Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Khamis, 24 September 2009

'Eid di Bumi Kanggaru

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.



Bersama senior-senior pada malam penentuan 1 Syawal, mencari kemunculan bulan sabit penanda.


Syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAH s.w.t. Dia izinkan saya dan sahabat-sahabat menggagahi madrasah tarbiyyah Ramadhan yang datang secara tahunan. Tahun ini agak berbeza dan ada makna yang tersendiri buat saya, kerana inilah tahun pertama saya menelusuri perjalanan Ramadhan di benua kanggaru.

Mungkin jika berada di tanah air dulu, diri lebih terasa selesa. Umat Islam sebagai majoriti. Suasana lebih sakan kemeriahannya. Tapi di sini, umat Islamnya adalah minoriti. Kami berhimpun di bawah satu persamaan, ya'ni selaku umat Baginda Muhammad s.a.w.. Persamaan 'aqidah merentasi pelbagai bangsa yang ada di bumi South Australia ini.

Terasa seronok, merasai juadah berbuka puasa, yang disediakan saudara-saudara daripada beberapa negara di Timur Tengah dan Afrika yang agak berbeza citarasanya dengan masyarakat Melayu. Adakalanya juadah yang disediakan begitu banyak, sehingga terpaksa memujuk diri menghindarkan pembaziran.

Satu kelaianan di sini, dalam penentuan hari bermulanya Ramadhan dan juga 1 Syawal, ada perbezaan di antara kawasan/qaryah masjid. Pernah dilaporkan pada tahun sebelum ini, ada solat raya pada dua hari berturut-turut di masjid yang berbeza di South Australia, kerana berbeza penentuan tarikh tersebut. Lainnya di Malaysia, kita ada penyimpan mohor-mohor besar diraja, yang akan mengumumkan tarikh "standard" bagi umat Islam di seluruh tanah air untuk meraikan Syawal ataupun memulakan ibadah Ramadhan.

Pernah saya ternanti-nanti; bagaimanakah 1 Syawalku nanti. Pertama kali berjauhan dan berada di tempat orang. Mungkinkah kesyahduan yang bakal bersinggah membawa diri menitiskan air mata?

Alhamdulillah. Terasa dibekalkan ketabahan, ketenangan dan keceriaan. Pada 29 Syawal, malam penentuan sama ada esok 1 Syawal atau tidak, kami keluar ke tepi pantai untuk cuba memerhatikan kemunculan anak bulan. Banyak kegembiraan yang dikongsi bersama senior-senior di sini. Dengan keramaian sahabat-sahabat dari Malaysia, tidak begitu terasa kesunyian. Kebanyakan warga Islam Malaysia di sini mengadakan rumah terbuka dengan juadah "wajib" hari raya di Malaysia.

Keluarga di Malaysia dihubungi. Tampaknya kemeriahan Aidil Fitri di teratak 11 Taman Mesra ditambah dengan kesibukan meraikan kehadiran dua puteri baru (cucu baru bagi ayah dan bonda) ya'ni Sarah Safiyah dan Hana Aliyah. Gamat suasana akibat anak-anak saudara berebut untuk bercakap dengan saya melalui gagang telefon. Biarpun bahasa mereka sukar saya fahami, cukup untuk membuatkan saya ternanti-nanti untuk bertemu mereka kelak.

Apa yang perlu kita tekankan ialah peningkatan kualiti diri kita sebagai Muslim dan Mukmin. 'Eidul Fitri ialah hari kemenangan, hari kembalinya kita kepada fitrah mentaati ALLAH. Benarlah apa yang diajarkan kepada kita untuk sentiasa mengucapkan "TaqobbalaLLAH minna wa minkum" (semoga ALLAH menerima 'amalan daripada kita dan anda). Kita dengan penuh harapan mengharapkan ALLAH s.w.t. sudi menerima semua 'ibadah yang dilaksanakan hampir sebulan dalam Ramadhan.

Pada masa yang sama juga, wajar kita pertingkatkan penghayatan 'Aidil Fitri yang berdasarkan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Masih lagi ada ketempangan dalam masyarakat Islam kita yang perlu dibaiki, yang jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan 'Aidil Fitri bercampur kemurkaan ALLAH s.w.t.

1. Pakaian yang mendedahkan aurat, menyerlahkan susuk tubuh badan. ( Yang lebih merisaukan kita ialah pakaian Melayu bagi wanita seperti baju kebaya yang kebanyakannya menampakkan susuk tubuh wanita, agak ketat pada beberapa bahagian. Jelas, pembaikan pada pakaian sebegini perlu diusahakan. Pakaian yang selamat bagi Muslimah ialah pakaian longgar yang langsung tidak menampakkan susuk tubuh mereka.)
2. Percampuran antara lelaki perempuan bukan mahram yang terlalu hampir jaraknya, yang membuka ruang bersentuhnya kulit antara mereka.
3. Bersalam-salaman sempena hari raya, untuk bermaafan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.
4. Bergambar antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang tiada keperluan, yang jarak begitu hampir, yang membolehkan tersentuhnya kulit antara mereka.
5. Pembaziran makanan dan minuman.
6. Menayangkan filem yang terdapat dalamnya artis yang mendedahkan aurat.

Moga-moga dengan adanya kesedaran dan usaha kita untuk membaiki ketempangan ini, insya ALLAH 'Aidil Fitri yang bakal tiba pada masa akan datang lebih membawa kita kembali kepada fitrah yang sebenarnya.

Hari kemenangan pada bulan Syawal ini wajar mengingatkan kita akan Hari Kemenangan yang dijanjikan ALLAH pada akhirat nanti, insya ALLAH dengan rahmat ALLAH dan usaha kita mentaati-Nya dengan sebaik-baik ketaatan, kita akan dimasukkan ke dalam syurga, mengecapi hakikat kegembiraan dan juga hari raya yang sebenarnya, bahkan kekal dalam keadaan tersebut buat selama-lamanya.




Suasana di luar Masjid City, Adelaide selepas selesai menunaikan solat 'Aidil Fitri. Kelihatan berbagai-bagai jenis pakaian mewakili pelbagai bangsa dari pelbagai tempat di dunia ini.


Bersama-sama dua kakanda tahun akhir pengajian mereka, sempat bersama serumah dengan mereka 1 semester. Bergambar pada 'Aidil Fitri di hadapan townhouse kami. (Moga ALLAH memelihara suhbah solehah antara kami sehingga ke syurga kelak.)


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

7 ulasan:

  1. aweseomeness.
    this is awesome.
    mmg list yg kamu buat itu begitu tepat sekali.
    sungguh, ramai masih tidak mengetahui.
    moga ramai pembaca dan penyampai.

    BalasPadam
  2. insha ALLAH, semoga ALLAH beri kekuatan kpd penulis utk menghindari dosa yang jelas, serta membawa saudara-saudara seaqidahnya menjauhi dosa tersebut, jazakallah khair ainan atas sokongan dan komentar

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum akhi,
    Selamat Hari Raya,Taqabbalallahu minna wa minkum

    p/s:gambar akhi keluar berita harian,dengan gambar kawan akhi Muhd Syukri tu =)

    BalasPadam
  4. w'salam.waiyyaka.

    oh, benarkah? boleh nta simpankan gambar tu akh? nanti masa kita jumpa boleh nta beri kpd ana?

    jazakallah khair

    BalasPadam
  5. salam aidilfiri untuk kamu juga akh..
    semoga kekal dlm rahmat-Nya sepanjang berada di sana..
    merantau utk ilmu itu juga kan jihad,i'Allah doanya makbul sih.. =)

    BalasPadam
  6. salaam aidil fitri buat anta juga. aamiin moga doa tersebut terus sntiasa termakbul.

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...