Berada di Teluk Cempedak, Kuantan pada Disember 2010
Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kepada Allah. Kiranya, memang terlalu banyak sangat nikmat Allah kepada kita, tak mampu nak hitung.
Memang benar. Kadang-kadang, pada satu tahap, Allah sedarkan kepada kita perkara ini apabila sebahagian kecil (sangat-sangat sedikit daripada juta jutaan nikmat-Nya yang tidak terhitung) diambil buat sementara waktu. Apabila kita ketiadaan nikmat tersebut, barulah hati kecil kita terasa disapa, diketuk betapa hebatnya nikmat Allah yang dipinjamkan kepada kita walaupun kita melihatnya sebagai kecil (taking it for granted) pada waktu kebiasaan.
Pernah diri saya yang faqir dan haqir ini telah dihadirkan dengan ujian sedikit sakit ulcer. Allah, Allah, Allah. Ada dua tompok ulcer. Satu di bahagian atas, satu di bahagian bawah. Masya Allah, Dia sahaja yang tahu sakitnya ujian ini. Nak bersenyum, nak bercakap pun rasa tidak mudah. Saya bercakap dengan beberapa orang adik kenalan pun dalam keadaan control , bercakap dengan kadar perlahan (tidak laju) dan kadang-kadang terpaksa mengangkat sedikit bahagian bibir supaya bahagian ulcer itu tidak bergeselan dengan dawai braces pada mulut saya. Nak baca Al-Quran dengan sebutan makhraj (cara sebutan) yang tepat bagi sesetengah huruf pun rasa mencabar kerana bahagian mulut tersebut ada sakit ulcer. Nak makan, minum pun terasa cabarannya.
Alhamdulillah, hampir 3 minggu ujian sebegini melabuhkan tirainya....hati kecil saya melonjak riang apabila Allah dengan penuh rahmah-Nya meminjamkan kembali kesihatan mulut kepada saya... Saya rasa, sahabat-rakan pembaca semua pun ada pengalaman masing-masing, apabila ditimpa sesuatu ujian kesakitan atau kesusahan, pada masa itulah terasa begitu kuat keinsafan dan kesedaran itu mengakar dalam diri kita. Bagaimana selama ini, kita memandang rendah dan mudah kepada segala macam nikmat Allah.
Insya-Allah, dengan bashirah بصيرة (mata hati) yang bersih, kita dapat merasai, meyakini bahawa segala macam perkara dan ujian yang ditentukan kepada kita oleh Allah pasti ada kebaikan yang tersembunyi, yang tidak mampu diamati, direnungi oleh bashar بصر (mata kepala) ataupun hati yang tidak celik. Bahkan, Allah mudahkan laluan kepada kita, untuk berfikir tentang sesuatu hikmah di sebalik setiap kejadian yang ada.
Ya, saya bersetuju dengan pendapat rakan saya bahawa pada sesuatu tahap, sakit yang menimpa kita akan datang dengan satu perspektif atau sudut pandang yang berbeza, dan kali ini lebih dengan perasaan kehambaan.
Baik, itu sekadar catatan berkaitan nikmat yang sentiasa wajar kita syukuri, dan seorang ustaz lulusan Al-Azhar pernah menyebut, antara kemuncak kesyukuran bagi seorang hamba adalah dengan mentaati segala perintah Allah (dengan melaksanakannya) dan meninggalkan segala larangan Allah.
Bukanlah syukur itu sekadar lidah yang melafazkan "syukur kepada Allah", tetapi syukur itu juga menuntut kita untuk mengakui dalam hati bahawa Allah sebagai Tuhan Yang Esa, Pemilik dan Pemberi nikmat tersebut, manakala anggota tubuh kita pula melaksanakan perkara yang disuruh Allah dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. Kita memohon agar Allah menjadikan kita semua sebagai hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.Bukankan telah difirmankan-Nya dalam Al-Quran bahawa terlalu sedikit hamba-Nya yang bersyukur?
Baiklah, insya-Allah, catatan saya pada kali ini dinamakan "Hari Esok" yang berkisar tentang persediaan, perancangan kita selaku para hamba-Nya dalam meniti kehidupan ini, dalam menanti untuk menyambut ketibaan pada hari-hari seterusnya. Berkemungkinan, saya hanya berkongsi beberapa idea dan pengalaman, dan sahabat-rakan semua boleh menyambung perkongsian pada bahagian ulasan/komentar.
Alhamdulillah, Dia hadirkan kepada kita kesedaran ini. Saya berasa tertarik dengan satu peringatan ringkas oleh pegawai Petronas yang berkhidmat menyelia para pelajar tajaan di kawasan Australia-New Zealand. Peringatan ringkas tersebut dimuatkan dalam emel yang dihantar kepada para pelajar yang berkaitan persediaan. Beliau turut memuatkan sebuah peribahasa yang saya kira benar-benar menjadikan peringatannya itu masih berlegar-legar dalam ruang minda saya sehingga pada saat ini. Peribahasa tersebut berbunyi, seingat saya: "Prepare for tomorrow since it belongs to those who prepare for it today." (Bersedialah untuk hari esok, kerana hari esok menjadi milik mereka yang bersedia untuknya pada hari ini.)
Ya, saya memang appreciate peribahasa ini. Peribahasa ini menjadi asbab untuk saya begitu menghargai nikmat kesempatan hidup ini di bumi Allah ini dengan melakukan perancangan supaya segala kebaikan dapat direbut dengan sebanyak dan semampu yang mungkin. Dan kita berasa lebih bersyukur, dengan nikmat Islam dan Iman yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Mengasihani dan dibawa oleh Kekasih yang kita cinta, Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam, kita dapat satu nur yang amat terang, sehingga dapat menerangi hati kita bahawa tomorrow / hari esok kita yang hakiki ialah hari akhirat, kehidupan yang kekal.
Saya masih teringat satu hadis dan penerangan yang begitu menyentuh hati, menggerakkan akal untuk berfikir, yang disampaikan oleh guru yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi al-Maliki hafizhohullah.
Terjemahan hadits Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam tersebut berbunyi:
Orang yang bijak ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati.
(Hadits riwayat Imam Tirmizi, beliau berkata hadits ini hasan, dalam Abwab al-Qiyamah)
Menurut Al-Imam Al-Ghazali rohimahullah, orang tersebut adalah bijak kerana dia memilih yang kekal (kehidupan akhirat) daripada yang fana (dunia). Kita ambil contoh, secara puratanya, mungkin manusia mempunyai jangka hayat dalam lingkungan 60 hingga 70 tahun. Orang yang bijak tersebut sebagaimana yang disebutkan dalam hadits tadi menggunakan sekian banyak umur di dunia ini untuk kebahagiaan dan kesenangan juta juta tahun di akhirat nanti (sekadar nak menggambarkan betapa terlalu panjangnya tempoh akhirat berbanding di dunia), dan kita maklum bahawa orang yang dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga akan kekal berada di sana. Kekal di sana adalah tanpa penghujung. Sampai bila? Sampai bila-bilalah. Sampai bila-bila tu, sampai bila? Sampai bila-bila-bilalah? Nampaknya kekekalan akhirat ini adalah sesuatu perkara yang tak mampu nak kita amati dengan akal yang cetek ini.
Nah, dengan perkhabaran yang telah kita terima di atas, bukankah telah jelas kepada kita untuk merancang masa depan kita? Merancang masa depan di dunia ini dalam kaca mata merancang kehidupan di akhirat nanti. Ya lah, dunia dijadikan jambatan menuju akhirat. Dunia dijadikan ladang tanaman akhirat. Dunia diletakkan di tangan, bukan di hati. Dunia dijadikan persinggahan yang terlalu sementara untuk mengaut sebanyak mana yang mungkin persiapan menuju hari akhirat.
Insya-Allah, dengan adanya penerangan ini, sedikit sebanyak, kita beroleh kesedaran untuk mula menjadikan kehidupan di dunia ini adalah kehidupan yang terancang.
Sedikit perkongsian yang dhoif daripada saya, hasil daripada apa yang berlaku secara realiti, iaitu apa yang saya laksanakan dalam bidang akademik. Alhamdulillah, selama saya berada dalam bidang pengajian, memang ada masa di 'atas' dan ada masa di 'bawah'. Namun, saya tersedar bahawa situasi kita 'berada' di bawah itu pasti ada puncanya. Maka, saya pun mengkaji apakah punca yang munasabah yang mampu menjejaskan performance dalam bidang akademik. Maka, apa yang saya temui adalah daripada dua segi: 1) fokus dan 2) pengurusan masa.
Selain itu juga, pernah diingatkan oleh seorang senior saya tentang kepentingan meletakkan target yang tinggi untuk membolehkan minda kita sentiasa terarah untuk bekerja bagi mendapatkan hasil yang tertinggi dan terbaik. Saya hubung kait perkara ini dengan suruhan Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam untuk berdoa memohon syurga yang tertinggi apabila kita memohon kepada Allah agar ditempatkan di syurga kelak. Hal ini jelas sekali mendidik kita sebagai umat Islam untuk sentiasa bersifat optimis, dan meletakkan sasaran yang begitu tinggi dan mulia untuk ditujui.
Alhamdulillah, saya diberikan kekuatan oleh Allah untuk melaksanakan idea ini. Saya dengan 'tegas' membuat peraturan untuk diri sendiri. Saya mengehadkan segala macam penggunaan masa agar tidak terbuang dengan sia-sia. Saya juga menulis pada kertas sebagai peringatan: sasaran 90% untuk setiap kerja akademik. Saya bekerja secara berterusan untuk mencapai sasaran yang telah diletakkan. Alhamdulillah, pada musim peperiksaan baru-baru ini, saya mendapat julat markah antara 85 sehingga 87% bagi tiga kursus yang diambil. Tujuan saya berkongsi di sini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau sebagainya, tetapi untuk membuktikan kepada saya dan anda para pembaca bahawa insya Allah, apabila kita meletakkan satu sasaran yang tinggi, minda kita akan terlatih untuk bekerja mendapatkan sesuatu yang tinggi dan terbaik.
Itulah serba sedikit catatan pengalaman yang masih punyai kekurangan. Saya masih lagi bercita-cita untuk merancang masa hadapan. Saya memuliakan dan mencintai golongan huffaz al-Quran yang beramal, biarpun saya terlalu kerdil untuk menjadi seperti demikian, saya berdoa dan berusaha agar dikurniakan Allah golongan sedemikian bagi sayap kiri dan bakal anak-anak. Saya juga memuliakan, meminati dan mencintai golongan yang mendalami bidang agama, dan beramal dengan penuh ikhlas ilmu mereka tersebut, maka saya berdoa dan berusaha semoga bakal anak-anak nanti dapat dibentuk, dididik dan dibesarkan dalam laluan demikian.
Bagi setiap daripada kita, masa pasti akan terus berlalu. Apa hakikat yang perlu kita yakini 100%? Tempoh masa pinjaman hayat kita di atas muka bumi ini adalah semakin singkat. Kita semakin dan semakin mendekati hari akhirat, hari pembalasan dan pertemuan dengan Allah subhanahu wa ta'ala. Maka sekali lagi, saya mengajak diri saya dan anda semua untuk kita benar-benar merancang masa kita, agar diperuntukkan dalam 24 jam sehari itu tempoh yang munasabah untuk beribadah kepada Allah (ibadah yang khusus, kerana kita yakini setiap tindakan kita yang baik dan berniat ikhlas insya Allah akan dinilai ibadah yang umum). Boleh jadi, kita merangka untuk bangun 15 minit sebelum waktu subuh dan menunaikan 2 rakaat solat tahajud. Tak mengapa, biarpun kita bermula dengan sedikit, namun berkat kesungguhan dan keikhlasan, insya Allah lama-kelamaan perkara tersebut menjadi habit yang mudah untuk kita laksanakan dan sukar untuk kita tinggalkan. Pada satu tahap nanti, insya Allah, kita berupaya untuk upgrade 2 rakaat tersebut kepada lebih rakaat.
Berikut adalah beberapa petikan kata-kata (quotations) yang saya kutip daripada laman ini, untuk menjadi pemangkin bagi kita terus berfikir,menjadi bahan untuk kita renungi dan fikirkan dengan penghayatan mata hati:
To be prepared is half the victory. (Miguel De Cervantes)
Before everything else, getting ready is the secret to success. (Henry Ford)
The time to repair the roof is when the sun is shining. (John F. Kennedy)
Talent alone won't make you a success. Neither will being in the right place at the right time, unless you are ready. The most important question is: 'Are your ready?' (Johnny Carson)
If I had six hours to chop down a tree, I'd spend the first hour sharpening the ax. (Abraham Lincoln)
Success depends upon previous preparation, and without such preparation there is sure to be failure. (Confucius)
The secret of success in life is for a man to be ready for his opportunity when it comes. (Benjamin Disraeli)
Confidence and courage come through preparation and practice. (Unknown Author)
Mudah-mudahan catatan serba ringkas ini memberi manfaat kepada kita, semoga Allah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk beramal dengan konsisten.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.