Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 28 November 2011

Muqaddimah dan Intisari Surah Yaasiin


*Catatan ini adalah berdasarkan risalah seperti tertera dalam gambar di atas, dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Kelebihan Membaca Al-Quran 

Orang yang membaca Al-Quran mendapat pahala daripada setiap huruf demi huruf yang dibacanya sama ada yang membaca itu tahu maknanya atau tidak.

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلّم  daripada Abdullah bin Mas'ud maksudnya:

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (Al-Quran) maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif-Lam-Mim satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf. 


Firman Allah, Surah An-Naml, ayat 91-96:

Maksudnya:

Aku disuruh menjadi seorang yang memeluk Islam dan membaca Al-Quran.



Kelebihan Surah Yaasiin 


Daripada Ma'qal bin Yassar rodhiya Allah 'anhu, bahawasanya telah bersabda Rasulullah صلى الله عليه وسلّم :

Hati Al-Quran ialah surah Yaasiin, tidaklah seseorang itu membacanya hanya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan (keampunan) pada hari Akhirat melainkan Allah akan memberikan keampunan terhadap segala dosa kesalahannya, justeru kamu sekelian bacakanlah surah Yaasiin kepada orang yang mati (juga bagi yang sedang hampir mati). 

 (Riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam An-Nasai)

Daripada Anas rodhiya Allah 'anhu bahawa Nabi صلى الله عليه وسلّم  bersabda ertinya: 

Sesungguhnya bagi tiap-tiap sesuatu itu ada hati dan hati Al-Quran ialah surah Yaasiin. 
(Riwayat Imam At-Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Jundub rodhiya Allah 'anhu katanya Rasulullah صلى الله عليه وسلّم  bersabda ertinya: 

Sesiapa yang membaca surah Yaasiin pada waktu malam dengan ikhlas maka diampunkan dosanya.


Faedah Membaca Surah Yaasiin

Rasulullah صلى الله عليه وسلّم  bersabda ertinya:

Sesiapa sahaja yang membaca surah Yaasiin pada waktu siang hari nescaya ditunaikan hajatnya.
(Riwayat Imam Ad-Darimi)


Anas rodhiya Allah 'anhu menerangkan: bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلّم  bersabda ertinya:

Sesiapa yang memasuki (menziarahi) pusara kemudian membaca Surah Yaasiin, maka Allah Ta'ala meringankan seksaan terhadap ahli kubur pada hari itu. Dan dia akan mendapat kebaikan-kebaikan daripada Allah Ta'ala sebanyak ahli-ahli kubur tersebut. 


Saudara pembaca rohimakumu Allah, berdasarkan maksud daripada dua hadis yang mulia di atas marilah kita insaf dan meningkatkan amalan membaca surah Yaasiin pada waktu siang atau malam, malam Jumaat atau pada bila-bila masa sahaja dan di mana kita berada, sendirian mahupun berjama'ah. Ketika dalam kesukaran atau ketakutan lebih-lebih lagi jika terdapat kawan atau tetangga atau keluarga kita yang akan meninggal atau mati marilah kita membacakan surah Yaasiin. Fadhilat atau keutamaan surah Yaasiin adalah sangat hebat.


Muqaddimah dan Intisari Surah Yaasiin

Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 83 ayat. Dinamakan surah Yaasiin kerana Allah subhanahu wa ta'ala memulakan surah ini dengan dua huruf yang tersebut dan Dia-lah sahaja yang mengetahui maksudnya.

Intisari kandungan surah ini

Pada mulanya Allah ta'ala menegaskan kebenaran Al-Quran Al-Karim sebagai wahyu yang diturunkan-Nya, dan bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه و آله وسلّم  yang menerima Al-Quran itu ialah Rasul-Nya yang tetap berada atas jalan Islam yang lurus.

Kemudian Allah ta'ala menggambarkan keadaan orang yang berdegil dalam kekufurannya dan yang telah diketahuinya bahawa mereka tidak akan beriman. Kesombongan dan kedegilan mereka telah membelenggu mereka daripada tunduk untuk mematuhi kebenaran dan sifat tamak serta gila mereka kepada harta benda dan pangkat kebesaran telah menyekat dan menghalang mereka daripada melihat jalan yang benar.

Kemudian ditegaskan bahawa peringatan dan amaran yang berkesan dan mendatangkan faedah hanyalah yang diberikan kepada orang-orang yang sedia menurut Al-Quran serta mereka takut melanggar Allah Yang Maha Pemurah, semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan.

Kemudian Nabi Muhammad صلى الله عليه و آله وسلّم diperintahkan supaya menceritakan kepada golongan kafir musyrik yang menentangnya tentang kisah penduduk sebuah bandar pada zaman silam yang telah mendustakan rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dan akibat buruk yang menimpa mereka. Sebaliknya orang yang beriman di antara mereka telah menerima balasan yang sebaik-baiknya.

Kemudian ditegaskan bahawa sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang akan menimpa orang-orang mengingkari kebenaran, mengapa mereka bersikap demikian? Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah lalu, yang telah dibinasakan disebabkan keingkaran dan kekufurannya?

Sebenarnya tidak ada satu makhluk pun melainkan akan dihimpunkan di mahsyar - pada Hari Akhirat kelak - untuk dibicarakan dan menerima balasan. Kemudian Allah ta'ala menerangkan dalil-dalil yang jelas untuk memahami kekuasaan dan kemurahan-Nya. Antaranya ialah bumi yang mati yang dihidupkan dengan berbagai-bagai jenis tanaman yang subur. Demikian juga malam dan siang yang silih berganti, juga matahari yang kelihatan beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhirat peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya: berbentuk melengkung seperti tandan yang kering.

Kemudian diterangkan keadaan yang akan berlaku pada Hari Akhirat dan balasan yang akan diterima oleh orang yang beriman dan orang-orang yang ingkar.

Surah ini diakhiri dengan menerangkan keadaan kekuasaan Allah ta'ala, yang apabila Ia menghendaki adanya sesuatu benda, hanyalah Ia berfirman kepada hakikat sesuatu itu: "Jadilah engkau!" maka terus benda itu menjadi.

Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-Nya lah dikembalikan sekelian makhluk-Nya.


Adab-adab Membaca Surah Yaasiin

Membaca surah Yaasiin dikira ibadah. Oleh itu, jagailah tatatertib ketika membaca surah Yaasiin sama seperti membaca surah-surah Al-Quran yang lain. Antara adab-adabnya ialah:

1. Bacalah dengan tertib dan tartil, betul sebutan hurufnya, dan cara bacaannya.
2. Bacalah dengan perlahan-lahan tidak terlalu cepat, serta dengan keadaan khusyuk dan tawadhu'.
3. Jika membaca beramai-ramai, hendaklah dibaca serentak.
4. Jangan bercakap sehingga selesai membaca Yaasiin.


*Pandangan penyusun blog ini:



Amalan membaca surah Yaasiin bersama-sama di masjid-surau pada malam Jumaat ialah amalan umat Islam yang mulia dan baik. Paling minimum, kita disedarkan untuk bersedia dengan kehadiran Hari Paling Barokah dalam seminggu, hari yang jika kita berselawat atas Baginda sholla Allah 'alaihi wa sallam, Baginda insya Allah akan dengar dan tahu secara terus.

Wajar bagi kita, lebih berusaha agar diri dan masyarakat lebih memahami keutamaan surah Yaasiin, apakah intisari pengajarannya dan perkara-perkara yang berkaitan. Insya Allah jika itu dilaksanakan dengan berkesan, manfaat, ruh, khusyuk, penghayatan akan bacaan Yaasiin akan lebih kuat.



اللهمّ صلّ على سيّدنا وحبيبنا محمّد وعلى آله وصحبه وبارك وسلّم


.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...