Ulama Benteng

Ulama Benteng

Jumaat, 27 Mei 2011

Jangan Ambil Mudah

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya lebih memahami bahawa pengalaman belajar di universiti bukanlah sekadar untuk mendapatkan kelulusan ijazah dalam akademik semata-mata, tetapi sebenarnya lebih besar daripada itu. Ilmu dan hikmah yang amat bernilai nilaiannya yang dikaut adalah untuk mematangkan diri, lebih merasai hakikat kehidupan di dunia ini, dan memahami apakah pencarian sebenar yang lebih hakiki.


Jangan ambil mudah! Itu antara hikmah yang bertandang dalam hati saya buat hari ini.

Jangan ambil mudah dalam apa sahaja aspek kehidupan. Apabila kita mendengar ayat daripada Surah Al-Zalzalah dibacakan, kita dikhabarkan bahawa setiap amalan baik yang elok mahupun sebaliknya, biarpun sebesar zarah akan tetap dilihat. Maka saya memberitahu diri saya, tidak ada benda yang wajar dipandang enteng, dipandang mudah.

Sapaan ini agak kuat mengesan di hati. Saya baru saja gagal untuk menepati sasaran untuk mencapai gred paling atas (High Distinction - 85% dan ke atas) bagi satu kursus di sini. Agak ralat terasa. Ralat dan tidak setuju dengan sikap bermudah-mudah yang mungkin selalu berkunjung sepanjang semester ini. Setiap aspek penilaian akademik ada sumbangan markahnya kepada gred keseluruhan. Maka kesemua kerja tersebut perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh! Wajar dilaksanakan dengan penuh kualiti!

Ya, kalau kamu mahu gred terbaik, maka setiap kerja yang kamu laksanakan hendaklah bersungguh-sungguh, kualitinya tinggi, ada komitmen masa dan fokus secukupnya, sasaran yang tinggi, tidak mudah tergesa-gesa! Kamu perlu dapatkan markah terbaik dalam setiap pecahan kerja dan penilaian... (nasihat kepada diri sendiri)


Ya, memang kurang kerehatan kesannya daripada wawasan tinggi sebegini. Hukum alam, sesuatu yang lebih berkualiti itu dihasilkan dengan kepakaran, masa, dan tenaga yang lebih banyak, lebih mahal daripada sesuatu yang kurang berkualiti itu.

Alhamdulillah, itu baru situasi dalam konteks penilaian akademik di dunia. Saya terasa bagai dialihkan pandangan hati untuk melihat situasi yang sama dalam konteks penilaian Allah di mahsyar nanti. Bagaimana kalau kita mahukan keredhaan Allah yang tertinggi, maka wajar kita bersungguh-sungguh dan sehabis baik memanfaatkan segenap masa yang ada di dunia ini untuk ketaatan yang sebaik-baiknya, Sekali lagi, jangan ambil mudah! Jangan pandang rendah amalan berselawat atas Junjungan Mulia shollallahu 'alaihi wa sallam, amalan bertasbih, amalan mengucap Laa ilaa ha illa Allah dan seumpanya ketika berjalan, ketika apa-apa sahaja yang ada ruang masa walau sesaat! Kerana benda-benda yang kita rasa kecil inilah yang akan begitu menyelamatkan kita di sana.

Allah, Allah, Allah. Hamba terima dengan penuh redha apa ketentuan-Mu, kerana hamba yakin, kesemuanya ada nilaian didikan-Mu yang amat berharga.

Ayuh kita jadi hamba Allah, umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lebih bersungguh-sungguh ikhlas dan berkualiti dalam setiap amalan, dan tidak terlalu mengambil mudah semua urusan dan perkara. Allahumma amiin!


....

2 ulasan:

  1. Artikel ini memberikan cahaya di mana kita dapat mengamati realitas. Hal ini sangat bagus dan memberikan informasi yang mendalam. terima kasih atas artikel ini, bagus...Dan semoga kita bisa mengikuti jejak salafusshalih..amiin..alafu mohon izin untuk copy and share y..jazakallah syukron katsir.

    BalasPadam
  2. Tuan Ali Assegaf,

    Dengan izin Allah.

    Saya benarkan tuan copy dan share. Pohon doa agar Allah pelihara keikhlasan kita 100% dan diberikan manfaat berkekalan.

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...