Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 7 Jun 2021

Ulasan Webinar “WACANA PEWARISAN HARTA KELUARGA ISLAM”

 



Disusun oleh MOHD IKHWAN BIN AHMAD ZHAKI bagi memenuhi keperluan tugasan kursus PPPG1123 SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM, program Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam (Syariah) 2019-2023 Universiti Kebangsaan Malaysia. 


ISI KANDUNGAN

 

 

 

Bil

PERKARA

MUKA SURAT

 

1.0

 

Pengenalan

 

3

 

2.0

 

Kandungan Utama Webinar

 

4

 

3.0

 

Perbincangan & Ulasan

 

7

 

4.0

 

Kesimpulan

 

12

 

5.0

 

Gambar-gambar Penglibatan

 

13

 

6.0

 

Rujukan

 

15

 


LAPORAN AKTVITI PENYERTAAN WEBINAR

“WACANA PEWARISAN HARTA KELUARGA ISLAM”


1.0        PENGENALAN

 

Perundangan Islam merupakan perundangan bersifat rabbani, syumul dan secara realistik menjaga keperluan dan kebajikan setiap insan dalam segenap aspek hidup. Perundangan Islam turut menjaga aspek harta keluarga dan pewarisannya. Untuk memahami dengan lebih baik perbincangan perundangan Islam dalam pewarisan harta keluarga, sebuah program webinar telah disertai. Aktiviti ini adalah sangat relevan bagi memahami perundangan Islam dalam kehidupan, secara realiti dan sangat berkait rapat dengan keperluan manusia untuk memiliki dan menguruskan harta demi memenuhi keperluan hidup. Butiran webinar tersebut adalah seperti berikut: 

 

Tajuk : Wacana Pewarisan Harta Keluarga Islam

Tarikh : 28 Mei 2021, 8.30 – 9.30 malam

Lokasi : Facebook Live Kelab Pentadbiran Muamalat UUM

Ahli Panel :

1)    Encik Wan Abdul Halim bin Wan Harun, Perunding Harta Pusaka & Peguam Syarie bagi Negeri Terengganu

2)    Dr Noor Lizza Mohamed Said, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM

3)    Dr Nasri bin Naimi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam UUM

 

Program ini berlangsung secara langsung pada pelantar Facebook Live dan akses kepada rakaman tersebut masih tersedia pasca program. Pautan kepada medium webinar tersebut:  https://www.facebook.com/pentadbiran.muamalat/videos/3005902233015330/. 

 

 

 

2.0  KANDUNGAN UTAMA WEBINAR

 

Perbincangan sepanjang webinar ini diambil manfaat kandungan utamanya berdasarkan turutan semasa majlis dilangsungkan seperti yang dicatatkan di bawah:

Harta Pusaka Kecil   

Istilah bahasa Inggeris ialah “small estate”, merujuk kepada seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan harta tak alih, termasuk tanah dengan nilai tidak melebihi RM 2 juta. Konsep pusaka kecil ialah murah, mudah dan cepat. Antara syarat dalam harta pusaka kecil ialah perlu adanya tanah. Salah seorang yang berhak mewarisi harta pusaka boleh mengemukakan permohonan sebagai kepala proses / pusaka. Pembahagian pusaka sekarang menjadi semakin mudah, cuma realitinya adalah sikap masyarakat sama ada ingin melaksanakannya atau tidak. Perbincangan boleh dilakukan bagaimana cara harta pusaka itu hendak diberikan. Asas pembahagian adalah mengikut hukum faraid. Namun, cara sekarang yang lebih mudah dilakukan ialah secara takharuj. Semasa dalam proses, pegawai pusaka akan memeriksa sama ada si mati ada hutang, wasiat, harta sepencarian, tuntutan hibah

 

   Hibah

 

Hibah ialah salah satu instrument perancangan harta umat Islam yang semasa hidup dan masih dimiliki.Akad hibah ialah akad tabarru’at yang dilakukan secara sukarela. Pemberian ini terlaksana dan berkuat kuasa semasa hidup. Ijab, qabul dan qabd berlaku semasa hidup. Syarat qabd (penerimaan milik hibah) adalah dengan izin pemberi hibah. Apabila berlaku kematian salah satu pihak akad hibah, apakah status hibah itu? Mengikut mazhab Hanafi, jika qabd belum berlaku maka hibah itu terbatal. Manakala mazhab Syafi’e dan Hanbali menyatakan milik hibah itu berpindah kepada waris-waris si mati. Keizinan qabd harta hibah daripada pemilik hibah itu menjadi syarat. Menurut mazhab Maliki, hibah terlaksana selepas ijab dan qabul.

 

 

 

 

    Perancangan Pewarisan

Dari sudut perancangan pewarisan, perbezaan boleh berlaku pada sudut pandang dan pendekatan pengamal undang-undang dan pengamal pengurusan. Tujuan perancangan pewarisan dalam Islam ialah untuk menepati tujuan Syariah (maqasid syariah), jauh lebih daripada sudut pandang perancangan konvensional duniawi. Maqasid Syariah adalah untuk mendapatkan maslahah dan mengelakkan mafsadah. Perancangan pewarisan adalah penting untuk mengelakkan tapak-tapak harta yang merosakkan ialah: sia-sia, pembaziran, maksiat. Memetik catatan Konsep Falsafah Islam dalam Pemilikan Harta oleh seorang ilmuwan Islam, Mannan M.A. , terdapat dua peraturan, iaitu: 

 

a.     Peraturan Asas : Allah menjadi pemilik mutlak segala sesuatu dan manusia hanyalah khalifah-Nya di muka bumi

b.     Peraturan Khusus:

                                      i.         Harta dimanfaatkan, Islam melarang pembekuan harta

                                    ii.          Kewajipan berzakat terhadap harta pada kadar tertentu

                                   iii.         Penggunaannya tidak memudaratkan diri dan masyarakat

                                   iv.         Pemilikannya sah di sisi undang-undang negara dan syarak

                                     v.         Penggunaannya seimbang tidak terlalu boros atau bakhil

                                   vi.         Manfaat didapati oleh pemilik harta hasil penggunaannya

                                 vii.          Ianya memberi kebajikan melalui amalan hukum faraid kepada yang hidup

Selanjutnya dalam membicarakan perancangan pewarisan, ada dua aspek utama untuk dilihat:

a.     Perancangan pra pewarisan : banyak melibatkan isu-isu perundangan

b.     Perancangan pasca pewarisan : banyak melibatkan isu-isu ekonomi

 

Tujuannya adalah supaya manfaat itu dapat dialirkan dan disampaikan kepada orang lain.

 

 

Bentuk Pembahagian Pusaka yang Lain

Berdasarkan institusi masing-masing, pengeluaran boleh melalui penama. Jika tiada penama, gunakan sijil faraid. Harta-harta tidak berdaftar : boleh terus dibincang dan dibahagikan sesama keluarga. Wajib kena tahu siapa waris yang wajib mewarisi. Selain itu, harta seperti wang simpanan, jam tangan, perhiasan, binatang ternakan tidak perlu dibawa kepada pusaka kecil.

 

Wasiat kepada Anak Kandung

Wasiat berbeza daripada hibah. Hibah berkuat kuasa semasa hidup. Wasiat berkuat kuasa selepas kematian pewasiat. Lafaz qabul penerima wasiat hanya diterima selepas kematian pewasiat. Harta tetap menjadi milik pewasiat selagi dia hidup. Wasiat tidak boleh diberikan kepada waris, kerana waris telah ditetapkan hak mereka oleh Allah dalam hukum faraid. Wasiat kepada ahli waris yang berhak menerima akan terbatal jika tidak dipersetujui oleh ahli waris berhak yang lain. Namun jika wasiat dibuat untuk diberikan kepada ahli waris yang tidak berhak menerima (terhijab/terdinding) maka wasiat itu boleh terlaksana tanpa persetujuan ahli-ahli waris berhak menerima yang lain. Namun kuantititnya perlu dilihat, tidak melebihi 1/3 harta si mati. Yang sah hanya 1/3 harta si mati.

 

Isu-isu Berkait Pewarisan Harta

Antara yang lazim berlaku dalam masyarakat Malaysia secara perundangan ialah tidak mahu gelojoh selesaikan di perundangan (budaya tradisi terlalu bersopan), melengahkan salah tanggapan / persepsi, tiada pengetahuan di manakah untuk menyelesaikan, tidak yakin dan tidak bersungguh-sungguh, menyerahkan harapan kepada anak sulung, isu sosial seperti perbalahan, ketidaksetujuan. Manakala secara ekonomi pula, antara isu yang timbul adalah dari segi bahagian ahli-ahli waris kecil selepas pembahagian, bahagian ahli waris didaftarkan atas banyak hak milik mengakibatkan susah diuruskan lalu tiada perancangan yang bermanfaat untuk jangka masa panjang asset tersebut, dan juga isu autonomi yang menghalang ahli lain untuk campur tangan bagi memanfaatkannya.

 

 

 

 

Pusaka Kecil, Pusaka Besar, Pusaka Ringkas

Pusaka ringkas di bawah bidang kuasa Amanah Raya Berhad (tiada harta tidak alih tidak sampai RM 600,000) seperti hanya kenderaan, wang dan lain-lain. Pusaka kecil memiliki bidang kuasa bagi harta tak alih, ada tanah, tidak melebihi RM 2 juta, Jika melebihi RM 2 juta, bidang kuasanya ialah mahkamah tinggi sivil. Harta alih melebihi RM 600, 000 juga di bawah kuasa mahkamah tinggi sivil. Mahkamah syariah berperanan mengeluarkan sijil faraid, menentukan siapa ahli waris yang berhak. Pengesahan wasiat di bawah kuasa bidang mahkamah syariah. Pegawai pusaka tiada kuasa mengesahkan wasiat. Kaedah penyelesaian yang mudah (seperti persetujuan pembahagian) terserah kepada kita.

 

Keadaan yang Membolehkan Wasiat dan Hibah Dibatalkan

Hibah yang telah sempurna syarat, rukun dan qabd tidak boleh dibatalkan. Hibah bersyarat jika tidak disempurnakan syarat oleh penerima hibah, maka hibah itu boleh dibatalkan. Rukun hibah yang tidak cukup (seperti pemberi hibah tidak waras akal) maka hibah itu tidak terlaksana dan boleh dibatalkan. Pengecualian adalah kepada hibah daripada ibu/bapa kepada anak, datuk/nenek kepada cucu : hibah tersebut boleh ditarik balik. Selain daripada itu, tidak boleh ditarik balik pemberian. Mafhum hadis Nabi SAW perbuatan tarik balik adalah seperti anjing yang muntah dan makan semula muntahan itu.

 

 Akibat Tiada Pengurusan Harta Pewarisan

Dari sudut perundangan, pemilikan harta tidak akan berlaku secara sah, tidak berpijak atas bumi realiti. Dari segi ekonomi, kesannya ialah manfaat dan kebahagiaan tidak akan dapat dicapai.

 

 

3.0        PERBINCANGAN DAN ULASAN

 

Secara umum dan keseluruhan, tajuk Pewarisan Harta Keluarga Islam telah jelas membuktikan peranan perundangan Islam yang terus teguh relevan, signfikan, berguna sepanjang zaman dan memelihara kebaikan dan mencegah kemudaratan terutamanya dalam bab pengurusan harta, mendapatkan manfaat daripada harta serta menjaga hubungan sosial antara ahli yang terlibat. Perbincangan dan ulasan bagi kandungan webinar ini akan dipersembahkan dalam turutan berikut, sebagaimana turutan perkara-perkara utama disentuh oleh ahli-ahli panel dalam majlis.

 

Harta Pusaka Kecil   

Dalam bab ini, saya berpandangan bahawa perundangan Islam menyediakan panduan dan pilihan yang bersesuaian demi manfaat yang terbaik dan terbanyak. Secara asasnya pembahagian adalah mengikut faraid yang merupakan hukum yang telah dijamin Allah kepada para ahli waris yang berhak menerimanya.  Selain faraid, perundangan Islam menyediakan panduan sistem takharuj yang dilihat mampu menyesuaikan penyelesaian dalam isu harta pusaka bersifat tidak alih dan tidak menjadi relevan dan signifkan secara ekonomi jika dibahagikan kepada banyak nama contohnya dalam kes tanah pusaka akan menjadi lot lidi. Md Yazid Ahmad (2017) membincangkan konsep takharuj. Takharuj apabila ahli waris saling mengeluarkan bahagiannya kepada saudaranya yang lain iaitu menyerahkan bahagian miliknya melalui pembelian. Perdamaian berlaku antara para ahli waris agar sebahagian daripada mereka menarik diri daripada mengambil bahagian pusakanya.  Asas pengaplikasian takharuj adalah berdasarkan athar yang berlaku pada zaman pemerintahan ‘Uthman ibn ‘Affan RA, apabila seorang daripada isteri ‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf RA yang dilakukan musalahah terhadapnya (dengan persetujuan isteri tersebut) dengan dibayar 83,000 (dinar) untuk mengeluarkannya daripada senarai ahli waris. Kedudukan akad takharuj berteraskan cara penyelesaian yang dipersetujui para waris, boleh jadi mubadalah, hibah, mu’awadah dan ibra’. Maka dengan pilihan penyelesaian secara takharuj yang ada nilai saling meredai, penyelesaian pewarisan harta pusaka tak alih akan menjadi lebih mudah dilakukan.

 

   Hibah

Dalam bab hibah, perundangan Islam menunjukkan elemen kebajikan kepada sesama manusia yang mana akad bagi transaksi itu adalah secara sukarela. Saya mempunyai buah fikiran bahawa perundangan Islam juga memastikan keadilan dan terjaga hak kesemua pihak yang terlibat walaupun akad ini bersifat sukarela tanpa ada paksaan atau kewajipan. Jelas bahawa rukun dan syarat hibah yang turut merangkumi pemberi hibah, penerima hibah, akad ijab dan qabul serta qabd (penerimaan dan penguasaan hibab itu). Faktor keizinan pemberi hibah kepada penerima untuk qabd turut ditekankan. Selain itu, akad hibah yang diperuntukkan perundangan Islam untuk dilakukan dan berkuat kuasa semasa pemberi hibah itu masih lagi hidup menunjukkan keluasan pilihan dalam Islam yang diberikan kepada umatnya, tidak semata-mata terhad kepada faraid dan wasiat yang berkuat kuasa setelah kematian pihak yang berkenaan (si mati meninggalkan harta dan pemberi wasiat). Memetik tulisan Muhammad Zamro Muda (2008), instrumen hibah ini digalakkan dalam Islam. Sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta di samping dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan. Terdapat tanggapan bahawa dengan melakukan hibah maka seseorang itu telah menyalahi ketetapatan hukum faraid. Tanggapan ini tidak tepat kerana instrumen ini juga sebenarnya diberi fokus dan tempat yang tersendiri dalam Islam.

 

    Perancangan Pewarisan

Membicarakan perancangan pewarisan, saya sangat bersetuju dengan idea yang diketengahkan bahawa antara tujuan utama dan besar daripada proses ini adalah untuk mencapai tujuan syariat (maqasid syariah). Dengannya, kebaikan dapat diperoleh. Ahli waris dan mereka yang menerima bahagian harta itu dapat memperoleh manfaat harta yang mengalir dan tidak terhenti beku. Si mati yang telah meninggal dunia pula mendapat pahala yang berterusan hasil manfaat harta yang ditinggalkannya itu terus berjalan digunakan. Dengan perancangan pewarisan juga, sebarang keburukan (mafsadah) dapat dielakkan. Saya turut senada dengan kenyataan bahawa harta jika tidak dirancang untuk diwariskan dan digunakan dengan cara betul, harta tersebut akan menjadi tapak-tapak harta bagi perkara-perkara sia-sia, pembaziran dan lebih menakutkan jika menjadi perbuatan dosa maksiat. Naziree Md Yusof (2008) menyebutkan kita dapat melihat betapa perancangan harta adalah amat perlu bagi mengelakkan kesemua fitnah ini. Kebarangkalian daripada terjerumus ke lembah haram, iaitu memakan hasil secara batil sudah pasti dapat dielakkan.

 

Bentuk Pembahagian Pusaka yang Lain

Dalam menguruskan pembahagian pusaka, cara mengeluarkan dan mengagihkannya perlu dilihat dan disesuaikan dengan insititusi yang terlibat dan jumlah serta jenis harta tersebut. Jika penama sudah didaftarkan, penama boleh menjadi individu bertanggung jawab mengeluarkan untuk diproses agihannya. Jika tiada penama, sijil faraid yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah akan digunakan. Melalui saluran prosedur ini, kita mengamati betapa proses perundangan Islam yang terhubung kait secara relevan dan semasa kepada sistem perundangan sivil.  Selain itu, bagi jenis harta-harta alih seperti wang tunai, perhiasan dan seumpamanya, kita diberikan panduan untuk boleh menyelesaikannya dengan cara perbincangan dan persetujuan sesama waris dan tidak perlu dibawa ke proses undang-undang. Hal ini terkait dengan konsep takharuj yang telah disusun ulama dalam perundangan Islam. 

Saya tertarik untuk mengaitkan proses persetujuan agihan harta pusaka ini dengan konsep sulh. Proses mendapatkan pandangan daripada orang yang lebih dihormati dan diyakini, kemudiannya terhasil persetujuan bersama adalah penyelesaian yang mengikuti konsep sulh dalam syariat Islam. Sulh memiliki hubungan yang kuat dengan sulh. Antara definisi yang sangat tepat dalam konteks ini ialah daripada al-Isfahani (1961) yang menyatakan sulh dikhususkan bagi menamatkan pertikaian antara manusia. Sejajar dengan itu, tautan rapat wujud antara muafakat dengan sulh dengan konteks tujuan yang umum untuk saling berdamai secara sukarela bagi mengelakkan pertikaian.

 

Wasiat kepada Anak Kandung

Membicarakan wasiat yang dilaksanakan, keunggulan dan ketegasan perundangan Islam menyatakan bahawa dibenarkan kepada mereka yang bukan merupakan ahli waris yang berhak menerima harta pusaka. Hal ini demikian kerana mereka telah dijamin hak bahagian mereka oleh Allah SWT. Selanjutnya, keistimewaan perundangan Islam dalam mengatur wasiat juga dilihat pada jumlah yang dibenarkan, iaitu tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih si mati selepas dilangsaikan hutangnya, dan dibelanjakan kos pengebumian. Saya melihat keadaan ini sebagai kehebatan perundangan Islam yang melihat daripada pelbagai sudut.

 

Isu-isu Berkait Pewarisan Harta

Mengulas isu-isu berkait pewarisan harta, saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa kebanyakan perkara tersebut berkait rapat dengan sikap masyarakat dan tahap kesedaran mereka. Sistem perundangan Islam sudah tersedia dan begitu teliti membimbing dan memelihara hak masing-masing. Namun, dari sudut pelaksanaan, sikap dan kesungguhan pelaksanaan daripada ahli waris boleh memberikan kesan. Menyentuh isu-isu pewarisan harta, ‘Ainan Husnaa dan Siti Mashitoh (2020) ada membicarakan bahawa salah  satu  permasalahan  yang  tidak  asing  dan  semakin  menular  dalam  kalangan masyarakat Islam di Malaysia adalah isu yang melibatkan tuntutan harta pusaka. Melihat kepada realiti hari ini, masalah berkaitan dengan harta pusaka terus berleluasa dalam pelbagai bentuk seperti perebutan harta dan lain-lain, di mana carian di internet menunjukkan lebih 400,000 paparan berkisar perebutan harta. Pelbagai masalah dan kerumitan dihadapi oleh pelbagai pihak dalam menguruskan dan membahagikan harta pusaka seperti sikap masyarakat yang memandang ringan terhadap penyegeraan sesuatu permohonan aset harta pusaka (Bibi Nur Adila Zulkafli & Md Yazid Ahmad, 2016) dan lain-lain.

 

Pusaka Kecil, Pusaka Besar, Pusaka Ringkas

Untuk memudahkan pemahaman dan rujukan pengurusan harta pusaka, istilah pusaka kecil (harta tidak alih melibatkan tanah tidak melebihi RM 2 juta), pusaka besar (harta tidak alih melibatkan tanah melebihi RM2 juta), dan pusaka ringkas (harta boleh alih tidak melebihi RM 600,000) digunakan dan masing-masing dirujuk kepada bidang kuasa pegawai pusaka, mahkamah tinggi sivil dan Amanah Raya Berhad. Sistem perundangan ini menunjukkan peruntukan bidang kuasa berdasarkan jumlah nilai harta. Oleh sebab demikian, dengan mengetahui pembahagian ini ahli waris akan lebih mudah dan efisyen dalam mengemukakan borang dan proses-proses yang berkenaan. Dalam sudut pembahagian kuasa, saya bersetuju dengan perundangan memperuntukkan bidang kuasa mahkamah tinggi sivil bagi harta melebihi RM 2 juta yang pastinya memerlukan ketelitian proses, menguruskan sejumlah nilai yang besar itu.

 

Keadaan yang Membolehkan Wasiat dan Hibah Dibatalkan

Membahaskan pembatalan wasiat dan hibah, saya ingin mengetengahkan bahawa ketegasan perundangan Islam yang mengekalkan sahnya akad tersebut seandainya telah sempurna rukun, syarat, qabd dan segala yang berkaitan. Ini membuktikan perundangan Islam memelihara kebajikan semua pihak yang terlibat. Hibah yang telah sempurna semua rukun, syarat dan qabd itu tidak boleh dibatalkan dan ditarik balik. Sementara bagi wasiat pula, memandangkan akad itu terlaksana berkuat kuasa selepas kematian pewasiat, maka wasiat boleh ditukar, dibatalkan oleh pemberi wasiat selagi mana dirinya masih hidup. Seterusnya, perundangan Islam bersifat rabbani ini turut memberikan panduan melalui Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam berkenaan larangan menarik balik pemberian, diberikan perumpamaan seperti anjing yang telah muntah dan kemudiannya makan semula muntah itu. Ini menunjukkan betapa buruknya perbuatan menarik semula pemberian itu.

 

 Akibat Tiada Pengurusan Harta Pewarisan

Saya berpandangan bahawa persoalan penting ini amat perlu diketengahkan, dijadikan kesedaran, difikirkan, serta diambil tindakan yang bersesuaian yang sepatutnya. Saya senada dengan apa yang telah dinyatakan dalam webinar bahawa masyarakat Islam akan berhadapan segenap masalah dan keruntuhan jika diabaikan pengurusan harta pewarisan. Menurut Naziree Md Yusof (2008), dalam pemilikan harta, Islam amat menekankan daripada mana sumbernya diambil, bagaimana harta dikembangkan, bagaimana harta diagihkan, di mana disimpan, ke mana dibelanjakan dan lain-lain kewajipan ke atas manusia dalam pengendalian harta. Hal ini demikian kerana fitnah harta tidak hanya berlaku dengan pertelingkahan sesama ahli keluarga, bahkan berlanjutan sehingga pihak-pihak mencapai dan berpuas hati dengan apa yang diinginkan. Di sinilah akan menyebabkan rasa tamak dan dendam sehingga sanggup menganiaya atau bunuh-membunuh di kalangan ahli waris. Lantaran itu, Baginda SAW sering berpesan agar umatnya berhati-hati dengan harta kerana harta akan menjadikan manusia lupa daripada mengingati-Nya, bahkan dikhuatiri akan terjadi seperti Qarun dan Firaun.

                                                                                                    

4.0       KESIMPULAN

 

Secara tuntasnya, perbincangan bertajuk “Wacana Pewarisan Harta Keluarga Islam” benar-benar mengetengahkan peranan perundangan Islam secara khusus berkenaan pengurusan harta umat Islam berhubung pewarisan merangkumi faraid, hibah, dan wasiat. Perundangan Islam adalah adil, begitu teliti, dan sangat memelihara keadilan dan kebajikan setiap individu yang terlibat. Antara saranan yang boleh dikemukakan ialah untuk terus memperkasa usaha mengembangkan kefahaman ini kepada masyarakat agar umat ini lebih cakna, celik dan cekap menguruskan pewarisan harta keluarga Islam di samping memelihara kebaikan dan mengelakkan pelbagai bentuk kerosakan.

5.0       GAMBAR-GAMBAR PENGLIBATAN

 

Penglibatan sebelum dan semasa program ini dijalankan telah dimanfaatkan dan berikut adalah gambar-gambar yang diambil.   

 

 

Timeline

Description automatically generated

 

 

Graphical user interface, text, application, chat or text message

Description automatically generated

 

 

Gambar 1: Poster Program

Gambar 2: Komunikasi awal dengan penganjur sebelum program

 

Graphical user interface, text, application, chat or text message

Description automatically generated

 

 

 

Graphical user interface

Description automatically generated

 

Gambar 3 : Soalan diajukan kepada penganjur sebelum program

Gambar 4 : Permulaan daripada pengacara majlis

 

 

 

Graphical user interface

Description automatically generated

 

 

Graphical user interface

Description automatically generated

 

Gambar 5: Moderator dan ahli-ahli panel

Gambar 6: Ahli Panel, Dr Noor Lizza Mohamed Said

 

 

 

 

Graphical user interface

Description automatically generated

 

Gambar 7 : Ahli Panel, Encik Wan Abdul Halim bin W Harun

Gambar 8 : Soalan yang diajukan kepada ahli-ahli panel semasa program sebagai komitmen penglibatan aktif.

 

 

6.0       RUJUKAN

 

 

‘Ainan Husnaa Muhammad Saifullah, Siti Mashitoh Mahamood. 2020. "Isu-isu Berbangkit dalam Pengurusan Harta Pusaka Ringkas Secara Berwasiat dan Tidak Berwasiat di Amanah Raya Berhad (Arb). Journal of Shariah Law Research 5, no. 2

 

al-Isfahani, al-Raghib. 1961. al-Mufradat fi Gharib al-Qur’an. al-Qahirah: Matba‘at Mustafa al-Babi al-Halabi. Dipetik daripada Md Yazid Ahmad. 2017. Islamiyyat 39(1) 2017: 21 – 28. Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam.

 

Bibi Nur  Adila  Zulkafli. Md  Yazid  Ahmad. 2016. Kekangan  dan Penyelesaian Kelewatan Pengurusan Aset Pusaka Tak Alih Orang Islam di Malaysia. Jurnal Islamiyyat, vol. 38. dalam ‘Ainan Husnaa Muhammad Saifullah, Siti Mashitoh Mahamood. 2020. "Isu-isu Berbangkit dalam Pengurusan Harta Pusaka Ringkas Secara Berwasiat dan Tidak Berwasiat di Amanah Raya Berhad (Arb). Journal of Shariah Law Research 5, no. 2

 

 

Md Yazid Ahmad. 2017.  Amalan Muafakat dan Aplikasi Takharuj dalam Pengagihan Pusaka menurut Perspektif Undang-undang Pusaka Islam. ISLAMIYYAT 39(1)

 

Muhammad Zamro Muda. 2008. Instrumen hibah: Analisis Hukum dan Aplikasi di Malaysia. Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan.

 

Naziree Md Yusof. 2008. Hukum Wisoyah & Realiti Permasalahannya dalam Konteks Perancangan Pusaka Islam. Jurnal Muamalat, 1. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...