Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Selasa, 9 Oktober 2012

Sentiasa Muda Untuk Belajar


Insya Allah kita sentiasa muda untuk belajar. Tidak ada tarikh tamat bagi proses belajar. Belajar dengan cinta, minat, kesedaran, penghargaan insya Allah akan banyak beri impak positif.

Ilmu yang nak dipelajari itu pula perlulah ada kewajaran, bermanfaat, mampu memberi kesan positif untuk diri sendiri dan yang lain. (Kerana segala macam ilmu yang ada terlalu banyak jika nak dibandingkan dengan batas umur kita)

Antara ilmu paling mustahak ialah: ilmu bagaimana untuk kita dapat jalankan kewajipan kita sebagai hamba-Nya dengan cemerlang.

Mudah-mudahan ada kesedaran dalam minda kita, bahawa insya Allah setiap hari yang bertambah, akan bertambah juga ilmu, amalan, kematangan.

Ahad, 7 Oktober 2012

Meraih Kebahagiaan - Jangan Disibukkan dengan Perkara Remeh Temeh



Salah satu petua meraih kebahagiaan - Sentiasa melihat gambaran besar, mengutamakan wawasan besar dan jauh sejauh akhirat, tidak disibukkan dengan perkara-perkara picisan, remeh temeh.

Semoga bermanfaat dalam membimbing kita untuk semakin menghampiri kemenangan sebenar dan ketenangan jiwa. ♥


*
Terjemahan buku berjudul 30 Kunci Meraih Kebahagiaan tulisan Dr. Aidh Al-Qarni, terbitan Pustaka Al-Shafa Kuala Lumpur, 2009.

Jumaat, 5 Oktober 2012

Baru dapat gaji? Mari cari keberkatan... ^_^




- Sangat bagus jika setelah kita mendapat gaji, kita segerakan pembayaran hutang dan menunaikan hak individu lain serta perkara seumpamanya.

- Insya Allah, jika benar dan ikhlas perbelanjaan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita, insya Allah semua perbelanjaan itu memberikan harta kekal kita di akhirat sana.

- Allah Yang Maha Memberikan rezeki kepada kita, segala apa yang ada di bumi dan di langit adalah milik-Nya, maka sangat positif untuk kita melihat pada rezeki itu ada ujian kesabaran dan kesyukuran.

Pengertian syukur yang dibicarakan ulama,

Tidak sekadar melafazkan syukur dengan lidah, syukur itu adalah menggunakan nikmat kurniaan Allah untuk mentaati-Nya.

Rabu, 3 Oktober 2012

Bagaimana memandang diri kita dalam satu sudut?


Bagaimana memandang diri kita dalam satu sudut?

Pandanglah diri kita sebagai hamba Allah yang bersalut dosa, tetapi ikat diri dengan kebergantungan penuh pada keampunan-Nya yang luas. Seimbangkan perasaan roja' (harap) akan pengampunan-Nya dengan perasaan khouf (takut) akan azab seksaan-Nya.

Kita berdosa. Soal tentang dosa itu adalah, sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak.

Dosa yang kecil, walaupun kecil, jangan dipandang remeh, jangan diulang berterusan kerana hal itu akan menjadikannya dosa yang besar.

Bertaubatlah kepada Allah pada setiap hari. Mari contohi Nabi kita tercinta sollallahu alaihi wa sallam bagaimana Baginda walaupun terjamin maksum, tiada dosa lalu dan akan datang, Baginda tetap merasakan diri Baginda berdosa, dan dikhabarkan kepada kita bahawa pada setiap hari istighfar Nabi adalah tidak kurang daripada 70 kali.

Kepahitan dan kesusahan dalam berjuang untuk taat kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya adalah sementara, kenikmatan di syurga nanti adalah kekal, ketenangan hati, kelazatan jiwa yang dikurniakan-Nya adalah tiada tandingannya.

Isnin, 1 Oktober 2012

Kerja Lebih Daripada 8 jam Sehari Untuk Tujuan Berjaga-jaga

Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa tempoh kerja sehari adalah lapan jam bagi kebanyakan tempat.

Kita mendapat gaji dengan expectation/requirement syarikat atas kita untuk penuhi lapan jam tersebut.

Namun, atas sikap lebih berhati-hati, lebih baik jika kita boleh lakukan lebih daripada lapan jam itu demi menampung kelompongan kita (mungkin bagi ganti balik tempoh-tempoh 'lagho' dan tidak produktif) di pejabat. 

Mengapa? Khuatir kita melakukan pencurian, membawa kepada haram, mengurangkan keberkatan rezeki.

Sabtu, 29 September 2012

Solawat Sebagai Usaha Kita Membaiki Diri Yang Lalai

Kita (tidak semua) mungkin menyedari bagaimana kita mungkin selalu dalam keadaan lalai. 

Walaupun kita mudah terlalai, tetapi dengan berusaha untuk berzikir dan bersolawat, itu adalah lebih baik daripada lalai yang kosong. 

Dengan mengetahui betapa besarnya kelebihan bersolawat atas Baginda Nabi kita sollallahu alaihi wa sallam, bagaimana solawat yang dilafazkan oleh orang yang fasiq (berterusan
 dalam keadaan tidak baik/dosa) sekalipun akan diterima oleh Allah,

maka, kita cuba memujuk diri kita agar menjadikan lafaz solawat sebagai 'default setting' untuk mulut/hati kita bagi mana-mana ruang yang ada.

Dikhabarkan kepada kita, bahawa penghuni syurga apabila mereka berada di sana dan merasai kenikmatan, mereka tidak merasai penyesalan, melainkan penyesalan terhadap waktu-waktu mereka di dunia yang tidak diisikan dengan zikir kepada Allah. (Insya Allah solawat atas Baginda Nabi kita termasuk dalam zikir).

Khamis, 27 September 2012

Etika Kerja Sebagai Orang Beriman - Catatan Ringkas

Selepas hadiri penerangan mengenai Code of Business Ethics, saya dapat melihat bagaimana practice yang lebih strict akan membantu syarikat untuk lebih perform.

Kandungan code tersebut sendiri sebenarnya jika dapat dilihat dalam sudut lebih luas telah pun diajarkan oleh syariat Islam, daripada sekecil-kecil pencegahan pencurian dalam syarikat (seperti melayari laman internet yang tidak sepatutnya)
, dan sehingga yang sebesar-besarnya.

Itu juga merangkumi kesalahan sexual harassment yang boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, semudah dalam bentuk pandangan mata yang offensive, lawak lucah yang offensive.

Begitunya juga dengan budaya 'gifts' (gift akan membawa kepada conflict of interest yang akan menjejaskan intergriti, sikap adil) , pembayaran-penerimaan dana yang begitu besar yang meragukan, bayaran untuk mempercepatkan atau melicinkan proses, gaya hidup mewah yang di luar kebiasaan tahap gaji (maka perlu dijelaskan kepada pengurusan syarikat bagaimana individu tersebut memiliki sumber pendapatan).

Banyak lagi sebenarnya kandungannya. Namun, secara common sense kita sendiri boleh tahu sesuatu perkara itu patut/tidak patut, ditambah lagi lebih jelas diukur dengan kayu ukur syariah agama kita, diketatkan lagi dengan nilai ihsan, keyakinan bahawa setiap perkara sekecil-kecil zarroh akan diperhitungkan di akhirat nanti.

Selasa, 25 September 2012

Usaha Konsisten Dengan Amalan Ringkas, Impak Besar

Sahabat-sahabat yang dimuliakan kerana Allah, ^_^

Walau sesibuk mana sekalipun kita, pujuklah diri untuk sentiasa insya Allah konsisten dengan amalan yang ringkas tapi amat besar nilaiannya di sisi Allah.

Contoh: membaca ayat Kursi selepas solat fardhu, bagaimana kelebihannya ialah tidak ada yang menghalang si pembacanya dengan syurga melainkan kematian. Insya Allah, jika kita mati di antara waktu solat fardhu yang kita baca ayat Kursi selepasnya, ganjaran syurga menanti.

Ahad, 23 September 2012

Easy and continuous income!


Easy and continuous income!

- Pendapatan yang mudah dan berterusan masuk walau kita sudah tidak berada di dunia ini lagi nanti.

- Ada tiga saluran:

1) Sedeqah jariah
2) Ilmu bermanfaat yang diajarkan
3) Anak soleh

Pujuk diri kita, sebagai contohnya untuk saluran sedeqah jariah, jika ada peluang untuk salurkannya, segera ambil butiran untuk memasukkan sumbangan tersebut (dengan cara yang berkesan agar pihak penerima terima dengan betul), dan lebih indah lagi jika dapat dilaksanakan secara rahsia yang disembunyikan rapat, yang mana itu pula insya Allah akan membolehkan si pelaku tergolong dalam 7 golongan yang mendapat pengiktirafan Allah di akhirat nanti.

Sebagai huraian lanjut, sebagai contoh kita mewaqafkan jumlah tertentu untuk kegunaan masjid, sekolah agama dan kebaikan umum yang lain, selama mana tempat itu digunakan, selama itulah pahala akan masuk ke dalam akaun kita.

Insafi kehebatan sahabat Nabi kita sollallahu alaihi wa sallam yang paling berjasa kepada Baginda, yang mendapat maqom Siddiqiin, iaitu Saiyyiduna Abu Bakr rodhiya Allahu 'anhu, beliau menyalurkan wang bagi tujuan pembinaan masjid Nabawi yang menjadi pusat perkembangan Islam. Maka sehingga hari ini, pahala daripada amalan beliau tersebut terus-menerus diterima.

Sabtu, 15 September 2012

Solat sunat qabliah Subuh


Solat sunat qabliah Subuh (berdasarkan kuliah bersama Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizohullah pada Sabtu 15 September 2012 di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara)

- Solat sunnah muakkadah yang amat tinggi kedudukannya, melebihi keutamaan solat sunat hari raya, solat sunat dhuha.

- Melalui satu hadits, Nabi kita sollallahu alaihi wa sallam nyatakan keutamaan solat sunat qobliah subuh itu adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.

- Maka dari sudut psikologi, sejak awal pagi lagi kita sudah mendapat motivasi yang tinggi. Sepanjang hari, jika ditakdirkan kita terlepas apa-apa perkara, maka kita boleh kembali ingatkan diri bahawa kita sudah dapatkan ganjaran yang lebih tinggi daripada apa yang paling mahal ada di dunia ini.

- Mafhum daripada 'ulama, tak wajar bagi kita untuk terlepas daripada menunaikan solat sunat ini.

- Menurut fiqh mazhab Syafi'ie,  bagi mereka yang melazimi solat sunat qabliah subuh, seandainya ditakdirkan mereka ada keuzuran terlepas daripada melaksanakannya, mereka boleh qadha solat sunat tersebut.

Jumaat, 14 September 2012

Panduan Memelihara Diri dalam Zaman Menguji Iman

Panduan oleh ulama kepada kita dalam menghadapi cabaran zaman yang begitu menguji keimanan:

- Zaman yang menguji iman, bagaimana dikhabarkan kepada kita keadaan perubahan iman akan menjadi begitu pantas walau dalam masa seharian/semalaman.

- Maka yang pertama, dianjurkan kepada kita untuk ada guru yang mursyid yang dapat membimbing dan membentuk ibadah kita. Guru mursyid itu pula menerima didika
n daripada guru mereka sebelum itu.

- Namun,mencari guru mursyid bukanlah sesuatu yang mudah, kerana mereka bukan golongan komersial. Maka diajarkan kepada kita amalan membanyakkan solawat kerana berdasarkan pengalaman rohani mereka yang sudah melaluinya, banyak solawat akan membantu menyelamatkan kita daripada banyak ujian. Setiap satu solawat akan insya Allah mengizinkan 10 rohmat daripada Allah (dan banyak lagi kebaikannya).

- Dianjurkan untuk mempelajari, memahami dan mengambil manfaat daripada kitab-kitab yang ditulis atau berhubung dengan Al-Imam Al-Ghazali rohimahu Allah kerana kesan didikannya kepada hati adalah amat kuat.

(Mengambil faedah daripada kuliah bersama Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam hafizohullah)

Selasa, 3 Julai 2012

Melangkah ke Alam Mukmin Profesional

Assalamualaikum buat semua sahabat-rakan dan para pembaca laman ini,

Didoakan semoga Allah merahmati, mengampuni dan membimbing kita semua. Apa khabar? Kita sekarang alhamdulillah ada pada bulan Syaaban. Hari Khamis ini insya Allah nisfu Sya'ban. Jadi pada hari Rabu malam Khamis nanti (esok) kita dianjurkan oleh ulama untuk membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali dengan tiga niat yang berbeza-beza. Memang tiada dalil secara tepat dan jelas daripada Baginda Nabi kita sollallahu alaihi wa sallam tentang amalan ini, tetapi kaedah dan formula yang disusun ulama kita adalah amat berguna. 3 niat bacaan Yaasin itu insya Allah jika dikabulkan, maka kita akan peroleh perkara-perkara yang sangat baik dan sudah memadai bagi kita dalam kehidupan ini. (Umur yang panjang/kualiti umur, murah rezeki, mati dalam keadaan baik)

Di samping itu, kita juga insya Allah akan sambut bulan terhebat Ramadhan. Mari berdoa agar Allah sampaikan kita kepada bulan tersebut. Mari persiap minda, rancang masa dan tindakan kita. Penuhkan sebanyak-banyaknya dengan amal ibadah. Jangan bazirkan masa.

Seperkara lagi, besar hati untuk saya kongsikan dengan sahabat-rakan semua, bahawa insya Allah saya akan mula berkhidmat pada bulan ini sebagai Eksekutif Geosains dalam Jabatan Operasi di Petronas Carigali Sdn Bhd di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan sahabat-rakan semua. Mudah-mudahan terus beroleh barokah daripada Allah.

Sahabat-rakan,

Doakan juga agar saya beroleh kekuatan dan kemudahan, agar saya dapat lebih serius dan komited serta berfokus dalam usaha pengajian, pembacaan, penulisan dan perkongsian ilmu-ilmu berguna. Saya berhasrat untuk lebih menghidupkan laman blog ini pada masa akan datang.

Sehingga bertemu lagi.

Khamis, 24 Mei 2012

Rindu Bertemu Allah






Sesiapa yang rindu untuk bertemu dengan Allah, Allah juga rindu untuk bertemu dengannya.


- Pada waktu-waktu rasa lemah dan letih datang bertamu, pujuklah diri bahawa pertemuan dengan Kekasih kita adalah semakin hampir.

- Penat lelah dunia ini tidak lama, kebahagiaan di sana adalah kekal dan tiada hujung.

- Ya Allah kurniakan kami kerinduan untuk bertemu-Mu dan Kekasih-Mu sollallahu alaihi wa aalihi wa sallam.

Selasa, 15 Mei 2012

Majlis Periwayatan Kitab Hadits Sahih Muslim


(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)


Majlis Periwayatan Kitab Hadits Sahih Muslim bersama Syaikh Muhammad 'Awad Al-Mangosh

Tarikh: 27 Mei 2012 & 28 Mei - 6 Jun 2012

Tempat: Darul Hasani, Sg Ramal Dalam, Kajang dan Pusat Tuisyen Baitul Hikmah, Bandar Baru Bangi

Masa: 9.00 pagi - 12.00 tengah hari dan 5.00 petang - 10.00 malam

Kredit poster: Hyung Asrool Al-Idris

.

Majlis Periwayatan Kitab Sunan Al-Tirmizi

(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)




Majlis Periwayatan Kitab Sunan Al-Tirmizi bersama Syaikh Muhammad 'Awad Al-Mangosh

Tarikh: 18-26 Mei 2012

Tempat: Masjid Al-Azhar, KUIS

Masa: 8.00 pagi - 6.00 petang

Kredit poster: Hyung Asrool Al-Idris



Pendaftaran Yuran : RM100.00 untuk orang awam, RM50.00 untuk pelajar merangkumi makan minum sebanyak 3 kali sehari sepanjang 9 hari program berlangsung. Harap Maklum.

Khamis, 12 April 2012

Pahala Setahun Tanpa Penat Lelah




(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas bagi teks hadits)

Terjemahannya:


“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat dan membasuh kepalanya dan badannya (memakai wangian yang disukai malaikat), dan bersegera keluar awal pagi, dan menghampiri masjid (duduk berhampiran dengan mimbar), mendengar dan diam (memberi perhatian) mendengar khutbah, maka bagi setiap langkah yang dilangkahinya baginya pahala setahun berpuasa dan menghidupkan malam.”

Hadits daripada Imam At-Tirmizi, no. Hadis: 456.
 




Rujukan: Kitab Perbendaharaan yang Mewangi dari Taman Rasulullah صلى الله عليه وسلّم, dikeluarkan oleh Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki hafizohullah, 2011, Sofa Production Sdn Bhd, Ampang, ms. 62. 

Khamis, 5 April 2012

Selawat Untuk Nabi Kita - Amalan yang diterima Allah




Satu-satunya amalan yang turut disertai Allah dan para malaikat-Nya adalah berselawat atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad sholla Allah 'alaihi wa aalihi wa sallam. Hebat bukan amalan ini?

Sungguh banyak kebaikan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang berselawat. Pada pertemuan sebelum ini sudah pun kita kongsikan sejumlah besar faedah berselawat (http://ikhwanzhaki.blogspot.com/2010/12/40-kelebihan-dan-faedah-berselawat-atas.html).

Satu perkara lagi yang amat bermanfaat untuk kita tahu bahawa ulama menyatakan selawat yang dilakukan oleh yang fasiq sekalipun (orang yang berkekalan dengan dosa) insya Allah akan tetap diterima Allah.  Nabi kita juga tidak melarang sahabatnya memperuntukkan sebahagian besar masanya khusus untuk berselawat.

Insya Allah, bermula dari sekarang, kita kuatkan keazaman dalam hati agar sentiasa masa kita diisi padat dengan ucapan selawat, semasa berjalan, semasa di dalam kenderaan, semasa menanti panggilan giliran, semasa berada di dalam lif, semasa berjalan-jalan di dalam kedai, dan pelbagai lagi.

..

Ahad, 11 Mac 2012

Motivasi bagi Kesungguhan Hati dalam Belajar




Sedikit sedutan daripada terjemahan kitab Ta'limul Muta'allim Syaikh Al-Zurnuji rohimahu Allah berkenaan kesungguhan hati dalam belajar:

بقدر ما تتعنّى تنال ما تمنّى
(Sejauh mana usahamu, sekian pula akan tercapai cita-citamu.)

الجدّ يدني كلّ امر شاسع والجدّ يفتح كلّ باب مغلق
(Kesungguhan akan mendekatkan sesuatu yang jauh dan membukakan pintu yang terkunci.)

وليس اكتساب المال دون مشقّة تحمّلها فالعلم كيف يكون
(Harta benda saja tak akan kau dapatkan tanpa susah payah apalagi dengan ilmu.)

علوّ الكعب بالهمّ الوالي وعزّ المرء في سهر اللّيالي
(Darjat yang tinggi harus dengan kemahuan yang tinggi pula. Dan kemuliaan seseorang tergantung pada keterjagaannya pada malam hari.)

,,

Khamis, 8 Mac 2012

3 Sendi Ilmu Agama

‎3 sendi ilmu agama yang wajib dipelajari (yang difahami berdasarkan hadits Jibril)

- Ilmu tauhid/aqidah/usuluddin
- Ilmu fiqh/syariah
- Ilmu akhlak/tasawwuf

Meninggalkan salah satu daripada tiga ini menyebabkan ketidakseimbangan dan bahaya dunia akhirat.

Akar yang kukuh berteraskan tiga-tiga sendi di atas insya Allah akan memberikan kebahagiaan dalam segenap aspek.

..

Ikhtiar Mencari Jodoh Melalui Orang Tengah

Gambar sekadar hiasan


Buat para pengunjung-pembaca yang dimuliakan kerana Allah,

Sekali lagi, catatan saya di sini adalah sedikit sambungan daripada perbincangan lalu mengenai Bagaimana Nak Tahu Siapa Jodoh Kita yang telah kita laksanakan seperti yang termuat di sini: http://ikhwanzhaki.blogspot.com/2011/06/bagaimana-nak-tahu-siapa-jodoh-kita.html

Dalam topik pada kali ini, sekali lagi saya mengajak saya sendiri dan sahabat-rakan turut sama berkongsi pandangan mengenai ikhtiar mencari jodoh melalui orang tengah.

Berbicara mengenai orang tengah, dapat kita fahami bahawa adanya individu/kumpulan yang kita yakini amanah mereka untuk membantu mencari calon yang sesuai dengan kita. Kita mungkin sudah sedia maklum bagaimana dalam institusi usrah-jamaah ada diwujudkan satu unit khas dipanggil Unit Baitul Muslim (UBM) yang pada kelazimannya akan giat membantu para ahli mereka yang hampir atau sudah tamat pengajian peringkat sarjana muda atau sebelum memasuki alam pekerjaan. Pada kebiasaanya, akan ada borang yang dikeluarkan UBM yang mengandungi butiran yang begitu terperinci bagi kriteria-kriteria pilihan dalam mendapatkan calon pasangan hidup. Secara umum, saya berpandangan bahawa usaha seperti UBM adalah begitu membantu para ahli yang sibuk dalam usaha Islami dan mungkin tidak berpeluang menumpukan masa sepenuhnya dalam usaha pencarian jodoh. Selain itu, UBM juga bermatlamat menyesuaikan pasangan yang akan berkahwin, lebih-lebih lagi dalam kesetaraan (sekufu) dari segi fikrah-idea-pembawaan. Ada yang berpandangan, jika bakal pasangan sudah ada fikrah itu, lebih mudah fasa seterusnya (melahirkan dan membesarkan anak-anak) dan tidak perlu berpatah balik pada usaha pembinaan fikrah seandainya pasangan tidak sekufu fikrah mereka.

Baiklah, itu antara contoh yang sedang berlangsung melalui UBM. Bagi yang tidak berpeluang atau berhajat mencari alternatif lain, mereka juga boleh menggunkan khidmat nasihat dan pencarian orang-orang yang diyakini amanah mereka dalam beragama. Selalunya, orang tengah ini boleh dicari dalam kalangan pasangan yang sudah berumah tangga. Ada yang mengambil bantuan orang-orang alim dan soleh seperti ustaz-ustazah untuk membantu usaha pencarian jodoh. Bagi sudut pandang seorang lelaki, cara sebegini lebih tenteram dan menundukkan pandangan kerana tidak mungkin semua muslimin yang berasa selesa untuk meredah sendiri, kembara dan mencari dengan dirinya tanpa bantuan orang lain dalam menemukan calon yang serasi.

Bagi muslim-muslimah yang menggunakan khidmat orang tengah (sebagai contoh: ustaz-ustazah), bolehlah dinyatakan secara tepat dan jelas kriteria-kriteria yang menjadi pilihan dan keserasian. Hal ini bukanlah bermakna kesemua kehendak itu dapat 100% dapat ditunaikan dan membolehkan pertemuan dua orang insan yang sempurna untuk berkahwin; kerana perkara tersebut kecil sekali kemungkinannya untuk terjadi.

Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.

Itulah sekadar beberapa catatan ringkas bagi sudut pandang saya.

Sahabat-rakan pembaca semua, jemput turunkan pandangan dan pengalaman anda juga di ruang ulasan/komentar bawah ini.

Semoga Allah merahmati dan meredhai kesemua usaha kita.

.

Selasa, 6 Mac 2012

Persiapan Sebelum Perkahwinan (Nota Kecil)

Sedikit nota berkaitan persiapan membina keluarga

- Bakal suami dan bapa berperanan memastikan cukupnya didikan agama bagi bakal isteri dan anak-anak. Seandainya dia tidak mampu mengajar mereka, dia perlu menghantarnya ke tempat pengajian bersama para ustaz Ahlus Sunnah Wal Jama'ah (ASWJ).

- Dalam mencari para ustaz untuk belajar faham agama pula, semak latar belakang pengajian ustaz tersebut, pastikan dia ada guru yang benar atas landasan ASWJ, dan bukannya secara kosmetik kelihatan beragama.

- Bakal suami dan bapa yang mula bersedia dengan ilmu agama sebelum perkahwinan, memilih bakal isteri yang turut bersedia dengan ilmu agama, insya Allah akan membantu untuk lebih memudahkan proses mendidik anak-anak.

- Mendirikan rumah tangga dilihat dengan jiwa besar sebagai perjuangan membawa amanah, mengikuti sunnah Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم , lebih banyak memburu keredhaan Allah.

Ahad, 4 Mac 2012

Sifir/neraca Dosa dan Pahala

- Seandainya pada tahap ini, kita menilai setiap perkara atas sifir/neraca dosa dan pahala (sebagai contoh perkara itu kalau buat dapat dosa, perkara ini kalau buat dapat pahala), dan kemudian kita yakin dengan pahala balasannya di syurga, dosa pula membawa balasan azab di neraka jika tidak mendapat keampunan Allah; insya Allah itu tetap dikira ikhlas, yakni ikhlas orang awam.

- Tidak perlu terburu-buru untuk terus lompat naik ke tahap ikhlas orang khawas seperti ikhlasnya para wali Allah.

- Contoh yang diberikan syaikh ialah para penunggang motor (mat rempit) yang sangat hebat beraksi di atas jalan raya, sebelum mereka mahir dengan aksi bahaya tersebut, mereka sudah pun banyak kali jatuh di atas jalan.

- Kita pun boleh lihat, bayi kecil belajar merangkak dahulu sebelum dapat berjalan dan berlari.

- Pelajar universiti semasa usia kecil di tadika, mereka belajar Alif Ba Ta, ABC, 123 secara asas.

- Latihan yang banyak diperlukan untuk membaiki tahap ikhlas kita, dan pastinya perlu dipimpin dengan cahaya terang daripada para guru kita.

- Apa lagi yang perlu kita tunggu selepas ini? Tingkatkan lagi usaha. Dengan izin, rahmat, kurniaan Allah kita meniti jalan kehambaan ini dengan cara yang diredhai-Nya

Jumaat, 2 Mac 2012

Sokongan kepada Sahabat-rakan yang Berkahwin

Sebarang perkara berkaitan perkahwinan seperti status, perubahan status relationship sentiasa sahaja mendapat sambutan hangat.

Jika sahabat-rakan kita berkahwin, alhamdulillah, mereka jaga diri daripada dosa. Kita beri sokongan. Perhubungan tanpa perkahwinan itulah yang kita tidak setuju.

Sama-sama juga beri sambutan hangat untuk persiapan amanah besar selepas itu.

Jangkakan realiti cabaran-kesusahan pasca perkahwinan berbanding simbahan keseronokan perasaan pra perkahwinan.

Ya, perkahwinan dilihat sebagai peluang mengaut sebanyak mungkin keredhaan Allah.

Rabu, 29 Februari 2012

Penerimaan Doa

Adab berdoa sebagai hamba yang bersangka baik kepada Allah:

Insya Allah, Dia qabulkan doa kita dalam bentuk dan pada waktu yang dikehendaki-Nya.

Maka, teruslah bersangka baik kepada Allah.

.

Isnin, 27 Februari 2012

Hadiah Kenduri Kahwin?

Hadiah untuk kenduri kahwin

Biasa kita lihat:

- Banyak pinggan mangkuk, sebab lepas kahwin, nak masuk rumah
- Pakaian untuk bayi, sebab nanti nak dapat anak
- Stroller baby, sebab nanti mudah nak usung baby

Saya tambah: kalau sahabat kita memang minat buku, kitab-kitab, ok juga hadiahkan buku-kitab.

Umumnya: pasti kita nak hadiah kita itu manfaatnya bertahan lama. Insya Allah.

.

Jumaat, 24 Februari 2012

Dosa Jariah Melalui Internet dan Luar Internet?

Berkongsi/memberi petunjuk kepada perkara yang dimurkai Allah dan kesesatan memungkinkan kita mendapat dosa jariah (berterusan).

Jom semakin tapis dan ketatkan cara berkongsi.

Contoh ringkas: kita mempromosikan artis yang jelas-jelas melakukan kemungkaran, lagu-lagunya terselit ajakan untuk berzina.

Rabu, 22 Februari 2012

Kewaspadaan Terhadap Pengkajian Hadis Moden



Gambar daripada http://ustaz-faidzurrahim.blogspot.com/


Terdorong untuk mengajak diri sendiri dan rakan-rakan untuk mengikuti penilaian para 'ulama hadis terhadap pengkaji hadis moden yang kita amati banyak diterjemahkan usaha beliau ke dalam bahasa Indonesia/Melayu dan dengan meluas dibacakan oleh para pelajar/mahasiswa.

*Sekadar kongsi gambar muka depan kitab.

Perkara/concern ini tercetus setelah memikirkan balik banyak diperhatikan, saya dan rakan-rakan yang tidak ada latar belakang pengkhususan ilmu hadis mungkin kurang prihatin dalam memilih rujukan/buku-buku hadis.

Bacaan lanjut mengenai perkara ini: http://sunnah.org/history/Innovators/al_albani.htm

.

Sikap Seorang Guru Terhadap Gurunya


Syaikh Ahmad Fahmi bersama gurunya Syaikh Salman (sumber gambar)


Sikap seorang syaikh kepada syaikh beliau

Saya memang terpukul dengan sebuah gambar pada tahun lepas, dalamnya ada gambar seorang syaikh yang melazimi memakai 'imamah (serban lilit), namun dalam satu majlis yang dihadiri guru beliau, yang mana guru beliau tidak memakai 'imamah, beliau juga tidak memakai 'imamah.

* Kembara mencari hikmah dan keindahan akhlak 'ulama.

.

Jumaat, 17 Februari 2012

Pembatalan Daurah dan Talaqqi Kitab Turath 22 dan 23 Februari 2012

Pembatalan untuk:

 22 dan 23 Februari 2012 Daurah dan Talaqqi Kitab Turath di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

- berdasarkan maklumat terkini diterima, atas keuzuran yang berlaku pada pihak Tuan Guru.



(Klik pada gambar untuk paparan lebih besar)

Kuliah Bulanan bersama Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam 25 Februari

 

(Klik pada gambar untuk paparan lebih besar)

Ahad, 12 Februari 2012

Menyambung Usaha Penulisan Ilmiah


Gambar sekadar hiasan (sumber)

Salam mahabbah, salam kesungguhan dalam penghambaan saya ucapkan kepada semua sahabat-rakan pengunjung laman blog ini.

Segala puji bagi Allah dan selawat serta salam dipanjatkan buat Baginda Nabi kita sholla Allah 'alaihi wa aalihi  wa sallam, para sahabat Baginda dan seluruh umat Islam.

Kita memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur atas segala kurniaan Allah kepada kita, yang tidak putus-putus diberikan sehingga saat ini. Mudah-mudahan kita sentiasa diberikan kekuatan untuk menjadi para hamba-Nya yang bersyukur.

Pada catatan kali ini, saya berasa terpanggil untuk berkongsi idea dengan sahabat-sahabat semua mengenai usaha penulisan ilmiah bagi peringkat peribadi kita sendiri. Bagi saya sendiri, biarpun blogspot saya ini agak lama tidak dikemas kini dengan catatan terbaru, saya masih juga giat berkongsi melalui status-status Facebook.

Apabila dilihat semula segala catatan berguna tersebut, termasuk daripada rakan-sahabat Facebook lain juga kongsikan, saya mengamati adanya kewajaran bagi kita mengambil tindakan proaktif untuk menyusun segala ilmu tersebut dalam keadaan yang lebih tersusun demi rujukan pada masa akan datang.

Insya Allah, itulah yang sering bermain dalam fikiran saya akhir-akhir ini. Tambahan pula, memikirkan usia semakin meningkat, keberangkatan menuju akhirat semakin dekat titiknya, amalan pula masih tidak seberapa, maka saya mengingatkan diri saya sendiri dan sahabat-sahabat pembaca semua mengenai sabda Nabi kita sholla Allah 'alaihi wa aalihi wa sallam mengenai tiga sumber pahala yang berterusan (walaupun kita telah meninggal dunia): ilmu bermanfaat yang diajarkan, sedeqah jariah, dan doa anak yang soleh. 

Sebagai mukmin yang berjiwa besar dan amat mencintai perkampungan akhirat, saya mengajak kita semua untuk merebut segala peluang bagi ketiga-tiga sumber pahala tersebut. Insya Allah, bagi kategori ilmu bermanfaat yang diajarkan, saya yakin bahawa usaha penyusunan ilmu (yang boleh kita mula buat dalam dokumen Microsoft Word) dan seterusnya disebarkan melalui laman-laman internet seperti blogspot, wordpress, Facebook dan lain-lain lagi.

Insya Allah, sama-sama kita berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar dimudahkan niat murni ini.

Terima kasih kepada semua sahabat kerana masih memberikan sokongan kepada usaha kerdil saya ini.

Bertemu lagi.


'Abdullah Munib ilai Hi
Kuantan, Pahang
..

Selasa, 7 Februari 2012

Teruskan Perjuangan Sebagai Hamba-Nya

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam atas Baginda Nabi kita dan keluarganya, serta kesejahteraan didoakan untuk semua umat Islam.

Kini, sudah hampir sebulan lebih saya pulang dari luar negara, menamatkan pengajian siswazah. Rasa syukur atas segala kemudahan yang dikurniakan Allah. Fasa sekarang ini lebih menjurus kepada menanti panggilan kerja daripada Petronas.

Pada masa yang sama, peluang ini adalah peluang keemasan bagi saya meneruskan bakti kepada ibu bapa dan keluarga, meneruskan usaha pencarian ilmu,merapatkan ukhuwwah dan melaksanakan kebaikan-kebaikan umum.

Satu perkara yang saya rasa terpanggil di sini adalah kepentingan kita untuk sentiasa laksanakan audit dalaman pada diri kita pada setiap hari, dengan tujuan menjadikan seluruh kehidupan ini adalah bermanfaat dan sentiasa cemerlang dan bertambah baik.

Sehingga bertemu lagi.

...

Selasa, 10 Januari 2012

Ketika Tidak Tercatat Yang Baru

BUAT PENGUNJUNG YANG DIMULIAKAN


Seandainya ada ketika blog saya ini tidak termuat catatan baru, saya mengajak diri saya dan anda semua untuk kita mengulang kaji catatan sebelum ini. Insya-Allah, akan lebih kuat kefahaman untuk kita beramal dengan ilmu tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...