Menuntut dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat ialah satu ibadah yang sangat mulia dalam Islam. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan keutamaan ini.
Dalam melaksanakan tuntutan terpuji ini, antara perhatian utama yang perlu diamati adalah dari segi menjernihkan hati yang menjadi raja kepada seluruh tubuh badan kita.
Sebagaimana yang tercatat dalam buku Adab-adab Bersama Al-Quran tulisan Al-Imam An-Nawawi rohimahullah ta’ala, peringatan untuk meluruskan hati adalah begitu mustahak. Berikut ialah beberapa catatan beliau yang diambil daripada kitab tersebut:
Firman Allah Ta’ala yang mafhumnya berbunyi:
“Sesiapa yang menghendaki keuntungan (pahala) akhirat, Kami tambah baginya keuntungannya dan siapa yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, Kami berikannya sebahagian daripada keuntungan dunia dan tidak akan beroleh sesuatu pun bahagian di akhirat (nanti).”
Surah Asy-Syuara: 20
“Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya di dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki.”
Surah Isra’: 18
Daripada Abu Hurairah rodhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, mafhumnya berbunyi:
“Sesiapa yang menuntut ilmu yang sepatutnya dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t., tetapi dia menuntutnya hanya untuk mendapatkan sedikit habuan dunia, maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat.”
Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih.
Hadits-hadits seumpamanya adalah banyak.
Daripada Anas, Huzaifah dan Ka’ab bin Malik r.a., bahawa Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang mafhumnya berbunyi:
“Sesiapa yang menuntut ilmu untuk berdebat dengan golongan bodoh atau untuk mengalahkan golongan ulama atau untuk memalingkan pandangan manusia kepadanya, maka dia menyediakan tempat duduknya di dalam neraka.”
Oleh sebab yang demikian, marilah bersama-sama kita menjadi komited dalam membersihkan rohani kita dalam sebarang tindakan, lebih-lebih lagi dalam urusan menuntut ilmu kerana kelalaian manusia akan menyebabkan mereka menjadi begitu mudah untuk tertipu dengan kehidupan dunia lantas menggunakan sepenuh kudrat mereka bagi memenuhi keinginan di dunia dan melupakan kehidupan akhirat.
Mudah-mudahan Allah Ta’ala menjadikan kita semua umat yang sentiasa suci dan ikhlas hatinya dalam melaksanakan segenap aspek tindakan dalam hidup ini.
Rujukan:
Adab-adab Bersama Al-Quran, tulisan Al-Imam An-Nawawi. Terjemahan Ustaz Haji Anwar Fakhri bin Haji Omar, Fakulti Pengajian Islam UKM. Terbitan Pustaka Salam Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.