Ulama Benteng

Ulama Benteng

Sabtu, 31 Ogos 2013

Dua Telaga Kaustar Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam

Dikhabarkan kepada kita oleh 'ulama bahawa telaga kautsar yang dianugerahkan kepada Baginda Nabi kita sollaAllahu alaihi wa sallam nanti ada dua.

Satu di mahsyar, dan satu lagi di dalam syurga.

Mudah-mudahan kita dimasukkan oleh Allah ke dalam golongan yang diizinkan untuk minum daripada air telaga tersebut.

Kerana kita khuatir dan mohon perlindungan Allah daripada termasuk dalam kalangan mereka yang dihalang daripada minum air telaga tersebut, yakni mereka yang ingkar terhadap perintah Allah dan ajaran Baginda Nabi sollaAllahu alaihi wa sallam, bahkan Baginda sendiri murka apabila mengetahui perbuatan mereka.

Awasi Kesan Buruk TV dan Internet

Dalam persiapan untuk memimpin keluarga sendiri kelak, mendapat inspirasi daripada perkongsian syaikh mengenai perkampungan umat Islam yang menjaga biah solehah, secara lebih khusus di perkampungan Derang, Kedah. Tambahan, ada bapa saudara yang tinggal di sana dan pernah saya bertandang ke sana beberapa kali.

Pernah perkampungan tersebut terkenal dengan kampung tanpa televisyen. Saya yakin, ada percaturan dan pertimbangan ulama untuk tidak membenarkan adanya 'tingkap' masuknya perkara yang tidak elok.

Tanpa menafikan ada kebaikan yang dalam siaran TV, tetapi nisbahnya kepada keburukan adalah begitu kecil. Manfaat lebih kecil daripada mudarat.

Jika dilihat dalam konteks hari ini, 'tingkap' keburukan yang lebih luas dan pantas menyebarkan anasir tidak baik (jika tidak dikawal dan ditapis) adalah kemajuan internet.

Buat ibu bapa, jika anak-anak dibiarkan dalam masa yang begitu banyak bersama TV - internet tanpa pengawalan, kita berasa risau akan terbentuknya pemikiran dan sikap mereka yang tidak selari dengan aqidah dan akhlak Islam.

Antara kunci perkongsian ini: kesungguhan dan kerapian pencegahan punca pencemaran minda, tersebarnya kemaksiatan dalam zaman yang banyak fitnah.

Semoga menjadi renungan, panduan demi tindakan kita bersama.

Ahad, 25 Ogos 2013

'Ironi' dalam Amalan Soleh

'Ironi' dalam amalan soleh - dengan mengambil pengajaran daripada Jubbul Hazan

Usaha terbaik agar mendasar dalam diri kita kerendahan hati, tahu dan sedar bahawa diri hanya insan kerdil peminjam nikmat Allah, tak punya apa-apa secara hakikatnya.

Agar tidak kita semakin 'terhijab' apabila bertambah amal? Bukankah itu satu bentuk ironi?

Diharapkan apabila bertambah ilmu dan amal, adalah semakin melihat kebesaran Allah, semakin tidak nampak diri sendiri.

Namun khuatir dan rasa pelik seandainya ilmu dan amal bertambah, apa yang semakin dilihat adalah kehebatan diri sendiri, tidak lagi dilihat keluasan rahmat dan pemberian Allah.

Ruang-ruang 'tergelincir' yang mungkin dapat diamati untuk dihindari:

Wujud rasa bangga diri, wujud rasa semakin memandang kehebatan diri sendiri, semakin terhijab apabila:

- Semakin bertambah ilmu
- Semakin bertambah amalan
- Semakin hebat butiran CV-resume
- Semakin hebat tahap sijil akademik dan insitusi pengajian tinggi yang memberikannya
- Semakin rasa diri lebih 'suci' daripada dosa, semakin rasa diri lebih 'syar'ie', semakin rasa diri lebih 'sufi', semakin rasa diri lebih 'haraki', semakin rasa diri lebih 'jaga ikhtilat', semakin rasa diri lebih 'intelektual', semakin rasa diri lebih 'wara',
- Semakin banyak bergaul, berhubung, bergambar dengan orang-orang besar
- Semakin banyak menukilkan kitab-kitab besar
- Semakin banyak peminat
- Semakin bertambah angka gaji
- Semakin bertambah jenama dan model kereta mewah
- .... dan seterusnya serta seumpamanya.

'Ironi' dalam amalan soleh: secara zohir kita sangka amalan itu sepatutnya membawa syurga, tetapi kerana rosak batinnya amalan itu membawa kepada neraka.

Disebutkan dalam kitab Sairus Salikin oleh Al-Marhum Syaikh Abdus Somad Al-Falimbani pada bab menyatakan uzlah, membawa hadis Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam, hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi rohimahuAllah dalam kitab Zuhud, terjemahannya:

"Minta peliharakan oleh kamu dengan Allah ta'ala daripada 'Jubbul Hazan'. Maka sembah sahabat: Apa ia ya Rasulallah? Maka sabdanya: Iaitu lembah di dalam neraka jahannam yang berlindung daripadanya jahannam setiap hari seratus kali. Lalu ada yang bertanya: Ya Rasulallah! Siapa yang masuk ke dalamnya? Maka sabdanya: Ia disediakan bagi qari-qari yang riya' dengan amal mereka itu."

Antara pengajaran besar lagi adalah: marilah berusaha melakukan amal ibadah kebaikan dengan begitu berhati-hati menjauhi kegelinciran batin.

Menjaga hubungan dan perasaan sesama manusia

- Secara jujurnya, hampir setahun lebih saya bekerja dalam syarikat minyak dan gas negara yang majoritinya (boleh dikatakan lebih 70%) adalah staff Melayu dan/atau Muslim (yakni merujuk expatriates Muslim dari negara umat Islam lain seperti Indonesia, Mesir, Turki dll), banyak kesedaran dan ilmu berkenaan 'soft skills', sikap, interpersonal skills yang saya alami dan pelajari. Sedikit sebanyak telah mempengaruhi perubahan sikap dan cara berfikir sekarang.

- Ditambah pula pengalaman di luar kerja yang saya alami untuk dijadikan perbandingan.

- Boleh dinyatakan secara umum dan ringkas: bahawa akhlak dan sikap yang elok, hubungan yang sopan dan santun sesama manusia dengan menjaga perasaan mereka adalah sesuatu yang diakui oleh seluruh manusia baik mereka itu adalah orang Islam mahupun bukan Islam. (Maka lebih-lebih lagilah orang Islam yang beriman, sememangnya agama ini amat menekankan akhlak yang mulia)

- Sebarang bentuk komunikasi, contohnya melalui e-mel bagi urusan perniagaan sekalipun jika hendak dilakukan akan dibuat draft dahulu agar maknanya jelas dan tidak membawa emotional 'attack' kepada penerima. Sebarang penggunaan jenis pilihan perkataan ada maksud dan kesannya tersendiri. Pengunaan 'bold', huruf besar/caps lock (membawa maksud nada menjerit), "!", warna font merah dan seumpamanya membawa kesan kepada penerima.

- Kita sebagai manusia dan insan lain pun sebagai manusia masing-masing ada perasaan. Oleh sebab yang demikian, marilah kita berfikir sebelum bertindak, agar tindakan kita tidak melukakan perasaan dan menjadikan hubungan terjejas. Kita sendiri boleh membayangkan dan menjangkakan kesan daripada tindakan kita kepada insan lain jika memikirkan seandainya kita adalah penerima tersebut.

- Islam mengutamakan dan melebihkan ganjaran kepada insan yang berakhlak mulia, menjaga hubungan sesama manusia, yang banyak memberikan manfaat kepada manusia, yang mudah didekati oleh manusia lain, yang menghiburkan manusia lain.

- Saya sendiri sentiasa berazam dan berusaha membaiki akhlak, dan memohon doa agar Allah membantu untuk memperoleh kualiti akhlak yang lebih baik.

- Terima kasih kepada sesiapa saja yang telah menunjukkan dua ekstrem tasyadud (terlalu berkeras) dan tasahul (terlalu bermudah); yang menunjukkan akhlak yang indah dan yang menunjukkan akhlak buruk. Maka lebih saya faham dan belajar untuk dijadikan ikutan dan sempadan.

- Bukankah sifat keindahan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad sollaAllahu alaihi wa sallam itu berada pada pertengahan di antara dua ekstrem? Mari memilih pertengahan.

- Marilah kita menggunakan akal, rasional, sedar dalam realiti, memandang penting terhadap hubungan yang santun sesama manusia. Islam memberi ruang dan keutamaan kepada akal untuk berfungsi dengan dipandu syariat dan wahyu.

- Dosa seorang hamba kepada Allah, in syaa Allah jika dia bertaubat dan Allah berkehendak untuk mengampunkannya maka akan selesai dosa itu. Namun, jika dosa seorang hamba kepada manusia lain maka dia perlu selesaikan dosa itu dengan manusia tersebut juga. Oleh sebab itu, si syahid yang tidak menjelaskan hutang dengan manusia lain juga akan tersangkut/terjejas dalam perjalanan menuju syurga.
 

Sabtu, 24 Ogos 2013

Doa Pendekat Jodoh



Doa Pendekat Jodoh

- diambil daripada buku tulisan Dr. Haron Din, Darussyifa.

- atas permintaan salah seorang sahabat sebaya dengan saya.

- di samping doa, berikhtiarlah dan proaktif mencari saluran yang ada, dalam bertaaruf dan mencari kesesuaian calon jodoh, dengan niat ibadah.

- semoga bermanfaat.

- sila muat turun gambar ini, zoom in (atau klik kanan) untuk lihat paparan lebih jelas untuk tengok huruf dan baris yang tepat.

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...