Ulama Benteng

Ulama Benteng

Selasa, 6 September 2011

Mari Bina Kualiti Diri Sebagai Hamba-Nya



  1. Assalamu'alaikum kepada semua sahabat pengunjung dan pembaca blog saya, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan mujahadah untuk melaksanakan penghambaan yang terbaik kepada-Nya.
  2. Pada catatan kali ini, saya berasa berbesar hati untuk menyatakan ingatan seperti yang tercatat pada tajuk di atas.
  3. Tidak kira berapa pun umur kita pada ketika ini, sama-sama kita lebih meningkatkan usaha untuk membina kualiti.
  4. Perjalanan menuju akhirat, keselamatan untuk melintasi titian sirat yang di bawahnya adalah neraka merupakan satu perjalanan yang sangat panjang, dan memerlukan bekalan yang sangat banyak.
  5. Saya terfikir, lebih-lebih lagi bagi mereka (termasuk saya) yang masih berada pada awal usia 20-an, masih lagi belum disibukkan dengan kerjaya, isteri (atau suami) dan anak-anak, betapa beruntungnya jika masa keemasan ini kita sungguh-sungguh manfaatkan dengan pembinaan kualiti, pengukuhan alat-alat asas.
  6. Bergantung kepada keadaan masing-masing, turutan keutamaan itu akan berbeza-beza.
  7. Saya mengamati, seandainya kita ada berhutang apa-apa amalan yang wajib, masih berdosa kepada Allah dan makhluk: maka perkara-perkara tersebut wajar diselesaikan dahulu.
  8. Kemudian, aspek persediaan dan pembinaan kualiti yang wajar diambil kira ialah pengukuhan kefahaman 'ilmu usuluddin, 'aqidah, tauhid yang menjadi fokus awal agama kita. Perkasa pegangan 'aqidah kita mengikut rangka kefahaman majoriti ulama dan umat Islam (yakni dirujuk kepada penyusunan ilmu 'aqidah yang disandarkan kepada Imam Abu Hasan Al-Asy'ari atau dipanggil sebagai Asya'irah ataupun yang disandarkan kepada Imam Abu Mansur Al-Maturidi atau yang dipanggil sebagai Maturidiyah), dan kedua-duanya ialah tonggak utama pegangan 'aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.
  9. Cuba kita fikirkan, apakah yang akan terjadi sekiranya seseorang itu begitu hebat dalam pelbagai aspek lain, tetapi dalam bab 'aqidah sendiri mereka mengikut pegangan yang pelik, ragu-ragu, janggal, terpencil, berkefahaman literalis semata-mata terhadap dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah yang bersifat samar-samar maknanya, lantas mereka berpegang dengan 'aqidah yang kontroversi seperti kewujudan Allah yang bertempat, Allah berjisim, beranggota tubuh badan dan seumpamanya (semoga Allah menyelamatkan kita daripada bencana-bencana sedemikian yang semakin menjadi-jadi dewasa ini, biarpun di dalam negara Malaysia sendiri, biarpun diamalkan, dipegang oleh beberapa 'public figure' yang ber'imej'kan Islam sekalipun).
  10. Apa lagi persediaan dan pembinaan kualiti diri yang dapat kita laksanakan? Mungkin sangat baik juga kita memperkukuh penghayatan dan pengamalan akhlak yang mulia dalam diri kita kerana perkara tersebut adalah sangat bermanfaat dalam jangka masa panjang, insya Allah sehingga ke akhir hayat kita. Pastinya usaha dan latihan membentuk keperibadian yang terpuji memakan masa dan pengorbanan. Maka, jangan buang masa lagi.
  11. Selain itu, wajar juga bagi kita untuk semakin melazimi dan memanfaatkan ilmu dan kefahaman yang dipelajari secara bertemu (talaqqi) dengan para syaikh dan ustaz kita yang benar perjalanan 'aqidah, ilmu dan akhlak mereka.
  12. Di samping itu, saya juga mencadangkan kita untuk mengambil tindakan proaktif untuk lebih mempelajari dan memahami bahasa Arab sebagai bekalan memahami agama, memperhebat kualiti ibadah yang wajib kita seperti solat fardhu lima waktu sehari, mula memupuk sikap sangat-sangat menghargai masa dan peluang ibadah walau sekecil-kecil mana sekalipun. Kita juga sangat bijak seandainya sudah mula sibuk memikirkan kehidupan selepas mati dan persiapan memperkaya aset akhirat yang kekal, insya Allah.
  13. Kita cuba sedaya upaya untuk tidak begitu membazirkan masa dengan perdebatan, pertelingkahan, perbezaan pendapat dalam masalah-masalah yang bersifat ranting, yang tidak menguntungkan.
  14. Segala puji bagi Allah, mudah-mudahan Dia mengizinkan kita melaksanakan cita-cita dan keazaman mulia di atas. Sehingga kita berjumpa lagi.
  15. Mohon doakan saya agar selamat menamatkan pengajian siswazah di sini, dan diberi rezeki meneruskan perjuangan kehambaan di Malaysia bermula awal tahun depan.


...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...