Solat merupakan ibadah yang begitu utama bagi umat Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam. Ada dua kategori solat: fardhu dan sunat.
Secara umumnya, setiap kewajipan yang telah ditentukan oleh Allah tabaroka wa ta'ala pasti mempunyai hikmah dan kebaikan kepada para hamba-Nya. Setiap ibadah wajib yang dilaksanakan dengan ikhlas akan membolehkan hamba tersebut memperoleh pahala dan akan diberikan balasan kebaikan di akhirat.
Bagi hamba-hamba Allah yang semakin mengenali hakikat dirinya sebagai ciptaan-Nya, akan hadir dalam perasaan mereka untuk membaiki kualiti penghambaan mereka. Setiap ibadah yang dilakukan akan digunakan untuk menzahirkan rasa kehambaan itu. Mungkin bagi orang yang berada pada tahap biasa, mereka mendirikan solat fardhu kerana dua faktor:
1) Ingin selamat daripada seksaan akibat meninggalkannya.
2) Ingin mendapat balasan kebaikan di akhirat nanti dengan melaksanakan tuntutan ibadah yang wajib.
Namun begitu, bagi orang yang berada pada tahap yang lebih baik, solat mereka dilaksanakan dengan matlamat yang lebih daripada apa yang disebutkan di atas.
Antara perkara yang dapat diburu daripada solat ialah keampunan Allah. Hal ini adalah sebagaimana yang ada dinyatakan dalam hadits Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad rohimahullah di dalam At-Targhib dengan isnad yang hasan.
Terjemahannya:
Abu Dzar rodhiyallahu 'anhu berkata:
"Suatu ketika Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam keluar pada musim sejuk semasa daun-daun gugur, lantas Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam memegang dahan dari sebatang pokok maka daun-daun tersebut mulai gugur dengan lebat dari dahan tersebut.
Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda, 'Wahai Abu Zar.'
Saya menyahut, 'Saya, ya Rasulallah.'
Kemudian Baginda shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda,
'Apabila seseorang Islam menunaikan solat untuk mendapatkan keredhaan Allah, dosanya gugur seperti gugurnya daun-daun ini daripada pokok.'"
Pasti tanpa dinafikan lagi, solat akan sentiasa kita dirikan sepanjang hayat kita.
Apa salahnya jika mengambil inisiatif untuk lebih menghayati dan merasai kelazatan dalam mendirikan solat dan merebut segala kebaikan yang telah dinyatakan oleh Al-Quran dan As-Sunnah berhubung dengan ibadah solat.
Kita sememangnya sentiasa melakukan dosa dan kesilapan kerana kita tidak terjamin tidak melakukannya sebagaimana para Rasul yang maksum. Namun begitu, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan kepada kita untuk sengaja melakukan dosa yang mengundang kemurkaan Allah.
Semasa menunaikan ibadah solat, sama-sama kita berikhtiar menghadirkan kekhusyukan dan kesungguhan mengharapkan keampunan Allah atas segala dosa kecil yang kita lakukan.
'Ulama menyatakan bahawa keampunan yang diberikan oleh Allah melalui solat sebagaimana disebut dalam hadits di atas adalah untuk dosa kecil. Untuk pengampunan bagi segala dosa besar, taubat nasuha perlu dilakukan. Jika dosa itu berkait dengan makhluk, maka perlu diselesaikan usaha memohon keampunan atau kemaafan daripada makhluk tersebut.
Dengan mengetahui betapa besarnya rahmat Allah dengan mengampunkan dosa kecil kita sebagaimana gugurnya daun-daun daripada dahan melalui solat yang kita didirikan, kita wajar berupaya untuk menambahkan perasaan khusyuk ketika solat. Mudah-mudahan beroleh istiqamah dalam melaksanakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.