Ulama Benteng

Ulama Benteng

Isnin, 12 Julai 2010

Jasa Sufi dalam Penyebaran Islam



Suasana Umat Islam Ketika Diserang Musuh Islam Pada Zaman Al-Imam Ibnu Taimiyah

Al-Imam Ibn Taimiyah lahir pada tahun 661 H dan wafat pada 26 Zul Qa’dah 728 H. Dalam tempoh tersebut berlakunya peperangan di antara umat Islam dan tentera TarTar. Saya ingin menyebutkan kepada sidang pembaca sekalian secara ringkas di antara para ulama sufi yang terlibat di dalam peperangan tersebut serta mana-mana peperangan sekaligus menolak tohmahan dan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa golongan Sufi hanya sibuk dengan zauq mereka tanpa mempedulikan hal ehwal masyarakat.

Siapa tidak kenal dengan al-Imam Muhyiddin bin Zakariyya al-Nawawi rahimahullah wafat 676 H, salah seorang mujtahid di dalam Mazhab al-Imam al-Syafie , ulama Sufi yang cukup hebat. Siapa lagi yang memberikan tekanan dan desakan kepada Sultan al-Zahir Bibris rahimahullah untuk memerangi tentera Tartar ketika itu jika bukan al-Imam al-Nawawi rahimahullah? Malah Sultan Bibris mengatakan :

“ Aku cukup takut kepada lelaki ini ( al-Imam al-Nawawi rahimahullah)” .

Ini disebutkan di dalam kitab Tazkirah al-Ayyubiyah ( manuskrip bernombor 7814 mukasurat 53).

Peranan Ulama Sufi dalam Pengislaman Monggol

Sejarah Islam adalah merupakan sejarah yang paling memeningkan para Oreantalis. Selalunya golongan penjajah akan bisa menguasai Negara yang dijajahnya. Namun sebaliknya berlaku bilamana tentera Monggol menguasai Negara Umat Islam ketika tersebut, penjajah yang mengikut agama Negara yang dijajah, bukan yang dijajah mengikut penjajah.

Bagaimana perkara ini berlaku?

Tidak lain dengan wujudnya golongan yang dekat dirinya dengan Allah taala dan Rasul-Nya. Kecintaan mereka kepada Allah taala dan RasulNya menjauhkan mereka daripada takut kepada celaan orang yang mencela serta kezaliman penjajah ketika tersebut.

Jika kita melihat kepada kitab-kitab sejarah Islam, disebutkan oleh para ulama bahawa antara penyebab berjayanya Sultan Zahir Bibris memenangi peperangan adalah kerana wujudnya hubungan baik dengan Barakah Khan ( wafat 665 H) beliau merupakan cucu lelaki Gengis Khan.

Hubungan ini berlaku ketika Barakah Khan pulang daripada pertemuan dengan al-Imam al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi , Khalifah Tariqat Kabrawiyah. Para ulama menyebutkan bahawa Barakah Khan berkenan untuk memeluk Islam setelah bertemu dengan ulama Sufi ini iaitu al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi rahimahullah.

Begitu juga dengan peranan yang dilakukan seorang lagi ulama besar Sufi di dalam mengislamkan para pembesar serta tentera Monggol iaitu al-Syeikh Saaduddin bin Hammuyah (wafat 652 H).

Raja Ghazan , salah seorang cucu Holako juga memeluk agama Islam hasil dakwah daripada al-Imam Ibrahim al-Juwaini al-Syafie al-Sufi rahimahullah ( wafat 722 H). Hasilnya menyebabkan seluruh tentera pimpinan Raja Ghazan yang kebanyakannya berada di Iran dan kawasan sekitarnya telah menerima cahaya agama Allah taala.

Kawasan Asia Tengah menyaksikan bahawa hidayah Allah taala telah menusuk ke dalam kalbu Raja Kashghar Timor Khan al-Monggoli ( wafat 765 H) bilamana berlaku pertemuan di antara beliau dengan al-Imam al-Syeikh Jamaluddin al-Bukhari al-Naqsyabandi ( antara Ulama Besar bertariqat Naqsyabandi) . Keberanian serta keikhlasan al-Imam Jamaluddin al-Bukhari menyebabkan Raja Timor Khan tertarik memeluk Islam. Hal ini berlaku bilamana Timor Khan mengatakan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya :

“Harga anjing lebih tinggi berbanding dengan harga diri kamu semua ( sambil mengisyaratkan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya )”

Al-Imam Jamaluddin al-Bukhari lalu menjawab :

“ Ya, Mungkin benar katamu itupun jika kami tidak memeluk agama Allah ini. Namun kami menjadi mulia hanya kerana kami memeluk agama Allah taala ini”

Di kawasan Banggal pula, kelihatan ramai para tentera Monggol berpusu-pusu memeluk agama Allah taala . Semuanya adalah berkat jasa al-Imam al-Sufi Jalaluddin al-Tibrizi rahimahullah.Ini seperti disebutkan di dalam catatan Rehlah al-Imam Ibn Battuta rahimahullah.

Joban ( wafat 736 H) salah seorang pembesar Monggol telah menjadi salah seorang pengikut setia kepada al-Syeikh al-Murabbi Sofiyuddin al-Ardabili rahimahullah. Pernah sekali Joban rahimahullah bertanyakan kepada al-Imam al-Ardabili :

“ Mana lebih banyak, tentera Sultan atau murid kepada Syeikh?”

Maka al-Imam al-Ardabili menjawab :

“ Murid-muridku di Iran sahaja sudah melebihi bilangan mereka daripada tentera Sultan itu sendiri”

Nah, ini adalah sebahagian daripada peranan ulama Sufi dalam peperangan menentang tentera Monggol. Peperangan di dalam Islam bukan semata-mata bertujuan menumpahkan darah umat manusia. Jika begitu hadaf dan tujuannya, maka samalah kita dengan golongan yang tidak beragama. Namun tujuan peperangan di dalam Islam adalah menyebarkan risalah dakwah mempamerkan kecantikan Islam kepada pihak musuh. Inilah yang dijalankan oleh para ulama sufi ketika tersebut.


Tindakan Menuduh Secara Melulu kepada Para Sufi

Jangan cepat menghukum, kaji dahulu. Tak malukah kamu jika ingin berhadapan dengan para pejuang dalam kalangan ulama Sufi pada zaman tersebut satu masa nanti di Syurga Allah kelak? Kamu menuduh bahawa mereka hanya sibuk dengan diri masing-masing tanpa melibatkan diri dengan perjuangan, tetapi hakikatnya ianya adalah tohmahan malah tidak salah saya katakan bahawa ianya akan menjadi fitnah. Kamu banyak pengikut, kamu akan dipersoalkan kelak jika kamu tidak menarik semula tohmahan kamu terhadap para ulama Sufi yang berjuang bermati-matian berhadapan dengan tentera TarTar ketika tersebut.

Semoga Allah taala jua memberikan petunjuk kepada kebenaran.

Rujukan :

al-Butulah Wa al-Fida' Inda al-Sufiyyah : Dirasatun Tarikikhiyyah Karangan al-Syeikh As'ad al-Khatib


Artikel ini merupakan adaptasi daripada artikel asal tulisan Al-Ustaz Nazrul Nasir hafizahullah, http://nazrulnasir.blogspot.com/2010/05/jawapan-kepada-tohmahan-ust-abdullah.html.

Susunan al-Faqir wal Haqir ilaLlah,

Mohd Ikhwan bin Ahmad Zhaki

2 ulasan:

  1. Sya kagum dan bangga dengan ahli dan Golongan Sufi dalam memperjuangkan agama islam tetapi,saya teramat kesal dengan segelintir umat Islam yang mendakwa golongan Sufi bukan dari golongan sunnah Rasullah,dan malah mereka mendakwa pada zaman Rasullullah xde gelaran Sufi malah xde pengikut sufi,saya masih lg mencari jwpn terhadap soaaln tersebut, sekiranya saudara bole meberi jawapan. saya pernah dan cuba mengikut Tarikat Naksyabandi tetapi sayang saya gugur sebelum bai'ah, kalo bole saudara menceritakan sejarah kemunculan Sufi. sekian terima kasih

    BalasPadam
  2. Ya, kita amat berharap agar para sufi yang hakiki, berteraskan 'aqidah ASWJ dan syariat Islam, dapat terus dibela dan memperjuangkan kesucian risalah Islam.

    Ada di sini saya pernah catat tentang sejarah ilmu tasawuf (diambil daripada laman Yayasan Sofa):

    http://ikhwanzhaki.blogspot.com/2010/06/sejarah-perkembangan-tasauf.html

    Boleh rujuk juga laman Yayasan Sofa, banyak penulisan.

    http://ysofakl.blogspot.com/

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...