Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Berpegangteguhlah dengan institusi Ahlus Sunnah Wal Jama'ah!

Selasa, 9 Jun 2009

Musim Sejuk

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Sedikit perkembangan terkini saya di Adelaide.
Musim Sejuk


Sekarang musim sejuk di Australia. Secara rasminya musim sejuk di sini adalah pada bulan Jun hingga Ogos. Sejuknya tidaklah mencecah negatif darjah Celsius. Hujan pun selalu turun. Adelaide tiada salji. Salji ada di kawasan tinggi yang lain di Australia. Kadang-kadang apabila hembus nafas, nampak seperti asap yang keluar. Bagi Ulin-Nuhaa (orang yang ber'aqal), fenomena empat musim ini adalah satu bukti jelas keagungan dan kebijaksanaan ALLAH dalam penciptaan alam ini.

Peperiksaan

Barr Smith Library: Perpustakaan Universiti Adelaide, kampus North Terrace.

Ujian dan peperiksaan saya:

Geologi: 10 Jun 2009

Fizik: 22 Jun 2009

Kimia: 27 Jun 2009

Statistik: 3 Julai 2009


Dari kecil di Tadika KEMAS Taman Mesra, sampailah ke Universiti Adelaide di sini saya sentiasa berhadapan dengan ujian dan peperiksaan. Ini realiti, tak dapat nak lari. Kalau tiada ujian dan peperiksaan, bagaimana nak ukur tahap kefahaman ilmu?

Saya berasa terpanggil untuk menyuarakan keperluan kita untuk beraksi dengan penuh gagah dan persediaan dalam arena peperiksaan. Amanah yang dipikul oleh setiap pelajar Muslim dalam bidang pengajian masing-masing telah jatuh hukum fardhu 'ain kepada mereka (fardhu kifayah bagi keseluruhan umat Islam). Kesedaran mengenai kewajipan dan amanah ini dapat dijadikan satu titik penilaian bagi kita semua untuk memberikan tumpuan yang sepatutnya.

Hukum alam; siapa berusaha, dia pasti akan dapat. Mahu atau tidak mahu, sunnatullah perlu kita patuhi. Dalam al-Quran dinyatakan: ALLAH tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, tetapi mereka yang menzalimi diri mereka sendiri. ALLAH juga tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum selagi mana mereka tidak mengubah nasib mereka sendiri.

Perkara pokoknya ialah akhlak dan sikap kita!

Bimbingan ALLAH telah dijelaskan dalam Al-Quran. Maka kita pula yang perlu beramal dengannya.

Buatlah persiapan yang terbaik sebelum menduduki peperiksaan. Cuba kita semak bagaimana kemampuan kita yang sebenarnya. Genius atau tidak bukan permasalahan yang terbesar. Permasalahan yang besar ialah sikap kita sendiri. Tengok kemampuan kita, dan berusahalah dengan terbaik mengikut kadar tersebut.


Orang yang genius tidak boleh berasa takabbur kerana mereka perlu tahu bahawa yang memberikan keizinan untuk mereka menjadi genius ialah ALLAH s.w.t. Genius yang dimiliki mereka tidak lebih daripada pinjaman semata-mata. Bagi yang kurang genius, jangan pula dituturkan kata-kata kekufuran. ALLAH telah menentukan yang lebih indah dan besar bagimu. Dia mahu engkau lebih berusaha, lebih banyak masa yang digunakan dalam kehambaan kepada-Nya. Insya ALLAH, lebih besar ganjaran-Nya kepada engkau.


Bersedialah dengan sebaik-baik persediaan sebelum menduduki peperiksaan.

Bagaimana mungkin kita dapat menjawab peperiksaan dengan baik seandainya ulangkaji dan penguasaan teori tidak dilakukan? Lebih daripada itu, kita juga perlu membiasakan diri dengan laras soalan yang bakal dikemukakan. Hal ini dapat dilakukan dengan mencuba soalan peperiksaan pada tahun-tahun sebelum ini.

Saya masih segar teringat akan kata-kata guru IB saya, Mr. Lawrence ketika di makmal kimia Sek. Sri KDU yang bunyinya hampir begini: " even Tigerwood spends hours per day for training." Perkara yang ingin ditekankan adalah berkaitan latihan yang mencukupi dalam persediaan menghadapi sesuatu perkara. Pemain profesional dalam bidang sukan masing-masing pun memperuntukkan masa yang banyak dalam latihan sebagai persiapan menghadapi mana-mana kejuaraan. Ini ialah satu hukum alam yang wajar kita patuhi. Peribahasa Inggeris pun menyebut; "practice makes perfect".

Ada banyak lagi panduan yang dapat kita peroleh dalam menduduki peperiksaan. Cuba dapatkan dan fahaminya, mudah-mudahan dapat memberikan manfaat kepada kita.

Kadang-kadang, motivasi saya pun ada masa naik dan turunnya. Tatkala motivasi mulai menjadi pudar, saya cuba memuujuk diri. "ALLAH s.w.t. sama sekali tidak menyia-nyiakan penghambaan hamba-Nya. Bahkan Dia Maha Adil dan Maha Memberi Pembalasan. Tak akan Dia mengabaikan hajat penghambaan hamba-Nya. Bagi hamba, jika sungguh segala apa sahaja yang dilakukannya adalah semata-mata untuk ALLAH, bukan kerana menginginkan balasan-Nya, maka apa lagi yang perlu dirungsingkan? Perjuanganku dalam bidang pengajian ini insya ALLAH aku tujukan kepada-Mu ya ALLAH semata-mata. Kupohonkan agar setiap detik yang berlalu dalam perjuangan ilmu ini tidak berada di luar pemerhatian dan penerimaan-Mu.

Apa yang aku kena buat adalah berusaha sehabis baik, hingga diumumkan keputusan bagi penilaian akademik ini. Keputusannya ialah urusan ALLAH. Seorang hamba perlu risau dengan urusan kehambaan, bukan urusan Tuhan. Berusahalah, jangan berhenti berjuang. Jangan jadi orang yang sia-sia kehidupannya."

Merenung dan menghayati jasa dan pengorbanan ibu dan ayah juga menjadi salah satu cara yang sangat berkesan bagi menyuntik semangat perjuangan ilmu ini. Memang benar, jasa ibu ayah tiada terkira dan tiada terbalas. Bagi anak yang soleh/ah, kecemerlangan dalam akademik yang ikhlas menjadi salah satu bakti kepada ibu bapa, dengan membahagiakan perasaan mereka.

Setelah kita berusaha dengan sebaik-baik usaha mengikut kemampuan kita, maka serahkan segala-galanya kepada ALLAH s.w.t.. Tawakkal kepada-Nya adalah tidak sia-sia sama sekali. Terimalah apa jua natijah dengan penuh rasa syukur dan qona'ah. Insya ALLAH, jiwa akan dicampakkan dengan perasaan tenang.

Winter Trip

10-17 Julai 2009 ialah tarikh bagi Winter Trip yang dianjurkan oleh persatuan Islam Malaysia di sini. Insya ALLAH, kami bakal berpeluang untuk bermain salji. Antara destinasi yang akan dilewati ialah Sydney, Canberra, Falls Creek dan Melbourne. Di Canberra, kami juga berpeluang untuk melakukan "translation" bagi lesen memandu Malaysia, bersama pegawai Malaysia di sana.

Jangan Musnahkan Diri Dengan Kelapangan Masa

Wawasan kita memang jauh, iaitu akhirat. Akhirat pula tiada penghujungnya. Apa kesimpulannya? Sibukkan diri dengan perkara yang kekal.

Cuti musim sejuk adalah selama 3 minggu. Lama juga. Sampai penghujung Julai. Azam saya adalah untuk benar-benar memanfaatkan masa lapang ini. Hati saya sentiasa diingatkan dengan amanah besar terhadap APIS. Telah saya sampaikan kepada sahabat-sahabat seperjuangan bahawa masa cuti ini insya ALLAH akan saya pergunakan dengan sebaik mungkin bagi mengukuhkan perencanaan dan pergerakan perjuangan kita yang dicintai. Pendaftaran APIS sebagai NGO Islam yang sah di Malaysia ialah cita-cita kita yang murni, bukan sekadar angan-angan kosong. Insya ALLAH, cita-cita ini akan tercapai tidak lama lagi dengan nusrah dan keizinan-Nya.

Sehingga kini, satu perkara yang sangat saya hargai ialah kesedaran untuk menghargai masa yang telah terdidik. Jauh lebih baik daripada itu, perkara yang hebat bagi orang beriman kepada ALLAH s.w.t. ialah mendahului masa. Bagaimana? Mereka mendahului masa dengan cara bersiap dengan rapi sebelum tiba masa tersebut. Mereka menunggu masa tersebut untuk tiba. Saya qiaskan perkara ini dengan persediaan kita menuju hari pengadilan di akhirat kelak. Telah jelas khabar mengenai perkara yang akan berlaku selepas ini, selepas alam dunia ini. Maka bijaklah kita jika menjadi orang-orang yang mendahului masa, bersiap sedia sesempurna mungkin. Hal ini selari dengan satu hadits Nabi Muhammad s.a.w. yang dilafazkan baginda berkaitan orang yang bijak, iaitu orang yang beramal untuk kehidupan mereka sesudah mati.

Berkaitan dengan kepulangan saya ke tanah air kelak, alhamdulillah saya telah membeli tiket untuk balik. Insya ALLAH tiba di LCCT Malaysia pada 24 November 2009, dan berangkat pulang ke Adelaide pula pada 26 Februari 2010. Penerbangan tersebut (menggunakan Tiger Airways) bukanlah penerbangan terus Adelaide-Kuala Lumpur, tetapi berhenti-henti. Adelaide-Perth-Singapura-Kuala Lumpur. Bagi penerbangan pulang ke Adelaide, laluan yang sama digunakan. Insya ALLAH masa cuti hampir 3 bulan 10 hari tersebut nanti akan diperguna untuk khdimat kepada Islam dan tanah air tecinta, di samping mengemaskan amanah bersama al-Quran dan belajar memahami agama.

Insya ALLAH, bertemu lagi.


Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.

3 ulasan:

  1. Syukran atas peringatan. Moga terus thabat dalam perjuangan!

    BalasPadam
  2. Moga thabat dalam perjuangan, terus berusaha:)

    Demi Allah, kerana Islam kita berjuang!

    BalasPadam
  3. Insya ALLAH, tsabat dalam perjuangan sebagai hamba ALLAH dan umat Nabi Muhammad s.a.w. (^_^)

    BalasPadam

Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...