Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Ahad, 9 Jun 2013

Seputar Kursus Pra-Perkahwinan di Masjid Negara

Alhamdulillah, syukur dapat menamatkan kursus di Masjid Negara.

Banyak kebaikan yang saya cuba rebut.

- Banyak guru/penceramah adalah 'otai' dalam bidang mereka. Ada dalam kalangan imam Masjid Negara, Masjid Besi, berkhidmat di bawah JAWI yang berpengalaman lama dan luas menguruskan begitu banyak ragam dan kes yang melibatkan suami isteri.

- Kursus pra-perkahwinan selepas ini pada masa akan datang dimaklumkan akan dilaksanakan segala ujian, untuk menguji sejauh mana kefahaman peserta.

- Bermula Jun tahun ini, JAKIM sudah mengarahkan agar ditayangkan video ringkas yang berkisar tajuk slot, pada waktu sebelum dan selepas slot. Saya suka dan bersetuju dengan pendekatan ini. Ini telah merealisasikan konsep dan pendekatan dakwah yang berjalan dan berkembang seiring peredaran zaman dan kemajuan. Lakonannya mantap. Mesejnya jelas. Bahkan boleh menyentuh perasaan penonton. Kualiti gambar dan suaranya pun subhanaAllah cantik.

- Saya juga melihat kaedah penyampaian asatizah (para ustaz) yang berjaya menarik minat. Ada antara mereka yang buat jenaka yang memang fresh untuk wujudkan suasana ceria, banyak menggunakan istilah bahasa Inggeris, banyak merujuk penulisan motivasi yang walaupun bukannya daripada orang Islam, gaya bahasa moden yang dekat dengan anak muda, dan bagi saya memang up to date lah ustaz-ustaz tersebut.

- Saya juga bersyukur kerana penyampai begitu banyak dan lama dalam urusan berkaitan perkahwinan, jadi masalah dan punca yang begitu selalu terjadi dikongsikan, dan panduan menghadapinya diajarkan.

- Saya semakin menyetujui bahawa perjuangan hidup ini pastinya perlu didasari dengan ilmu dan kefahaman yang jelas dan benar. Begitulah urusan perkahwinan. Islam agama kita adalah panduan hidup yang sempurna dan begitu rapi menyusun panduan kepada kita. Apa yang pasti, uswah hasanah (contoh ikutan yang baik) kita adalah Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam. Jika kita ragu-ragu, adakah benar tindakan yang kita akan buat atau tidak, maka rujuklah kepada Baginda Nabi.

- Matlamat kita in syaa Allah amat jelas dalam hidup ini. Mencari keredhaan Allah, mengabdikan diri kepada-Nya. Inilah teras yang wajar dijadikan pautan kemas dalam apa-apa segala tindakan kita. Begitu juga perkahwinan. Jika benar niat dan caranya, hampir setiap benda yang kita buat in syaa Allah akan diberi ganjaran pahala, pengampunan dosa dan redha-Nya.

- Saya juga berasa begitu diingatkan untuk benar-benar merancang strategi penggunaan masa dan tindakan, kerana modal masa yang dipinjamkan Allah kepada kita adalah benar-benar terhad. Bahtera perkahwinan yang dilayari dengan perancangan yang sepatutnya in syaa Allah banyak kebaikan menanti.

- Bagi sahabat-rakan dan adik-adik yang belum menghadiri kursus ini, pada pengamatan saya, tidak salah jika kalian hadir awal. Itu tidak bermakna kita akan terus berkahwin dalam masa terdekat. Hadir dengan niat mencari ilmu berguna, dan sijil yang akan diperoleh akan sah sepanjang hayat.


Hasil daripada pendedahan sepanjang kursus juga , ada dua sudut pandang antaranya yang boleh diambil.

1. Betapa begitu besarnya beban amanah yang diambil melalui pernikahan. Jika diabaikan, banyak dosa menanti. (Tidak hairanlah ada antara pengantin laki yang menangis setelah sempurna akad, kerana mengenangkan beban amanah yang besar yang baru diambil, dan ada juga yang menangis kerana kesyukuran).

2. Betapa banyaknya dan semakin bertambah nilaian darjat dan gandaan pahala yang bakal diperoleh, in syaa Allah jika amanah dilaksanakan dengan penuh jiwa kehambaan, dengan sentiasa ada hubungan terus dengan Allah.


( dan banyak lagi sebenarnya permata berguna yang terasa ingin dikongsikan, namun mungkin setakat ini kesempatan ada pada kali ini.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...