Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 18 Julai 2020

Hudud Zina : Beberapa Catatan Berkenaannya


Gambar : hanya sekadar hiasan. Kredit kepada sumber asal


Catatan ini adalah sebahagian daripada pengajian kursus Fiqh Muamalat dan Jinayat, Sarjanamuda Pengajian Islam Syariah, UKM


Realiti dewasa ini menyaksikan statistik purata bilangan gadis yang hamil di luar nikah dalam jumlah yang besar dan membimbangkan. Puncanya adalah daripada zina yang dilakukan. Untuk membincangkan isu ini, undang-undang had zina akan dilihat dari sudut sejauh manakah dapat membendung masalah kehamilan luar nikah.

Perbincangan akan dimulakan dengan takrifan dan tasawwur umum tentang undang-undang jenayah Islam, unsur dalam had zina, peruntukan nas, keistimewaan undang-undang jenayah Islam, skop hak Allah, keanjalan hukuman, falsafah hukuman, proses ketat dalam menjatuhkan hukuman, dalil pensyariatan, cara pembuktian, proses pendakwaan di mahkamah, kadar hukuman, dan cara pelaksanaan. Selanjutnya perbincangan menyentuh petikan-petikan daripada kitab-kitab fiqh, tafsir ayat ahkam dan juga artikel-artikel jurnal. Kesemua menjelaskan keunggulan perundangan Islam, keberkesanan had zina dalam membendung masalah hamil luar nikah.

Dalam fiqh jinayat, undang-undang Islam yang mengawal dan menghukum kesalahan jenayah adalah di bawah kategori hudud. Pada peringkat asasnya, dalam membincangkan konsep jenayah dari segi takrifan adalah tindakan salah yang memberikan mudarat dan dikenakan hukuman di dunia, dan secara khususnya jenayah adalah tindakan yang diharamkan dan ditegah, melibatkan lima perkara asas yang dijaga (agama, jiwa raga, akal, maruah dan keturunan, harta), dan diberikan peruntukan hukuman hudud, qisas atau ta’zir. Kesalahan zina adalah satu jenayah dengan peruntukan hukuman hudud. Secara jelas, jenayah dalam undang-undang Islam diatur pelaksanaan hukumannya dengan tujuan menjaga lima perkara asas, dan akan membendung masalah kehamilan luar nikah (melalui menjaga perkara asas maruah dan keturunan secara khusus dan tepat).

Selanjutnya, dari segi unsur / rukun jenayah zina, ada peruntukan nas yang menyebut bentuk kesalahan dan kadar hukuman. Tindakan salah yang dilakukan ialah perbuatan melakukan perkara yang dilarang. Dari unsur niat, ada dua perkara iaitu al-idrak (tahu salah melakukan zina, pengetahuan yang sepatutnya) dan al-ikhtiyar (dibuat dengan sengaja, tidak terpaksa atau dipaksa). Kita dapat faham dan yakin bahawa pendakwaan dan hukuman had zina tidak dikenakan secara semberono, dan pelaku jenayah zina itu sendiri tahu bahawa perbuatan itu salah, dan dia sendiri memilih melakukannya dengan sengaja. Maka, keadilan turut terpapar jelas dalam sistem undang-undang jenayah Islam (UJI). Mereka yang benar-benar bersalah saja akan dihukum. Kesan kepada yang lain turut terhindar daripada berani cuba melakukan zina yang membawa kepada masalah hamil luar nikah.

Jenayah zina di bawah Undang-undang Jenayah Islam memiliki keistimewaan sendiri dan tiada bandingan. Sumbernya adalah daripada Allah dan akal manusia. Skop undang-undang adalah agama, nafs, akal, marah dan harta. Sasarannya adalah menyeluruh kepada semua muslim. Kesan pelaksanaan adalah terhadap sosial, ibadah dan akidah. Secara keutuhannya, ada unsur tetap dan anjal serta objektif yang pelbagai. Dan paling utama dan pasti adalah matlamat untuk bahagia di dunia dan di akhirat, mendapat redha Allah. Dengan bersumberkan Allah sendiri selaku Tuhan pentadbir seluruh alam, Yang Maha Mengetahui segala-galanya, Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil, sudah tentu pelaksanaannya adalah sangat berkesan dalam membendung masalah zina dan hamil secara haram.

Skop hak Allah adalah lebih dominan pada had zina berbanding hak hamba. Kedua-dua hak Allah dan hak hamba dijaga. Keanjalan had zina adalah tetap dan tidak berubah. Tiada kemaafan selepas dibawa ke pengadilan. Hukuman yang diperuntukkan adalah tetap dan tidak berubah. Manusia tidak mempunyai sebarang hak untuk mengubahnya. Pelaksanaan hukuman had zina mesti dijalankan oleh pemerintah yang berkuasa, tidak boleh dijalankan oleh orang perseorangan atau kelompok tertentu dalam masyarakat. Hukuman boleh dilaksanakan serentak bagi kesalahan yang berulang tetapi belum disabitkan. Kaedah pembuktian bagi jenayah zina adalah terkeluar daripada kaedah umum. Tiada ganti rugi bagi kerosakan pada penjenayah akibat pelaksanaan hukuman had zina. Ini adalah ciri-ciri khusus istimewa bagi hudud yang telah diperintahkan dan disusun oleh Allah sendiri selaku Tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Bijaksana. Ketetapan hukum itu dalam bentuk dan kadarnya menyerlahkan ketegasan undang-undang syariah – selanjutnya berkesan mengawal manusia daripada kesan buruk perbuatan jenayah dan zina yang boleh berleluasa.

Secara falsafah, undang-undang hudud mengutamakan perlindungan dan pencegahan menjadi keutamaan dan bukannya penghukuman. Peruntukan hukuman lebih kepada tujuan menimbulkan rasa kegerunan agar tidak melakukan kejahatan. Dari segi pensabitan pula, proses pensabitan kesalahan adalah dengan syarat yang cukup ketat. Perlu ada keyakinan 100% sepenuhnya pada pembuktian. Had zina digugurkan jika ada sebarang keraguan sebagaimana dirujuk pada hadis ادرؤوا الحدود بالشُّبُهات . Undang-undang hudud sedaya upaya mengelakkan daripada mengenakan hukuman asal, seperti dirujuk dalam hadis peristiwa Maiz dan al-Ghamidiyyah. Dengan melihat kepada falsafah ini, kita akan lebih meyakini bahawa matlamat lebih besar dan utama adalah untuk mengutamakan perlindungan dan pencegahan.

Proses ketat berlaku dalam menjatuhkan hukuman had, sedaya upaya mengelakkan dikenakan hukuman, dan pada asasnya peruntukan dan pelaksanaan hukuman tetap ada. Berdasarkan hadis tersebut, pada peringkat awalnya si pelaku minta disucikan, kemudian beliau diminta pulang dan bertaubat tanpa bertanya apa kesalahan yang telah dilakukan. Pelaku kemudian mengulangi minta disucikan, dan dia diarah untuk pulang dan bertaubat beberapa kali; 4 kali). Kaedah pengulangan sehingga 4 kali inilah yang diambil oleh sebahagian fuqaha keperluan pengulangan ikrar sebanyak 4 kali dalam pembuktian secara pengakuan. Selepas itu, barulah dia ditanya apakah kesalahan yang telah dilakukan. Dia mengaku berzina. Sejurus selepas itu, Rasulullah SAW meminta sahabat untuk memastikan bahawa si pengaku zina itu bukanlah gila dan bukan mabuk. Ini adalah rujukan kepada proses memastikan pengaku sedar dan faham pengakuannya. Setelah dipastikannya adalah tidak gila dan tidak mabuk, barulah hukuman had dijatuhkan dan si pelaku menerima hukuman dan suci daripada dosa. Hukuman tersebut memberikan kesan ke atas dosa (diampunkan), pahala dikurniakan dan iman semakin kukuh. Proses yang sangat ketat adalah bukti kukuh bahawa syariat Islam adalah sangat adil dan berhati-hati.

Secara takrif, zina adalah persetubuhan haram yang sengaja antara lelaki dengan perempuan pada qubulnya tanpa sebarang syubhah. Pensyariatan jenayah zina adalah pada ayat ke-2 surah al-Nur dan juga hadis Rasulullah SAW yang maksudnya : Ambillah daripadaku , sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka jalan, dara dengan teruna (apabila berzina ) serratus kali sebatan dan buang daerah selama setahun . Manakala yang sudah berkahwin dengan mereka yang sudah berkahwin (apabila berzina) sebatlah seratus kali dan kemudian rejamlah. Hukuman lebih menyeksakan dan berat kepada mereka yang telah berkahwin kerana telah merasai pengalaman persetubuhan melalui pernikahan halal. Maka, manusia tidak akan cuba memikirkan pilihan haram sedangkan pilihan halal sudah ada dimiliki.

Cara pembuktian dalam had zina ada tiga : 1) iqrar (pengakuan), 2) syahadah (penyaksian) dan 3) qarinah (tanda-tanda yang kuat). Secara iqrar (pengakuan), pengakuan dibuat oleh penzina sendiri bahawa dia melakukan zina serta dia faham hakikat zina dan mampu melakukan zina. Secara syahadah (penyaksian), dilaksanakan melalui keterangan saksi yang menyaksikan perkara tersebut terdiri daripada 4 orang lelaki adil, mempunyai ahliyyah, beragama Islam, faham hakikat zina, tidak pelupa dan boleh melihat. Cara pembuktian qarinah pula, dengan menggunakan tanda-tanda yang boleh menjadi petunjuk berlakunya perbuatan zina seperti mengandung tanpa kahwin dan DNA. Namun kaedah ini ditolak oleh jumhur ulama, hanya sebilangan kecil sahaja daripada kalangan fuqaha yang menerimanya seperti ulama mazhab Maliki. Ulama Syafiiyah tidak menerima cara ini.

Dalam proses pendakwaan di mahkamah, pertamanya pertuduhan dibaca oleh pendakwa di hadapan hakim di mahkamah. Seterusnya, jika orang kena tuduh mengaku (iqrar), jenayah disabitkan. Jika orang kena tuduh tidak mengaku, pendakwa perlu mengemukakan bukti; syahadah (saksi) atau qarinah atau yamin (sumpah) jika tiada saksi (namun berlaku khilaf dalam penerimaan cara bukti ini). Jika berjaya dibuktikan sampai ke tahap yakin, 100% sepenuhnya, tiada syubhah dan tidak berjaya dipatahkan oleh orang kena tuduh atau peguam, maka jenayah disabitkan dan dikenakan hukuman. Dalam hal ini, kita dapat memahami, menginsafi dan meyakini bahawa cara pembuktian dan prosedur pendakwaan di mahkamah adalah begitu ketat sekali untuk memastikan tertuduh benar-benar melakukan dosa besar ini. Pastinya, kesannya adalah besar dan positif dalam mengawal dan membendung perbuatan keji zina.

Hukuman had zina adalah berdasarkan status pesalah. Bagi ghair muhsan (belum bernikah), dikenakan 100 kali sebatan dan dibuang daerah (taghrib) selama setahun. Bagi muhsan (mereka yang sudah berkahwin dan telah merasai persetubuhan daripada perkahwinan), hukumannya adalah direjam dengan batu sampai mati – hukuman ini adalah sabit menerusi ayat al-Quran yang telah dimansukhkan bacaan tetapi hukumnya kekal. Kesan 100 kali sebatan kepada penzina ghair muhsan memberikan keseksaan kepada jiwa (untuk mendidik) dan secara saintifiknya membantu memberikan kekuatan kepada sistem badan melawan penyakit yang boleh merebak dalam badan akibat dosa zina. Selain itu, hukuman buang daerah bagi penzina ghair muhsan juga memberikan kesan psikologi kepada mereka merasai hukuman dibuang daerah, dijauhkan dari ahli keluarga, rakan dan jiran terdekat. Mereka tidak berani lagi untuk mencuba zina pada masa akan datang. Pasti terhimbau kenangan pahit ini. Manakala bagi penzina muhsan, hukuman rejam sampai mati menyebabkan mereka tidak lagi hidup dan meneruskan perbuatan dosa tersebut. Namun di sebaliknya, dengan rahmat Allah terlalu luas pengampunan Allah hinggakan mereka akan selamat di akhirat nanti kerana telah selesai hukuman di dunia.

Cara pelaksanaan hukuman had zina telah digariskan oleh syariat Islam. Bagi muhsan, hukuman dijalankan secara terbuka, boleh dilihat oleh orang ramai. Kesannya amat besar, begitu berbekas kepada semua orang yang menyaksikan hukuman tersebut, sama ada secara langsung dengan mata sendiri atau rakaman video atau siaran TV. Mereka pasti akan menjadi sangat-sangat gerun menyaksikan betapa dahsyatnya menyeksakan hukuman rejam dengan batu itu, hingga berlumuran darah dan akhirnya mati. Pasti, pasti, pasti setiap yang menyaksikan itu tidak dapat melupakannnya dengan mudah, dan mereka tidak berani untuk melakukan jenayah yang sama hingga dihukum rejam sampai mati dalam keadaan yang sangat menyakitkan itu. Hukuman dilaksanakan tanpa melihat kepada keadaan cuaca dan diri atau kesihatan penjenayah. Ini menunjukkan betapa amat tegasnya pelaksanaan hukuman had zina muhsan, hingga tiada kompromi dan apa-apa pertimbangan keuzuran. Setiap manusia lain yang mengetahui dan menyaksikan pelaksanaan hukuman ini pasti akan menjadi gerun akan ketegasan hukuman had ini. Pelaksanaan hukum had bagi penzina ghair muhsan, sebahagian fuqaha berpendapat perlu dilaksanakan secara terbuka. Pelaksanaan hukuman had zina turut tertakluk kepada keadaan cuaca dan kesihatan penjenayah. Sebatan dilaksanakan secara sederhana iaitu dalam keadaan menyakitkan tetapi tidak memudaratkan. Sebatan yang menyakitkan itu memberikan kesan sangat tajam dan mendalam kepada psikologi kepada penjenayah zina, tambahan mereka disebat di hadapan orang lain, mereka akan rasa malu, terseksa, terbayang seksaan lebih dahsyat di akhirat. Pastinya, bagi diri penzina itu sendiri mereka tidak akan berani untuk cuba mengulanginya dan bagi masyarakat yang menyaksikannya, pasti akan menjadi gerun dan terbayang bagaimana peritnya perasaan dialami jika mereka berada di tempat pesalah yang menjalani hukuman itu.

Dengan merujuk kitab Fiqh Islam wa Adillatuhu karya al-Marhum Prof. Dr. Wahbah Zuhaily, dalam membicarakan hikmah di sebalik pensyariatan hukuman had, hukuman-hukuman tersebut adalah bertujuan bagi mencegah orang-orang daripada melakukan kejahatan tersebut, memberi kesan jera (tidak berani lagi), menyelamatkan masyarakat dari kerosakan, pembersihan diri daripada dosa dan noda. Ibnu Taimiyah menyebutkan, antara bentuk rahmat dan kasih-sayang Allah adalah, diperintahkan pelaksanaan hukuman bagi pelbagi bentuk kes kejahatan yang terjadi di antara manusia, baik kejahatan terhadap jiwa (nyawa), kejahatan terhadap fizikal tubuh badan, kezaliman terhadap kehormatan, keburukan terhadap harta, kejahatan pembunuhan, kekerasan fizikal (mencederakan tubuh badan), kejahatan menuduh orang lain berbuat zina, dan kejahatan pencurian.

Allah memerintahkan pelaksanaan berbagai-bagai bentuk hukuman atas pelbagai bentuk kejahatan tersebut dengan sangat sempurna dan tepat yang memiliki kemaslahatan pencegahan, dan menimbulkan kesan tidak berani lagi melakukannya. Namun, semua itu tetap dilakukan secara mengikut kadar dengan berlandaskan pada asas keadilan dan tidak melampaui batas-batas pencegahan yang berhak diterapkan terhadap pelaku. Oleh sebab itu, Allah tidak memerintahkan hukuman potong lidah atau hukuman mati atas perbuatan berbohong, tidak memberlakukan hukuman pemandulan atas perbuatan zina, dan tidak pula memerintahkan hukuman mati atas kejahatan pencurian. Namun, Allah memerintahkan hukuman bagi manusia atas berbagai kejahatan tersebut sesuai dengan Asma dan sifat-sifat-Nya, seperti kebijaksanaan, rahmat, kasih sayang, kebaikan dan keadilan-Nya, agar bermacam-macam bentuk musibah hilang, tidak ada cita-cita keinginan dan dorongan untuk saling menganiaya, setiap manusia puas dan senang dengan apa yang telah diberikan kepadanya oleh Sang Pemilik dan Sang Penciptanya, sehingga ia tidak memiliki dorongan keinginan untuk merampas hak orang lain. Demikian juga kesan yang akan perlaku terhadap perbuatan zina dan hamil luar nikah, hukuman had akan menjadikan setiap orang menjauhi perbuatan keji itu dan sepatutnya mereka mengutamakan hubungan halal yang telah diizinkan Allah dengan penuh rahmat dan kebaikan.

Prof Wahbah Zuhaily turut menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman had memerlukan empat hal. Pertama, keimanan dan keyakinan kepada Islam, baik dalam aspek aqidah, syariat, dan manhai. Kedua, penerapan syariat Allah dalam semua aspek, baik politik, ekonomi, maupun sosial. Ketiga, pemahaman akal dan pemahaman berdasarkan pengalaman tentang faedah hukuman had. Keempat, memerhatikan kemaslahatan umum dan mengutamakannya atas kemaslahatan individu.

Dalam kitab Matla’ Badrain Majma’ Bahrain, penulis menyatakan hukuman ke atas kanak-kanak dan orang gila yang melakukan zina hendaklah dita’dibkan (dijadikan beradab) dengan sesuatu tindakan yang menakutkan mereka daripada melakukan zina. Hal ini selaras dengan hukuman had kepada mereka yang layak menerimanya, dan menunjukkan hukuman Islam adalah adil mengikut keadaan pelaku (dari sudut baligh atau tidak dan sudut waras atau gila) serta bertujuan menghalang mereka daripada berani melalukannya lagi.

Menurut kitab Fiqh Manhaji pula, disebutkan bahawa pelaksanaan hudud yang dijalankan kepada penzina disabitkan dengan hukuman rejam, sungguhpun penzna berada dalam keadaan tidak bermaya atau sakit, atau cuaca terlalu sejuk atau terlalu panas, hukuman rejam tetap akan dijalankan dan tidak ditangguh. Penzina tetap akan mati dan tiada beza antara sihat dengan sakit. Rejaman dilakukan dengan tanah keras atau batu bersaiz sederhana sebesar tapak tangan. Bukannya dengan batu terlalu kecil kerana akan memanjangkan seksaan pesalah. Demikian juga tidak direjam dengan batu besar yang mengakibatkan kematian serta-merta, lalu menyebabkan tujuan hukuman berat ini untuk pencegahan tidak tercapai. Menurut al-Mawardi, sebelum dijalankan hukuman rejaman sampai mati, pesalah ditawarkan dengan taubat terlebih dahulu supaya akhir hidupnya dalam keadaan taubat. Keadaan ini amat menjelaskan tujuan hukuman had dalam Islam sememangnya bertujuan pencegahan, pendidikan dan bertaubat Kembali taat mengabdikan diri kepada Allah.

Sebagaimana dinukilkan dalam kitab Fathul Mu’in, perbuatan zina adalah dosa besar yang paling besar setelah pembunuhan. Ada dikatakan bahawa zina lebih besar daripada pembunuhan. Ini menyokong bagaimana tegas dan beratnya hukuman had yang dikenakan.

Memetik tafsir ayat ahkam oleh Prof. Dr. Zulkifli Mohd Yusoff dalam kitab Tafsir Ayat Ahkam (2011), dalam menghuraikan ayat 1 hingga 3 Surah al-Nur yang menjadi dalil bagi had zina, seorang yang beriman dengan sejati akan menurut dengan sepenuhnya hukuman daripada Allah tanpa banyak soal kerana mereka mengetahui dan meyakini bahawa segala yang diperintahkan Allah pasti mempunyai hikmah dan rahmat yang tersembunyi di sebaliknya. Hukuman had zina mesti dilaksanakan tanpa rasa belas kasihan dan tanpa mengurangkannya atau menghapuskannya kerana zina adalah kejahatan yang besar dan bahaya sehingga tidak layak bagi menggerakkan rasa belas kasihan atau dimaafkan pelakunya. Antara kesan buruk zina adalah pencabulan maruah, kehilangan keturunan, pengotoran masyarakat dengan keaiban di samping kesan kepada anak-anak tidak berdosa tidak mengetahui ibu dan bapa mereka. Jika kita semua menyedari semua perkara ini, kita akan meyakini kebijaksanaan Allah meletakkan hukuman keras dan berat terhadap perbuatan zina. Di samping pelaksanaan hukum had zina, kita semua juga harus menyaksikan pelaksanaan tersebut supaya menjadi pukulan berat kepada pelakunya dan peringatan tegas kepada masyarakat agar menjauhi diri daripada perbuatan mungkar ini.

Menurut Fathi Yusof, undang-undang jenayah Islam mengutamakan aspek pencegahan melalui kaedah yang unik dan amat menarik. Sebagai contoh, hukuman yang terdapat di dalam undang-undang Islam seperti sebat dan rejam bagi penzina dilihat sebagai berat dan menggerunkan oleh sesetengah pihak. Ini menjadikan rakyat takut untuk melakukan jenayah zina. Sedangkan pensabitannya adalah sukar kerana syarat-syarat untuk mensabitkan hukuman adalah amat ketat. Beliau turut menyatakan bahawa undang-undang jenayah yang ada pada hari ini terbukti gagal untuk menghapuskan jenayah. Fakta menunjukkan bahawa purata kadar peningkatan jenayah di Malaysia sentiasa meningkat naik dengan kadar yang lebih tinggi dari kadar pertumbuhan penduduk. Bagi mengatasi masalah ini, undang-undang jenayah Islam perlu kembali dikuatkuasakan. Justeru, berdasarkan penulisan beliau, kita semakin faham dan jelas betapa keberkatan hukuman had zina yang bersumberkan perintah Allah pasti ada keberkesanannya.

Secara kesimpulannya, had zina yang terangkum dalam hukum hudud di bawah undang-undang jenayah Islam adalah bersifat rabbani, unik, datang daripada Tuhan Maha Pencipta seluruh makhluk, Maha Bijaksana, dan pastinya mempunyai keberkatan dan keberkesanan dalam menghadapi segenap permasalahan dalam masyarakat seperti masalah hamil luar nikah akibat perbuatan zina.


Rujukan Citation

FALSAFAHNYA, SINOPSIS PERUNDANGAN ISLAM DAN. "KESESUAIAN PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM DI MALAYSIA Oleh: Dr Muhammad Fathi Yusof.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...