumber)

Bakal/calon suami: matanya tidak liar memandang perkara yang sia-sia, yang makruh dan yang haram. Dirinya tetap dengan mujahadah untuk istiqomah mentaati Allah dan Rasul.

Bakal/calon isteri: tubuh badannya terpelihara rapi daripada tatapan umum (termasuk tidak tersiar secara umum di laman Facebook, blogspot dan seumpamanya), berjubah (atau pakaian labuh dan longgar), bertudung labuh ( atau bulat atau yang menutup aurat dengan sempurna), berniqob (tutup muka), tangan bersarung, kaki bersarung. Dirinya juga tetap dengan mujahadah untuk istiqomah mentaati Allah dan Rasul.

Perbandingan di atas sekadar salah satu daripada ciri-ciri sebagai contoh yang dapat dikemukakan untuk difahami.

Kita pernah dengar kan lagu Cari Pasangan alunan kumpulan Rabbani? Jika tidak silap penulis, lagu tersebut adalah berkenaan bapa dan ibu kepada Imam Abu Hanifah rohimahu Allah. Lihat, bagaimana hebatnya persiapan iman dan taqwa ibu bapanya, Imam Abu Hanifah lahir sebagai insan begitu hebat.

Kita berdoa kepada Allah agar dibantu usaha menjadi hamba Allah yang taat, bakal/calon suami atau isteri (atau pasangan, bagi mereka yang sudah bernikah) yang bersungguh-sungguh beramal dengan agama. Saya setuju dengan nasihat yang selalu disampaikan, agar kesempatan masa bujang ini dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai persiapan sebelum menempuh alam sebagai suami-isteri. Bagi mereka yang berwawasan sejauh akhirat, yang mencintai Allah dan Baginda sholla Allah 'alaihi wa sallam, pastinya mereka adalah sangat komited menjadikan peluang berumah tangga sebagai sunnah Nabi kita yang dihidupkan, perkongsian pintar antara suami dan isteri dan menuju syurga Allah, proses melahirkan dan membesarkan generasi Islam yang soleh-solehah.

Ya Allah, bantulah kami dalam usaha kehambaan. Sungguh-sungguh kami ini berhajat kepada pimpinan dan bantuan-Mu.

...

Isnin, 31 Oktober 2011

Fokus dalam Hidup Kita!

Gambar sekadar hiasan (sumber)


Sahabat-rakan yang dirahmati Allah sekalian,

Hidup kita ini sememangnya satu perjalanan. Pahit manis yang kita tempuhi, pasti ada hikmah dan makna di sebaliknya. Sesuatu pengajaran dan makna hidup yang kita alami sendiri pada sesuatu kejadian, insya Allah akan memberikan kefahaman dan kesedaran yang lebih kuat mengakar dalam diri berbanding bacaan teori kita semata-mata.

Apabila perkara sedemikian berlaku (kejadian yang disusuli kesungguhan kita berfikir mencari hikmah di sebaliknya), maka hargailah hikmah yang kita pelajari, agar menjadi pedoman berguna sepanjang hayat.

Fokus dalam hidup kita

Ya, perkara di atas baru sahaja terhasil daripada pemikiran saya setelah melalui sedikit sebanyak pengalaman belajar di Adelaide, Australia ini. 

Memang kita ini makhluk Allah, keupayaan dan modal kita adalah amat terbatas. Mustahil bagi kita untuk melakukan apa-apa sahaja di atas muka bumi ini.

Oleh sebab yang demikian, amat-amat perlu bagi kita untuk menyusun atur keutamaan yang paling utama yang wajar diutamakan. Dalam kata lain, berilah fokus kepada apa yang paling mustahak dalam hidup ini!

Jika dilihat dalam rangka yang lebih besar dan kekal, fokus kita sepatutnya adalah untuk melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangannya.

Insya Allah, mudah-mudahan kita diberi kemudahan dan kekuatan untuk memahami perkara ini. Saudara-saudari cubalah renungi perkara ini, dan cuba lihat aplikasinya yang paling hampir, dalam kehidupan sendiri.


Ya Allah, bantulah kami para hamba-Mu ini dalam benar-benar mensyukuri segala nikmat-Mu.


...

Sabtu, 29 Oktober 2011

Beberapa Minggu Yang Dinantikan



Salam mahabbah kepada semua sahabat pengunjung blog ini,


Mudah-mudahan Allah sentiasa merahmati dan memberkahi usaha kita.

Insya-Allah, saya bakal menduduki ujian pada Isnin dan Rabu depan, dan peperiksaan pada Sabtu 12 November 2011. Keputusan pula akan diumumkan pada 7 Disember 2011.

Mohon kebaikan anda mendoakan kejayaan kami semua, lulus dalam setiap mata pelajaran, lulus untuk menamatkan pengajian sarjana muda pada hujung tahun ini. Allahumma aamiiin.

(Sekarang ini kami berjuang semampu mungkin, sehabis baik dalam persediaan menempuh ujian dan peperiksaan tersebut.)


...

Ahad, 16 Oktober 2011

Mari Perkukuh Ilmu 'Aqidah Kita



Buat semua sahabat pengunjung blog ini yang saya kasihi kerana Allah,

Saya menyeru diri saya sendiri, ibu dan ayah saya, ahli keluarga saya, sahabat-rakan dan umat Islam secara umumnya, untuk sama-sama perkukuh, perkemas ilmu dan kefahaman 'aqidah kita kerana itulah tunjang utama keselamatan kita di dunia dan di akhirat. 'Aqidah kita ialah 'aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, sama ada mengikut susunan ilmu Imam Abu Hasan Al-Asy'ariy (yang dirujuk sebagai Al-Asha'irah) atau Imam Abu Mansur Al-Maturidiy (yang dirujuk sebagai Al-Maturidiyah). Insya Allah, majoriti 'ulama Islam berpegang dengan susunan 'aqidah ini.

Saya menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam seandainya ada mana-mana pihak sekalipun yang menganaktirikan pengajian ilmu 'aqidah secara bertalaqqi dengan syaikh yang diiktiraf keilmuwannya oleh para 'ulama lain, mungkin dengan sebab pertimbangan program pengajian sebegini mungkin hanya bermanfaat untuk tahu tradisi ilmu Islam, membaiki ruh, dan seumpamanya; atau mungkin pengajian sebegini (belajar ilmu 'aqidah) adalah kurang penting bagi organisasi dakwah dan tarbiyyah mereka.

Ingatlah bahawa ilmu 'aqidah ialah ilmu yang terpenting. Saya sama sekali tidak menentang sesiapa pun untuk gah dan hebat serta lantang berbicara berbagai-bagai disiplin ilmu Islam yang lain, mungkin yang amat popular sekarang ini adalah untuk berbincang dan menzahirkan kekuatan ilmu dalam bab-bab yang berhubung as-siyasah (politik) dan lain-lain. Tapi, tuan-tuan kena fikir, hatta kalau tuan-tuan sudah berjaya menguasai pemerintahan mana-mana negara atau negeri di dunia ini sekalipun, tetapi pada peringkat 'aqidah yang asas sekalipun sudah punah dengan ber'aqidah dengan 'aqidah yang salah dan sesat: seperti beri'tiqad Allah itu bertempat, Allah itu duduk sila lendik di atas 'arasy, Allah itu ada di langit, Allah itu turun zat-Nya ke langit dunia pada sepertiga akhir malam, Allah itu ada tangan dan pelbagai anggota tubuh badan yang lain, maka mungkinkah akan selamat?

Sahabat-sahabat dan para pembaca yang budiman,

Marilah sama-sama kita merenung hal ini. Saya amat menyeru sesiapa sahaja yang kesedaran Islam dan punyai jawatan dalam apa-apa organisasi sekalipun, utamakanlah untuk memperkasa pegangan 'aqidah umat Islam yang berteraskan kefahaman majoriti 'ulama Islam. Kita berasa amat risau jika umat yang masih goyah pegangan 'aqidah terus disibukkan dengan polemik dalam isu politik kepartian, terus bertelagah sesama umat Islam.



Lebih merisaukan dan mendukacitakan (berkemungkinan memang terjadi secara realiti, atau jika tidak terjadi sekalipun kita boleh berjaga-jaga dengan situasi ini) apabila wujud aktiviti usrah dan macam-macam program yang kelihatan berjenama Islamik mendakwa mereka mengajak masyarakat kepada Islam, tetapi kandungan perbincangan itu tidak diambil daripada sumber yang sahih, kandungan itu sekadar dibaca sendiri oleh para naqib dan naqibah melalui dokumen Microsoft Power Point, PDF, Microsoft Word, dan macam-macam bahan bacaan lagi yang diedarkan oleh ketua mereka dari tempat lain. Kemudian naqib-naqibah itu pula nak kena terangkan kepada anak-anak usrah, hanya dengan kefahaman daripada bacaan sendiri mereka sahaja! Apabila timbul persoalan, kalau naqib-naqibah itu sendiri tidak mampu, kalau dia masih ego nak jaga status, mungkin dia mula beri komentar yang sudah lari daripada kefahaman sebenar. Pergerakan sebegini juga merisaukan kita seandainya mereka berkiblatkan bahan-bahan yang kontroversi, khususnya datang dari Arab Saudi. Selain daripada itu, jika tidak diteliti, kerana kesungguhan mereka nak bersama al-Quran, mereka mungkin terdedah untuk membaca terjemahan al-Quran yang tidak selamat, seperti terjemahan pada ayat-ayat Al-Quran yang samar-samar maknanya yang menjurus kepada 'aqidah Tuhan itu ada anggota tubuh badan serta pelbagai khayalan dan bid'ah yang menyesatkan.


Perkara penting di atas ialah: saya tidak menyalahkan atau memburukkan aktiviti seperti usrah, tetapi sejauh manakah ketelitian para penggeraknya memastikan mereka menguasai perkara yang nak disampaikan dalam usrah itu berdasarkan kefahaman yang betul? Dan pastinya kefahaman tentang dalil Al-Quran dan Al-Hadis hendaklah berteraskan kefahaman daripada para 'ulama, bukannya kefahaman ahli farmasi, kefahaman juruterbang, kefahaman doktor perubatan dan lain-lain yang tidak menguasai ilmu-ilmu sedemikian secara berguru. (Hal ini sememangnya ada pengecualian, kerana memang ada protaz yang sebenar-benarnya protaz, 'alim dalam ilmu agama secara berguru dan pada masa berkhidmat sebagai doktor perubatan, pembedahan seperti Syaikhna Dr Yusri di Mesir.)


Insya Allah catatan saya pada kali ini adalah untuk kebaikan kita umat Islam secara umumnya. Saya mohon maaf seandainya ada apa-apa salah faham dan sebagainya.


...

Sabtu, 1 Oktober 2011

Mari Mula Mengatur Langkah ke Arah Keluarga Islam Sejati

Sekarang, masa terasa semakin pantas. Saya pun masih ada beberapa minggu sahaja lagi sebelum menamatkan pengajian sarjana muda secara rasmi. Mudah-mudahan kami lulus untuk graduasi.

Sekarang, sibuk juga persiapan diri dibuat untuk menghadiri temuduga kerja, serta perkara berkaitan untuk 'settle down' di Malaysia nanti.

Pada masa sama juga, saya terfikir, bagi kami yang seangkatan, sebaya umur mungkin sudah mula mengorak langkah, mula mengkaji, mula belajar, mula mencari pedoman dan hikmah dalam usaha mendirikan sebuah keluarga Islam yang solehah.

Mula mengatur langkah bukan bermakna seseorang itu akan terus beraqad nikah dalam masa sebulan dua nanti, tetapi sebenarnya merancang dan melaksanakan satu cita-cita besar yang mulia. Mungkin ambil masa bertahun-tahun.

Ya Allah, permudahkan urusan kami. Jangan dipalingkan hati kami daripada memilih apa sahaja yang mulia pada penilaian-Mu.

...

Jumaat, 16 September 2011

Sahabat-sahabat, Kita Rebut Apa Yang Pasti

Buat para sahabat yang sudi mengunjungi blog saya ini,

Terasa terpanggil saya nak berkongsi hikmah ini, insya Allah datang dari hati saya sendiri. Mungkin sedikit sebanyak perjalanan kehidupan setakat ini membuatkan kesedaran saya semakin bertambah berkesan.

Jom kita rebut apa yang pasti. Yang pasti? Apakah itu?

Yang pasti di sini ialah keredhaan Allah. Setiap apa sahaja kita laksanakan, dengan niat 100% ikhlas kerana-Nya dan mematuhi peraturan agama pelaksanaannya, maka insya Allah itu sudah menjadi satu perkara yang pasti.

Percayalah, bahawa makhluk tidak menjanjikan apa-apa kepastian pun. Maksud saya, jika kita memburu apa yang nampak menarik di dunia sahaja, perkara itu belum pasti lagi.

Pada masa yang sama juga, ayuh kita lebih mengukuhkan pergantungan kita kepada Allah. Dia-lah Sebaik-baik Yang Menjadi Pergantungan seluruh makhluk-Nya.


...

Jumaat, 9 September 2011

Menghadapi Fenomena Pemanasan Global



  1. Keberadaan saya di bumi Australia ini insya Allah akan berakhir dalam beberapa bulan lagi.
  2. Saya cuba sedaya upaya untuk memerhati dan mengambil sebarang manfaat yang ada di negara ini.
  3. Seiring dengan kehendak pada peringkat antarabangsa dalam berhadapan dengan isu pemanasan global, yang banyak berpunca daripada kandungan gas karbon dioksida yang tinggi di atmosfera, kerajaan Australia merancang dan melaksanakan langkah-langkah mereka yang tersendiri.
  4. Jika dilihat dari perspektif agama, pemanasan global pada akhir zaman ini disumbangkan oleh dosa-dosa manusia (sebagaimana ada disebut Syaikh Ahmad Fahmi).
  5. Kerajaan Australia dilihat komited merancang dan melaksanakan rancangan 'carbon price' dalam usaha mengurangkan pencemaran udara (penambahan gas karbon dioksida di atmosfera). 
  6. Rakyat dibekalkan dengan buku keterangan pelaksanaan rancangan tersebut.
  7. Pengeluar/pengilang yang terbanyak menyumbangkan gas tersebut akan membayar harga bagi pembebasan karbon yang dilakukan. 
  8. Sebagaimana ada yang disebutkan kerajaan Australia: "A carbon price is designed to change production processes of large polluters, so they pollute less.", kesungguhan mereka dalam mengurangkan pencemaran tersebut wajar diambil iktibar.
  9. Tidak kira siapa pun, di mana pun, menjadi amanah kepada kita untuk menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya.
  10. Pautan-pautan berikut dapat memberikan maklumat lanjut bagi kita mengkaji tindakan yang dilaksanakan Australia dalam isu ini:
    1. http://www.cleanenergyfuture.gov.au/
    2. http://www.livinggreener.gov.au/
  11. Mudah-mudahan bermanfaat. Ada juga maklumat bagaimana pencemaran dan pembaziran wang dapat dihindari.

...

Selasa, 6 September 2011

Mari Bina Kualiti Diri Sebagai Hamba-Nya



  1. Assalamu'alaikum kepada semua sahabat pengunjung dan pembaca blog saya, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan mujahadah untuk melaksanakan penghambaan yang terbaik kepada-Nya.
  2. Pada catatan kali ini, saya berasa berbesar hati untuk menyatakan ingatan seperti yang tercatat pada tajuk di atas.
  3. Tidak kira berapa pun umur kita pada ketika ini, sama-sama kita lebih meningkatkan usaha untuk membina kualiti.
  4. Perjalanan menuju akhirat, keselamatan untuk melintasi titian sirat yang di bawahnya adalah neraka merupakan satu perjalanan yang sangat panjang, dan memerlukan bekalan yang sangat banyak.
  5. Saya terfikir, lebih-lebih lagi bagi mereka (termasuk saya) yang masih berada pada awal usia 20-an, masih lagi belum disibukkan dengan kerjaya, isteri (atau suami) dan anak-anak, betapa beruntungnya jika masa keemasan ini kita sungguh-sungguh manfaatkan dengan pembinaan kualiti, pengukuhan alat-alat asas.

Isnin, 5 September 2011

Semakin Suntuk



Sehari yang bertambah, semakin hampir kepada kematian dan akhirat, dan amal kita pun wajar lebih perkasa, berkualiti dan banyak..

Itulah sewajarnya yang sentiasa perlu kita sedar dan ingat. Begitu mudah sebenarnya kita dihanyutkan dengan arus dunia. Seolah-olah diri kita tak putus-putus dipujuk dan diyakinkan bahawa kehidupan di dunia ini masih lama lagi.

Ya Allah, tak terbayang keperitan, ketakutan, perasaan cemas yang begitu menakutkan apabila seseorang itu dia dijemput oleh malaikat maut, tetapi diri masih tidak ada persiapan. Dia minta ditangguhkan kematian itu, bagi membolehkan persiapan amal. Namun permintaan itu tidak diterima kerana nyawa yang dicabut itu terlaksana tepat pada masa yang ditetapkan Allah, tidak dicepatkan atau dilewatkan walau sesaat.

Sahabat-sahabat pembaca yang saya muliakan kerana Allah,

Bukankah kecintaan yang benar-benar suci dan berakar akan akhirat itu akan membuahkan ketaatan yang bersungguh-sungguh?

Sama-sama kita renungkan dan beramal dengan ikhlas dan terbaik.


.....

Sabtu, 3 September 2011

Mampukah Kita Untuk Menjadi Sentiasa Sempurna?

Manusia biasa, selain daripada para Rasul dan Nabi, adalah tidak terlepas daripada berbagai-bagai kelemahan, kesilapan dan kesalahan.

Baik juga kalau kita mengaku sepenuh hati akan ketidaksempurnaan itu dan sentiasa berusaha untuk membaikinya.

Dengan menyedari hakikat diri terdedah dengan segala perkara tersebut juga, jangan dijadikan alasan pula untuk kita sentiasa malas, leka, cuai dan seumpamanya.

Dengan izin Allah, segala proses itu akan menghadirkan makna kehidupan, makna Allah sebagai Tuhan kita, makna kita sebagai hamba Allah.

Ya Allah, bantu kami untuk membaiki diri kami ini.


.....

Khamis, 11 Ogos 2011

Panduan Mencari Lailatul Qadar


Kepada sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah,

Insya Allah dalam pencarian Lailatul Qadar, ada panduan yang disusun oleh para 'ulama yang berpengalaman dalam bertemu malam agung tersebut.

Untuk melihatnya, sahabat-sahabat boleh klik di sini dan melihatnya.

Semoga bermanfaat.



...

Sabtu, 30 Julai 2011

Jangan Bertangguh-tangguh, Jangan Terlalu Berasa Selesa




Sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah,

Saya sekadar mahu berkongsi cebisan nasihat untuk diri saya sendiri dan anda semua. Catatan pendek, dan bukannya artikel yang menerangkan. Andai anda ada komentar yang dapat menghuraikannya, silakanlah berkongsi ilmu.

Saya mengamati ada dua penyakit yang berbahaya dan boleh membawa kesan yang tidak bagus untuk diri kita.

Pertama: sikap suka bertangguh-tangguh sehinggalah ke saat akhir.

Kedua: berasa selesa dengan diri / terlalu berada dalam 'comfort zone'.

Akhirnya, kesan daripada dua tabiat di atas akan berkumpul dan menghasilkan natijah yang kurang menggembirakan. Bagi tabiat kedua di atas, tabiat berasa diri sudah baik akan menyebabkan usaha membaiki diri tidak berlangsung, dan diri akan berasa selesa dengan keadaan tersebut secara berterusan, juga boleh mengakibatkan tanggapan yang mudah, memandang enteng kepada banyak aspek hidup.

Mudah-mudahan Allah selamatkan kita daripada terus berada dalam bencana sedemikian. Ya Allah, sesungguhnya Kau lebih mengetahui bahawa hamba ini tersedar akan kesilapan silam dan ingin terus membaiki diri. Bantu dan pimpinlah kami ya Allah.


...

Khamis, 28 Julai 2011

Sesuatu yang sering diulang itu adalah penting



Sesuatu yang sering diulang itu adalah penting (contoh: kisah Al-Kiflu)

Sesuatu yang banyak disebutkan dalam Al-Quran dan sabdaan Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi wa sallam menunjukkan tuntutan yang kuat atas perkara itu. Nabi s.a.w. dalam memberikan sesuatu nasihat yang penting, Baginda banyak mengulanginya.

Ada satu hadits tentang seorang yang disebut sebagai ‘Al-Kiflu’ (?-ejaan yang lebih tepat diperlukan berdasarkan bahasa ‘Arab). Al-Kiflu merupakan seorang pemuda yang hidup pada zaman sebelum kita (sebelum Nabi Muhammad s.a.w. hidup). Bagi lelaki ini, tidak ada perkara yang haram baginya, semuanya halal (dia melakukan begitu banyak dosa, perkara haram). Sahabat Nabi s.a.w. yang meriwayatkan kisah Al-Kiflu ini menyatakan bahawa beliau mendengar kisah ini disampaikan Nabi s.a.w. bukan sekadar sekali, bukan tujuh kali, bahkan lebih daripada itu. Kisah itu merupakan kisah yang cukup penting, oleh yang sebab yang demikian Nabi s.a.w. begitu banyak sekali menceritakan kepada para sahabatnya. Sahabat-sahabat menyatakan, kisah itu diulang Nabi s.a.w. lebih daripada sepuluh kali.

Rabu, 27 Julai 2011

Mengapa Menghafaz Al-Quran?



Bagi yang berhasrat menghafaz ayat-ayat suci al-Quran, tanya diri sendiri dengan sejujur-jujurnya: apakah yang akan dilaksanakan setelah ayat al-Quran itu berjaya diingati dengan izin Allah?

Tidak sedikit mereka yang khatam hafazan al-Quran secara keseluruhannya, beransur-ansur hilang hafazan akibat terlepas pandang untuk terus menjaga ikatan 'unta' tersebut.

Pohonlah kepada Allah agar diberi keberkatan dan kemampuan utk mengamalkan hafazan dengan baik sepanjang hayat...


...

Isnin, 25 Julai 2011

Tidak Memandang Kepada Amalan Sendiri





Pada tahap makrifah kepada Allah yang lebih baik, kita sudah tidak lagi memandang kepada amalan diri kita. Pada tahap itu, kita memandangnya sebagai bukti terjelmanya sifat kebaikan Allah kepada para hamba-Nya. Wujud kita hanya wujud majazi (pinjaman). Allahu Allah.

Masih mampukah ada bibit-bibit sum'ah, 'ujub, riyak, takabbur, perasaan diri adalah bagus dan seumpamanya seandai diri sudah merasai dan meyakini hakikat kewujudan Allah, hakikat diri hanya hamba-Nya yang hanya meminjam segala macam nikmat.




(mafhum yang al-faqir dapat daripada syarahan Syaikhna Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki hafizhohullah)


...

Jumaat, 22 Julai 2011

Ilmu Tidak Dikecapi Dengan Kerehatan Jasad



al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Al-Maliki berkata,

"Ilmu tidak akan dikecapi dengan kerehatan jasad, maka kita perlu bermusafir untuk menuntut ilmu.Ilmu juga ada maharnya iaitu sanggup berpenat lelah untuk menuntutnya.Tidak ada alasan bagi kita untuk mengelak diri dari menghadiri majlis ilmu."


...

Rabu, 20 Julai 2011

Kesahihan 'Aqidah Tunjang Keselamatan




Kesahihan ‘aqidah berteraskan kefahaman majoriti ‘ulama Islam menjadi tunjang keselamatan dunia dan akhirat. Sungguhpun cita-cita perjuangan sebesar mendirikan sebuah negara kebajikan, kesucian jalur ‘aqidah ini wajar dipertahankan. Kefahaman terpencil seperti Tuhan wujud bertempat perlu dibanteras. Allahumma sallimna minal fitan.


...

Selasa, 19 Julai 2011

Tidak Sanggup Meninggalkan Zikrullah



Wajarkah kita meninggalkan zikir dan selawat biarpun pada satu masa yang amat singkat? Sedangkan setiap detik kehidupan atas bumi ini tak ternilai, sedangkan persiapan kita menuju Hari Pengadilan masih terlalu sedikit, masih banyak kelompongan.

Allahu Allah. Kekalkan kami dalam ikhlas mentaati-Mu.

...

Jumaat, 1 Julai 2011

Kenapa Masih Ulang Kesilapan dan Kesalahan Sama?



Sahabat-rakan pembaca dan pengunjung yang dirahmati Allah,

Baru-baru ini, musim peperiksaan sekali lagi mengajar dan mengukuhkan satu hikmah dan pengajaran hidup dalam diri saya ini. Saya ungkapkan seperti berikut:



Kenapa tidak mahu ambil pengajaran daripada kekecewaan semalam? Mengapa masih mahu ulangi kesilapan sama? Bukankah dulu Allah telah membantumu, menyelamatkanmu, memberikan kamu peluang? Kenapa peluang yang kedua ini kamu masih mahu menjadikannya sia-sia? Ada kebenarannya bahawa apabila manusia berada dalam zon 'selesa', dia berada dalam zon bahaya sebenarnya. Ya Allah, berikan kami kekuatan mujahadah dalam usaha membaiki diri yang berterusan ini. Amiin.



Mudah-mudahan ada manfaatnya. Sahabat-rakan pengunjung dan pembaca yang dirahmati Allah, tidak ada apa-apa yang hilang daripada setiap hari yang berlalu andainya pada setiap daripada hari itu ada pengajaran yang kita pelajari. 

Mari membaiki diri menjadi hamba-Nya.


....

Rabu, 29 Jun 2011

Ramadhan Bakal Tiba, Insya Allah


Assalamu'alaikum kepada semua sahabat-rakan pembaca,

Insya-Allah, Ramadhan akan bertandang dalam lingkungan 30 hari lagi. Dijangka bermula pada 1 Ogos 2011. Bulan yang teristimewa ini menjanjikan balasan kebaikan berlipat kali ganda dan keampunan Allah.

Setakat ini apa persiapan dan perancangan kita? Bagi saya sendiri, insya-Allah diusahakan beberapa perkara, ibarat kata macam memanaskan enjin kereta sebelum perjalanan jauh.

Jika anda ada sebarang idea dan komentar, harap dapat diturunkan di sini...


....

Rabu, 22 Jun 2011

Biar Ringkas, Bermakna, Padat, dari Hati ke Hati

Sekadar kenangan dan hiasan - mendapat lencana selepas tamat program OBS di Lumut Disember 2010. Latihan fizikal di sini banyak mendidik kami untuk cekal hati, lasak dalam menyempurnakan tugasan biarpun dalam kesusahan dan tekanan.
Ya Allah, kekalkan kami terus menerus ikhlas menjadi hamba-Mu yang cemerlang! :)



Buat sahabat-rakan pengunjung dan pembaca blog saya ini, diucapkan assalamu'alaikum.

Alhamdulillah dan insya Allah, setiap hari kita yang bertambah bakal bertambah dengan kualiti sebagai hamba Allah yang berjalan menuju akhirat.

Saya kini masih lagi dalam musim peperiksaan. Ada dua lagi kertas: Jumaat 24 Jun dan Isnin 27 Jun. Pada 3 hingga 18 Julai pula, insya Allah saya bersama-sama rakan-rakan dalam kursus geologi akan mengembara ke Australia Tengah (Central Australia) untuk tujuan kajian dan pemetaan. Pohon doa anda semua, agar urusan saya dimudahkan Allah dan dikurniakan kejayaan. Dalam masa yang sama, saya dalam penantian 6 bulan untuk balik ke Malaysia dan menamatkan pengajian siswazah.

Saya memohon maaf andainya blog ini tidak begitu kerap dikemas kini dengan entri yang panjang. Saya mendapati ada sahabat-rakan yang kerap kali bertandang ke sini. Seandainya tidak termuat catatan baru dalam tempoh yang agak lama, saya mengajak kita semua untuk mengulang kaji catatan yang lama juga mudah-mudahan lebih kuat kefahaman dan dorongan untuk beramal dengannya.

Pada masa yang sama juga, saya juga ingin menyatakan kembali bahawa bentuk perkongsian di sini agak berbagai-bagai, seperti yang telah saya muatkan di sini: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/p/mengenai-blog-ini.html . Insya-Allah, saya juga bercadang, adakalanya catatan di sini adalah seringkas dan seumpama perkongsian status di Facebook. Jadi, sahabat-rakan semua boleh menambah komen dan perbincangan.

Insya-Allah, hingga ketemu lagi. Usah biarkan sesaat yang berlalu tanpa ada penghambaan yang soleh dan ikhlas kita kepada-Nya.

Biar Ringkas, Bermakna, Padat, dari Hati ke Hati


......

Khamis, 16 Jun 2011

Bagaimana Nak Tahu Siapa Jodoh Kita?



Entri ini adalah sekadar perbincangan, bukan artikel yang menerangkan. Saya mengajak anda para sahabat pembaca untuk turut beri pandangan.

Boleh juga baca artikel ini berkaitan ikhtiar cari jodoh melalui orang tengah: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/2012/03/ikhtiar-mencari-jodoh-melalui-orang.html

Ya, saya sebelum ini dan sehingga sekarang pun masih tertanya-tanya: siapakah jodoh kita, siapakah insan itu? Bagaimana nak tahu siapakah dia?

Bagi saya, biarpun saya sendiri masih tidak terlibat dalam urusan nak mendirikan rumah tangga, biarpun saya sendiri masih tidak tahu siapakah jodoh saya, saya berpendapat bahawa usaha mencari pasangan hidup yang beramal dengan agama ialah satu keperluan. Nak berumah tangga bukan sekadar sebulan dua, tetapi sepanjang hayat. Oleh sebab itu, hal ini wajar diambil berat dan diberikan fokus sepatutnya bagi mereka yang mahu mendirikannya.

Anda ada pendapat? Kalau ada, mohon dikongsikan di sini.

Sehingga kini, apa yang saya sudah terbaca dan terdengar:

1) Untuk dapat pasangan yang baik, diri sendiri perlu jadi baik.
2) Mengambil cadangan pasangan hidup daripada orang yang baik. Antaranya daripada orang-orang yang soleh kerana mereka yang punyai hati yang bersih dan dekat pada ingatan akan Allah, dikurniakan ilham dan firasat yang lebih hampir.
3) Menggunakan khidmat Unit Baitul Muslim.
4) Antara tanda orang tersebut ialah jodoh kita ialah adanya keserasian, tidak terlalu berbeza.

Apa-apa pun, perbincangan ini pun adalah sebahagian daripada ibadah. Membentuk keluarga dan generasi umat Islam yang soleh-solehah ialah sebahagian daripada sunnah Nabi kita s.a.w. yang mulia. Sama-sama kita berusaha untuk membaiki diri dan berdoa kepada Allah agar dimudahkan urusan kehambaan kita, dan dikurniakan pimpinan-Nya.

(Sila klik dan lihat ulasan/komentar di bawah untuk membaca lanjutan perbincangan dan perkongsian)
....

Isnin, 13 Jun 2011

Kita Tetap Hamba-Nya

Salam mahabbah kepada semua sahabat para pembaca blog saya ini,

Mudah-mudahan sentiasa sahaja Allah mengampuni kita, merahmati kita, dan membimbing segala urusan kita.

Catatan saya ini ringkas sahaja. Sebagai pencetus fikiran.

Saya mengamati, bahawa kehidupan ini tak lepas daripada bermacam-macam ujian. Pada sesuatu tahap, kita tersedar yang hampir kebanyakan manusia, termasuk kita semua, telah terperangkap untuk memenuhi tuntutan keperluan dan kemahuan di dunia ini semata-mata sahaja. Kita terlupa bahawa dunia ini hanyalah sebagai satu medan ujian, satu medan persiapan, satu jambatan untuk menuju akhirat, satu ladang tanaman yang dituai hasilnya di akhirat sana nanti. Maka, amat rugilah sangat-sangat jika segala kesusahan yang ditanggung di dunia ini adalah untuk dunia ini semata-mata sahaja.

Allahu Allah... benarlah apa yang disabdakan Nabi kita tercinta shollallahu 'alaihi wa sallam bahawa tidak ada kehidupan yang sebenar, melainkan di akhirat sana nanti.

Ya Allah, kami para hamba-Mu ini benar-benar memohon agar kami tidak dipalingkan daripada memerhatikan, menumpukan usaha kami kepada penyempurnaan kejayaan di akhirat sana nanti sebagai kehidupan yang sebenar. Jadikan kami insan-insan yang benar-benar mencintai akhirat.

Sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah,

Dalam banyak kesempitan hidup yang datang bertamu pada sekelian kali, jangan kita mudah hilang semangat, cepat berputus asa. Kita ingatkan diri kita bahawa sesungguhnya ingatan, pengetahuan, bantuan Allah sebagai Tuhan kita sentiasa sahaja terlalu dekat kepada kita. Tiada apa yang menghalangi kita daripada merasai kehadiran bantuan dan rahmat Allah kepada kita melainkan kekotoran yang masih berselaput pada hati.

Allah, Allah, Allah. Permudahkan segala urusan penghambaan para hamba yang fuqoro ini.

Sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi kerana Allah,

Teruskan perjalanan kita meniti jalan akhirat ini. Sungguh, kian hari yang berlalu, kian kita menghampiri pertemuan yang dijanjikan itu.



....

Jom Bersedia dari Awal, dari Sekarang

Gambar kenangan semasa aktiviti 'whaling' di OBS Lumut, Disember 2010

Jom bersedia dari awal, dari sekarang!

Pesanan ini datang bergema-gema, menyahut-nyahut dalam hati, pada telinga, pada pemikiran saya. Kebetulan sekarang musim peperiksaan. Sibuk dibuatnya persiapan yang kena dilaksanakan. Bilik menjadi lebih meriah dengan susunan kertas nota dan sebagainya.

Mengapa perlu tunggu hingga saat akhir?

Bukankah dalam keadaan akhir-akhir, kita mudah menjadi cemas, tergesa-gesa, kesuntukan masa yang akhirnya menyebabkan kualiti yang tidak memuaskan?

Saya dapat merasai perkara ini ketika melaksanakan persiapan sebegini. Untuk mendapatkan kefahaman yang mantap untuk menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang, pastinya masa yang agak panjang diperlukan untuk membaca dan menghadam nota tersebut.

Begitulah juga pada hakikat yang lebih utama, kita bersedia untuk dijemput oleh malaikat Izrail datang mencabut nyawa. Kita bersedia dari awal. Dari sekarang! Insya Allah, kita punyai masa yang panjang dan secukupnya untuk membawa sebaik-baik bekalan untuk bertemu Allah.

Ya Allah, hamba ini penuh kefaqiran dan kehinaan memohon bantuan-Mu agar segala usaha ini dipermudah dan diberkati. Hamba tiada upaya, melainkan apa yang Kau pinjamkan... Insya-Allah hamba laksanakan sebaik mungkin, semampu yang boleh...


......

Jumaat, 27 Mei 2011

Jangan Ambil Mudah

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya lebih memahami bahawa pengalaman belajar di universiti bukanlah sekadar untuk mendapatkan kelulusan ijazah dalam akademik semata-mata, tetapi sebenarnya lebih besar daripada itu. Ilmu dan hikmah yang amat bernilai nilaiannya yang dikaut adalah untuk mematangkan diri, lebih merasai hakikat kehidupan di dunia ini, dan memahami apakah pencarian sebenar yang lebih hakiki.


Jangan ambil mudah! Itu antara hikmah yang bertandang dalam hati saya buat hari ini.

Jangan ambil mudah dalam apa sahaja aspek kehidupan. Apabila kita mendengar ayat daripada Surah Al-Zalzalah dibacakan, kita dikhabarkan bahawa setiap amalan baik yang elok mahupun sebaliknya, biarpun sebesar zarah akan tetap dilihat. Maka saya memberitahu diri saya, tidak ada benda yang wajar dipandang enteng, dipandang mudah.

Sapaan ini agak kuat mengesan di hati. Saya baru saja gagal untuk menepati sasaran untuk mencapai gred paling atas (High Distinction - 85% dan ke atas) bagi satu kursus di sini. Agak ralat terasa. Ralat dan tidak setuju dengan sikap bermudah-mudah yang mungkin selalu berkunjung sepanjang semester ini. Setiap aspek penilaian akademik ada sumbangan markahnya kepada gred keseluruhan. Maka kesemua kerja tersebut perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh! Wajar dilaksanakan dengan penuh kualiti!

Ya, kalau kamu mahu gred terbaik, maka setiap kerja yang kamu laksanakan hendaklah bersungguh-sungguh, kualitinya tinggi, ada komitmen masa dan fokus secukupnya, sasaran yang tinggi, tidak mudah tergesa-gesa! Kamu perlu dapatkan markah terbaik dalam setiap pecahan kerja dan penilaian... (nasihat kepada diri sendiri)


Ya, memang kurang kerehatan kesannya daripada wawasan tinggi sebegini. Hukum alam, sesuatu yang lebih berkualiti itu dihasilkan dengan kepakaran, masa, dan tenaga yang lebih banyak, lebih mahal daripada sesuatu yang kurang berkualiti itu.

Alhamdulillah, itu baru situasi dalam konteks penilaian akademik di dunia. Saya terasa bagai dialihkan pandangan hati untuk melihat situasi yang sama dalam konteks penilaian Allah di mahsyar nanti. Bagaimana kalau kita mahukan keredhaan Allah yang tertinggi, maka wajar kita bersungguh-sungguh dan sehabis baik memanfaatkan segenap masa yang ada di dunia ini untuk ketaatan yang sebaik-baiknya, Sekali lagi, jangan ambil mudah! Jangan pandang rendah amalan berselawat atas Junjungan Mulia shollallahu 'alaihi wa sallam, amalan bertasbih, amalan mengucap Laa ilaa ha illa Allah dan seumpanya ketika berjalan, ketika apa-apa sahaja yang ada ruang masa walau sesaat! Kerana benda-benda yang kita rasa kecil inilah yang akan begitu menyelamatkan kita di sana.

Allah, Allah, Allah. Hamba terima dengan penuh redha apa ketentuan-Mu, kerana hamba yakin, kesemuanya ada nilaian didikan-Mu yang amat berharga.

Ayuh kita jadi hamba Allah, umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lebih bersungguh-sungguh ikhlas dan berkualiti dalam setiap amalan, dan tidak terlalu mengambil mudah semua urusan dan perkara. Allahumma amiin!


....

Khamis, 26 Mei 2011

Buat Apa Sahaja, Nak Selamat Di Sana

Segala apa sahaja yang kita lihat di atas muka bumi ini ada pengajaran yang boleh membawa kita kembali mengingati keagungan Allah, kekekalan alam akhirat. 

(Gambar: Remarkable Rocks, Kangaroo Island, South Australia, Australia. Diambil pada April 2011)




Putaran bumi, peredaran masa adalah sesuatu yang merisaukan bagi orang-orang beriman.

Mengapa?

Mungkin antara yang utama untuk difikirkan bagi persoalan ini ialah: Tempoh keberadaan kita di dunia ini semakin singkat!

Kita dapati, dalam Islam sentiasa ada dua unsur terbesar dalam mendidik umat: 1) Unsur ganjaran kebaikan, khabar gembira dengan nikmat syurga  2) Unsur balasan buruk, azab, ancaman seksa dan kedahsyatan akhirat.

Apabila kita meneliti perkhabaran Al-Quran dan Al-Hadits tentang suasana kebangkitan ke mahsyar, proses perbicaraan, proses meniti titian sirat melintasi neraka dan seumpamanya, pasti akan hadir perasaan gerun dan tidak mampu terus 'duduk diam'.

Syaikhuna Al-Murobbi, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam hafizhohullah pernah menyatakan dalam satu kuliah, bagaimana orang soleh apabila mereka menunaikan solat dan munajat kepada Allah, apabila mereka membayangkan suasana bagaimana dia akan melintasi neraka dan meniti titian sirat, kerana perasaan takut dan risau yang sangat tinggi itu, menyebabkan mereka menangis sehingga basah janggut mereka.

Allah, Allah, Allah. Itu tahap makrifah mereka yang celik, bersih dan bersinar mata hati mereka.

Allah, Allah, Allah. Kita pun rasa tidak senang jika tiada apa-apa persiapan mula dibuat untuk hadapi kebenaran ini.


Ya, kita Buat Apa Sahaja, Nak Selamat Di Sana. Sunnguh-sungguh kita 'bersih'kan segala dosa kita supaya tidak tersangkut perjalanan ke sana.

Nabi kita tercinta shollallahu 'alaihi wa sallam dengan penuh perasaan cinta akan umatnya mendidik kita untuk melaksanakan persiapan menuju akhirat, sebagai usaha kita untuk menyelamatkan diri daripada azab neraka walau hanya dengan separuh biji kurma!


Allah, Allah, Allah. Maka dengan didikan Nabi tersebut, apa lagi alasan kepada kita untuk tidak mula bersiap daripada sekarang?

Insya Allah, mudah-mudahan ditetapkan hati dengan keikhlasan 100%, agar kehambaan ini akan terus diterima-Nya. Allahumma amiin.


....

Walau sudah diikat, belum lagi pasti dimiliki

Sekadar pengalaman sendiri, terlihat bagaimana golongan ustaz-ustazah yang pernah mengikat antara satu sama lain sebelum perkahwinan, namun pada akhirnya, dengan kehendak Allah, jodoh tiada antara mereka.

Apa-apa pun, berusahalah untuk kita menjadi hamba-Nya yang baik, yang bertaqwa dan ikhlas dalam segenap amal.

Persiapkan diri untuk menjadi bakal pasangan yang sangat menekankan kepentingan beramal. Insya-Allah, usaha untuk bertemu jodoh akan dipermudahkan Allah.

Pernikahan ialah perkongsian pintar yang amat besar nilaiannya, untuk sama-sama menuju ke syurga Allah. Misi mulia mengembangkan zuriat dan generasi yang berpegang teguh dengan institusi ilmu dan ulama.

Mudah-mudahan Allah perkenanan doa dan keazaman kita untuk merasai nikmat mawaddah wa rahmah dalam keluarga yang bakal dibina. Allahumma amiin.

Ya Allah, sudah tentu kami sentiasa berusaha dan menginginkan keluarga yang bakal dibina ialah keluarga bersama bakal pasangan yang punyai agama, yang beramal dengan ilmu yang dimiliki, yang punyai 'aqidah yang sahihah, yang punyai akhlak yang hamidah (terpuji). Mudahkanlah urusan kami.... hamba yang sentiasa faqir ini melafazkan permintaan sebagai bukti kefaqiran hamba, bukti hamba memerlukan-Mu wahai Allah....sudah cukup pengetahuan-Mu atas segala apa yang kami perlukan...

(Sekadar ingatan bersama, perkahwinan ialah sunnah Nabi kita s.a.w. , apa salahnya kita mula mempertingkatkan kesediaan bagi melaksanakan wawasan mulia ini, mula merancang dari sekarang....)


...

Rabu, 25 Mei 2011

Sibukkan Diri dengan Persiapan Menuju Akhirat

Tanpa ada keraguan, setiap daripada kita yang hidup ini pasti akan berangkat ke alam yang kekal. Alam yang kekal di sana ialah tempat pembalasan, tempat kerehatan. Bagi orang yang beriman, di sanalah mereka akan bertemu dengan Allah Ta'ala dan para kekasih mereka, terutamanya Saiyyiduna Rasulullah Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam.

Jika begitu pastinya pertemuan yang dijanjikan Allah, jika begitu pastinya dunia ini adalah terlalu sangat terlampau singkat tempohnya, jika begitu diyakini kehidupan dunia sekadar persinggahan, maka tidak mengapalah kita kurang kerehatan di dunia ini kerana sangat sibuk persiapan yang sedang dibuat demi pertemuan abadi di sana.

Ya Allah, kurniakan kami keikhlasan dan istiqamah pada jalan 'aqidah ASWJ yang sahihah, dan dikurniakan kesudahan hidup yang baik, dalam kerinduan bertemu-Mu. Amiin.

Sabtu, 14 Mei 2011

Penilaian Tahun Akhir



Assalamu'alaikum w.b.t.,

Kepada semua sahabat-rakan pengunjung laman saya ini, mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam keadaan dirahmati Allah, beroleh kemudahan untuk beramal dengan ikhlas dan istiqamah.

Insya-Allah, kami di sini berada dalam musim penilaian / peperiksaan semester 1 tahun akhir. Agak sibuk dan meriah rasanya persiapan yang dibuat.

Saya dengan penuh merendah diri memohon jasa baik anda semua untuk sudi mendoakan kemudahan urusan kami dan agar kami diberikan kejayaan yang cemerlang dan lulus untuk graduasi pada hujung tahun ini.

Mudah-mudahan kesemua usaha yang dilaksanakan ini diterima sebagai penghambaan kepada Allah.

Saya dahului kebaikan jasa anda dengan ucapan jazakumullah khair al-jazaak (Allah kurniakan kepada anda sebaik-baik balasan).

Rabu, 4 Mei 2011

Kemenangan Sebenar


(Klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas)





*Poster ini diwakafkan untuk kegunaan umat Islam. Anda boleh ambil, sebar, dan guna. Moga Allah memberkati usaha yang tidak seberapa ini.

Sabtu, 9 April 2011

Keperluan Bermazhab Bagi Orang Awam





Mungkin banyak pertanyaan akan timbul apabila dibincangkan persoalan bermazhab, khususnya dalam bab fiqih, ibadah seperti dalam menunaikan solat, zakat, haji dan yang lain-lain.

Ada beberapa aspek yang dapat kita lihat:

Selasa, 5 April 2011

Jaga Hati!




Jaga hati!

Ya, jaga hati!

Sebab hati yang keruh, sebab hati yang dicemari, sebab hati yang dikasari, sebab hati yang dicalari,

akan merasai kesakitan, kelesuan, kelemahan, tidak bermaya.

Dan jika dibiarkan terus dicalari, khuatir akan terus rosak.


Wahai Allah Tuhan Yang Maha Berkuasa Memiliki hati kami, bersihkan hati kami, sihatkanlah hati kami dengan kesuburan ingatan pada-Mu.

Ingat, pertemuan kita dengan Allah nanti adalah dengan hati yang sejahtera, hati yang sihat!

Ahad, 3 April 2011

Mesti Kena Berusaha!


Gambar oleh hinnamsaisuy dari laman ini


Mestilah kena berusaha kan? Dari situlah akan hadir kemanisan hidup! Kejayaan yang diperoleh setelah ada kesungguhan usaha.

Allah Maha Adil. Allah tidak nilai semata-mata apa hasil hujungnya (berjaya atau tidak) sesuatu usaha kita. Tapi, Allah turut dan tetap menilai segala usaha sepanjang perjalanan menuju ke destinasi tersebut (setiap langkah usaha untuk mencapai hasil).

Nama pun hidup di dunia kan? Bukan namanya dunia jika hanya duduk berpeluk tubuh, kemudian hanya mahu setiap ketika kejayaan manis datang menyapa diri.

Insya-Allah, dengan niat sebagai penghambaan diri kepada Allah, ayuh teruskan kayuhan usaha kita! Kita sentiasa bersama pengetahuan Allah dan bantuan-Nya.


*Mood tahun akhir di universiti, pastinya lebih 'berat' bebanan akademik. Moga Allah permudahkan urusan kita! =)

Rabu, 30 Mac 2011

Minat dan Hasrat Menjadi Ahli Akademik

Assalamu'alaikum kepada semua sahabat dan rakan pembaca blog Pertemuan Agung,

Saya berfikir mengenai hasrat untuk terlibat dalam bidang akademik, atau dalam kata yang lebih mudah, menjadi individu yang mengajar dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Saya kini berada pada tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains (major dalam Geologi, Geosains, dan Geofizik) dan dijangka tamat pada November 2011.

Namun, saya sudah berada dalam kontrak perjanjian dengan Petronas untuk berkhidmat balik kepada mereka selama 10 tahun. Namun begitu, kerja dalam Petronas belum terjamin, dan kami perlu hadiri temuduga dahulu pada tahun ini.

Insya Allah, saya doakan saya dan rakan-rakan beroleh kerja dalam Petronas. Andai tidak, jika tidak ditawarkan dalam masa 6 bulan selepas lapor diri, maka kami perlu membayar balik jumlah pinjaman, dan dimaklumkan ada mengikut peratusan, yang terbaik ( kelas pertama, atau WAM 75 ) perlu membayar 10% daripada jumlah, iaitu dalam lingkungan RM40k-RM50k.

Minat sendiri lebih cenderung untuk terlibat dalam bidang akademik dalam bab usuluddin, dakwah, Al-Quran, Al-Hadis dan seangkatan.

Ada beberapa yang terdetik dalam fikiran saya:

- Meneruskan pengajian pasca siswazah dan menjadi doktor dalam bidang sains, meneruskan kerjaya sebagai ahli akademik.

- Melibatkan diri dalam pengajian sarjana muda dalam bidang yang disebutkan di atas (minat sendiri), dan meneruskan pengajian sehingga ke tahap yang terbaik dan termampu dan menjadi ahli akademik dalam bidang tersebut.

- Menjadi ahli akademik seperti Dr Zahgloul El-Naggar, Profesor dalam bidang Geologi di Mesir, tetapi pada masa sama mampu menghurai dan menghubutkaitkan sains dan Islam.

Anda ada pandangan? Saya yang al-faqir ini terasa cemburu sangat apabila melihat betapa besarnya peluang kebaikan dan pahala berterusan yang diperoleh daripada kegiatan mengajar. Mudah-mudahan anda sudi berbincang dengan saya, mudah-mudahan Allah memelihara keikhlasan niat.

Selasa, 29 Mac 2011

Radio IKIM Atas Talian

Salam kepada semua,

Saya sekadar berkongsi pautan ke laman Radio IKIM yang terkini:

http://www.ikimfm.my/ikimfm/

Insya Allah, siaran radio tersebut adalah jelas dan lancar. Harap-harap bermanfaat. Jom dengar, ajak kawan-kawan, ahli keluarga dan umat Islam lain juga.

Ahad, 20 Mac 2011

Selamatkah Kita di Mahsyar Nanti?



Assalamu'alaikum, salam mahabbah dan ukhuwwah kerana Allah diucapkan kepada semua sahabat dan rakan pembaca blog saya ini.

Saya memohon maaf kerana sejak akhir-akhir ini, saya kurang mengemas kini catatan di blog ini. Mudah-mudahan, Allah mengurniakan kepada kita kekuatan dan keikhlasan dalam melaksanakan segala macam perkara kebaikan, lebih-lebih lagi dalam usaha menyampaikan ilmu dan kefahaman yang membuahkan taqwa yang amat utuh kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

Ahad, 13 Mac 2011

Cekap Mengurus Masa

Salam kepada semua rakan-sahabat pembaca,

Alhamdulillah, saya kini sudah lalui 2 minggu pertama semester 1. Seminggu pun dah rasa cepat berlalu. Tugasan akademik pada tahun ini banyak menuntut peruntukan masa. Sesuatu yang berkualiti tinggi kalau nak dihasilkan, memang perlukan penelitian dan masa yang tidak terlalu singkat.

Maka saya berfikir dan mahu berusaha menjadi lebih cekap dalam mengurus masa, supaya kehidupan singkat di dunia ini bakal padat dengan segala macam kebaikan.

Celahan: Apa yang berlaku di Jepun baru-baru ini perlu jadi iktibar berguna kepada kita, akan kekuasaan Allah mengatasi segala kemajuan yang manusia ada.

Jumpa lagi, insya Allah.

Sabtu, 5 Mac 2011

Musafir Tahun Akhir


Gambar oleh africa, dari laman ini



Orang yang amat-amat cinta akhirat akan jadi 'gila-gila' punya kedekut dengan masa mereka ( mereka tak bazirkan masa untuk benda haram, makruh dan sia-sia walau sesaat).  Moga Allah jadikan kita dalam golongan tu.


Alhamdulillah, saya selamat tiba di tempat pengajian pada Ahad lepas. Kini, hampir seminggu saya berada di sini untuk berjuang bagi tahun akhir (lebih kurang 8-9 bulan sebelum tamat pengajian siswazah).

Sibuk juga minggu pertama ni nak selesaikan banyak perkara.

Rabu, 23 Februari 2011

Hari Esok


Berada di Teluk Cempedak, Kuantan pada Disember 2010



Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kepada Allah. Kiranya, memang terlalu banyak sangat nikmat Allah kepada kita, tak mampu nak hitung. 


Memang benar. Kadang-kadang, pada satu tahap, Allah sedarkan kepada kita perkara ini apabila sebahagian kecil (sangat-sangat sedikit daripada juta jutaan nikmat-Nya yang tidak terhitung) diambil buat sementara waktu. Apabila kita ketiadaan nikmat tersebut, barulah hati kecil kita terasa disapa, diketuk betapa hebatnya nikmat Allah yang dipinjamkan kepada kita walaupun kita melihatnya sebagai kecil (taking it for granted) pada waktu kebiasaan. 

Selasa, 15 Februari 2011

Punca Hati Menjadi Keras


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas. Anda semua dibenarkan untuk mengambil dan memanfaatkan gambar ini.

Rabu, 9 Februari 2011

Kurang Kemas Kini

Assalamu'alaikum kepada semua pembaca yang saya hargai,

Ingin saya maklumkan, berkemungkinan besar saya tidak akan begitu kerap mengemas kini blog ini dengan catatan baru.

Insya-Allah, sekembalinya saya di tempat pengajian nanti (Mac 2011), berkemungkinan catatan baru akan lebih dilaksanakan.

Saya memaklumkan perkara ini supaya sahabat-sahabat semua tidak ternanti-nanti apabila membuka laman ini.

Bertemu kelak, insya Allah kita manfaatkan setiap saat di dunia ini dengan ketaatan!

Jumaat, 4 Februari 2011

Beberapa Petua Masakan

Petua Masakan

Segarkan Daging Guna Halia

Daging atau ayam yang disimpan di dalam peti sejuk biasanya tidak begitu sedap dimakan walaupun telah dimasak agak lama.

Untuk mengatasi masalah ini, tumbuk halia sebesar ibu jari dan taburkan di atas daging tersebut. Kemudian, barulah daging tersebut dimasukkan ke dalam plastik atau bekas dan disimpan di dalam peti sejuk.

Ahad, 30 Januari 2011

Baginda Rasulullah s.a.w. Mendoakan Kita Umatnya pada Setiap Solat



Cinta Baginda s.a.w. akan umatnya adalah sangat-sangat besar. Mari bersama kita berselawat kepada Baginda, mentaati sunnahnya.




Terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah RA berkata:


“Tatkala aku melihat Nabi SAW dalam keadaan baik, aku berkata, “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah untukku.”


Jumaat, 28 Januari 2011

Ketinggian Ikhlas Imam Syafi’ie : Tidak mengharapkan pujian bagi ilmunya.



 Gambar sekadar hiasan


Berkata Imam Syafi’ie rohimahullah ta’ala:


“Aku amat menyukai kiranya seluruh makhluk mempelajari ilmu ini (maksudnya ilmu dan kitab-kitab beliau) kemudian mereka tidak menyandarkannya kepadaku sedikitpun.”


Diriwayatkan secara sahih daripada Imam Syafi’ie oleh Imam Nawawi rohimahullah ta’ala dalam kitab beliau Adab-adab Bersama Al-Quran.


Hal ini pernah disebut oleh guru kita yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizhohullah tentang hajat Imam Syafi'ie tersebut yang telah diperkenankan oleh Allah Ta'ala. 


Khamis, 27 Januari 2011

Mencari Ketenangan Melalui Azan di Telinga





Cuba atasi kebuntuan, kerisauan, hati tak tenang? 


Insya-Allah salah satu caranya ialah azan di telinga. (rujuk hadits musalsal diriwayatkan oleh Syaikh Muhammad Fuad Al-Maliki)


Kita boleh meminta kepada sesiapa untuk melafazkan azan di telinga kita. Minta dia dekatkan mulutnya ke bahagian telinga kita dan lafazkan azan dengan kadar suara yang sesuai (tidak terlalu nyaring).


Insya-Allah, hati kita akan beroleh ketenangan.


Hal ini merupakan satu hadits musalsal yang Syaikh Fuad dapat daripada gurunya dan diijazahkan pula kepada para penuntut yang belajar dengannya.

Isnin, 24 Januari 2011

Berpakaian dengan Pakaian yang Dimuliakan Allah




Bab berpakaian merupakan bab yang mustahak dalam kehidupan umat Islam. Hal ini demikian kerana tindakan seseorang muslim itu dalam mematuhi piawaian dan syariat berpakaian sebagaimana yang digariskan agama Islam menjadi manifestasi iman, taqwa dan kesyukuran yang ada pada dirinya.


Kita menzahirkan rasa kesal akan budaya yang meremehkan isu penutupan aurat dengan sempurna. Kita berharap, berdoa dan merancang untuk meningkatkan usaha penyampaian kesedaran dan kefahaman yang lebih baik kepada umat Islam supaya perkara besar ini dapat kita fahami dan hayati dengan sebaik-baiknya.


Orang yang berpakaian sebagaimana disuruh Allah dengan ikhlas, maka dia telah memperoleh kemuliaan yang sangat tinggi. Berpakaian dengan cara sebaliknya bererti dia sendiri yang menjatuhkan diri dalam lembah kehinaan.


Wanita Muslimah yang menutup aurat dengan sempurna sebenarnya memelihara kehormatan dirinya kerana bahagian-bahagian tubuhnya yang berharga tidak menjadi tatapan umum, baik jin atau pun manusia. Apa yang lebih utama, tubuh badan mereka tidak menjadi bahaman mata liar yang dikuasai nafsu buas.


Ya Allah, kurniakan kami ikhlas, mujahadah, kelazatan dalam mentaati perintah-Mu dalam menutup aurat dengan sempurna.


Sabtu, 22 Januari 2011

Panduan Ringkas dalam Mencari Guru yang Mursyid




Guru yang mursyid ialah guru yang dapat membimbing perjalanan kerohanian seseorang murid dalam menyucikan jiwa, mencapai hati yang tenang dan sejahtera serta lebih akrab dengan Allah s.w.t.


Berdasarkan salah satu daripada kuliah yang disampaikan oleh Syaikhuna Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki hafizhohuLlah Ta'ala, dapat kita fahami beberapa perkara berkaitan usaha mencari guru yang mursyid:


Guru yang mursyid (dapat memimpin perjalanan ruhani) insya Allah masih ada pada zaman ini, namun kita sendiri hendaklah berusaha mendapatkannya kerana mereka bukanlah golongan komersial. 


Ada dua ciri utama yang perlu ada pada guru yang mursyid tersebut:


1) Mempunyai pertalian guru dengan masyaikh-masyaikh yang akhirnya sampai kepada Baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam.


2) Menjaga syariat Allah. Contohnya, dia hendaklah orang yang mendirikan solat fardhu, berpuasa, isterinya menutup aurat dengan sempurna dan lain-lain lagi.


Namun, bagi mereka yang memang ada halangan untuk mendapatkannya, ada alternatif yang dapat membantu:


1) Mengamalkan zikir

2) Membaca kitab karangan Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali rohimahullah ta'ala.


Kitab karangan Hujjatul Islam memang kitab yang membantu kita menyusun rutin ibadah kita, dalam perjalanan menuju akhirat, bertemu Allah.


Demikianlah serba ringkas catatan yang dapat dikongsikan. Mahu atau tidak mahu, perjalanan menuju Allah ini ( penyucian jiwa ) memang memerlukan guru yang benar bagi menunjukkan jalan.


Mudah-mudahan Allah Ta'ala memudahkan urusan kita, dipertemukan dengan para masyaikh yang benar dan ikhlas.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...