Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 2 September 2013

Hanya Harapkan Keredhaan Allah

Carilah ketenangan dan kepuasan apabila benar-benar hati dihadapkan kepada Allah sahaja.

Apa-apa yang dibuat hanya risau sama ada Allah terima atau tidak, Allah redha atau murka. (dan jangan salah faham. Apa-apa yang dilaksanakan ikut perintah Allah pasti bawa kesan baik kepada sesama manusia)

Tidak risau lagi apa manusia nak beri balasan. Tak mengharapkan apa-apa pengiktirafan makhluk yang bersifat majazi-pinjaman.

Tak penat dengan macam-macam sikap manusia, jual mahal, sombong, mengungkit-ungkit, hasad, tidak menghargai dan seumpamanya yang menyesakkan jiwa.

Maka apabila sudah dikosongkan hati daripada kesempitan keburukan dunia, ada lebih ruang untuk kita merasai ketenangan zikruLlah.

Sedikit Panduan Kepada Ibu Bapa dalam Menddik Anak-anak


Ilmu keibubapaan

- Tadi di pejabat, alhamdulillah pengurus sudi berkongsi pengalaman dan ilmu mereka.

- Budaya begini adalah sihat dalam suasana pejabat. Cakap yang tidak kosong. Memandu kehidupan untuk lebih bermanfaat.

- Banyak kebaikan bergaul, bertukar pandangan dengan mereka yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman. Kematangan, cara berfikir dan perspektif in syaa Allah jauh lebih ke hadapan dan sedikit sebanyak kita akan turut terkesan dan terpengaruh.

- Berkaitan kemahiran mendidik anak-anak.

- Saya memang suka jika orang yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman berkongsi. Mereka berkongsi atas pengalaman-tindakan-realiti. Bukan anak muda yang masih mentah dan hanya indah atas kata-kata kertas teori.

- Beliau menyatakan, keberkesanan dalam mendidik anak-anak hendaklah melalui contoh atau teladan. Ibu bapa sendiri hendaklah melaksanakannya sebelum mereka menyuruh anak-anak melakukan.

- Anak-anak mendengar/ikut apa yang mereka lihat, bukan semata-mata apa yang disebutkan oleh ibu bapa.

- Sebagai contoh, bagaimana mungkin berkesan bagi si ayah menyuruh anaknya selalu membaca Al-Quran sedangkan dia sendiri tergagap-gagap membaca Al-Quran, bagaimana mungkin berjaya mendidik anak untuk solat pada awal waktu jika si bapa itu sendiri pada waktu azan dilaungkan masa dilalaikan dengan televisyen.

- Ibu bapa perlu jadi ibu bapa yang boleh berkawan dengan anak-anak (yakni dengan maksud boleh dihampiri dengan mudah dan mesra, tetapi ada ketegasan dan dihormati anak-anak) dan tidak sepatutnya menjadi kawan kepada anak-anak (yakni dengan makna hilang hormat anak-anak terhadap mereka).

- Jadi bagaimana dengan kita? Sudah bermula dan sedang bersiap dengan ilmu sebagai ibu bapa? Mudah-mudahan Allah permudahkan.

- Jika mahu anak-anak lembut lidah dan sentiasa mendampingi al-Quran, maka kita selaku ibu bapa (atau bakal) hendaklah sejak sebelum berkahwin lagi sudah lembut lidah dan sentiasa mendampingi al-Quran. Jika mahu anak-anak sentiasa menjaga solat sunat qobliah subuh serta solat fardhu subuh berjama'ah, maka ibu bapa itu sendiri hendaklah memulakan sejak mereka belum diijabkabulkan lagi (supaya sebati dan ringan dilaksanakan).

- Wawasan kita adalah untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak yang soleh-solehah sebagaimana yang diperintahkan Allah subhanahu wa ta'ala.

- Penulis yang menulis dan berkongsi ini sendiri menujukan catatan ini kepada diri sendiri, dan semoga berguna catatan ini kepada anda semua. Berikhtiar sebaik yang mungkin, memohon bantuan dan petunjuk daripada Allah, agar sentiasa terarah dan dapat melaksanakan tuntutan agama atas kita.

- Sungguh, Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam adalah begitu gembira dengan jumlah umatnya yang begitu ramai, dan sesungguhnya adalah menjadi sumber pahala yang besar dan berterusan melalui anak-anak yang soleh-solehah.

- Semoga Allah perkenankan permohonan kita, dengan keberkatan dan kemuliaan Kekasih-Nya.

Ahad, 1 September 2013

Niat dalam Belajar dan Mengajar - Imam Abdullah Al-Haddad

Susunan kepelbagaian niat dalam menuntut ilmu - susunan Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad.

Kerana modal masa kita adalah amat terbatas, kerana menuntut ilmu adalah suatu pekerjaan dan ibadah yang amat mulia, maka dengan kebijaksanaan mengatur niat yang dihadirkan, banyak nilai pahala dan darjat yang akan diperoleh dalam satu-satu majlis.

Semoga bermanfaat dan beroleh upaya untuk mengamalkannya.

(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)

Sabtu, 31 Ogos 2013

Panduan Quran dalam Pengurusan Kewangan

Salah satu panduan Al-Quran kepada kita dalam mengurus kewangan:

- Jangan terlalu boros, jangan terlalu kedekut. Pilihlah pertengahan. (Mafhum ayat)

Panduan Mengekang Nafsu

Sedikit panduan dalam mengekang nafsu

- Rancangan TV Al-Hijrah petang tadi dalam bab tasowwuf bersama Dr. Zulkifli Al-Bakri membincangkan hikmah Imam Ibnu Atoillah Sakandary rohimahuAllah berkenaan nafsu yang boleh mengambil ruang pada waktu kesenangan, kekayaan. Sedangkan pada waktu kesusahan, kesedihan, kemiskinan, nafsu tidak punyai ruang.

- Nafsu ammarah sememangnya begitu kuat suruhan/keinginan/godaan. Lepas yang satu, yang lain pula, dan berterusan.

- Oleh sebab godaan nafsu yang sangat kuat, maka berlaku kesungkuran, terbabas.

- Oleh sebab yang demikian juga, agama mengajar kita mujahadah nafs (kesungguhan melawan nafsu yang tidak baik).

- Ada dua panduan ringkas yang diberikan dalam mengekang nafsu:

1) Mengambil pilihan gantian yang disediakan oleh Allah. Seperti contoh: menjauhi zina, mengambil pernikahan sebagai jalan yang halal dan betul. Menjauhi riba, mengambil jalan perniagaan sebagai kaedah halal yang disediakan agama.

2) Sedar dan tahu akibat buruk daripada mengikuti hawa nafsu. Tiada sesiapa pun yang untung dengan mengikuti hawa nafsu. Menuruti nafsu akan berakhir dengan kerugian dan penyesalan.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan keikhlasan mujahada kepada kita, agar sentiasa terus melawan nafsu jahat dan godaan syaitan, agar kita terus selamat berada pada jalan pengabdian diri kepada Allah. Semoga Allah perkenankan permohonan kita ini, dengan barokah dan kemuliaan Kekasih-Nya sollaAllahu alaihi wa sallam.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...