Ulama Benteng

Ulama Benteng

Khamis, 23 Disember 2010

Berapa lamakah tempoh bermukim pada suatu tempat yang tidak mengharuskan qasar solat?





Assalamu'alaikum kepada semua pembaca yang saya muliakan,

Alhamdulillah, baru-baru ini saya menghadiri satu kursus motivasi di Lumut. Sepanjang tempoh tersebut, timbul satu permasalahan yang dibincangkan dan syukur kepada Allah, penjelasan tentangnya telah dapat saya temui.

Saya yakin, ilmu ini adalah berguna buat kita semua. Selamat membaca, memahami, mengamalkan dengan ikhlas serta menyebarkan kepada umat Islam lain.




Soalan: Berapa lamakah tempoh bermukim pada suatu tempat yang tidak mengharuskan qasar solat?




Berniat untuk bermukim selama empat hari empat malam (empat hari yang sempurna) tidak termasuk hari ia sampai dan bertolak semula.
Mengikut jumhur fuqaha (dalam kalangan Malikiyyah, Syafieyyah dan Hanabilah), jika seseorang musafir itu berniat untuk bermukim selama empat hari yang sempurna atau lebih, tidak harus baginya mengqasar solat selama mana bermukim di situ (jika ia berniat untuk bermukim selama tiga hari atau lebih yang tidak sampai selama empat hari penuh, maka si musafir itu masih berstatus sebagai seorang musafir dan diharuskan untuk mendirikan solat jamak dan qasar).

Berniat untuk bermukim secara mutlak, tanpa ditetapkan tempoh atau bilangan harinya.

Musafir yang berniat untuk bermukim secara mutlak (tanpa ditentukan berapa lama tempoh ingin bermukim), gugur statusnya sebagai musafir, bahkan ia menjadi seorang yang bermukim dan tidak harus lagi mengqasar solatnya.

(Masail Fil Fiqh Al-Muqarin, halaman 111 / Al-Muktamad, jilid 1, halaman 462)

Perhatian:
  1. Niat untuk bermukim ini tidak kira sama ada dilakukan pada tempat yang sesuai dijadikan tempat bermukim ataupun tidak seperti hutan belantara, padang pasir dan sebagainya.
  1. Kesilapan yang kerap terjadi ialah musafir yang bercuti selama seminggu di kampung halaman contohnya (telah mengetahui berapa lama dan telah berniat bermukim) tetapi dia tetap melakukan solat qasar dalam tempoh tiga hari pertama dia berada di kampungnya dan yang selebihnya dia melaksanakan solat tamam (sempurna), dengan beranggapan bahawa dia melakukan solat qasar sepanjang tiga hari yang pertama kerana dia masih lagi berstatus musafir dan apabila masuk hari yang keempat dia melaksanakan solat tamam kerana telah menjadi orang yang bermukim.
Tindakan ini adalah tidak tepat kerana dia sepatutnya tidak boleh melakukan solat qasar bermula hari pertama dia sampai ke destinasi lagi. Dia hanya boleh melakukan solat qasar semasa perjalanan pergi dan balik sahaja. Ini adalah kerana dia telah berstatus mukim sejak hari pertama lagi dan juga kerana dia telah merancang serta berniat untuk bermukim dalam tempoh yang melebihi daripada tiga hari (empat hari dan ke atas).

Namun sekiranya seseorang bercadang untuk bermukim di suatu tempat, tetapi belum berniat dan tidak diketahui bilangan harinya dengan tepat, dia akan menjadi mukim apabila dia telah menetap di situ selama 4 hari secara automatik. Dia boleh mengqasar solat dalam tempoh 4 hari permukimannya itu (kerana dia masih berstatus musafir disebabkan tidak berniat untuk bermukim). Adapun bagi solat yang didirikan setelah berlalunya 4 hari sejak dia bermukim di situ, solat tersebut hendaklah ditunaikan secara tamam kerana dia telah bertukar menjadi mukim secara automatik.

Jika dia langsung tidak berniat untuk bermukim, disebabkan ketidaktentuan masalah dan urusannya yang tidak diketahui bila akan selesai, namun selepas sehari demi sehari kerja-kerjanya masih lagi tidak selesai, dia boleh mengqasar solat selama 18 hari yang pertama ia bermukim di situ. Adapun selepas 18 hari urusannya masih lagi tidak diselesaikan, solat yang ditunaikan setelah itu hendaklah ditamamkan.

(Al-Muktamad, jilid 1, halaman 462-463)

Rujukan bagi catatan ini:

130 Persoalan dan Panduan Praktikal Solat Jamak dan Qasar
(Edisi Kemaskini Beserta Soalan-soalan Tambahan) oleh Ustaz Zulkarnain Dollah dan Ustaz Azhar Yahya, Faza Publications, Kuala Lumpur, 2009, muka surat 42 hingga 44.

* Tuan-puan sahabat-rakan semua adalah sangat digalakkan untuk membaca, memahami dan mengamalkan catatan ilmiah ini, juga menyebarluaskan kepada umat Islam lain demi manfaat bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...