Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 27 November 2010

Musim Panas 2010-2011


Pemandangan di bahagian hadapan untuk masuk ke kampus North Terrace, The University of Adelaide



Assalamu'alaikum kepada semua sahabat-rakan pengunjung dan pembaca blog ini, saya mendoakan semoga kita semua sentiasa ditetapkan iman dan berterusan menjadi hamba-Nya yang ikhlas dan taat.

Alhamdulillah, saya kini berada di tanah air untuk cuti musim panas yang panjangnya hampir 3 bulan.

Pada masa yang lalu, blog saya tidak dimuatkan dengan cacatan baru berikutan penumpuan masa lebih terjurus untuk persiapan akademik menghadapi peperiksaan akhir semester.

Menjalani peperiksaan di universiti atau di mana-mana sahaja pun insya-Allah menjadi satu ibadah yang mulia seandainya niat benar ikhlas dan pelaksanaannya tidak berlanggaran dengan garis panduan syariat.


Saya pernah mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat seagama di Adelaide untuk sama-sama menyegarkan niat, antaranya untuk menjadikan usaha dan kesungguhan dalam bidang akademik ini sebagai jihad dalam bidang ilmu. Mudah-mudahan Allah menerimanya dan kesemua masa, tenaga dan wang ringgit yang dipergunakan sebagai amalan soleh.

Menjadi sunnatullah, kita dituntut untuk berusaha semampu yang mungkin sebagai persediaan yang dilakukan dengan tubuh badan. Manakala jiwa pula disandarkan, dikukuhkan keyakinannya kepada Allah Ta'ala.

Antara tips berguna bagi menghadapi peperiksaan pada peringkat universiti adalah dengan melakukan soalan peperiksaan pada tahun-tahun sebelum ini. Jadi, kita insya-Allah berupaya untuk mengetahui apakah bentuk soalan yang relevan untuk diuji pada peperiksaan.

Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan tersenyum lebar, sehingga disedari rakan dalam dewan peperiksaan kerana dengan izin-Nya, soalan yang sama ataupun hampir dengan soalan pada tahun-tahun sebelum ini dikemukakan semula pada peperiksaan kali ini. Syukur kerana saya sempat melakukannya sebelum peperiksaan.

Saya balik ke Malaysia menggunakan penerbangan Malaysia (MAS) dari Adelaide ke KLIA dan seterusnya ke Alor Setar. Beberapa perkara berkaitan penerbangan ini saya kongsikan:

  • Jika kita guna penerbangan yang sama menuju ke destinasi yang memerlukan transit (seperti saya transit di KLIA), maka kita boleh memaklumkan kepada pegawai di kaunter pendaftaran (check-in) untuk mendaftarkan kita dan barang (luggage) kita hingga ke lapangan terbang terakhir. Dia juga akan memberikan boarding pass untuk digunakan hingga ke lapangan terbang terakhir. Jadi, semasa transit kita tidak lagi perlu untuk mengambil beg dan mendaftar lagi.
  • Penerbangan MAS memang menjaga kualitinya. Penerbangan hampir 7 jam dari Adelaide ke Kuala Lumpur tidak terasa lama kerana adanya alat hiburan (yang mempunyai skrin paparan di hadapan kita dan set pendengaran telinga). Ada banyak jenis hiburan yang ada seperti Quran interaktif, bacaan Quran, dokumentari, filem dan sebagainya.
  • Makanan disajikan sebanyak 3 kali dan satu daripadanya ialah makanan berat.

Alhamdulillah, perjalanan selamat.

Doakan masa cuti saya ini padat dengan manfaat, di samping berbakti kepada kedua-dua orang tua di rumah.

Saya mohon maaf atas ketidakseragaman kekerapan saya mengemas kini blog ini. Sekali lagi saya ingatkan kita bersama, andai tiada catatan baru di laman ini, insya-Allah kita boleh membaca catatan lama sebagai ulang kaji yang membantu menguatkan ingatan dan kefahaman lantas mendorong kepada keazaman untuk beramal dengan konsisten.

Teruskan menyokong usaha di laman saya ini,

'Abdullah Munib ilaiHi,

Kuala Nerang, Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...