(Klik pada gambar untuk paparan jelas. Anda dijemput untuk mengambilnya dan disebar-sebarkan demi tujuan kebaikan.)
Berkata Al-Imam Ibnu Sirin rohimahullah ta'ala:
"Sesungguhnya ilmu ini ialah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian."
Dalam usaha belajar untuk memahami agama Islam, sudah tidak dapat dinafikan lagi bahawa seseorang Muslim itu perlu mempunyai guru yang berkelayakan, berkeahlian, diakui keilmuannya, diyakini iman dan akhlaknya serta ikhlas dalam mengajar dan mengamalkan ilmu tersebut.
Mari kita lihat kepentingan mempunyai guru dalam usaha pembelajaran dan pemahaman ilmu-ilmu agama Islam berdasarkan sejarah Islam. Kita lihat sendiri bagaimana Nabi kita tercinta Nabi Muhammad shollalahu 'alaihi wa sallam mempunyai guru Baginda sendiri iaitu Allah Ta'ala; Baginda mendapat didikan terus daripada Allah Ta'ala.
Para 'ulama yang besar, masyhur, dan jasa ilmu mereka masih berkekalan sehingga hari ini seperti para imam besar dalam bidang 'aqidah, fiqih dan tasawwuf: mereka mempunyai guru mereka dalam mempelajari ilmu tersebut. Bukan sekadar seorang guru, bahkan berpuluh-puluh dan tidak mustahil lebih daripada itu.
Dengan berguru juga, insya-Allah kita akan berkesempatan untuk mendapat keberkatan ilmu tersebut, diri kita termasuk dalam doa yang dilafazkan oleh para guru. Mengambil ilmu daripada lidah para masyaikh beserta huraian dan penjelasan daripada mereka insya Allah akan menghindarkan diri kita daripada kecelaruan dan kepincangan ilmu agama lantaran kecacatan sanad (pertalian) dan juga unsur-unsur syaz (keraguan, bukan majoriti).
Tidak salah jika kita berikhtiar untuk meluaskan pembacaan sendiri di luar kesempatan untuk bersama kuliah pengajian bersama mereka. Namun begitu, sentiasalah merujuk kepada mereka supaya kita tidak terbabas dengan bacaan kita secara sendiri.
Mudah-mudahan Allah Ta'ala mengekalkan kita dalam keselamatan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah, berpegang dengan pegangan jumhur 'ulama yang terpelihara daripada sebarang bentuk syaz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Insya ALLAH, komentar ada dihargai demi menyuburkan budaya ilmu.