Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Khamis, 23 Julai 2009

Rasa Cukup Dengan Segala Pemberian ALLAH

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.



Catatan pada kali ini bertujuan untuk berkongsi beberapa hikmah dan juga memenuhi hajat seorang sahabat seperjuangan saya.

Catatan pada kali ini ada kaitan dengan keputusan peperiksaan yang diterima. Keputusan itu pula agak tidak bertepatan dengan jangkaan (expectation) calonnya.

Apa yang pasti, sememangnya kita kena sentiasa bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. Itulah yang selalu ditekankan oleh orang-orang soleh dan juga sufi. Maha Suci ALLAH, Dia terpelihara daripada sebarang sifat yang bertentangan dengan Maha Adil-Nya.

Sesungguhnya, orang yang bersangka baik kepada ALLAH adalah tidak rugi. ALLAH turut bersikap penyantun kepadanya, sebagaimana sangkaan yang dimiliki hamba tersebut kepada-Nya.

Apa jua keputusan yang kita terima, terimalahnya dengan penuh rasa kesyukuran. Inilah konsep qona'ah (rasa cukup dengan pemberian ALLAH).Segala apa yang dikurniakan ALLAH kepada hamba-Nya adalah yang terbaik pada pandangan-Nya.

Kita juga wajar mengemaskan 'aqidah kita bahawa ALLAH sama sekali tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya, tetapi hamba-Nya sendiri yang berlaku zalim terhadap diri sendiri. Jika diamati al-Quran, ayat ini selalu diulang untuk mengukuhkan peringatan kepada diri kita.

Kadang-kadang, ada keperluan untuk kita bermuhasabah. Apabila dapat keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang, cuba semak di mana ada kelemahannya. Ingat, sunnatullah (peraturan alam) perlu dipatuhi. Dalam Surah Ar-Ra'd dinyatakan bahawa nasib kita tidak akan diubah oleh ALLAH, melainkan kita sendiri yang mengubahnya. Tengok sikap kita bagaimana. Kalau kita sendiri telah sepenuh kudrat berusaha dengan cara yang betul, tidak membazirkan masa dengan perkara sia-sia, menghormati guru selaku ejen ilmu tersebut diajarkan dan memenuhi adab sebagai pelajar Islam, maka keputusan yang diperoleh sememangnya perlu kita terima dengan penuh rasa gembira dan kepuasan.

Namun, jika ada ketempangan dalam sikap kita sendiri, itulah yang perlu dibetulkan. Islam tidak sesekali mengajarkan kita untuk hanya berdoa dan bertawakkal kosong, tanpa ada usaha yang setimpal. Lihat saja kesungguhan usaha Sultan Muhammad Al-Fatih yang begitu teliti dan bersungguh-sungguh berusaha mematuhi sunnatullah di samping mentaati syariatullah.

Ada kalanya, perkara yang kita suka sebenarnya adalah tidak baik untuk kita. Pada masa yang sama, ada perkara yang kita tidak suka tetapi baik untuk kita. Hal ini disebutkan dalam Surah al-Baqarah. Insya ALLAH, ada perkaitan yang rapat dengan keputusan peperiksaan yang kita terima.

Rahsia dan aturan ALLAH, kita tidak tahu.

Insya ALLAH, banyak lagi peluang yang tersedia untuk kita mempertingkat pencapaian diri. Jangan hanya satu perkara yang kecundang, perkara lain turut terheret tercundang.

Setidak-tidaknya, kegagalan yang kecil di dunia mampu menginsafkan kita dengan kegagalan akhirat yang jauh terlalu dahsyat dan menggerunkan. Lebih beruntung jika kita selamat daripada kegagalan akhirat.

Dunia memang persinggahan yang terlalu sekejap. Insya ALLAH, jadikan dunia sebagai jambatan untuk kita memperoleh kejayaan akhirat yang hakiki.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

6 ulasan:

  1. Allah always know what is the best for us!~ =)

    btw.. alhamdulillah result ib ana leh la nk kata cemerlang.. i got 40 points.. n insyaAllah akan ke cardiff middle of september ni..

    “Rabbuna yassir wa la tu’assir”

    [Allahumma najihna fi hazal imtihan wa fi dunia wal akhirah]

    barakAllahufik!~

    BalasPadam
  2. Tahniah Saudari Aisyah Ismail.

    Semoga ALLAH terus mengurniakan kejayaan kepada kita semua muslimin muslimat dunia akhirat.

    Amiin.

    (^_^)

    BalasPadam
  3. Apabila rasa cukup dengan segala pemberian Allah, kita akan dapat rasa kebahagian sejati walaupun kita ini miskin harta.

    Rasa cukup ini sebenarnya sukar diperoleh. Hanya usaha menuntut ilmu dan meningkatkan iman saja yang boleh mewujudkannya.

    BalasPadam
  4. insya ALLAH. terima kasih saudara yusuf

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...