Ulama Benteng

Ulama Benteng

Rabu, 15 April 2009

Ketinggian Kemuliaan Kedudukan

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.


Dari kiri, Rozairee, Zaim ( kedua-duanya sahabat sejak MCKK), saya dan Syed Marwan. Mereka ialah pelajar Universiti Melbourne. Saya menumpang penginapan di rumah mereka. Berat juga hati untuk berpisah, pasti akan merindui mereka.



Berada di hadapan Muzium Melbourne.

Suasana di Sydney Road yang banyak mempunyai kedai bangsa 'Arab. Saya dan Rozairee membeli sepasang khuf di kedai Eeman dengan harga AUD 14. Bernasib baik kerana pemilik kedai ini sudi memberikan potongan harga sebanyak AUD 2 setelah saya berbahasa dengan beliau bahawa saya pelajar tahun pertama yang datang dari Adelaide. :) Di sini juga ada restoran Alasya, sebuah restoran Muslim Turki yang terkenal.

Berada di kawasan Universiti Melbourne.


Baru sahaja saya pulang daripada kembara ke bumi Melbourne. Peluang untuk bertadabbur dengan alam ciptaan ALLAH ini digunakan dengan sebaik-baiknya. Australia ini luas dan kaya dengan ayat-ayat ALLAH dalam bentuk mandzuu-roh (yang dapat dilihat) selain dalam bentuk maqru-ah (yang dapat dibaca ya'ni al-Quran). Perjalanan saya dari Adelaide ke Melbourne menggunakan bas dan keretapi memakan masa lingkungan 10 jam dapat menggambarkan jarak yang jauh antara dua bandar utama di Australia ini. Kos pengangkutan darat ini hanya AUD 89.80 bagi pergi dan balik adalah lebih murah berbanding pengangkutan udara. Antara kebaikan yang ada di dalam bas ekspres di Australia ini, mereka mempunyai tali pinggang keselamatan bagi setiap tempat duduk penumpang, air kosong bagi diminum penumpang dan juga komunikasi yang jelas dan mesra daripada pemandu bas. Masa perjalanan juga tepat, dan pemandu bas dilihat bertenaga dan ceria. Taklimat diberikan semasa bermulanya perjalanan. Penumpang diingatkan bahawa denda akan dikenakan jika tertangkap tidak memakai tali pinggang keselamatan. Mungkin ini nilai positif masyarakat di sini yang sangat mengutamakan keselamatan yang perlu kita contohi.

Syukur kepada ALLAH s.w.t. kerana hati diizinkan untuk dicampakkan dengan ingatan-ingatan hikmah.

Banyak tempat saya lawati, bermacam-macam manusia saya temui. Tak kurang juga jodoh pertemuan dengan sahabat-sahabat yang berkongsi ikatan 'aqidah yang sama dan fikrah perjuangan yang dipegang bersama. Setidak-tidaknya apabila bertemu dengan sahabat-sahabat sefikrah yang dicintai, kesolehan mereka mengaruhkan inspirasi kehambaan saya.

Saya juga berpeluang bertemu para 'ulama. Hati berasa sangat tersentuh dan insaf apabila berpeluang bertemu secara talaqi dan melihat peribadi mereka dengan lebih dekat. Sekecil-kecil perkara yang dilakukan mereka bakal menjawab fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan Islam. 'Ulama ukhrawi yang benar-benar halus akhlak dan tinggi pengabdian diri mereka cukup menginsafkan diri saya.

Ilmu dan kefahaman mereka begitu luas dan mendalam. Mulalah kuat perasaan menyatakan bahawa golongan 'ulama harus terus dimuliakan dan dicintai. Diri ini masih tidak seberapa berusaha menggali 'ilmu. Menuntut 'ilmu daripada 'ulama yang berkelayakan dalam bidang mereka ternyata memberikan "kekenyangan" rohani, dan terasa ingin terus mendengar pengajaran mereka.

Bertemu dengan pelbagai jenis manusia, saya mula berfikir apakah yang perlu diburu dalam mendapatkan suatu keadaan yang terbaik pada penilaian ALLAH s.w.t. Saya dilontarkan dengan satu hikmah bahawa ketinggian kemuliaan kedudukan para hamba ALLAH antaranya bertitik tolak daripada KESUCIAN NIAT mereka. Pernah Imam Ibnu 'Athoillah menyatakan bahawa orang yang ikhlas sekalipun mungkin tertewas dan mereka tidak berupaya untuk mencapai kesucian niat yang lebih tinggi. Antaranya ialah usaha dalam ibadat untuk mendapatkan sesuatu seperti ganjaran syurga dan kedudukan yang tinggi pada sisi ALLAH s.w.t. , dan hal sebegini ini adalah dirisaukan kerana syaitan bertaraf tinggi akan mula menyerang dari sisi perasaan riyak dan sebagainya. Apa salahnya jika kita sungguh-sungguh nyatakan kepada ALLAH s.w.t. bahawa segala 'ibadat yang dilakukan adalah dengan usaha kita yang terbaik untuk mencapai niat yang suci untuk-Nya semata-mata. Orang yang hanya menghitung ganjaran ALLAH s.w.t. mungkin dapat dibandingkan dengan golongan pedagang. Pernah Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dalam kuliah ruhaniyahnya yang membincangkan kitab Bustanul 'Arifin tulisan Imam Nawawi, menyatakan bahawa orang yang lebih tinggi keikhlasan mereka akan sentiasa berasa lebih risau dengan keikhlasan mereka.

Saya mencatatkan ketinggian kemuliaan kedudukan seseorang hamba itu antaranya bertitik tolak daripada KESUCIAN NIAT, yang sentiasa dihalusi, sehinggakan pada suatu tahap mereka telah berasa diri lebur di hadapan keagungan ALLAH, sudah tidak dapat ditakrifkan lagi apakah niat mereka. Mereka menjadi mabuk dalam cinta ALLAH s.w.t. kerana setiap apa sahaja yang mereka pandang, dengar dan gunakan adalah secara hakikatnya kepunyaan ALLAH s.w.t. Rahmat dan kasih sayang ALLAH terlalu luas, sehingga mereka terasa lemas dalam lautan rahmat tersebut. Berkata Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam, Imam Asy-Syazili menyatakan dirinya akan menjadi kafir jika melupakan ALLAH walau sebentar. Apa tidaknya, pada padangannya, semua yang dilihat adalah berkait terus dengan ALLAH s.w.t.

KESUCIAN NIAT yang sentiasa disucikan pasti akan membuahkan perilaku luhur dan mempesona yang terjelma dalam kehidupan seharian.

Begitu juga orang yang kita nampak seperti "ikhlas", tetapi mereka ada sesuatu di sebaliknya, untuk mencapai pelbagai kepentingan yang tersendiri. Mohon kita semua diselamatkan daripada bencana sebegini.

YA ALLAH, kami pohonkan cinta dan kasih sayang-Mu agar Engkau menjadikan hati kami terus tetap disucikan, dengan matlamat segala tindakan kami adalah untuk-Mu semata-mata.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

4 ulasan:

  1. salam boss. haiya..sudah ada blog. lain kali datang lagi melbourne. gua belanja cendol

    BalasPadam
  2. subhanallah, seronok mendengar cerita dari bumi australia,,
    sy msih junior dan msih tengah buat ausmat,,
    harap sgt dpt pergi ke sna untuk dptkn ilmu dunia dan ilmu akhirat.
    doakn smoga rmi lgi pelapis yg bakal menyinari dakwah islam di sana nnti.

    BalasPadam
  3. Subhanallah,alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya. Bumi Allah luas, banyak yang dapat kita pelajari.

    Bila jangkaan que sera akan tiba di Australia? Universiti mana?

    Amiin, mudah-mudahan Allah perkenankan doa tersebut, lahirkan banyak pemuda-pemudi berteraskan 'aqidah yang sahihah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...