Sumber gambar.
Doa menjadi satu ibadah yang utama dan sangat dituntut oleh agama Islam. Bahkan untuk menggambarkan kedudukan doa yang sangat utama itu, kita dikhabarkan dengan:
"Doa ialah ibu (ataupun otak jika diambil terjemahan secara literal) bagi segala ibadah."
Dengan doa, kita berupaya untuk melafazkan kata-kata munajat, permohonan, dan bermonolog dengan Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Menciptakan kita.
Bagi orang-orang yang arif akan Allah, mereka menjadikan amalan berdoa sebagai sesuatu yang tidak lekang daripada lidah dan hati mereka.
Dalam menjaga adab sebagai seorang hamba, apakah bentuk doa yang baik?
Ulama tasawwuf ada menyebut, dalam susunan al-Faqir seperti berikut (rumusan daripada apa yang diajarkan oleh guru kita yang mulia, Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizohullah):
Doa yang lebih baik yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Tuhannya ialah doa yang memohon agar dia dikurniakan kemudahan, kekuatan, keikhlasan oleh Tuhan bagi melaksanakan tugasnya sebagai hamba.
Hamba tersebut tidak meminta-minta rezeki seperti kekayaan harta benda kerana dia amat meyakini bahawa pengetahuan Allah tentang keperluannya adalah melebihi pengetahuannya. Dia yakin bahawa Allah yang menjadi Sebaik-baik Pemberi Rezeki tidak akan cuai dalam memberikan apa yang diperlukannya.
Mesej untuk kita: Insya Allah, kita pupuk amalan mulia berdoa, memohon kepada Allah agar kita dimudahkan, diberikan kekuatan untuk melaksanakan tugas kita sebagai hamba-Nya dengan sebaik-baiknya. Tidak perlu gusar lagi dengan nasib dan kurniaan yang akan diterima, seandainya Tuhan Pemilik diri kita sudah benar-benar redha, gembira dengan ketaatan yang kita persembahkan kepada-Nya.
Susunan al-Faqir ilaLlah al-Ghaniyy,
Mohd Ikhwan Ahmad Zhaki
mohon izin nak copy ^^
BalasPadamKepada akai, insya Allah diizinkan. Pohon doa semoga kita ikhlas 100%, Allah terima amalan kita. ^_^
BalasPadamthanks :)
BalasPadam