Gambar sekadar hiasan (sumber)
Kegersangan jiwa kita ini insya Allah dapat dibasahi dengan sentuhan didikan para syaikh yang jernih hati mereka, jelas perjalanan 'aqidah mereka, yang ada pertalian sehingga sampai pada Baginda Nabi kita Muhammad sholla Allah 'alaihi wa sallam.
Alhamdulillah, dan insya Allah saya dan sahabat-sahabat di sini semakin menghampiri detik-detik menamatkan pengajian akademik peringkat sarjana muda. Semakin lama, semakin dekat untuk pulang ke Malaysia.
Saya berhajat dan berazam, agar Allah mengizinkan saya untuk beroleh pekerjaan tetap dan bermastautin di Lembah Klang. Syukur atas kurniaan-Nya, makin lama makin kuat dan mengakar kerinduan dan keinginan untuk melazimi majlis pengajian secara talaqqi (bersemuka dengan guru yang tsiqah dan ada pertalian ilmu) dengan para syaikh di sana. Keberadaan hampir 3 tahun di perantauan ini seolah-olah menjadi satu tempoh didikan bahawa peluang untuk bertemu dan belajar dengan para syaikh ini ialah suatu nikmat yang amat-amat berharga. Allahu Allah. Begitu asyik melihatkan para syaikh kita, dengan kesantunan akhlak mereka, setiap lafaz yang dituturkan ibarat tepat menghala ke hati kita dan berbekas kuat. Kadang-kadang, bisikan hati menyatakan, nanti apabila berada di Malaysia, kalau terlepas satu majlis ilmu bersama mereka sahaja sudah menjadi kerugian besar yang patut benar-benar ditangisi.
Saya berpendapat, budaya mulia berdampingan dan belajar dengan para syaikh-'ulama ialah satu perkara yang wajar dipupuk. Insya Allah, dengan keberkahan yang ada pada mereka, insya Allah proses pembaikan diri dan umat ini akan berlangsung dengan berkesan. Ada kalanya, kenikmatan dan keseronokan yang dialami jiwa yang menghadiri majlis-majlis ilmu mereka adalah tidak mudah untuk digambarkan kepada insan lain. Lepas cuba, baru rasa! Ibarat nak ceritakan kesedapan sesuatu masakan, tak sah melainkan orang lain itu sendiri merasainya.
Insya Allah, dengan niat untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, mencari ilmu dan kefahaman dengan ikhlas demi diamalkan, insya Allah kita akan beroleh keberkahan daripada Allah. Terasa mudah nak faham, selalu ingat, mudah dan seronok untuk mengamalkannya secara berterusan. Allahu Allah.
Sahabat-rakan pembaca,
Anda ada pengalaman untuk dikongsikan?
Anda ada pengalaman untuk dikongsikan?
Boleh catat di bawah ini.
Mudah-mudahan Allah membantu setiap urusan penghambaan kita.
Mudah-mudahan Allah membantu setiap urusan penghambaan kita.
...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.