Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 7 April 2010

Hakikat Setiap Nafas Yang Dihirup dan Dihembuskan



Hikmah: Ketahuilah secara hakikatnya untuk tujuan apa kita bernafas tanpa henti ini.

Benar kata para sufi, dunia sangat mempengaruhi kita, lantas memperdaya dan kita daripada meyakini bahawa kehidupan akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya. Pernah Nabi Muhammad s.a.w memberikan perbandingan mengenai dunia ini kepada para sahabat. Antaranya ialah bangkai seekor kambing yang buruk keadaannya dan tiada siapa yang mahu membelinya dan juga satu perumpamaan lagi ialah apabila jari dicelupkan ke dalam air laut dan kemudian diangkatnya jari tersebut. Air yang masih berada pada jari tersebut dibandingkan dengan air laut.

Kedua-duanya ialah perbandingan dunia dengan akhirat pada pandangan ALLAH s.w.t. Maka memang kita mengukuhkan keyakinan kita bahawa kita bukan hidup di dunia ini secara mutlaknya, tetapi hanya sekadar persinggahan yang sungguh-sungguh terlalu sementara. Jadi, memang setiap nafas kita adalah untuk pengabdian diri kita kepada ALLAH s.w.t. Memang kita kepunyaan Dia.

Jangan mudah ditipu dunia. Bersedialah dengan kematian kerana kematian ialah permulaan kehidupan orang-orang beriman.

Jadilah kita insan yang tamak dalam merebut peluang keredhaan ALLAH s.w.t. Maka pada maqam siddiq dan ikhlas yang lebih tinggi, diri akan terasa fana' di hadapan ALLAH yang baqa. Kebaikan yang dilaksanakan terasa bukan dirinya yang melakukan.

Wallah a'lam.

Selasa, 6 April 2010

Nasihat Imam Ghazali : Hakikat Ikhlas


Antara ciri keikhlasan yang berada pada tahap yang lebih tinggi adalah sudah tidak merasai perbezaan perasaan apabila dipuji atau dikeji oleh manusia lain.



Al-Imam Al-Ghazali r.t. mencatatkan dalam kitab Ayyuhal Walad (Wahai Anakku) hakikat ikhlas, seperti berikut:


Wahai anakku yang tercinta,


Dan engkau juga bertanya kepadaku tentang ikhlas, maka ikhlas itu bahawa engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah Ta'ala dan hati engkau tidak berasa senang dengan pujian manusia dan juga engkau tidak peduli dengan kecaman mereka.



Terjemahan kitab Ayyuhal Walad oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah.

Isnin, 5 April 2010

Lunaknya Hati Menyedari Hakikat Kehambaan Diri



Alhamdulillah, berkat tarbiyah Rasulullah s.a.w. sebagai penghulu para sufi, ilmu tasawuf berupaya untuk memberikan kelunakan dan kemanisan perhubungan seorang hamba dengan Tuhannya.

Hati dan segala perkara bersangkut paut dengannya menjadi fokus utama dalam perbahasan ilmu ini.

Insya ALLAH, mohonlah kepada ALLAH agar Dia mengizinkan kita memahami bidang ilmu ini, dengan tarbiyah dan irsyad-Nya melalui para murabbi, mursyid, ustaz yang tsiqah dan mu'tabar.

Insya ALLAH, dengan memahami ilmu ini, sedikit sebanyak hati kita akan dilembutkan dengan hakikat kehambaan seorang hamba yang sangat kerdil menuju hakikat keagungan Tuhannya.

Kehebatan dan keagungan cinta dan kasih sayang ALLAH s.w.t. dilihat dengan mukasyafah dan bashirah yang haq akan menyebabkan diri kita mabuk dan lemas dalam lautan kasih sayang-Nya. Maka akan terasa bahawa diri ini sentiasa berdosa andaikata bukan ALLAH yang menjadi titik tumpuan segala tindakan.

Ya ALLAH, selamatkan kami ya ALLAH daripada segala kemurkaan-Mu.

Ahad, 4 April 2010

Ungkapan Hikmah Saidina 'Ali Karomallah Wajhah





"Jika kau berasa senang dengan melakukan kema'siatan kepada ALLAH, perasaan senang itu akan hilang dan dosanya akan kekal. Jika kau berasa penat dengan melakukan ketaatan kepada ALLAH, perasaan penat itu akan hilang dan pahalanya akan kekal."



-Maksud ungkapan hikmah tersebut adalah hampir seperti apa yang saya kemukakan. Kemungkinan tidak tepat sepenuhnya dengan ungkapan yang asal.

Kembara Geologi di Benua Australia


Assalamu'alaikum buat semua sahabat-rakan pengunjung blog ini,

Insya Allah saya akan menyertai satu kembara geologi di benua Austalia ini bermula pada esok hari (Isnin 5 April 2010) sehingga Ahad depan selama seminggu. Tempat tersebut adalah terletak di Quorn, South Australia sejauh lebih kurang 300 km / 4 jam perjalanan menggunakan bas dari Adelaide.

Ini adalah antara "nature"/ "pattern" dalam jurusan geologi. Pada kali ini, kami bakal dilatih untuk menjadi ahli geologi, masuk ke dalam kawasan dan membuat pemetaan bagi jenis batuan, log stratigrafi, struktur geologi seperti "dip angle", "dip direction", "cleavage" dan sebagainya.

Dimaklumkan jadual harian memang padat, bermula 8 pagi hingga 5 petang kami akan berada di lokasi pemetaan.

Alhamdulillah bersama saya akan ada satu kumpulan ahli geologi Arab Saudi (dari Jeddah) dan kesemuanya Muslim. Mereka berada di sini selama satu semester bagi tujuan kursus dan latihan.

Mudah-mudahan pengembaraan ini selamat, memberikan ilmu dan kefahaman yang berguna kepada saya. Apa yang lebih penting, moga ma'rifatullah bertambah kukuh apabila melihat, berjalan, mengkaji dan mentafsir alam yang terbentang luas ini. Allahu Allah, Kaulah Maha Pencipta alam ini dengan segala rahsia yang terkandung padanya.


Benarlah apa yang disebut oleh Imam Ibnu 'Athoillah Sakandari dalam Al-Hikam, bahawa ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang dapat memberikan perasaan takut kepada Allah.

Juga terima kasih kepada guru saya yang mendalami bidang Al-Quran yang memberikan motivasi agar berjuang dalam bidang geologi ini kerana pada hakikatnya segala ilmu di dunia ini adalah ilmu milik Allah s.w.t.

*Insya Allah saya berhasrat untuk berkongsi pengalaman sepanjang pengembaraan ini setelah tamat kelak.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...