Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Ahad, 17 Mei 2009

Pelita di Perantauan

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Hampir 3 bulan di bumi Adelaide, akhirnya ALLAH memudahkan pencarian saya. Syukur pada-Nya saya dipertemukan dengan seorang ustaz bagi membimbing dan mengajar saya dalam menggalas amanah besar ini. Saya kini berasa bertambah malu dengan kebesaran kurniaan ALLAH dan kasih sayang-Nya yang sentiasa diberikan. Wajar saya katakan bahawa tindakan seseorang insan kadang-kadang melupakan bahawa dirinya sedang berada dalam lautan ni'mat-Nya yang tiada bertepian. Kadang-kadang manusia merungut mengapa apa yang dipohonnya seakan-akan tiada jawapan. Dia tidak sedar bahawa ALLAH pasti akan memberikan kepadanya, sama ada sedikit lambat untuk menguji kesabaran dan kegigihannya atau pun ALLAH s.w.t. memberikannya sesuatu yang jauh lebih baik. Ayat yang diulang-ulang dalam Surah Ar-Rahman wajar memberikan keinsafan yang sejati.

Bersama guru tasmi': Ustaz Muhammad Izwan Al-Hafiz.

Insan yang saya maksudkan ialah Ustaz Muhammad Izwan Al-Hafiz. Pertemuan dengan beliau benar-benar menginsafkan saya. Walaupun beliau ditakdirkan tidak dapat melihat dunia ini sejak kecil lagi, namun saya yakin beliau dapat melihat 'alam ini dengan mata hati yang sentiasa terang dan bersih. Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di daerah Hulu Langat. Khatam hafazan pada usia 10 tahun. Kemudian meneruskan pengajian 'ulum di beberapa pondok, antaranya di Lanai, Kedah, dan kemudian meneruskan musafir ilmu di Pakistan dan Mesir bagi pengajian kitab. Beliau berada di Adelaide ini bagi menemani isteri beliau yang sedang menyiapkan PhD dalam bidang psikologi.

Rumah beliau di Malaysia terletak Bandar Baru Salak Tinggi, dan beliau memiliki sebuah madrasah tahfiz Al-Quran yang bernama Maahad Tahfiz Al-Quran As-Solihin, terletak di Nilai. Bertugas sebagai mudir maahad tersebut, insya ALLAH beliau dijangka akan pulang ke Malaysia pada bulan lapan nanti setelah isterinya menyiapkan PhD, meneruskan pengajarannya di sana.

Saya benar-benar berasa bertuah. Kebetulan rumah kami terletak di jalan yang sama. Rumah saya di hentian bas no.4 dan rumah beliau di hentian bas n0.9. Saya berulang-alik ke rumahnya menaiki basikal. Insya ALLAH, saki baki masa beliau di sini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk mengaut mutiara ilmu sebanyak yang mungkin. Alhamdulillah, hingga kini dirancangkan kelas tasmi' bersama beliau sebanyak dua kali seminggu; pada hari Sabtu dan Ahad.

"Maka ni'mat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?"

"Sesiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka disediakan jalan keluar baginya."

"Dialah sebaik-baik penolong."

Benar ayat-ayat ALLAH. Semoga terus diizinkan usaha penghambaan ini.
Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

2 ulasan:

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...